Larangan Berbuat Syirik

“ Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit dalam dada serta menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman” (Surah Yunus Ayat 57). 

Pendahuluan:Dengan rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang dengan limpahan rahmat, taufik dan hidayat, maka risalah ini dapatlah diedarkan buat tatapan para jemaah kaum muslimin sekalian. Silalah dapatkan satu atau beberapa salinan untuk sahabat-sahabat serta keluarga anda yang tidak berkesempatan hadir ke masjid ini.

Dalam 10 siri mulai kali ini, kita akan cuba meneliti 10 wasiat Allah SWT yang terkandung dalam Al-Quranul karim.  Wasiat-wasiat yang dimaksudkan ini telah banyak berlaku kepincangan dalam masyarakat kita hari ini.  

Wasiat Pertama: LARANGAN BERBUAT SYIRIK (MENYEKUTUKAN ALLAH)            

Inilah merupakan wasiat yang pertama, di mana larangan berbuat syirik adalah merupakan ajaran yang paling utama untuk seluruh makhluk Allah, iaitu mengesakanNYa dalam penghidupan mahupun peribadatan disertai dengan iktikad bahawasanya Allah itu Maha Esa, baik ZatNya, SifatNYa mahupun Af’alNya.Allah Taala berfirman di dalam Al-Quran:
            “Al-Quran ini adalah penjelasan yang cukup bagi manusia dan supaya mereka diberi peringatan dengan dia dan supaya mereka mengetahui bahawasanya Dia adalah Tuhan yang Maha Esa” (Surah Ibrahim : 52).            

Tiada suatu hari yang memancarkan sinar fajarnya, melainkan terbukalah ilmu pengetahuan yang memperkuat, bahawa Islam itu adalah benar dan bahawa Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w itupun benar, yang tidak dapat diragukan lagi kebenarannya. Allah Taala telah melarang kita daripada mempercayai kuasa selain daripada kuasa Allah Taala sebagaimana dalam firmanNya:             

“ Janganlah kamu adakan tuhan yang lain di samping Allah agar kamu tidak menjadi tercela dan tidak ditinggaklan (Allah). Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain daripadaNYa”. (Surah Al-Isra’ : 22-23)            

Banyak amalan masyarakat kita hari ini sama ada yang disedari atau tidak amat kita takuti  boleh membawa  kepada syirik, antaranya ialah: 

1.         Mempercayai ada kuasa lebih daripada kuasa Allah

2.       Memohon bantuan atau pertolongan untuk mencapai hajat selain daripada Allah SWT;

3.       Memuja kubur, jin, syaitan dan sebagainya

4.       Menganggap rezeki yang diperolehinya atas kebolehannya semata-mata

5.       Mempercayai kuasa selain Allah  menyembuhkan penyakit dan memanjangkan umur;

6.       Tenung nasib; Serta banyak lagi contoh yang tidak dapat disebutkan di dalam ruangan yang terbatas ini.  

Saudara kaum muslimin,            

Perbuatan syirik boleh menyebabkan kita menjadi kafir dan jika kita mati sebelum bertaubat, Allah SWT akan campakkan kita ke dalam api neraka buat selama-lamanya. Na uzzubillahi min zalik. Oleh itu untuk mengelakkan kita daripada bahaya syirik ini, kita perlulah memahami dengan mendalam sebab-sebab berlakunya syirik, sama ada syirik kecil atau besar. Belajarlah dari guru-guru agama atau dari mereka yang berilmu pengetahuan tentangnya. Mudah-mudahan kita akan terselamat daripada syirik yang amat berbahaya ini. 

Wallahu a’lam bissawab.

Rujukan: Al Washaayal Asyr Fil Quranil Karim; Sheikh Abdul Hamid Kusyuk                                                       

One thought on “Larangan Berbuat Syirik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *