SEJARAH DAN KEPENTINGAN

SEJARAH

Konsep Kajian Tindakan berasal daripada usaha seorang ahli psikologi sosial yang bernama Kurt Lewin pada tahun 1946. Beliau mulai menggunakan pendekatan Kajian Tindakan selepas Perang Dunia Kedua dalam usaha menyelesaikan pelbagai masalah dalam komuniti dan mengutamakan dua idea Kajian Tindakan yang pentingiaitu:

· Keputusan kumpulan
· Komitmen kepada peningkatan kerja.

Kedua-dua idea ini merupakan asas pendekatan Kajian Tindakan yang menegaskan usaha kolaboratif atau usaha sama kumpulan dan meningkatkan lagi mutu prestasi kerja (Kemmis dan McTaggart:1988)

Pada tahun 1953, idea Lewin diperkembangkan oleh Stephen Corey di Teachers College, Columbia University, New York sebagai pendekatan penyelidikan yang diselenggarakan oleh guru-guru di sekolah.

Manakala John Elliot (1976) dan rakan-rakannya menggunakan kaedah ini dalam Ford Teaching Project di United Kingdom sebagai pendekatan membantu guru mengembangkan usaha inkuiri dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Di Eropah, Kajian Tindakan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha perubahan dan peningkatan mutu pendidikan di sekolah.

Kemmis dan McTaggart telah mengembangkan Kajian Tindakan di Australia sebagai alat impirikal dan sistematik untuk meningkatkan prestasi guru di sekolah (Kemmis dan McTaggart:1988).

KEPENTINGAN

1.      Guru yang menjalankan kajian tindakan akan mendapat sumber maklumat penting untuk memahami amalan pengajaran guru, amalan pembelajaran murid, keadaan murid, suasana dalam bilik darjah dan sebagainya

2.      Guru dapat merancang dan menyediakan bahan pengajaran  berasaskan kepada huraian mata pelajaran dengan lebih tepat dan berkesan

3.      Dapat mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran, memudahkan pencapaian objektif dan dapat pula memahami, mengubah dan memperbaiki amalan sendiri

4.      Guru dapat meningkatkan penggunaan bahan dan membentuk jalinan kerja yang lebih aktif dan efektif  

5.      Dapat menyediakan guru sebagai penyelidik yang  kritikal, kaya dengan idea baru, sanggup menerima perubahan dan berupaya membuat penilaian terhadap kurikulum dan kokurikulum

6.      Membentuk budaya penyelidikan sebagai asas dalam membuat sebarang perancangan untuk tindakan

7.      Merapatkan perhubungan di antara guru yang terlibat melalui kerjasama secara kolaboratif.

8.      Membantu guru-guru melakukan penambahbaikan dalam amalan proses pengajaran dan pembelajaran

9.      Melahirkan guru yang kreatif dan inovatif. Guru yang menjalankan kajian tindakan akan berusaha untuk menghasilkan kaedah dan pendekatan pengajaran dan membina bahan inovasi yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran

10.  Melahirkan guru yang sentiasa mengikuti arus perubahan pendidikan berasaskan kepada kehendak Kementerian Pelajaran.

2 thoughts on “SEJARAH DAN KEPENTINGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *