Menulis Kertas Cadangan Kajian Tindakan

Antara perkara yang perlu ada dalam kertas cadangan ialah;
1 Nama dan alamat penuh organisasi
2 Nama atau AJK Penyelidik (Ahli Kumpulan)
3 Tajuk Kajian
4 Refleksi Masalah/Refleksi P & P yang lalu
5 Fokus Kajian/Isu keperihatinan yang dikaji
6 Objektif Kajian (am dan khusus)
7 Kumpulan Sasaran
8 Tindakan yang dicadangkan
9 Bahan dan Anggaran Kos
10 Jadual Pelaksanaan Kajian/Carta Gantt

1.Nama dan alamat penuh organisasi
Nyatakan nama dan alamat penuh organisasi tempat kajian akan dilaksanakan

2.Nama dan AJK Penyelidik (Kumpulan Penyelidik)
Nyatakan nama-nama ahli jawatankuasa penyelidik (kumpulan penyelidik) yang akan terlibat secara aktif dalam usaha menjalankan kajian tindakan di organisasi masing-masing.

3.Tajuk Kajian
Tidak boleh berbunyi negatif dan mesti ada hala tuju dalam bentuk ayat positif.

Contoh Tajuk Kajian Tindakan:
i “Meningkatkan Kemahiran Membaca Murid-Murid Tahun 4 “

i . “Meningkatkan Kemahiran Murid-Murid Tahun 2 Dalam Operasi Darab dan Bahagi”

ii . “Meningkatkan Penguasaan Konsep Pecahan Di kalangan Murid-Murid Tahun 5”

4.Refleksi Masalah/Refleksi P & P yang lalu
Maklumat ringkas yang memberi gambaran tentang latar belakang tajuk kajian yang berkaitan dengan refleksi terhadap masalah. Maklumat ini boleh berkaitan dengan tinjauan sejarah, perkembangan, isu, perubahan, keprihatinan penyelidik dan sebagainya.
Penyelidik perlu menulis refleksi dalam beberapa perenggan, menceritakan perasaan anda secara umum berkaitan sesuatu perkara/topik pengajaran atau sebarang permasalahan yang anda ingin perbaiki atau cuba selesaikan.Nyatakan tindakan atau sikap pelajar yang membawa kepada pemasalahan tersebut.

Penyelidik juga perlu mereflek tentang:-

– diri sendiri (cara pengajaran, pandangan terhadap pelajar dan perkara-perkara lain yang menjadi faktor kepada
terjadinya masalah tersebut).

Di samping itu, refleksi diri perlu menyatakan:-
– latar belakang dan pengalaman guru dalam bidang/topik yang diajar

5.Fokus Kajian/Isu keprihatinan yang dikaji
-Kenyataan atau keterangan yang menjelaskan keadaan sebenar yang ingin dikaji.
-Tuliskan dalam beberapa perenggan
-Sekiranya banyak masalah yang ditemui, memadai fokuskan kepada:-
– satu isu kecil / satu tajuk kecil dalam mata pelajaran, dan terangkan masalah yang dihadapi semasa pengoperasian, kenapa ia berlaku dan sekiranya masalah tidak diselesaikan apakah perkara-perkara yang dijangkakan berlaku

* Kalau ada tinjauan kajian / sorotan kajian lepas boleh dimasukkan di bahagian ini sebagai bahan sokongan untuk mengukuhkan fokus kajian

Contoh pernyataan masalah:
(ditulis dalam beberapa perenggan)

Contoh:

Penyelidik menghadapi masalah ramai pelajar di Tingkatan 1 sekolah ini yang tidak fasih berbahasa Melayu sewaktu berkomunikasi di dalam bilik darjah.Mereka gagal untuk membina satu ayat pun. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh tatabahasa lemah, tidak minat, kurang berkomunikasi dan sebagainya. Sekiranya masalah ini tidak diatasi, akan memberi kesan kepada sekolah iaitu kemungkinan keputusan UPSR akan merosot/ jatuh. Untuk mengatasi masalah ini penyelidik akan melaksanakan aktiviti “Kembara Bahasa”.

6. Objektif Kajian
Terdapat 2 jenis objektif kajian iaitu:
– am
– khusus

Objektif Am
Menentukan secara keseluruhan apakah tujuan kajian, dan ayat hendaklah berbentuk positif.

Contoh;

Meningkatkan kemahiran guru-guru menggunakan komputer melalui kursus-kursus yang dijalankan oleh PSPN. atau
Tujuan kajian ini ialah untuk meningkatkan kemahiran guru-guru menggunakan komputer melalui kursus-kursus yang dijalankan oleh PSPN.

Contoh objektif am:-

Meningkatkan kebolehan mengingat definisi istilah Biologi atau
Tujuan kajian ini ialah untuk meningkatkan kebolehan mengingat definisi istilah Biologi

Objektif Khusus

Ditulis seperti biasa,iaitu;
a. ———————
b. ———————
c. ———————

Objektif khusus bertujuan untuk:-
-mengubah sikap atau pembelajaran murid
-perubahan kepada sikap atau pengajaran guru
-perubahan cara guru menghadapi murid

Sambungan……
Contoh Objektif Khusus :-

1.Murid boleh mengingat definisi istilah Biologi dengan lebih cepat

2.Guru boleh mengendalikan pengoperasian TV Pendidikan dengan cara yang terancang dan sistematik dalam P & P di kelas

3.Membantu guru menguasai kemahiran menggunakan Perisian Kursus Pendidikan (PKP) dengan cara yang betul

4.Membantu guru merancang aktiviti-aktiviti P & P yang boleh menarik minat murid melalui penggunaan Pusat Sumber Sekolah yang aktif

5.Membantu guru meningkatkan minat pelajar untuk membaca dengan menggunakan perkhidmatan Pusat Sumber Sekolah

Pastikan objektif kajian boleh diukur / dinilai,dibuktikan, boleh dilaksana, relevan dan menepati / menjawab masalah yang dikaji
(mengakibatkan perubahan tingkah laku murid dan guru)

Semua objektif hendaklah diukur / dinilai semasa dan selepas menjalankan kajian supaya boleh dilihat sejauhmana objektif telah tercapai

7.Kumpulan Sasaran
Dalam penulisan kertas cadangan, perlu dinyatakan tentang kumpulan sasaran yang akan dijadikan subjek kajian

Contoh kumpulan sasaran ialah seperti:-
– kakitangan PSPN, Penyelaras PKG, Guru Pusat Sumber dan sebagainya.

Sekiranya pelajar sekolah yang dijadikan sampel kajian,langkah
yang perlu dibuat ialah:
– kecilkan skop kajian – berdasarkan kepada satu kumpulan pelajar atau satu kelas sahaja

– satu kumpulan / satu kelompok pelajar yang anda kaji dan bukan seluruh pelajar sekolah itu

Contoh:
– Pelajar Tingkatan 2 Mawar yang terdiri daripada 25 orang pelajar
– Kumpulan sasaran ialah kumpulan pelajar yang terdiri daripada 10 orang pelajar lelaki dan 10 orang pelajar perempuan

8.Tindakan yang dicadangkan

Menyatakan pendekatan yang difikirkan dapat mengatasi masalah, memberi impak atau menghasilkan penambahbaikan terhadap amalan yang selama ini dilakukan.

Tindakan yang dicadangkan boleh berbentuk sama ada dalam bentuk kaedah, langkah-langkah, aktiviti-aktiviti dan sebagainya yang difikirkan sesuai.

9.Bahan dan Anggaran Kos
– Penyelidik mestilah menyenaraikan keperluan kajian iaitu alatan atau bahan yang akan digunakan.
Contoh-contoh alatan atau bahan ialah alat tulis, buku catatan, disket, kad manila dan sebagainya.

– Anggaran kos kajian hendaklah dinyatakan secara terperinci dari segi :-

• Jumlah bahan yang diperlukan
• Harga bagi satu unit bahan
• Jumlah kos secara keseluruhan bagi tiap-tiap jenis bahan

Anggaran Perbelanjaan:

BIL JENIS ALATAN/BAHAN JUMLAH KOS
01 Kertas A4 20 rim x RM5.00 RM100.00
02 Marker Pen 10 set x RM6.00 RM 60.00
03 Disket 5 keping x RM4.00 RM 20.00
04 Dakwat Printer 2 x RM95.00 RM190.00
05 Kad Manila 40 x RM1.00 RM 40.00
06 Gunting 5 x RM4.00 RM 20.00
07 Buku Nota Guru 3 x RM4.00 RM 12.00
JUMLAH RM442.00

10. Jadual Pelaksanaan Kajian/Carta Gantt
Dalam kertas cadangan kajian elok dinyatakan perancangan jadual masa yang diperuntukkan untuk melaksanakan kajian.

-Tujuannya ialah untuk merancang kajian dengan lebih sistematik dan dalam tempoh masa yang tertentu mengikut kesesuaian.
(sekiranya kajian dilakukan di tempat kerja masing-masing)

-Tujuannya ialah untuk merancang kajian dengan mengambil kira tempoh masa pengajaran di sekolah dan kesesuaian masa dengan takwim tahunan atau semester di sekolah.
(sekiranya kajian dilakukan melibatkan pihak sekolah)
Contoh Jadual Pelaksanaan Kajian

BIL AKTIVITI TARIKH PELAKSANAAN
01 Menulis kertas cadangan kajian 10 Januari
02 Merancang tindakan 11 Januari
03 Melaksanakan tindakan – 1 aktiviti 13 Januari
04 Refleksi – membincangkan masalah yang timbul dlm tindakan 1 14 Januari
05 Melaksanakan tindakan – aktiviti 2 15 Januari
06 Refleksi – membincangkan masalah yang timbul dlm tindakan 2 16 Januari
07 Melaksanakan tindakan 3 – aktiviti 3 17 Januari
08 Refleksi – membincangkan masalah yang timbul dlm tindakan 3 18 Januari
09 Melaksanakan tindakan 4 – aktiviti 4 19 Januari
10 Refleksi – membincangkan masalah yang timbul dlm tindakan 4 20 Januari
11 Penilaian ( Ujian utk mengesan pencapaian murid) 21 Januari
12 Refleksi kajian – untuk keseluruhan kajian 22 Januari
13 Menulis laporan kajian 23 Januari

Seminar Aliran Terkini Dalam Pengajaran Sumber & Teknologi Maklumat

 

Oleh : Hazimah Hj Samin,UKM Selangor. (Hakcipta terpelihara – Penulis)
KAJIAN-KAJIAN TERHADAP PENGGUNAAN ICT DI MALAYSIA
PENGENALAN
Pengenalan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada 1997 yang lalu telah memperkenalkan kita kepada tujuh aplikasi perdana yang perlu digapai menjelang tahun 2020 merupakan satu anjakan paradigma dalam melahirkan generasi yang bermaklumat dan berpengetahuan tinggi dalam teknologi maklumat. Fenomena ini mengharuskan pelajar berupaya memandu proses pembelajaran mereka dalam persekitaran pembelajaran elektronik manakala pendidik perlu bersiap siaga menyatupadukan penggunaan teknologi maklumat dalam strategi pengajaran.
Di dalam tugasan ini, lima kajian tempatan telah dipilih bagi menjelaskan beberapa persoalan utama yang perlu diperbincangkan. Ini secara tidak langsung akan dapat memberi maklumat kepada kita, masyarakat dan negara akan kepentingan-kepentingan ICT (Information Communication Technology) terutamanya dalam sector pendidikan, iaitu sektor yang penting dalam menjana generasi ke arah penggunaan ICT secara keseluruhannya.
Konsep ICT saling berkaitan dengan IT. Perkembangan awal yang berlaku terhadap IT telah mencetuskan konsep ICT . Apa yang penting ICT dan IT adalah berkaitan dengan maksud maklumat dan teknologi dalam bidang komunikasi terkini yang banyak digunakan dalam pelbagai bidang pengajaran.Turpin (1999) menyatakan bahawa ICT adalah perluasan atau pendalaman pengertian daripada IT iaitu Information and Communication Technology.
Penggunaan serta pemahaman ICT harus dipandang dari sudut yang positif oleh semua golongan. Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr.Mahathir Mohamd turut menyatakan keyakinan bahawa Malaysia mampu menjadi peneraju dalam bidang ICT jika rakyat berganding bahu menjayakan matlamat tersebut. Beliau juga menegaskan bahawa jika semua pihak melibatkan diri menguasai ICT , negara tidak akan ketinggalan malah menjadi lebih kompetatif di arena antarabangsa (Utusan Malaysia, 24 April 2002).

Kesedaran dan Kesanggupan Penggunaan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT) Dalam Pengurusan Pendidikan di Malaysia.
Objektif
Kajian ini dijalankan untuk melihat penggunaan ICT dalam pendidikan secara amnya dan pengurusan pendidikan secara khusus. Selain tujuan di atas terdapat dua objektif lain yang ingin dikaji iaitu;
1.1 Untuk mengkaji kesedaran guru besar dan pengetua berkenaan dengan penggunaan ICT dalam pendidikan dan pengurusan pendidikan.
1.2 Untuk mengkaji kesanggupan penggunaan ICT dalam pendidikan dan pengurusan pendidikan oleh guru besar dan pengetua.
Metodologi
Kajian yang dijalankan adalah berbentuk kajian kuantitatif secara deskriptif. Statistik deskriptif digunakan untuk mendapatkan kekerapan, peratus, min, sisihan lazim, ujian-t dam korelasi untuk menjawab objektif kajian dalam kertas kerja ini.
Sampel
Kajian ini yang melibatkan populasi 350 pengetua dan guru besar yang menghadiri Seminar Nasional Ke-9 di institut Aminuddin Baki. Pemilihan berkelompok digunakan kerana populasi kajian ini terdiri dari pengetua dan guru besar yang dating dari pelbagai tempat untuk menghadiri seminar tersebut.
Instrumen
Kajian ini menggunakan instrumen soal selidik yang dibina sendiri oleh penyelidik. Soal selidik ini dipecahkan kepada 3 bahagian iaitu;
i. Bahagian A – Butir-butir diri dan latar belakang responden
ii. Bahagian B – kesedaran pentadbir pendidikan terhadap penggunaan dan potensi teknologi maklumat dan komunikasi.
iii. Bahagian C – Kesanggupan pentadbir pendidikan untuk menggunakan ICT dalam proses pendidikan dan pengurusan pendidikan.
Dapatan serta cadangan
i. Butir-butir diri dan latar belakang responden
Dapatan menunjukkan bahawa 64.4% daripada responden berumur di antara 46 hingga 55 tahun. 70% daripada pengetua dan guru besar yang ditinjau mempunyai pengalaman 1 hingga 5 tahun dalam jawatan mereka sekarang dan 43% daripada responden dating dari sekolah yang mempunyai makmal komputer. Manakala 24.1% menyatakan sekolah mereka mempunyai sistem jaringan.
ii. Kesedaran pentadbir pendidikan terhadap penggunaan dan potensi teknologi maklumat dan komunikasi.
Dapatan menunjukkan bahawa 79.3% sample pernah mendengar istilah ICT manakala hanya 20.7% belum pernah mendengarnya. Kebanyakkan pengurus juga mempunyai sedikit pengetahuan tentang ICT tetapi hanya 57.5% daripadanya faham akan makna ICT .
iii. Kesanggupan pentadbir pendidikan untuk menggunakan ICT dalam proses pendidikan dan pengurusan pendidikan.
Sebanyak 89.7% daripada pengurus pendidikan menyatakan kesediaan mereka menggunakan ICT di sekolah mereka. Sebanyak 93.1% daripada mereka memperoleh maklumat berdasarkan penggunaan ICT, 79.3% akan menjadikan sekolah mereka sebagai sekolah bestari yang menggunakan ICT dalam pengurusan pendidikan. Selain itu, 81.6% akan memastikan guru-guru mereka menggunakan internet dan multimedia dalam proses pengajaran dan 80.5% akan memastikan murid-murid menggunakan internet dan multimedia dalam proses pembelajaran mereka.
SUMBER
Foo Say Fooi (2000). Kesedaran dan Kesanggupan Penggunaan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT) Dalam Pengurusan Pendidikan di Malaysia. International Conference Proceeding Education and ICT in the New Millennium. Universiti Putra Malaysia.

Tahap Penggunaan Komputer Dalam Proses Penghasilan Bahan Pengajaran. Satu Tinjauan Di Sekolah Menengah Daerah Hulu Langat.
Objektif
Kajian ini dijalankan untuk melihat tahap sejauhmanakah guru-guru sekolah menengah daerah Hulu Langat menggunakan komputer dalam proses penghasilan bahan-bahan pengajaran
1.1 Untuk melihat jenis atau bentuk bahan pengajaran yang sering dihasilkan oleh guru sekolah dengan menggunakan komputer
1.2 Untuk melihat perisian yang biasa digunakan oleh guru untuk menghasilkan bahan pengajaran
1.3 Untuk mengenalpasti guru-guru mata pelajaran yang sering menggunakan komputer dalam penghasilan bahan pengajaran
1.4 Untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh guru dalam menghasilkan bahan pengajaran dengan berbantu komputer
Metodologi
Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan dengan menggunakan satu set soal selidik untuk mengumpul maklumat kajian. Kaedah tinjauan digunakan kerana sesuai untuk menentukan tahap pengetahuan komputer dan penghasilan bahan pengajaran dan pembelajaran.
Sampel
Kajian ini yang melibatkan empat buah sekolah menengah daerah Hulu Langat. Pengkaji telah memilih 100 orang guru siswazah dan bukan siswazah di mana 48 responden adalah guru lelaki manakala 52 lagi adalah guru perempuan.
Instrumen
Kajian ini menggunakan instrumen soal selidik yang diubahsuai dari set soalan Ian. Robertson (1995) dan juga penyelidik lain seperti Razali Hassan (1997) dan Mackenzie (1993).
Soal selidik yang mengandungi 25 soalan ini dipecahkan kepada 3 bahagian iaitu;
i. Bahagian A – Butir-butir diri dan latar belakang guru
ii. Bahagian B – Sikap dan pandangan guru

Kajian Rintis
Kajian rintis bagi mendapatkan kebolehpercayaan item dijalankan di SMK Jalan Tiga Bandar Baru Bangi. Darjah kebolehpercayaan terhadap item adalah 0.9571.
Dapatan serta cadangan
ii. Jenis atau bentuk pengajaran yang dihasilkan
Dapatan menunjukkan 80% yang dihasilkan dalam bentuk bercetak seperti nota (65%), lembaran kerja (57%) dan mencetak transperansi (10%). Didapati juga hanya 10% sahaja menghasilkan dalam bentuk perisian dan 10% dalam bentuk pengajaran dan pembelajaran.
iii. Perisian yang biasa digunakan oleh guru sekolah untuk menghasilkan bahan P & P
Dapatan menunjukkan 50% kerap menggunakan pemprosesan perkataan. 5% menggunakan hamparan elektrik (Lotus, Excel) manakala 3% menggunakan pengkalan data (Dbase, Access)
Kajian juga mendapati hanya 2% menggunakan komputer sebagai media persembahan pengajaran dan pembelajaran dan 1% pemprograman.
iv. Guru-guru mata pelajaran yang sering menggunakan komputer untuk menghasilkan bahan pengajaran
Dapatan menunjukkan guru mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah merupakan di antara guru yang sering menggunakan komputer untuk menghasilkan bahan pengajaran.
v. Mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh guru dalam menghasilkan bahan pengajaran
Kajian menunjukkan kurang mahir dan kekurangan komputer di sekolah merupakan maslah utama yang dihadapi oleh guru dalam menghasilkan bahan pengajaran. Selain itu masa dan kos juga merupakan masalah utama guru.
SUMBER :
Norida Suhadi (2001). Tahap Penggunaan Komputer Dalam Proses Penghasilan Bahan Pengajaran. Satu Tinjauan Di Sekolah Menengah Daerah Hulu Langat. Tesis Sarjana Universiti Putra Malaysia.

Kefahaman terhadap konsep penggunaan ICT Di dalam Bilik Darjah
Objektif
Kajian ini dijalankan untuk melihat;
a. Tahap kefahaman guru dan pelajar terhadap konsep ICT sebagai isu utama di Malaysia
b. Kedudukan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah
c. Melihat pengaruh ICT terhadap nilai murni di kalangan guru dan pelajar.
Metodologi
Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan dengan menggunakan satu set soal selidik untuk mendapatkan pandangan berkaitan dengan kefahaman konsep ICT, kemahiran menggunakan ICT, peranan ICT terhadap keseimbangan pelajar dan kemudahan ICT di sekolah
Sampel
Kajian ini yang melibatkan sampel pelajar dan guru tingkatan enam iaitu Sekolah Menengah Batang Padang, Perak dan Sekolah Menengah Hulu Selangor yang menggunakan komputer dalam pengajaran.
Instrumen
Kajian ini menggunakan instrumen soal selidik bagi mendapatkan jawapan terhadap objektif kajian.
Dapatan serta cadangan
i. Kefahaman Konsep ICT
Dapatan menunjukkan 52.4% responden tidak memahami konsep ICT semasa berada di sekolah manakala hanya 47.6% memahami apa yang dikatan ICT. Kebanyakkan pelajar setuju bahawa ICT penting dalam pengajaran (87.7%) tetapi tidak setuju bahawa ICT boleh beri kefahaman segera dalam pengajaran di sekolah iaitu 62.6% berbanding 37.5% bersetuju.
ii. Kemahiran menggunakan ICT
Dapatan menunjukkan 78.3% guru yang berkemahiran dalam ICT lebih positif menggunakannya daripada mereka yang tidak ada kemahiran. Mereka juga berpendapat tidak terdapat pendedahan dengan secukupnya tentang kemahiran ICT ini di sekolah iaitu 94.6%.
iii. Pengaruh ICT Terhadap Nilai Murni
Dapatan menunjukkan penggunaan ICT dapat menghabiskan sukatan pelajaran dengan cepat (59.2%), mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni (59.9%) serta boleh meningkatkan intelek pelajar (89.1%)
Cadangan
i. Peruntukan kerajaan
ii. Latihan kemahiran di kalangan guru perlu dimantapkan
iii. Perubahan sikap dan pemikiran guru dan pelajar serta masyarakatan terhadap penggunaan ICT .
SUMBER
Abd.Rahman Daud (2000). Kefahaman Terhadap Konsep Penggunaan ICT Di Dalam Bilik Darjah. Kertas Kerja Universiti Perguruan Sultan Idris.

Penggunaan Perisian Multimedia Dalam Pengajaran Guru Di Daerah Jelebu.
Objektif
i. Mengumpulkan maklumat tentang status penggunaan program multimedia dalam pengajaran di kalangan guru sekolah menengah, daerah Jelebu dan;
iii. Mengenalpasti keberkesanan program multimedia dalam meningkat mutu pengajaran dan pembelajaran
Persoalan Kajian
Berdasarkan kepada tujuan kajian di atas, persoalan-persoalan bagi kajian ini adalah seperti berikut:
i. Apakah jenis perisian multimedia yang digunakan oleh guru dalam proses pengajaran mereka ?
ii. Sejauh manakah kekerapan guru-guru menggunakan perisian multimedia dalam proses pengajaran mereka?
iii. Apakah masalah yang dihadapi oleh guru semasa menggunakan perisian multimedia dalam proses pengajaran?
iv. Apakah persepsi guru terhadap peranan perisian multimedia dalam proses pengajaran?
v. Adakah terdapat perbezaan kekerapan penggunaaan perisian multimedia di antara guru yang berlainan latar belakang?
Metodologi
Dalam kajian ini, pengkaji akan menggunakan kaedah tinjauan yang menggunakan soal selidik untuk mendapatkan data kajian berkaitan dengan tahap penggunaan perisian multimedia dalam pengajaran, persepsi guru terhadap multimedia, pengetahuan dan kemahiran guru tentang beberapa aspek penggunaan komputer dalam pengajaran dan kemudahan yang terdapat di kawasan kajian.
Sampel
Sampel kajian diambil dari 40% iaitu 119 orang daripada 298 guru sekolah menengah daerah Jelebu. Menurut Alreck dan Sekkle (1985) saiz sample yang perlu diambil ialah sekurang-kurangnya 10 % daripada populasi. Ini bermakna 119 orang merupakan jumlah yang sesuai dengan sampel kajian.
Responden yang dipilih mempunyai latar belakang latihan perguruan yang berbeza iaitu sebahagiannya terdiri daripada guru-guru berijazah dan sebahagian lagi adalah guru-guru lepasan maktab perguruan. Sekolah-sekolah yang dipilih sebagai tempat kajian ialah seperti di bawah:
1. SMK Pertang
2. SMK Teriang Hilir
3. SMK Simpang Gelami
4. SMK Datuk Undang Musa Al-Haj
5. SMK Undang Jelebu.
Instrumen
Penyelidik juga telah menyediakan matrik untuk memudahkan penyusunan item-item instrumen kajian. Penyelidik menggunakan kaedah soal selidik untuk mengumpul data dan maklumat daripada responden. Item-item yang terkandung dalam instrument kajian diambil dan diubahsuai dari kajian-kajian (Shaharudin Ishak, (1999); Zainal Abidin Said, 1999 ; Zainuddin Ab.Ghani, (2001) )
Dalam kajian ini. penentuan kesesuaian soalan-soalan yang disediakan kepada responden telah dirancang dari awal dengan pembinaan kajian rintis. Kajian ini dilakukan untuk memastikan soalan yang dibina mudah, mencapai matlamat, dan tiada tanggapan yang berbeza di antara responden. Nilai Cronbach’s Alpha semasa kajian rintis adalah 0.7076 bagi Masalah Penggunaan Perisian Multimedia dan 0.8101 (Peranan Perisian Multimedia dalam Pengajaran).
Dapatan serta cadangan
i. Kekerapan Menggunakan Perisian Multimedia.
Kajian mendapati 43.7% dari responden tidak pernah menggunakan perisian multimedia di dalam pengajaran, 11.8% pernah menggunakan sekali sahaja, 16.0% pernah menggunakan perisian multimedia sebanyak dua kali, 8.4 % menggunakan perisian multimedia sebanyak 3 kali, seramai 7 orang (5.9%) menyatakan pernah menggunakan sebanyak 4 kali, seramai 7 orang (5.9%) menyatakan pernah menggunakan sebanyak 5 kali.
Dapatan menunjukkan 67 orang (56.3%) pernah menggunakan perisian multimedia dalam pengajaran berbanding hanya 52 orang (43.7%) mengatakan tidak pernah menggunakan perisian multimedia dalam pengajaran. Ini jelas menunjukkan satu gambaran yang positif tentang penggunaan perisian multimedia dalam pengajaran bahawa ramai responden berkeyakinan menggunakan perisian multimedia dalam pengajaran mereka seharian.
ii. Jenis Perisian Multimedia yang Digunakan.
Dapatan juga menunjukkan jenis perisian multimedia yang sering digunakan di dalam pengajaran adalah 16% kaedah simulasi, 34.5% menggunakan kaedah Latih Tubi, 38.7% menggunakan kaedah Tutorial, dan 18.5% menggunakan kaedah Permainan. Kajian juga menunjukkan 13.4% menggunakan kaedah penemuan jawapan dan kaedah Penyelesaian Masalah sebanyak 20.2%.
iii. Apakah masalah yang dihadapi oleh guru semasa menggunakan perisian multimedia dalam proses pengajaran?
Maklum balas responden menunjukkan bahawa perisian yang ada pada masa sekarang bersesuaian dengan kehendak-kehendak pengajaran di dalam kelas. Responden hanya memberikan maklum balas negatif atau tidak bersetuju kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan teknikal seperti pemasangan peralatan multimedia seperti LCD dan komputer yang memerlukan kemahiran dan masa yang lama. Perkara yang berkaitan dengan isi kandungan perisian, kebanyakan responden bersetuju mengatakan penyediaan perisian terutama perisian seperti yang terdapat dalam pasaran memerlukan kos yang tinggi, kemahiran dan pengetahuan luas.
Dapatan kajian menunjukkan perisian multimedia banyak membantu pengajaran guru, iaitu sebanyak 64.7% .
vi. Apakah persepsi guru terhadap peranan perisian multimedia dalam proses pengajaran?
Dapatan kajian menunjukkan perisian multimedia mampu memenuhi masa pengajaran dengan afektif, membantu guru menjalankan aktiviti dalam kelas, dapat mencapai objektif yang disasarkan, mempertingkatkan minat pelajar dan boleh dijadikan sebagai bahan rujukan yang berguna kepada guru.
CADANGAN
Beberapa cadangan akan dikemukakan berdasarkan kesimpulan dan hasil kajian yang telah dijalankan, antaranya:
1. Meneruskan projek sekolah Bestari dan projek komputer dalam pendidikan dengan menggunakan perisian multimedia ke semua sekolah sama ada sekolah bandar atau sekolah luar Bandar di samping Menyediakan dan menambah bilangan peralatan dan kemudahan yang berkaitan dengan penggunaan multimedia di dalam bilik darjah.
2. Pendedahan dan kursus-kursus yang berkaitan dengan penggunaan perisian multimedia perlu dikemaskini dan dilakukan secara menyeluruh tanpa mengira latar belakang guru. Kandungan kursus juga perlu diubahsuai sesuai dengan tuntutan dan kehendak yang diperlukan oleh guru dan pihak sekolah.
3. Guru-guru didedahkan kepada latihan berkesan tentang cara-cara menghasilkan perisian multimedia yang berkaitan dengan mata pelajaran yang diajar di dalam kelas. Ini dapat membantu pergantungan kepada perisian yang mahal seperti yang terdapat di dalam pasaran dan dapat mengelakkan isi kandungan perisian tidak menepati sukatan pelajaran
SUMBER
Sham b Ibrahim (2003). Penggunaan Perisian Multimedia Dalam Pengajaran Guru Di Daerah Jelebu. Kertas Projek Sarjana Universiti Putra Malaysia.

Penggunaan Komputer Di Kalangan Guru Kanan Sekolah Menengah Daerah Segamat : Satu Tinjauan.
Objektif
i. Mengenalpasti sama ada komputer digunakan dalam pengurusan pentadbiran guru-guru kanan sekolah menengah di daerah Segamat.
ii. Mengenalpasti tahap penggunaan komputer di kalangan guru kanan sekolah menengah daerahSegamat.
iii. Mengenalpasti sikap guru-guru kanan terhadap penggunaan komputer dalam pengurusan pentadbiran di sekolah
iv. Mengenalpasti masalah dalam penggunaan komputer bagi tujuan pengurusan di sekolah.
Metodologi
Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan dengan menggunakan satu set soal selidik untuk mengumpul maklumat kajian. Soal selidik dikendalikan dengan menghantar sendiri kepada semua pentadbir di sekolah dan diberi masa seminggu untuk menjawab soalan.
Sampel
Kajian ini yang melibatkan 19 buah sekolah menengah bantuan kerajaan di daerah Segamat. Jawatan guru kanan tersebut ialah guru kanan bidang, guru penyelaras kokurikulum, penolong kanan pentadbiran dan penolong kanan hal ehwal pelajar. Sampel kajian ini adalah keseluruhan populasi iaitu 98 orang.
Instrumen
Kajian ini menggunakan instrumen soal selidik yang telah diubahsuai dari penyelidikan Mustafa Sidi (1995) dalam kajian beliau iaitu Penggunaan Komputer Di Dalam Pentadbiran Di Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Kuantan.
Kajian Rintis
Hasil kajian rintis, kesahan kebolehpercayaan Bahagian A mendapat alpa cronbach 0.9713 manakala Bahagian B mendapat alpa cronbach 0.771.
Dapatan
i. Mengenalpasti sama ada komputer digunakan dalam pengurusan pentadbiran guru-guru kanan sekolah menengah di daerah Segamat.
Didapati 84.% mengakui menggunakan komputer dalam pentadbiran. Guru kanan HEM adalah pentadbir yang kerap menggunakan komputer manakala guru kanan bidang adalah paling rendah penggunaan komputer.
ii. Mengenalpasti tahap penggunaan komputer di kalangan guru kanan sekolah menengah daerah Segamat.
Dapatan menunjukkan penggunaan komputer untuk tujuan pengurusan kurikulum, pengurusan, pelajar dan pengurusan kokurikulum adalah sangat rendah sebaliknya banyak menggunakan komputer untuk tujuan menulis surat, laporan dan minit mesyuarat. Melalui ujian hipotesis perbezaan wujud hubungan yang signifikan dalam tahap penggunaan komputer dengan bilangan komputer di sekolah.
iii. Mengenalpasti sikap guru-guru kanan terhadap penggunaan komputer dalam pengurusan pentadbiran di sekolah
Responden bersikap positif terhadap penggunaan komputer bagi tujuan pengurusan sekolah. Ujian hipotesis menunjukkan tidak terhadap hubuingan yang signifikan antara sikap dengan jawatan terhadap penggunaan komputer.
iv. Mengenalpasti masalah dalam penggunaan komputer bagi tujuan pengurusan di sekolah.
Kajian menunjukkan tiga masalah utama iaitu kurang berkemahiran (68.1%), bilangan komputer yang tidak mencukupi (55.3%) dan perisian yang silih berganti (54.3%) merupakan masalah utama dalam penggunaan komputer ini.
CADANGAN
Dapatan analisis kajian membolehkan penyelidik mengemukan beberapa cadangan bagi mempertingkatkan penggunaan komputer dalam pengurusan sekolah. Antaranya;
i. Latihan berterusan berkaitan penggunaan komputer di kalangan guru kanan
ii. Menambah bilangan komputer yang cukup selaras dengan nisbah guru kanan di sekolah
iii. Perisian yang sesuai dengan pengurusan disertakan secara percuma bagi setiap sekolah bagi memudahkan tujuan pengurusan.
iv. Mewujudkan rangkaian pengkomputeran tempatan selaras dengan matlamat penubuhan sekolah bestari.
v. Menyediakan seorang juruteknik komputer yang bukan daripada kalangan guru bagi setiap sekolah.
SUMBER
Muriatun Bt Mohd Said (2000).. Penggunaan Komputer Di Kalangan Guru Kanan Sekolah Menengah Daerah Segamat. Tesis Universiti Malaysia Sarawak.