JANGAN TERUS MENERUS KERUGIAN

  

Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah s.w.t kerana kita termasuk dalam golongan beriman kepada Allah.Keimanan seseorang boleh berkurangan dan bertambah hasil daripada perlakuan masing-masing dalam kehidupan seharian.Oleh yang demikian kita semestinya berusaha semaksimum yang mungkin untuk meningkatkan keimanan kita dalam menambahkan kualiti ibadah kita seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Perkara pertama yang kita fokuskan di sini ialah mengenai sembahyang 5 waktu iaitu sembahyang fardhu yang dilaksanakan secara berjemaah kerana terdapat beberapa keutamaannya seperti sabda Rasulullah s.a.w. “ Solat dengan berjemaah adalah 27 kali lebih baik daripada solat bersendirian”.

            Abu Hurairah r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Solat dengan berjemaah adalah 25 kali lebih untma dari solat di rumah atau di kedai.Ini adalah kerana apabila seseorang itu telah berwudhu dengan sempurna dan berjalan ke masjid dengan niat semata-mata untuk bersembahyang, maka setiap langkah yang dilangkahinya mendapat pahala dan menghapuskan satu dosanya.Kalau dia beriktikaf pula dalam masjid selepas selesai solat, para malaikat berdoa ke hadrat Allah memohon ampun untuknya.Dan selagi dia beriktikaf di dalam masjid menunggu solat, dia terus-menerus mendapat  pahala seolah-olah dia sibuk bersolat.Sesungguhnya Allah akan memberi kepadamu selama kamu duduk dalam masjid untuk setiap nafas satu darjat di syurga dan didoakan oleh malaikat dan dicatat untuk setiap nafas 10 pahala dan dihapuskan dosa daripadamu.

            Di sini cuba kita tafsirkan sebahagian daripada hadis di atas secara matematik supaya lebih jelas maksudnya. 25 kali lebih utama bersamaan dengan 100 % bagi yang sembahyang berjemaah.Bagi yang sembahyang sendiri ertinya satu yang bersamaan 4%.Kalaulah seorang pelajar yang hanya mendapat 4% sahaja markahnya tentulah kita mengatakan pelajar ini terlalu bodoh,tetapi inilah yang telah terjadi kepada masyarakat kita sekarang hanya memadai  dengan 4 sahaja daripada seratus.Ertinya jika 5 waktu, 5 x 4 = 20 sedangkan orang yang berjemaah 5 waktu,100 x 5 = 500,ini baru untuk sehari, bahaimana kalau untuk sebulan,20 x 30 =600 berbanding 500 x 30 = 15000. Fikir-fikirkanlah berapa banyak kerugian kepada yang tidak berjemaah di masjid.Begitu juga dengan wanita-wanita yang tidak sembahyang jemaah di rumah.Kenapa kelebihan yang begitu besar yang ditawarkan Allah kepada kita tetapi kita sia-siakan begitu sahaja. Mungkin kita sudah lupa bahawa dunia ini hanya tempat persinggahan sementara mungkin 20 tahun,40 tahun,60 tahun,80 tahun selepas itu kita akan dipanggil juga ke hadrat Ilahi.

Begitulah sikap masyarakat terhadap kelebihan-kelebihan kebajikan untuk akhirat tidak diambil berat.Tetapi kalaulah angka-angka kebajikan di atas ditukarkan kepada ringgit Malaysia seorang yang melakukan kerja yang sama untuk sebulan akan mendapat RM600 dan seorang lagi pula akan mendapat RM15000.Sekiranya kerja ini ditawarkan kepada kita, sudah tentu kita sanggup melakukannya walaupun kerja itu terpaksa dilakukan sekalipun di hujung dunia.Benarlah seperti firman Allah “Tetapi kamu mengutamakan hidup di dunia,sedangkan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal”.( Al-A’laa;Ayat 16-17 ).

Ancaman Allah terhadap orang-orang yang berilmu amat berat seperti yang diterangkan oleh sebuah maksud hadis.Di dalam neraka berlaku satu letupan yang amat kuat sehingga menggegarkan penduduk neraka.Ahli neraka bergegas pergi ke tempat letupan itu berlaku didapati seorang yang pecah perutnya dan taliperutnya terburai keluar.Semuanya melihat kehiranan.Lalu seorang bertanya kepada ahli neraka yang pecah perutnya itu. “ Apakah perbuatan kamu di dunia dahulu sehingga seksaan yang begitu dahsyat menimpa kamu?”.Ia menjawab: Aku dahulu menyuruh orang ramai membuat kebaikan tetapi aku sendiri tidak melakukannya. Inilah balasan Allah terhadap perbuatan aku itu”. Tuntutan sembahyang berjemaah memang sangat kuat tuntutannya sehinggakan semasa dalam peperangan pun, Rasulullah bersama-sama dengan tenteranya menunaikan sembahyang fardhu secara berjemaah.

Sabda Nabi s.a.w. “Berjalanlah kamu ke masjid di dalam kegelapan malam, nascaya kamu diberi Allah kebajikan-kebajikan dengan setimbang berat sesuatu yang telah engkau pijak dengan kedua kakimu dari apa-apa yang engakau cintai dan benci sampai kepada 7 petala bumi”.

Sabda Nabi s.a.w: “ Manusia yang  paling cerdik ialah manusia yang banyak mengingati mati dan banyak membuat persiapan ( ibadah ) untuk hari selepas matinya..mereka itulah yang sebenar-benarnya cerdik”.

Dengan nikmat kurniaan Allah seperti mempunyai beberapa kenderaan yang selesa, pergunakanlah untuk mencari keredhaan Allah.

Firman Allah: “Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berwasiat dengan kebenaran dan kesabaran” ( Al-Ashr:Ayat 1-3 ).

Sabda Nabi Muhammad s.a.w:” Siapa yang ingin bertemu dengan Allah sebagai orang muslim, harus menjaga benar-benar sembahyang pada waktunya ketika terdengar suara azan”. Maka sesungguhnya Allah telah mensyariatkan kepada Nabi s.a.w beberapa kelakuan hidayat dan menjaga sembahyang itu termasuk sunnatulhuda iaitu kelakuan-kelakuan hidayah.Andaikan kamu sembahyang di rumah sebagai kebiasaan orang yang tidak suka berjemaah bererti kamu meninggalkan sunnah Nabimu,pasti kamu tersesat.Sungguh sahaja dahulu,pada masa Nabi tiada seorang tinggal sembahnyang berjemaah kecuali orang-orang munafik yang terang-terang nifaq. Sungguh adakalanya seorang itu dihantar ke masjid didukung oleh dua orang kanan-kirinya untuk ditegakkan di barisan saf.

Kata Imam Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin:”Termasuk orang yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan ialah orang yang tidak sembahyang subuh berjemaah di masjid”.

Cuba-cuba renung-renungkan hadis berikut: Sabda Nabi s.a.w.: “ Demi Allah yang diri Muhammad berada ditangannya,kalaulah kamu melihat apa yang kulihat kamu akan sedikit tertawa, tetapi akan banyak menangis”. Tanya mereka, apakah yang tuan lihat, wahai Rasulullah? Jawab Nabi s.a.w: “Aku melihat syurga dan neraka”.

Melalui risalah kecil ini saya mengingatkan diri saya sendiri dan menjadi saksi di akhirat kelak bahawa kaum muslimin dan muslimat telah diseur agar menunaikan sembahyang fardhu secara berjemaah. Sama-samalah kita berdoa agar Allah memberikan kekuatan untuk kita melakukan ketaatan dan meninggalkan segala larangannya.

Jangan adakan berbagai alasan akhirnya saudara tidak membuat perubahan yang positif dan melanjutkan kerugian yang telah lama ditanggung.Wallahua’lam.

  Rujukan : Ilya Ulumuddin dan  Nasihat Agama dan Wasiat Imam        

2 thoughts on “JANGAN TERUS MENERUS KERUGIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *