Apa Pusat Sumber

KONSEP PUSAT SUMBER SEKOLAH

1.0         PENDAHULUAN

Kepantasan dan kecanggihan teknologi cetak, kemajuan dalam bidang telekomunikasi, radio , televisyen dan mikrokomputer serta satelit telah membawa kepada satu tahap ledakan maklumat yang belum pernah terjadi sebelumnya, penyampaian maklumat yang sungguh pantas di seluruh dunia dan perubahan besar dan penting dalam kesemua aspek hidup manusia.           

Bagi menghadapi suasana demikian, pelajar mestilah bersedia untuk mengeksploitasi sumber-sumber teknologi pembawa maklumat. Pelajar perlu dibawa keluar daripada buku teks mereka, sekiranya mereka hendak mendapatkan maklumat yang lebih luas.           

Aktiviti pengumpulan maklumat seumpama ini boleh dipromosikan melalui penggunaan Pusat Sumber Sekolah. Sekiranya ini dilaksanakan, PSS memenuhi peranannya sebagai pelengkap kepada kurikulum.           

Penggabungjalinan Pusat Sumber Sekolah ke dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran seharian sekolah akan menyumbang ke arah pembinaan proses pemikiran, kemahiran belajar, kebolehan pengendalian maklumat dan pemerolehan ilmu. Jadikanlah PSS sebahagian daripada aktiviti pedagogi dalam sistem sekolah kita supaya wujud suasana aktif dan menarik. 

2.0         SEJARAH PENUBUHAN PUSAT SUMBER SEKOLAH

Perpustakaan Sekolah telah mula wujud sejak sebelum merdeka lagi, iaitu pada awal tahun 1950an, namun ianya tidak secara menyeluruh, dan perkembangan penubuhan perpustakaan tidak begitu diutamakan. Beberapa sekolah dipilih sebagai pusat bagi menempatkan beberapa jenis alat pandang dengar. Projek ini menemui kegagalan kerana tidak diuruskan dengan berkesan di samping kekurangan kakitangan terlatih.Pada tahun 1962, Persatuan Perpustakaan Persekutuan Tanah Melayu menggariskan standard minimum bagi perpustakaan di Malaya. Antaranya:

2.1           Semua koleksi ditempat di sebuah bilik khas

2.2           Guru Perpustakaan/Pusatakawan diberi kursus perpustakaan selama setahun.

2.3           Koleksi buku purata 10 judul bagi  1 pelajar.

2.4           2 hingga 3 naskhah akhbar. 

Pada tahun 1962, Kementerian Pelajaran ( Pendidikan ) memperkenalkan kursus sepenuh masa bagi guru-guru Perpustakaan ini. Pengambilan pertama melibatkan serama 13 orang guru.Pada tahun 1964, Kementerian Pelajaran ( Pendidikan ) menerbitkan Manual Perpustakaan Sekolah ( “School Library Manual”) yang disediakan oleh Margeret Walker.Pada tahun 1965, TV Pendidikan telah memulakan satu program perintis bagi Sains Am (General Science) yang diterbitkan di bawah Kementerian Penerangan bersama Kementerian Pelajaran. Pada tahun 1966 pula, projek kedua melibatkan bidang Biologi ( Kajihayat).           

Pada tahun 1967, Perpustakaan Sekolah diletakkan di bawah pengurusan Biro Buku Teks di Kementerian Pendidikan.           

Pada tahun 1974, pengurusan Perpustakaan Sekolah diserahkan pula kepada Perkhidmatan Perpustakaan Sekolah, Pengurusan Sekolah Kementerian Pelajaran.           

Pada 1 Mac 1983, Kementerian Pendidikan mengarahkan semua sekolah menggunakan istilah Pusat Sumber Sekolah bagi menggantikan istilah Perpustakaan Sekolah. Pusat Sumber Sekolah dapat memberi gambaran yang lebih tepat kerana Pusat Sumber Sekolah mempunyai koleksi bahan cetak dan bahan bukan cetak.           

Pada tahun 1983 juga, diwujudkan Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN). Empat buah negeri telah dipilih iaitu Negeri Kedah, Pahang, Kelantan dan Terengganu. Negeri yang tiada mempunyai PSPN, Unit Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri menjalankan peranan yang sama.           

Unit Teknologi Pendidikan ini akhirnya dinaiktarafkan kepada Pusat Sumber Pendidikan Negeri pada tahun 1997. 

3.0     FALSAFAH PUSAT SUMBER SEKOLAH

PSS adalah satu sistem yang hidup yang menekankan aktiviti dan perancangan tersusun dalam erti kata ia bukannya koleksi atau tempat menyimpan alat dan bahan tetapi satu jalinan aktiviti pengajaran-pembelajaran yang aktif dan praktik melalui penggunaan deria-deria dan anggota. Ini bererti proses pengajaran-pembelajaran berlaku dengan seronok dan berkesan yang berakhir dengan “Peningkatan pembelajaran tanpa tungkus lumus pengajaran”.                       

Daripada falsafah di atas, butir-butir takrifan berikut perlu dihayati:

3.1        PSS merupakan tempat aktiviti akademik yang melibatkan pengalaman    praktik guru dan juga murid.

3.2        Ia adalah satu sistem atau pusat perkhidmatan untuk menolong     
              pencapaian matlamat kurikulum.

3.3        Himpunan atau koleksi alatan dan bahan adalah hanya satu kaedah, sedangkan matlamat sebenarnya ialah aktiviti yang dinamis. 

4        DEFINISI PUSAT SUMBER SEKOLAH (PSS)

4.1  PSS sebagai satu tempat terkumpulnya berbagai alat dan bahan media pendidikan yang telah dikelas, dikatalog dan disusun-atur untuk memudahkan pengguna di samping merupakan satu kemudahan di mana guru dapat berkumpul, berunding sesama sendiri, memilih, merencana, menerbit dan seterusnya menggunakan alat dan bahan pengajaran dengan pertimbangan untuk menambah kecekapan ikhtisas guru demi meningkatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran.

-Yusuf Hashim-Ke Arah Mengintergrasikan Perpustakaan Sekolah ke PSS

4.2  Menyimpan dan memberi perkhidmatan mengenai berbagai sumber pengajaran pemelajaran. Menyimpan rekod-rekod bahan. Memberi perkhidmatan maklumat mengenai bahan dan organisasi. Mempunyai ruang-ruang kegiatan. Terletak berhampiran dengan semua tempat belajar yang lain.

-RPA Adwards-Resources In Schools

4.3  PSS merupakan satu sistem perkhidmatan yang membolehkan semua pihak/pengguna mencapai matlamat pengajiannya. Ia lebih merupakan punca segala aktiviti ke arah tercapainya matlamat pendidikan yang berkesan dan bermutu.

-Daud Hj. Mohd.Noor- Mengenai dan Memahami PSS Anda

4.4  PSS adalah satu tempat di mana guru-guru dengan bimbingan ahli-ahli perunding, pakar-pakar/kakitangan sumber kesemuanya sama-sama merencana, membina dan mengeluarkan bahan-bahan kurikulum, menggunakan dapatan-dapatan penyelidikan dan menyedia/menerima pendidikan dalam perkhidmatan dengan pertimbangan untuk menambah lagi iktisas guru-guru bagi memenuhi keperluan pendidikan murid mereka.

-Dr.Wan Zahid Nordin- PSS Satu Tinjauan Konsep

4.5  PSS ialah pusat yang mengumpul ,menyebarkan berbagai maklumat dalam beberapa bilik/bangunan yang diuruskan secara sistematik oleh kakitangan media yang terlatih untuk membina berbagai perkhidmatan bagi mempertingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran.

-Kasim Abbas- Pusat Sumber Sekolah – Struktur dan Organisasi. 

5        KONSEP  PUSAT SUMBER SEKOLAH

Ciri-ciri yang terdapat di dalam definisi PSS di atas, kita boleh mengkonsepsikan bahawa PSS yang unggul mempunyai aspek-aspek yang berikut :

5.1  Kemudahan fizikal

5.2  Koleksi berbagai jenis bahan(cetak dan bukan cetak)

5.3  Pengurusan yang teratur

5.4  Kakitangan media yang terlatih

5.5  Menawarkan berbagai jenis perkhidmatan

5.6  Ada matlamat dan objektif 

4.1.1      Aspek Kemudahan Fizikal

Untuk PSS beroperasi, kemudahan fizikal atau tempat amat mustahak. Kemudahan fizikal boleh dalam bentuk satu bangunan khas, satu blok bangunan, beberapa bilik, satu bilik sahaja ataupun hanya merupakan sudut-sudut di dalam bilik darjah. Ketentuan ini bergantung kepada kemampuan sekolah masing-masing. 

4.1.2        Koleksi Bahan

Koleksi bahan buku dan bukan buku yang boleh membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran sama ada bagi keperluan guru atau murid. 

4.1.3        Aspek Pengurusan Yang Teratur

PSS mesti diurus secara sistematik dengan menggunakan sistem Dewey. Bagi memastikan pengurusan berjalan lancar, Jawatankuasa Induk PSS yang dipengerusikan oleh Pengetua/Guru Besar mestilah ditubuhkan. Jawatankuasa ini hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya 3 kali setahun. 

4.1.4        Aspek Kakitangan Media Terlatih

Kakitangan yang menguruskan PSS mestilah telah menjalani kursus khas yang dianjurkan oleh agensi yang bertanggungjawab. Contohnya: 

i.                     Ijazah Sains Perpustakaan/ Kajian maklumat

ii.                   Kursus Sains Perpustakaan 1 tahun MPIK

iii.                  Kursus Pengurusan Sumber 1 tahun IPDA

iv.                 Kursus Pengurusan Pusat Sumber 3 bulan/1 bulan IAB

v.                  Kursus Asas Pengurusan Pusat Sumber 35 jam anjuran BTP/ JPN/PSPN/PKG 

4.1.5        Aspek Jenis Perkhidmatan

Perkhidmatan yang disediakan oleh PSS adalah bergantung kepada keperluan, kemampuan kewangan dan fizikal serta tenaga mahir yang ada di sekolah. Walau bagaimanapun tiga perkhidmatan asas berikut perlu diadakan, iaitu:

i.                     Perkhidmatan perpustakaan

ii.                   Perkhidmatan radio/TVP/bilik tayang

iii.                  Perkhidmatan Bahan bantu mengajar (BBM)

Sekolah yang mampu boleh menyediakan perkhidmatan yang lain seperti: 

i.                     Perkhidmatan rakaman – studio

ii.                   Perkhidmatan fotografi

iii.                  Perkhidmatan percetakan

iv.                 Perkhidmatan internet

v.                  Dan lain-lain. 

4.1.6      Matlamat dan Objektif Matlamat              

i.                    Mempertingkatkan mutu pendidikan di Sekolah

ii.                  Membantu mempertingkatkan profesionalisme guru-guru agar lebih berilmu, dinamis, kreatif dan inovatif.

iii.                Membentuk golongan pelajar yang berilmu, dinamis, kreatif dan berdisiplin serta mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.

Objektif

i.                  Menyediakan kemudahan alat dan bahan (perkakasan dan perisian) untuk membantu guru dan
                    pelajar melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. 

ii.                 Menyediakan bahan-bahan yang sesuai bagi memupuk minat membaca dan belajar sendiri di kalangan pelajar. 

iii.                Mewujudkan satu iklim atau suasana yang boleh menggalakkan perubahan sikap di kalangan guru dan murid
                   dari segi kaedah pengajaran yang berbagai dan aktiviti pembelajaran yang berpusatkan pelajar. 

iv.               Meningkatkan mutu pengajaran guru dan taraf pencapaian pelajar. 

6        FUNGSI PUSAT SUMBER SEKOLAH 

6.1  Mengumpul atau memperoleh bahan koleksi daripada berbagai jenis dan bentuk yang difikirkan sesuai untuk pembelajaran,sama ada didapati secara percuma, dibeli atau dibekalkan oleh pihak tertentu. 

6.2  Menghasil atau mengeluarkan bahan pembelajaran sendiri sama ada secara individu atau kumpulan daripada bahan-bahan yang dibeli atau barangan terpakai. 

6.3  Mengorganisasi atau menyusun bahan-bahan secara sistematik. 

6.4  Mengedar atau menyebarkan maklumat mengenai bahan yang terdapat di PSS supaya dapat digunakan secara maksimum oleh semua pelajar dan guru. 

6.5  Memberi panduan, bimbingan dan nasihat kepada pengguna mengenai perkhidmatan yang ditawarkan dan lokasi bahan atau alatan. 

7        PERANAN PUSAT SUMBER SEKOLAH

7.1  Sebagai pusat ilmu iaitu mempunyai perbendaharaan ilmu yang banyak. 

7.2  Pusat pembelajaran iaitu melalui pelbagai sumber dan perkhidmatan yang disediakan. 

7.3  Pusat pengajaran iaitu tempat untuk guru mengajar dengan berkesan melalui kemudahan canggih yang disediakan. 

7.4  Pusat profesional iaitu melalui latihan dalaman atau perbincangan kumpulan. Keempat-empat peranan Pusat Sumber ini berkait rapat dengan fungsi utama Pusat Sumber, iaitu pengumpulan,penyebaran,penyusunan dan penggunaan atau penyebaran maklumat.  

8        PUSAT SUMBER ELEKTRONIK

Koleksi PSS bukan hanya terhad kepada bahan cetak,audio dan video sahaja, tetapi dalam bentuk cakera liut dan cakera padat. Dengan perkembangan teknologi terkini di Pusat Sumber, membolehkan penggunannya mendapatkan maklumat yang luas dari seluruh dunia melalui jaring dan internet.             

Apabila Pusat Sumber dapat menyediakan bahan dalam bentuk teks dan elektronik serta dalam masa yang sama menyediakan kemudahan bagi mencapai maklumat dari luar ruangnya melalui jaringan telekomunikasi komputer, maka Pusat Sumber itu dapat dikenali sebagai Pusat Sumber Elektronik ( Saidina Omar, 1996).  Biasanya ciri-ciri penting PSE ialah penggunaan meluas akan alat elektronik di dalam penyimpanan, pencarian kembali dan penyebaran maklumat. Manakala Dowlin (Kenneth Dowlin,1984) menghuraikan ciri-ciri Pusat Sumber Elektronik seperti berikut: 

8.1  Menguruskan bahan-bahan dengan menggunakan komputer;

8.2  Berupaya menemukan pencari maklumat dengan maklumat itu sendiri secara elektronik, dan

8.3  Keupayaan untuk menyimpan,mengurus dan menyebarkan maklumat kepada pengguna secara elektronik. 

Ciri-ciri tersebut jelas membayangkan bahawa PSE itu, adalah merupakan satu organisasi maklumat yang menggabungkan penggunaan alat-alat elektronik di dalam perkhidmatannya. Kejelasan ciri-ciri Pse dapat terangkum dalam definisi “Perpustakaan digital” yang diberikan oleh Henry M.Gladney (1994) sebagai: 

A Digital Library is an assemblage of digital computing, storage and comminications machinery together with the content and software needed to reproduce, emulate and extend the services provided by conventional libraries based on paper and ather material means of collecting, cataloging, finding, and disseminating information. A full services digital library must accomplish all essential services of tradisional libraries and also exploit the well-known advantages of digital storage, searching and communication”. 

8.0     FALSAFAH PUSAT SUMBER SEKOLAH

PSS adalah satu sistem yang hidup yang menekankan aktiviti dan perancangan tersusun dalam erti kata ia bukannya koleksi atau tempat menyimpan alat dan bahan tetapi satu jalinan aktiviti pengajaran-pembelajaran yang aktif dan praktik melalui penggunaan deria-deria dan anggota. Ini bererti proses pengajaran-pembelajaran berlaku dengan seronok dan berkesan yang berakhir dengan “Peningkatan pembelajaran tanpa tungkus lumus pengajaran”.                        

Daripada falsafah di atas, butir-butir takrifan berikut perlu dihayati:

8.4  PSS merupakan tempat aktiviti akademik yang melibatkan pengalaman praktik guru dan juga murid. 

8.5  Ia adalah satu sistem atau pusat perkhidmatan untuk menolong pencapaian matlamat kurikulum. 

8.6  Himpunan atau koleksi alatan dan bahan adalah hanya satu kaedah, sedangkan matlamat sebenarnya ialah aktiviti yang dinamis. 

8.7  Untuk menjadikannya satu tumpuan aktiviti, yakni sebagai nadi pengajaran dan pembelajaran, “Semangat PSS” perlu dipupuk di kalangan guru dan pelajar.

7 thoughts on “Apa Pusat Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *