Laporan Bab 2 : Kajian Tindakan Keberkesanan Penggunaan TV Pendidikan Dalam P&P

BAB 2 : METODOLOGI KAJIAN

 

2.1       PENGENALAN

            Bahagian ini menghuraikan rekabentuk kajian, sasaran kajian, kaedah mengutip data dan  tinjauan awal. Selain daripada itu beberapa hasil kajian masa lalu yang dilaksanakan oleh beberapa pihak juga dikemukakan sebagai bukti tinjauan awal.

 

2. 2      REKABENTUK KAJIAN

i)          Penyelidik menggunakan kaedah pengukuran kuantitatif dan kualitatif. Laure S. & Joy. F. (1997) menyatakan gabungan dua pendekatan ini mampu meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan data penilaian. Dengan menggunakan 3 jenis instrumen iaitu borang soalselidik, skala IMMS dan soalan ujian pra dan pos, keputusan kajian dijangka akan menunjukkan keadaan sebenar senarionya. . Walau bagaimanapun keutamaan diberikan kepada kaedah soalan ujian yang dapat mengukur keberkesanan TV pendidikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara kuantitatif. Instrument kajian telah dibina oleh penyelidik dengan bimbingan pasukan penyelidik BTPN dan EPRD Pusat Kegiatan Guru Daerah Ranau.

ii)         Ujian pra digunakan untuk  mengetahui tahap pencapaian murid sebelum sesi pengajaran dijalankan. Soalan-soalan di dalam kertas ujian ini terdiri daripada 20 soalan pelbagai aras.

iii)        Ujian Pra dijalankan seminggu sebelum sesi pengajaran dan
pembelajaran sebenar. Ini penting supaya murid-murid tidak dapat mengecam sepenuhnya soalan-soalan yang sama dalam ujian pos.

iv)        Sesi pengajaran dan pembelajaran selepas ujian tidak perlu diberitahu awal. Beritahu murid sehari sebelum sesi dan tujuan serta isi kandungan dalam sesi         pengajaran dan pembelajaran juga tidak perlu disampaikan. Tujuannya supaya murid-murid tidak mengambil kesempatan untuk belajar berkaitan tajuk terlebih dahulu. Jika ini berlaku, keputusan ujian tidak dapat menggambarkan hal sebenar.          

v)         Ujian Pos pula digunakan selepas sesi pengajaran dan pembelajaran.
Isi kandungan serta soalan-soalan dalam ujian pos tidak jauh berbeza dengan soalan ujian pra. Beberapa soalan dalam ujian pos diambil terus daripada ujian pra.

 

2. 3      SASARAN  KAJIAN

i)          Sampel kajian diambil daripada 36 pelajar Tingkatan 2 SMK Kundasang. Mereka dipilih mengikut tahap prestasi dan jantina. Senarai responden adalah seperti di dalam Lampiran I : Senarai Responden / Jantina / Tahap Pencapaian (Kumpulan).

ii)         10 orang guru dan 10 orang murid yang diambil secara rawak untuk ditemuramah berkaitan dengan pendapat mereka terhadap TV Pendidikan di sekolah. Taburan respondan diperincikan dalam lampiran II (Senarai Respondan Temuramah)

iv)        Senarai nama murid diambil seramai 40 orang. Jika ada murid yang hadir dalam ujian pra tetapi tidak hadir pada ujian pos, murid ganti akan diambil. Tahap prestasi mereka hendaklah lebih kurang sama. Seboleh-bolehnya sama jantina.

 

2. 4 KAEDAH MENGUTIP DATA

·         Oleh kerana populasi kajian adalah sedikit dan skop kajian adalah kecil, maka kaedah ujian digunakan. Borang tinjauan berukuran skala (IMMS) juga digunakan untuk mengetahui tahap motivasi pelajar terhadap penggunaan  bahan siaran TV Pendidikan.

·         Data yang dikumpul akan dianalisis dengan menggunakan SPSS 8.0. Antara statistik yang digunakan ialah kekerapan, peratusan dan min. Item-item yang berbentuk fakta seperti ujian IMMS akan menggunakan statistik  sisihan piawai.

·         Bagi menganalisis soalan-soalan terbuka, pengkaji telah menggunakan kaedah deskriktif dengan menggunakan perisian SPSS Versi 8.0. Bagi item-item yang berbentuk negatif, nilai diterbalikkan sebelum diproses (Oppenheim, 1986)

·         Dapatan daripada temubual dianalisis dengan menggunakan statistik deskriptif dan inferensi. Analisis data temubual dianalisis selepas semua informan selesai ditemubual. Temubual dengan responden dirakam dalam bentuk audio kemudian ditranskipsikan kepada bentuk tulisan secara perkataan demi perkataan (Verbal Protocols Transcibed Verbatim). Penyelidik menyemak dan meneliti protokol temubual dari segi ketepatan idea dan makna yang disampaikan. Penganalisisan data pada peringkat ini menggunakan kaedah analisis kandungan pita rakaman audio yang dilakukan secara laporan ( metacalf, 1985) Analisis ini dilakukan untuk mengenal pasti pola-pola maklumat dengan mengambilkira aspek objektiviti dan ciri-ciri kualitatif maklumat yang telah dikumpul ( marshal & Rossman, 1989). Cara ini merupakan teknik analisis yang dibuat secara objektif dan sistematik bagi mengenalpasti ciri-ciri mesej (Marshal & Rossman, 1989) atau tema-tema tertentu (Metcalf, 1985). Garis panduan umum bagi melaksanakan temubual sebagaimana yang ditentukan oleh Marshal & Rossman (1989) dan Abdul Rahman Daud ( 1999) meliputi aspek-aspek berikut:-

a)      menentukan objektif secara spesifik

b)      mengesan maklumat yang ada kaitan dengan objektif kajian

c)      membuat hubungan empirikal antara data yang diperolehi dengan kesimpulan yang akan dibuat kemudiannya.

d)     Merangka pelan untuk mendapatkan sampel maklumat mengikut persoalan-persoalan kajian

e)      Membuat sistem kod klasifikasi

f)       Menentukan kaedah mempersembahkan hasil analisis

·         Keputusan ujian pra dan pos dianalisis dengan kekerapan, peratusan dan min. Penganalisaan data dan kualitatif mengambilkira pendapat miles dan Huberman (1994) yang menggariskan 3 prosedur utama iaitu:-

                        a) Penyaringan data

                        b) Membuat Kesimpulan

                        b) Penyemakan

 

2. 5 TINJAUAN AWAL

Proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas merupakan antara penentu sama ada kemahiran-kemahiran yang terkandung di dalam sukatan pelajaran dapat dikuasai oleh murid atau tidak. Kedua-dua proses ini merupakan antara cara untuk menjana budaya ilmu. Oleh kerana itu, guru-guru yang terlibat secara lagsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran ini perlulah menjalankan sesi ini dengan menggunakan ilmu pedagogi yang tinggi serta berkesan. Dengan itu, objektif pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai dengan cepat dan menyeluruh.

            Sebelum kajian ini dijalankan, pengkaji telah membuat banyak tinjauan yang mempunyai hubungkait dengan penggunaan bahan TV serta Video dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, ceramah, seminar, kursus dan sebagainya. Memang tidak dapat dinafikan, penggunaan cara di atas banyak meninggalkan kesan kepada para peserta. Tidak hairanlah, TV sudah menjadi salah satu media yang terkenal sama ada di sekolah, rumah, pejabat, kenderaan, hospital dan sebagainya. Keberkesanan TV dalam menyampaikan satu-satu maklumat khususnya pelajar telah diakui oleh ramai pakar, contohnya Nordin (1991), Atan dan Idrus (1999), Fattawi Mokhtar (2000) dan Jamaluddin (2000). Kesimpulan daripada pendapat-pendapat mereka ialah bahawa TV mampu membantu para pelajar meningkatkan penglibatan, kefahaman dan motivasi mereka terhadap pelajaran.

_______________________________________________________________________

3 Lihat Jurnal BTP Sabah, 2004 bil. 1 oleh Losinin dan Pasukan Kajian Tindakan Ranau (2004)

 

            Di peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia, kejayaan memancarkan TV Pendidikan melalui ASTRO telah menambahkan jumlah siaran daripada satu siaran di TV2 sebelum Tahun 2000 kepada 12 siaran pakej pendidikan termasuk Saluran Khas TV Pendidikan  di Channel 12. Selain penjimatan kos daripada 12 juta ringgit ke 400 ribu ringgit setahun, guru-guru juga mempunyai lebih banyak pilihan saluran TV yang sesuai dengan isi kandungan dan objektif pelajaran yang mereka ingin sampaikan. Walaupun begitu, kekangan demi kekangan kita hadapi untuk memanafaatkan kemudahan ini kerana masih terdapat banyak sekolah yang tidak mempunyai kemudahan TV, TV rosak dan tidak dapat dibaiki lagi, tiada sumber tenaga elektrik, tiada minyak diesel dan sebagainya. Keadaan ini menyebabkan hanya 25% daripada 78 buah sekolah di daerah Ranau yang telah menggunakan TV Pendidikan dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran.3

Kajian ini akan menyokong dan mengemaskinikan laporan tinjauan Losinin  dan Pasukan Kajian Tindakan Ranau (2004) mengenai Kadar Penggunaan TV Pendidikan di daerah Ranau yang teleh dikemukan kepada Pusat Sumber Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Pelajaran Gabungan dan Daerah sebagai panduan bagi melaksanakan tindakikut pihak sekolah selepas pemantauan pegawai-pegawai atasan.

            Perlaksanaan kajian di SMK Kundasang adalah kena pada tempatnya kerana sekolah ini mempunyai kemudahan yang mencukupi untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran berasaskan bahan TV Pendidikan. Tambahan pula sekolah ini mempunyai makmal komputer yang boleh digunakan untuk memainkan CD Interaktif yang telah dirakam daripada isi kandungan TV Pendidikan melalui Channel 12 siaran ASTRO. Pengkaji yang juga seorang guru di sekolah rendah juga mempunyai pengetahuan sedia ada berkaitan dengan senario dan latar belakang siaran TV Pendidikan. Pengkaji juga telah pernah menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran melalui TV Pendidikan ataupun bahan daripada TV Pendidikan dan mengetahui sedikit sebanyak kesan penggunaan TV Pendidikan ke atas:-

i)                    Sesi pengajaran secara keseluruhan

ii)                  Tahap kefahaman murid terhadap P&P yang disampaikan

iii)                Minat dan motivasi pelajar

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *