KOLABORASI ILMU

Kelahiran Semula Kolaborasi Ilmu ..15 Februari 2008..

Archive for Julai, 2008

Mengukuhkan Perjuangan Yang Belum Selesai

Posted by ilmu on 30th Julai 2008

                

Perjuangan tak pernah selesai selagi nyawa dikandung badan. Selagi kita masih dengan jawatan yang diamanahkan oleh Allah SWT dan kerajaan Malaysia, tugas tetap dipikul dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan sedaya upaya yang kita mampu. Gambar di atas adalah sebahagian daripada TEAMWORK yang sempat saya rakam semasa Mesyuarat Penyelarasan BTPN-PTPB-PKG Negeri Sabah yang telah dijalankan pada 14-16 Julai 2008 di BTPN Sabah. Turut dalam gambar ialah Ybhg Puan Hjh Jarah Binti Abdullah Gad, Ketua Penolong Pengarah. Berjuang terus berjuang!..

Posted in BTPN Sabah | No Comments »

Pisang Berbuah Dua Kali Atau Dua Tandan

Posted by ilmu on 25th Julai 2008

 Gambar ini diambil di Pasar Minggu Ranau. Pisang yang anda lihat benar 2 tandan. Kalau semua pekebun pisang mendapat hasil begini, tentu lebih mendapat untung. Apa komen anda. Terima kasih.

Posted in Coretan Diari | 2 Comments »

Melancong Di Kolam Air Panas Poring

Posted by ilmu on 24th Julai 2008

Bekerja sepanjang minggu mungkin membuatkan anda letih dan tertekan. Luangkan masa anda bersama keluarga dan manafaatkan masa anda dengan cuti-cuti Malaysia. Salah satu destinasi anda mungkin ke Kolam Air Panas Poring, Ranau. Poring merupakan nama KadazanDusun untuk sejenis spesies pokok Buluh yang tumbuh di kawasan itu. Terletak kira-kira 40 km di timur laut pusat Taman Kinabalu, Poring terkenal kerana kolam air panas dan jambatan gantungnya yang unik. Kolam air panas Poring dikenali kerana air panasnya mengandungi galian sulfur yang boleh menyegarkan badan.

 Air panas yang keluar dari perut bumi

 Kolam berendam ala Jepun

 Di antara kolam renang di sini

 Kolam renang dan luncur air

Para pelancong juga berpeluang menikmati pemandangan yang indah apabila menyusuri jambatan gantung sepanjang 157.8 m dan setinggi 41 meter di atas pokok.

 Jambatan kanopi tentu memberikan cabaran kepada anda

Terdapat juga Taman Kupu-kupu dan Pusat Pemuliharaan Orkid di sini. 

  Antara kupu-kupu yang terdapat di Taman Kupu-Kupu

 Refflesia di Taman Air Panas Poring

Selamat melancong!

Posted in Sembang2 & Melancong | No Comments »

Blog Dalam Pendidikan Memantapkan PPBK

Posted by ilmu on 21st Julai 2008

        

Seramai 23 orang guru dari 11 buah sekolah di Zon Selatan Daerah Ranau telah mengikuti Bengkel Pembinan Blog Dalam Pendidikan yang berlangsung pagi tadi dan dijangka tamat pada petang esok. Blog dalam pendidikan yang dibangun dan diterbitkan melalui edublogs ini dijangka akan membantu memantapkan penggunaan ICT dalam pendidikan selaras dengan kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) di sekolah masing-masing.

Posted in Bengkel P&P | No Comments »

Perhimpunan Bulanan (Jun dan Julai) BTPN Sabah

Posted by ilmu on 16th Julai 2008

                

Sebahagian daripada gambar yang sempat dirakam dalam Majlis Perhimpunan Bulanan BTPN Sabah

Khamis: Perhimpunan Bulanan BTPN Sabah telah diadakan pada hari ini 17 Julai 2008. Di antara pengisian dalam program ini ialah Bacaan ikrar yang telah diketua oleh En. Ahamad Jais (Penolong Pengarah Unit Penilaian dan Kawalan Mutu). Majlis ucapan dimulakan oleh  En. Shamiun Salleh (Penolong Pengarah Unit PTPB dan PKG) selaku pengerusi penganjur perhimpunan bulanan ini. Turut menyampaikan ucapan ialah Pn. Hajah Jarah Binti Abdullah Gad selaku Ketua Penolong Pengarah (KPP) BTPN Sabah. Beliau telah mengingatkan kepada semua warga BTPN Sabah agar sentiasa mengikut arus perubahan dan berusaha memajukan diri supaya dapat menjalankan tugas dengan berkesan. Majlis ini diserikan lagi dengan upacara memotong kek sempena Hari Bapa, penyampaian Augerah Perkhidmatan Cemerlang 2007, penyampaian cenderahati kepada semua pegawai yang lahir pada bulan Jun dan Julai serta penyampaian sijil dan cenderahati kepada pelatih-pelatih yang telah menjalankan latihan praktikum di BTPN Sabah.   

Posted in BTPN Sabah | No Comments »

Warga Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sabah : Ke Arah Memantapkan Teknologi Untuk Pendidikan Bestari

Posted by ilmu on 16th Julai 2008

Gambar Kenangan Bersama KPP BTPN Sabah Pn. Hajah Jarah Binti Abdullah Gad ( ke-12 dari Kiri) 

17 Julai 2008 (Khamis) : Seluruh warga Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sabah yang diketuai oleh Yang Berbahagia Puan Hajah Jarah Abdullah Gad, Ketua Penolong Pengarah (KPP), termasuk 6 Pegawai Teknologi Pendidikan Bahagian (PTPB) dan 27 Orang Pegawai Teknologi Pendidikan Daerah telah berkumpul dalam satu misi utama ke arah memantapkan permuafakatan untuk memperkasakan Teknologi Pendidikan (TEKNOPEN). Di antara pengisian dalam perjumpaan ini ialah Mesyuarat Penyelarasan BTPN/PTPB/PKG yang telah diadakan sejak 14 Julai 2008 yang lalu dan Perhimpunan Bulanan pada hari ini.

Posted in BTPN Sabah | No Comments »

Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sabah (BTPN): Teknologi Untuk Pendidikan Bestari

Posted by ilmu on 14th Julai 2008

 

        
 

  Kompleks BTPN Sabah di Penampang Sabah.  

SEJARAH BTPN / PSPN SABAH

 

  • 1966 – Pusat Peralatan Mengajar di bangunan Lama Sekolah Pertukangan dekat Maktab Sabah.
    • Tiga (3) bahagian di Pusat Peralatan Mengajar.
      • Bahagian Peralatan Mengajar
      • Bahagian Perpustakaan Mengajar
      • Bahagian Stor Buku
  • 10 Mac 1973 – Bahagian Perpustakaan dipisahkan daripada Pusat Peralatan Mengajar kerana kesesakan tempat memandangkan bilangan buku bertambah.
  • 1974 – Jabatan Pelajaran ( Pendidikan ) Sabah mula melatih kakitangan sebagai persediaan untuk memulakan Siaran Radio Pendidikan ke sekolah-sekolah.
  • 1 Januari 1975 – Perkhidmatan Sebaran Pendidikan diwujudkan dikembangkan ke enam (6) bahagian.
  • 3 Januari 1975 – Pelancaran Radio Pendidikan oleh Ketua Menteri Sabah, Tun Datu Mustapha bin Dato Harun.
  • Februari 1975 – Permulaan Siaran Radio Pendidikan.
    • Unit Radio Pendidikan diletak dibawah PSP ( sebagai unit pertama ).
  • 24 Mac 1976 – Unit Alat Pandang dengar ( asalnya Pusat Peralatan Mengajar ) diletak dibawah PSP.
  • 30 Ogos 1976 – Pelancaran rasmi TV Pendidikan oleh YAB Dr. Mahathir Mohamad, Menteri Pelajaran.
  • 1981 – Unit Penilaian diwujudkan di PSP.
  • 1982 – Unit Pendidikan Khas diwujudkan di PSP.
  • 1 Januari 1983 – Unit Perpustakaan diletakkan dibawah BTP.
  • 19 Disember 1983 – Pentadbiran dan operasi BTP dipindahkan ke Kompleks BTP, Jalan Tuaran.
  • 1984 – Unit APD dan Unit Perpustakaan digabungkan untuk dijadikan Unit Pusat Sumber.
  • 9 Disember 1991 – PKG mula beroperasi di Sabah.
  • 1 Januari 1996 – Penstrukturan semula organisasi BTP, BTP dikenali sebagai BTPN.
    • Unit Pendidikan Khas dipindahkan ke Bahagian Pengurusan Sekolah.
    • Pertukaran nama unit-unit dan kewujudan unit Baru.
  • 31 Julai 2001 – Upacara meletakkan batu asas Bangunan Baru PSPN Sabah oleh Datuk Yahya Husin ( Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri Sabah).
  • 3 Julai 2003 – Penyerahan Bangunan Baru PSPN Sabah oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah, En. Lim Hong Pin kepada Timbalan Pengarah Pembangunan Pendidikan Bestari, Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Tuan Haji Ismail @ Shamsudin bin Yusoff yang seterusnya menyerahkan kepada Ketua Penolong Pengarah, PSPN Sabah, Puan Hajah Nuri bte Udin.
  • 1 Oktober 2003 – Perpindahan secara rasmi dari Bangunan Lama BTPN Sabah ( Kompleks RTM ) ke Bangunan Baru PSPN Sabah ( Penampang ).

Teknologi Untuk Pendidikan Bestari 

 

 

Posted in BTPN Sabah | No Comments »

Mesyuarat Penyelarasan BTPN/PTPB/PKG Bil 2, 2008 : Memantapkan TEKNOPEN

Posted by ilmu on 14th Julai 2008

        

Ke arah memantapkan lagi pengurusan dan perlaksanaan program Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia, warga BTPN Sabah telah berhimpun dan berkolaborasi selama 3 hari di BTPN Sabah mulai hari ini 14/07/2008 hingga 16/07/2008. Antara agenda yang dibincangkan ialah pembentangan pencapaian SKT setengah Tahun 2008, Mesyuarat Keutuhan, Mesyuarat Kewangan, Mesyuarat Menangani Karenah Birokrasi, Bengkel Fail Meja DGA32, DGA29 dan N17, Laporan “Project Based Learning”,Taklimat Peranan Rangkaian BTP dan taklimat daripada setiap unit.  

Posted in Mesyuarat Jabatan | No Comments »

Laporan Kajian Tindakan Inovasi: Menerangkan Konsep Istilah Penting Dalam M/P Pengajian Perniagaan Tingkatan 6 Dengan Inovasi “My Aura Map”

Posted by ilmu on 10th Julai 2008

OLEH : NOR AZURA BINTI MOHD ZAKI

SMK. Bongawan Sabah

Ahli Pasukan Kajian Tindakan Sabah

Abstrak

Kajian ini dilaksanakan ke atas 25 orang pelajar Tingkatan 6 Rendah sekolah ini untuk mengetahui tahap keberkesanan penggunaan ‘My Aura Map’ dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pengajian Perniagaan terutamanya untuk memahami dan mengingati istilah-istilah yang berkaitan. Ujian Pra dan Post telah dijalankan untuk membandingkan jumlah markah yang telah diperoleh oleh responden sebelum dan selepas kaedah ini dijalankan. Setelah kedua-dua ujian ini dijalankan, dapatan menunjukkan peningkatan markah sebanyak 28.4% dari 55.60% dalam ujian pra ke 84 % dalam ujian post. Selain daripada menjalankan ujian pra dan post, pengkaji juga telah menyediakan instrumen pengujian berskala likert yang mengandungi 37 konstruk IMMS untuk menguji tahap motivasi pelajar semasa menggunakan kaedah ‘My Aura Map’. Dapatan menunjukkan 935 respon telah diterima dengan 84.95% memilih skala setuju dan sangat setuju. 53.68% daripada respon memilih skala setuju dan 31.27% lagi memilih skala sangat setuju terhadap keberkesanan penggunaan’My Aura Map’. Hanya 1.6% menyatakan sangat tidak setuju dan 13.45% menyatakan tidak setuju. Data yang diperoleh telah membuktikan bahawa penggunaan kaedah ‘My Aura Map’ amat berkesan digunakan dalam proses pengajara dan pembelajaran Pengajian Perniagaan.

KEBERKESANAN PENGGUNAAN “MY AURA MAP” UNTUK MEMBANTU PELAJAR TINGKATAN 6 RENDAH 1, MEMAHAMI DAN MENGINGATI ISTILAH-ISTILAH DALAM MATA PELAJARAN PENGAJIAN PERNIAGAAN.

01. PENDAHULUAN


Pemilihan kaedah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas amat penting. Kaedah yang sesuai akan meningkatkan keberkesanan pengajaran guru dan pembelajaran murid. Pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di dalam kelas akan dapat membantu para pelajar mencapai objektif pengajaran guru dan seterusnya meningkatkan penguasaan ilmu yang disampaikan. Penggunaan unsur grafik dan warna secara langsung dapat menarik minat perhatian pelajar. Unsur ini penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ia dapat mempertingkatkan kefahaman dan menghindar salah anggapan dan pentafsiran. Media pengajaran berasaskan kepada bahan maujud yang menarik akan dapat meningkatkan motivasi pelajar. Ditambah lagi dengan suara penerangan guru yang menarik dengan menggunakan alunan suara yang betul. Menurut Fontana(1988) media perlu dilihat sebagai sesuatu yang dinamik yang dapat meransang tindakbalas luaran atau dalaman yang kadang-kadang mempengaruhi psikologi seseorang. Sebagai media pengajaran yang menghampiri konkrit (Dale, 1985) media yang digunakan secara sistematik dapat merangsang daya imaginasi dan perbincangan. Ia dapat menjamin proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar di samping meningkatkan kefahaman dan menghindar salah tanggapan dan pentafsiran

Manusia dikatakan makhluk yang ‘image and visually oriented’ dan mereka banyak belajar melalui penglihatan (Pulley). Walaupun mereka mendengar dan membaca, apa yang didengar dan dibaca biasanya akan divisualkan dalam pemikiran mereka untuk mendapatkan konsep atau makna yang lebih jelas. Ini selaras dengan kata-kata yang pernah dimadahkan oleh Kung Fu Tze, seorang pujangga dan ahli falsafah cina; ‘…kalau saya dengar, saya lupa; kalau saya lihat saya ingat; dan kalau saya buat saya tahu…’

Kajian ini juga telah menunjukkan betapa pentingnya peranan guru dalam memastikan keberkesanan media dalam pengajaran. Misalnya jika guru menayangkan gambar atau imej termasuk peta minda serta mengaitkan dengan objektif-objektif pembelajaran, maka maklumat yang terima oleh pelajar akan bertambah. Misalnya, Ausuble (1968) mengemukakan konsep maklumat awal sebagai bantuan untuk menghasilkan pengajaran yang berkesan.

Contoh maklumat awal ini ialah satu tinjauan, pengenalan kepada ringkasan penting kepada isi pelajaran, satu pernyataan tentang prinsip-prinsip yang terkandung dalam maklumat yang akan disampaikannya. Molstad (1974) berpendapat media jika digunakan bersama pengajaran ala tradisional akan meningkatkan proses pengajaran. Menurut Heinich (1981) pengajaran akan menjadi lebih berkesan jika penggunaan media dirancang secara sistematik.”


Penggunaan peta minda atau kaedah ‘My Aura Map’ yang digubah menggunakan pelbagai warna dapat meningkatkan kefahaman pelajar dan memudahkan mereka mengingati sesuatu konsep hanya dengan melihat warna yang digunakan. Penggunaan warna ‘personel’ semasa membuat nota dapat membantu mereka membezakan segala maklumat yang perlu diketahui.

02. TUJUAN


Kajian ini bertujuan untuk meninjau dan mendapatkan gambaran sebenar tentang sejauh manakah ‘My Aura Map’ membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran Pengajian Perniagaan di sekolah dari aspek keberkesanan, kesesuaian dan kecekapan.


i) Mengetahui sejauhmanakah minat, sikap serta motivasi pelajar tehadap sesi


pengajaran dan pembelajaran Pengajian Perniagaan yang dilaksanakan oleh guru dengan berbantukan media peta minta ‘My Aura Map’ melalui Ujian Ukuran Skala Motivasi Bahan Pengajaran (IMMS)


ii) Mengetahui perbezaan keberkesanan penggunaan ‘My Aura Map’ dalam proses pengajaran dan pembelajaran berbanding dengan cara pengajaran dan pembelajaran “chalk and talk” atau berbantukan lembaran nota padat dan lembaran kerja dengan menggunakan soalan-soalan ujian pra (pratest) dan ujian pos (post test)

03. PERSOALAN KAJIAN


Kajian ini menetapkan persoalan kajian berdasarkan tujuan dan objektif kajian seperti berikut:-


A) Minat, Sikap dan Tahap Motivasi


i) Adakah para pelajar menunjukkan minat melalui sikap serta tahap penglibatan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan


ii) Apakah perbezaan motivasi murid berpencapaian tinggi, sederhana dan rendah mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah ‘My Aura Map’


iii) Bagaimanakah sikap penerimaan serta penghayatan pelajar terhadap proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah ‘My Aura Map’


B) Perbezaan Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran di antara cara ‘chalk and talk’, nota padat dan lembaran kerja dengan kaedah ‘My Aura Map’ perbandingan data markah melalui ujian pra an ujian pos.
i) Adakah terdapat peningkatan markah ujian keseluruhan dilihat pada markah ujian pra dan ujian pos


04. REFLEKSI MASALAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG LALU


Kajian ini dikhususkan kepada para pelajar tingkatan 6 Rendah 1 (aliran sastera).
Subjek kajian adalah pelajar-pelajar 6 Rendah 1, yang berasal dari kelas Aliran Sains Tulen semasa berada di Tingkatan 4 dan 5. Semasa sesi pengajaran dan pembelajaran, didapati bahawa pelajar ini mengalami kesukaran untuk memahami beberapa istilah khas yang digunakan dalam mata pelajaran Pengajian Perniagaan. Istilah-istilah ini perlu difahami oleh pelajar secepat mungkin di awal pembelajaran supaya mereka boleh mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran seterusnya tanpa banyak masalah. Semasa proses pengajaran dan pembejajaran, didapati pelajar menyuarakan rasa tertekan kerana nota terlalu padat sehingga menimbulkan sikap malas dan tidak bersemangat untuk mengulangkaji. Pada masa yang sama, pelajar mempelajari istilah-istilah yang tidak pernah dipelajari sebelum ini. Didapati bahawa pelajar lebih berminat kepada pengiraan. Ini bermakna pelajar lebih cenderung menghafal formula berbanding menghafal fakta.

05. FOKUS KAJIAN / ISU KEPRIHATINAN YANG DIKAJI


i. Mengenal pasti keberkesanan penggunaan “My Aura Map” untuk memahami istilah-istilah yang diguna pakai dalam mata pelajaran Pengajian Perniagaan.


ii. Mengenal pasti tahap motivasi dan minat para pelajar terhadap kaedah “My Aura Map” yang digunakan.

06. OBJEKTIF KAJIAN


i. Objektif Am


• Meningkatkan keberkesanan penggunaan “My Aura Map” dalam proses pengajaran dan pembelajaran Pengajian Perniagaan.


• Meningkatkan tahap motivasi dan minat pelajar dengan menggunakan kaedah “My Aura Map”.


• Memudahkan proses mengingat dan meningkatkan kefahaman pelajar terhadap istilah-istilah khusus yang digunakan dalam mata pelajaran Pengajian Perniagaan.

ii. Objektif Khusus


• Menilai keberkesanan penggunaan kaedah “My Aura Map”.


• Menilai motivasi dan minat pelajar terhadap penggunaan kaedah “My Aura Map”.

07. KUMPULAN SASARAN


Seramai 25 oarang pelajar tingkatan 6 Rendah 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Bongawan.
Pelajar-pelajar ini terdiri daripada bekas pelajar Aliran Sains Tulen di tingkatan 4 dan 5 yang memasuki aliran sastera.
08. KAEDAH MENGUTIP DATA


(i) Oleh kerana populasi kajian adalah sedikit dan skop kajian adalah kecil, maka kaedah ujian digunakan. Borang tinjauan berukuran skala (IMMS) juga digunakan untuk mengetahui tahap motivasi pelajar terhadap penggunaan bahan siaran TV Pendidikan.


(ii) Data yang dikumpul akan dianalisis dengan menggunakan pengiraan biasa bukan menggunakan perisian SPSS. Antara statistik yang digunakan ialah bilangan, purata, dan peratus.


10. DAPATAN KAJIAN


10.1 Ujian IMMS


(i) Pelajar dikehendaki menandakan tahap persetujuan mereka terhadap kenyataan-kenyataan yang terdapat di dalam instrumen IMMS. Skala-skala yang dipilih adalah sama ada (1)- Sangat tidak setuju,

(2)-Tidak Setuju, (3) Setuju, (4)-Sangat setuju. Daripada analisis awal yang dilakukan, melalui ujian IMMS kesimpulannya adalah seperti berikut:-


a) 100% pelajar telah memberikan komitmen dalam pengajaran dan pembelajaran


b)100% pelajar telah mengambil bahagian dalam ujian IMMS
ii) Dalam kajian ini pengkaji telah berjaya menguji kesesuaian item-item dalam soal selidik bagi mengukur 37 item yang boleh dibahagi kepada 4 konstruk utama.

ii) Bagi menganalisis sejauhmanakah kaedah ‘My Aura Map’ berkesan digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran serta disukai oleh para pelajar, dari skala 1 ( tidak berkesan / tidak disukai) hingga skala 4 (Sangat berkesan dan sangat disukai).


iii) Bagi item-item yang berbentuk negatif, nilai diterbalikkan sebelum diproses (Oppenheim, 1986


iv) Berdasarkan kepada data yang diperolehi itu, jelas menunjukkan sebahagian besar pelajar telah mengakui kebaikan daripada kaedah ini.

10.2 Keputusan Ujian Pra dan Ujian Pos


Berdasarkan kepada keputusan Ujian Pra dan Ujian Pos seperti dalam Lampiran 6, jelas menggambarkan peningkatan yang ketara dari segi pencapaian secara keseluruhannya. Purata markah yang telah diperolehi pada ujian pra ialah 55.6% dan 84% pada ujian pos. Ini bermakna peningkatan markah ialah sebanyak 28.4%.

Kaedah pengajaran berasaskan nota padat dan lembaran kerja telah digunakan dalam ujian pra. Kefahaman pelajar agak lemah dan kebanyakan pelajar hanya memperolehi Gred B iaitu 13 orang. 11 orang mendapat Gred C dan 1 orang mendapat Gred D. Setelah sesi kedua dijalankan selang 30 hari dengan menggunakan kaedah ‘My Aura Map’ serta mengubahsuai soalan ujian pra untuk digunakan sebagai ujian pos (masih mengambilkira aras ujian berdasarkan Teori Taksonomi Bloom), keputusan ujian telah meningkat. Seramai 17 orang pelajar memperolehi Gred A, 6 orang memperolehi Gred B, 1 orang memperolehi Ged C dan 1 orang memperolehi Gred D.

11. PENILAIAN DAN REFLEKSI


Berdasarkan carta dan jadual analisis di atas, pengkaji telah berjaya mendapati bahawa penggunaan kaedah ‘My Aura Map’ boleh membantu meningkatkan motivasi murid-murid mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.


Ini dapat dibuktikan dengan peningkatan dalam peratusan ujian yang telah dijalankan di antara dua ujian iaitu ujian pra dengan ujian pos. Daripada analisis IMMS mendapati bahawa penggunaan ‘My Aura Map’ yang menggunakan peta minta pelbagai warna dengan grafik yang menarik dalam proses pengajaran dan pembelajaran amat berkesan. Kajian awal yang telah dijalankan oleh Nordin (1991) melaporkan bahawa komponen grafiknya mampu memandu pelajar kepada bahan pembelajaran di samping mempertingkatkan penglibatan pelajar dan tahap kefahaman mereka. Juga terdapat kajian yang lain menunjukkan penilaian yang positif terhadap penggunaan grafik (termasuk peta minda berwarna) sebagai satu proses penyampaian bahan pembelajaran (Atan dan Idrus, 1999). Maka itulah sebabnya mengapa Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Bahagian Sekolah-Sekolah dan Bahagian Teknologi Pendidikan melaksanakan pelbagai inisiatif menghasilkan bahan-bahan inovasi yang menarik untuk digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Posted in Laporan Kajian Tindakan Inovasi | 4 Comments »

Malang Tidak Berbau

Posted by ilmu on 10th Julai 2008

    

Kejadian kemalangan yang ngeri berdekatan dengan pejabat saya (lebih kurang 200 m). Kejadian ini berlaku sejurus saya sampai dari melawat SK. Libang dan SK. Marakau. Lori trellar panjang yang sarat dengan kayu gergaji mengheret sebuat proton wira. PESANAN UNTUK DIRI SAYA DAN SEMUA PENGGUNA JALANRAYA, BERHATI-HATILAH DAN INGAT ORANG YANG TERSAYANG.

 

Posted in Coretan Diari | 2 Comments »

SK. Libang & SK. Marakau Ranau : Bukan Senang Mencipta Imej

Posted by ilmu on 10th Julai 2008

    

Gambar-gamabar yang dirakan di SK. Libang Ranau. Makmal komputer di sekolah ini dalam proses pembinaan

   

Gambar-gambar yang dirakam di SK. Marakau Ranau. Makmal komputer yang hampir siap dibina.

Menjejakkan kaki ke kedua-dua buah sekolah ini pati menambahkan lagi kesedaran betapa pentingnya pendidikan kepada manusia. Walaupun kedua-dua sekolah ini terletak jauh di luar bandar, namun ramai bekas pelajar telah mencipta kejayaan dan berkhidmat dalam pelbagai sektor kerajaan, swasta dn menceburkan diri dalam pelbagai bidang perniagaan dan perkhidmatan. Kedua-dua sekolah ini tidak mempunyai kemudahan ICT. Makmal komputer masih di dalam peringkat penyiapan. Pun begitu, para pelajarnya sanggup mengambil kelas tambahan di pekan untuk menimba pengetahuan dalam bidang ICT. Bukan senang memberikan kesedaran kepada mereka. Masa yang diambil begitu panjang iaitu 4 tahun. Tapi sehingga kini, ramai pelajarnya telah mencipta imej tersendiri. Tahniah kepada sekolah ini.

Posted in Lawatan Ke Sekolah | No Comments »

Bandaraya Miri: 4 Hari Ke Arah Memantapkan Kolaborasi

Posted by ilmu on 9th Julai 2008

 

Pemandangan senja di MIRI, Sarawak

 

Miri wujud disebabkan kemunculan industri minyak dan gas asli yang pertama dijumpai pada tahun 1910 di Bukit Telaga Minyak, Bukit Kanada di bandar Miri. Semenjak itu, Daerah Miri terus pesat membangun hinggalah ke hari ini. Miri mendapat namanya daripada suku kaum Miriek yang merupakan penduduk bumiputra Miri pada abad ke-16. Orang-orang Eropah yang datang untuk mencari gali minyak di bandar ini secara tidak sengaja menukar nama Miriek menjadi Miri. Maka nama Miri kekal hingga ke hari ini.

Bandaraya ini terletak di bahagian Utara Sarawak, dikelilingi oleh laut di bahagian timur dan bersempadan dengan negara Brunei Darussalam. Keluasan bandaraya Miri ialah 977.43 km persegi. Ia mempunyai kira-kira 250 ribu orang penduduk terdiri daripada kaum Cina, Iban, Melayu, Melanau, India, Kayan, Kenyah, Kelabit, Penan, Bidayuh, Kedayan dan lain-lain lagi.

Setelah diiktiraf sebagai bandaraya pada Mei 2005 lalu, bandar Miri semakin pesat membangun dan kini lebih dikenali sebagai bandaraya peranginan kerana ia mempunyai tempat-tempat pelancongan yang menarik. Hal ini menjadikan Miri sebagai salah satu tumpuan pelancong dari serata dunia untuk melihat sendiri keindahannya. Mencari gali minyak masih diteruskan tetapi lebih tertumpu di persisiran pantai Miri.

Antara tempat yang menarik di Miri ialah Taman Negara Lambir, Taman Negara Niah, Taman Negara Mulu dan Taman Buaya.

Semasa saya tiba di Miri untuk melaksanakan Bengkel Kajian Tindakan Zon Sarawak, saya agak terpegun melihat perubahan dari segi pembangunan bandaraya ini berbanding 7 tahun yang lalu. Bukan sahaja pembangunan bandaraya ini begitu pesat dan cepat, bahkan pemandangan landskapnya begitu menarik, bersih dan teratur.

Keramahan dan kemesraan penduduk Miri menjadi aset kepada kedatangan pelancong luar. Orang-orang Miri tidak kira tua muda, lelaki perempuan menyambut tetamu dengan penuh sopan santun dan senyuman.

Maka tidak hairanlah, sepanjang saya bertugas dalam kursus yang dijalankan di Hotel Dynasty Miri selama 4 hari memudahkan proses KOLABORASI ILMU terutamanya di kalangan guru dan pegawai pengurusan.

Selamat berkunjung ke MIRI, SARAWAK 

Posted in Coretan Diari | No Comments »

Amalan Kajian Tindakan Teknologi Pendidikan: Ke Arah Guru Peka Inovasi

Posted by ilmu on 8th Julai 2008

 

Seramai 40 orang guru yang terdiri daripada guru-guru sekolah rendah dan menengah di daerah Ranau ini telah didedahkan dengan amalan Kajian Tindakan Teknologi Pendidikan (KTTP) dan Inovasi Peringkat Daerah Ranau bagi Fasa 1 yang telah berlangsung pada 3 dan 4 Julai 2008. Sebanyak 7 tajuk dan isu yang telah disepakati untuk dikaji dan diuji keberkesanan bahan inovasinya di setiap sekolah yang terlibat. Bengkel ini telah dijalankan dengan kerjasama fasilitator PKTS En. Losinin Johalin, En. Rajibin Rasman dan En. Saimun Jaimin.

     

Sebahagian daripada gambar peserta yang telah mengambil bahagian.

Antara tajuk yang telah dibincangkan dalam bengkel ini adalah seperti berikut ( Teks penuh dalam simpanan saya): 

1. Meningkatkan  penguasaan Kemahiran Proses Sains dalam membuat inferens, Soalan Sains, Bahagian B bagi murid-murid Tahun 4 di Sk.Pahu Himbaan,Ranau dengan menggunakan Jadual Mudah Ubah.

2. Meningkatkan kemahiran memahami konsep sifir darab dari 2 hingga 5 untuk murid-murid tahun 2 dengan menggunakan kaedah “Satay Sifir”

3. Memperkaya Kosa Kata Pelajar Tahun 6 Bestari Dengan Menggunakan Program Sehari Selembar Benang dan Program 100-4. 

4. Meningkatkan kemahiran penguasaan menyebut nombor lebih dari 5 digit dengan menggunakan kaedah “Palang Tiga Nombor”

5. Meningkatkan kemahiran Menambah Dan Menolak  Tahun 3 dengan menggunakan “Kaedah  Magic Finger”.

6. Meningkatkan kemahiran Membunyikan Perkataan dua suku kata dalam Matapelajaran Bahasa Melayu Tahun 1 dengan kaedah 5 + 1.

7. Meningkatkan Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran IQRA 1 , Pelajar Tahun 1 Dengan Menggunakan Kaedah “MEDIA TRIANGLE”. 

Posted in Program Kajian Tindakan | No Comments »

SK. Maukab & SK. Randagong, Ranau: Ke Arah Sekolah Gemilang 2010

Posted by ilmu on 8th Julai 2008

   

Gambar-gambar yang dirakam di SK. Maukab : Bilik Komputer, Guru-guru, Sekolah dan Guru Besar ( Pn. Pelagia Matigal-kanan)

Mempastikan semua program pendidikan dan perkhidmatan sokongan dilaksanakan dengan berkualiti untuk mencapai prestasi cemerlang dan gemilang menjelang 2010 merupakan visi kedua-dua sekolah ini iaitu SK. Maukab dan SK. Randagong Ranau.

Sebagai sebuah sekolah luar bandar yang masing-masing terletak 23km dan 17km dari Pekan Ranau, SK. Maukab dan SK. Randagong ingin membuktikan kecemerlangan pendidikan berjaya dikecapi dalam tempoh 3 tahun daripada sekarang.

Cikgu Juhilin Majin, Guru ICT merangkap Penolong Kanan SK. Maukab menjelaskan misi sekolah mencapai kecemerlangan pendidikan akan lebih mudah dicapai dengan adanya kerjasama yang padu daripada Guru-guru, Ibu Bapa dan Pelajar. Beliau juga menjelaskan bahawa pembelajaran berkonsepkan Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) telahpun diamalkan oleh sekolah ini sejak 2 tahun yang lalu dengan menggunakan portal internet Zoom-a. Laman web ini telah banyak membantu para pelajar khasnya Tahun 6 untuk menghadapi peperiksaan UPSR.

    

Gambar atas : Sebahagian daripada pelajar SK. Maukab dan Pusat Sumber Sekolah

SK. Randagong, Ranau yang dipimpin oleh Guru Besarnya En. Jailin Basir turut mempunyai perancangan ke arah menjadikan sekolah ini bersaing dengan sekolah-sekolah lain di daerah ini. Berbekalkan staff dan PIBG yang sentiasa memberikan kerjasama, beliau yakin misi dan visi sekolah ini akan dapat dicapai. Beliau memberitahu bahawa misi utama sekolah ini ialah untuk menjadi sekolah yang cemerlang dan gemilang dari segi akademik menjelang tahun 2010.

   

Gambar bersama pelajar sekolah, bilik ICT dan pondok bacaan

Rombongan kami telah memantau sekolah ini pada 09 Julai 2008. Walaupun keadaan jalanraya agak teruk, kami telah berjaya sampai ke destinasi. Kami telah memberikan khidmat bantu ke atas pengunaan alat-alat ICT, PSS dan pengurusan Harta Modal/Inventori.

Posted in Lawatan Ke Sekolah | No Comments »

Hasil Kajian Amalan “Smart Partnership” 5 Buah Sekolah Daerah Ranau

Posted by ilmu on 7th Julai 2008

PERKONGSIAN PINTAR (Smart Partnership) DALAM PENDIDIKAN-

FOKUS DI SEKOLAH – SEKOLAH DALAM DAERAH RANAU

Oleh:

LOSININ BIN JOHALIN,

PUSAT KEGIATAN GURU RANAU

ABSRTAK

 

Mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Tan Sri Abdul Rafie Mahat seringkali menyentuh tentang konsep ‘Smart Partnership’ sehingga diperkatakan dengan begitu  meluas. Saya telah melakukan kajian khas dengan menggunakan instrumen ringkas di 5 buah sekolah responden dalam daerah Ranau iaitu SK. Pekan, SK. Pekan 2, SJK(C) Pai Wen, SK. St. Benedict dan SK. Kilimu untuk mendapatkan tindakbalas maklumat yang boleh dikongsikan bersama. Dalam laporan ini, saya cuba  memberikan fokus  khususnya antara  harapan, amalan dan realiti di peringkat  daerah Ranau. Pada bahagian permulaan, saya ingin  membincangkan soal  konsep, matlamat dan  rasional perkongsian ini diamalkan. Kemudian saya juga memberikan  beberapa contoh cara  pelaksanaannya di pelbagai peringkat sehingga ia dapat  direalisasikan. Namun,  betapa baikpun  idea dari  konsep ini, tetap akan timbul banyak  persoalan dan halangan yang  perlu difikirkan bersama. Saya juga  memberikan beberapa kesan / faedah /implikasinya kepada semua pihak jika konsep ini berjaya diamalkan serta masa depan dalam sistem pendidikan khususnya di  sekolah-sekolah dalam daerah Ranau.

 

 

PENDAHULUAN

 

Sekolah sebagai satu sistem sosial yang tersendiri dan menjadi agen perubahan masyarakat seharusnya mengikut perubahan masyarakat. Ini kerana masalah masyarakat merupakan masalah sekolah juga. Maka dalam hal ini, tidak dapat tidak masyarakat perlu bekerjasama dengan sekolah untuk mencapai cita-cita sekolah dan negara (Ibrahim : 2001). Malahan institusi pendidikanlah yang memberikan perkhidmatan yang paling rapat dan berpanjangan kepada hampir semua golongan masyarakat. Timbulnya isu-isu pendidikan boleh mempengaruhi dan dipengaruhi oleh masyarakat. Oleh itu penglibatan masyarakat dalam bentuk perkongsian bagi kepentingan bersama dapat menjayakan hasrat dan aspirasi yang diimpikan.

 

Apakah Yang Dimaksudkan Konsep Perkongsian?

 

Mengikut Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Rafie Bin Mahat, Mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia di dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Pengukuhan Dan Peningkatan Kualiti Pendidikan Dan Profesionalisme Keguruan” menyatakan:

 

“Hubungan tiga dimensi iaitu sekolah, rumah dan komuniti perlu diberi  penekanan. Ketiga-tiga entiti ini perlu ada hubungan yang mantap dan akrab kerana kejayaan sistem pendidikan negara bergantung kepada sejauhmana ketiga-tiga elemen ini dapat berfungsi, saling melengkapi dan bantu membantu antara satu sama lain. Pihak pengurusan sekolah boleh memainkan peranan utama dalam merapatkan hubungan antara rumah dan komuniti melalui pelbagai cara selain daripada yang diketahui umum iaitu melalui PIBG”.

 

Saranan Ketua Pengarah itu amat jelas menyatakan bahawa sesebuah institusi pendidikan tidak boleh wujud bersendirian. Hubungan tiga dimensi yang disebut oleh beliau menerangkan bahawa permuafakatan dan perkongsian bijak (Smart Partnership) penting untuk membawa kejayaan kepada sesebuah institusi pendidikan pada masa kini.

 

Selain itu perkongsian pintar atau bijak adalah satu gabungan strategik yang membawa faedah sinergi kepada semua pihak yang terlibat. Dalam konteks sektor awam, perkongsian pintar berlaku apabila agensi-agensi berkongsi kepakaran, mengguna pakai pengalaman atau produk dalam sesuatu bidang yang telah terbukti berjaya dan sesuai.

 

Berkaitan dengan konsep “Smart Partnerships” atau perkongsian bijak atau pintar adalah konsep “Smart community”. Konsep ini merujuk kepada satu kumpulan masyarakat di mana agensi kerajaan, perniagaan, pendidikan, kesihatan dan institusi-institusi bukan kerajaan bersama-sama dengan orang awam dalam memahami dan menghayati potensi teknologi informasi untuk memperbaiki amalan kerja dan cara hidup.

 

Firman Allah dalam surah Al-Ma’idah ayat 2 pula bermaksud :

 

“Dan bertolong-tolonglah kamu atas kebijaksanaan dan taqwa. Dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam dosa atau permusuhan”.

 

Menurut Betty Boult (Donald, 1978), seorang Pembantu Superintenendent di Coquitlam, British Columbia:

 

“In many schools, parents are welcomed as equal partnerships in their child’s education. Educators at such institutions believe that making education a meaningful experience for students requires partnerships, education is a shared trust”.

 

Sebenarnya konsep perkongsian dalam pendidikan merupakan konsep lama yang telah diperbaharui daripada amalan-amalan yang telah biasa diamalkan dalam masyarakat kita seperti gotong-royong, kerjasama dan tolong-menolong. Malah masyarakat lain dalam dunia ini seperti Cina, Jepun dan India juga telah mengamalkan sikap bekerjasama sehingga terhimpun madah, ungkapan, bidalan atau perumpamaan yang menggambarkan kebaikan dan kepentingan mengamalkan semangat bekerjasama. Di kalangan masyarakat Melayu, ungkapan yang biasa kita dengar ‘seperti aur dengan tebing’, ‘bukit sama didaki, lurah sama dituruni’. Di kalangan masyarakat Cina madah seperti ‘semua manusia adalah saudaraku, semua makhluk adalah sahabatku’. Sementara di kalangan masyarakat Jepun pula, ‘persaudaraan adalah perlindungan yang paling mahal’. (Aminah Hamim & Gunawan Mahmood, 2001)

 

Oleh itu pada pendapat saya, perkongsian yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di sekolah merupakan usaha mengukuhkan semula segala kelakuan-kelakuan yang berunsurkan kerjasama untuk kebaikan bersama yang telah wujud dan diamalkan dalam agama dan budaya masyarakat kita. Ia merupakan usaha yang berterusan supaya dapat menangkis ancaman-ancaman dalam era globalisasi ini. Kalau tidak dikukuhkan ikatan perpaduan, sekolah akan bergerak bersendirian tanpa sokongan masyarakat.

 

Rajah 1: Menjelaskan bagaimana hubungan tiga dimensi antara sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam mencapai matlamat atau objektif yang sama. Ia juga boleh disebut sebagai hubungan tiga penjuru.

 

Apakah Matlamat Perkongsian Di Peringkat Sekolah Dalam Daerah Ranau?

 

Dalam usaha mencapai cita-cita sekolah dan negara, konsep perkongsian dalam pendidikan di daerah ini cuba mencapai matlamat supaya masyarakat dapat mengambil berat terhadap anak-anak mereka di sekolah. Permuafakatan dan kerjasama sekaligus akan menunjukkan keperihatinan mereka terhadap usaha membentuk dan mendidik generasi pada masa akan datang. Selain itu peranan pihak sekolah memerlukan masyarakat daerah ini untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah seperti disiplin, kesihatan, kebajikan, akademik dan sebagainya. Diikuti pula suasana kehidupan bandar yang semakin ketara dan kompleks sifatnya menyebabkan 5 buah sekolah responden menjadi institusi sosial yang memerlukan penyertaan dan kerjasama daripada ibu bapa dan masyarakat.

 

Melalui perkongsian juga, kita kita boleh membetulkan srtuktur kekeluargaan yang semakin berubah seperti mengejar kebendaan dan bersikap individualistik tanpa memperdulikan masyarakat sekeliling mereka. Tambahan pula masyarakat yang berada di sekitar sekolah-sekolah yang dikaji sebahagian besar terlibat dalam bidang perniagaan. Mereka banyak menumpukan kerjaya mereka dan sentiasa bersaing di antara satu sama lain. Keadaan mereka sangat sibuk dan hanya mempunyai sedikit waktu untuk datang ke sekolah dan berjumpa dengan pentadbir ataupun guru-guru yang mendidik anak mereka. Keadaan ini jika tidak diubah akan melemahkan lagi peranan pihak sekolah untuk menangani pelbagai isu yang berkaitan dengan para pelajar. Mengikut C. Bernard (1938) Jurnal Penyelidikan MPBL, Jilid 5, 2004 dalam bukunya yang berjodol ‘The Functions Of The Executives’ menjelaskan: bahawa pentadbir perlu menggunakan sepenuhnya sumber yang ada dan mendapat sokongan daripada ahli sistem sosial di sekolah dan masyarakat luar’.

 Bersambung….

Posted in Perkongsian pintar | 4 Comments »

Kisah Empat Isteri

Posted by ilmu on 7th Julai 2008

   

Suatu ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.

 

Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang ka u-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.

 

Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.

 

Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. Dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedangang tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.

 

Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, “Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri.”

 

Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, “Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kaumendampingiku dan menemaniku?” Isteri keempatnya terdiam.

 

 ”Tentu ! saja tidak!” jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.

 

Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, “Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?”. Isteri ketiganya menjawab, “Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati”. Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.

 

Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, “Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku? ” Si isteri kedua menjawab perlahan, “Maafkan aku…aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu.”

 

Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa. Tiba-tiba terdengar satu suara, “Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu.”  

 

Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang Lalu berguman, “Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan ku biarkan kau seperti ini isteriku.”

 

Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini;

 

ISTERI KEEMPAT

adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.

 

ISTERI KETIGA

adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada! yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.

 

ISTERI KEDUA

pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburlah mereka akan menemani kita.

DAN SESUNGGUHNYA

 

ISTERI PERTAMA

adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi.Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk Terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita di akhirat kelak.


Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari!…

Posted in kisah | No Comments »

Pelancaran Kelas Digital Peringkat Daerah Ranau Oleh YB Datuk Hj Masidi Bin Manjun, Menteri Belia Dan Sukan Sabah

Posted by ilmu on 1st Julai 2008

 PERANCANGAN DAN PERLAKSANAAN PROGRAM KELAS BERASASKAN WEB UNTUK 5 BUAH SEKOLAH DAERAH DAERAH RANAU  

Sekolah-sekolah yang terlibat ialah SMK Paduka Mat Salleh Ranau, SK. Pekan  Ranau, SK. Pekan 2 Ranau, SJK(C) Pai Wen dan SK. Kilimu 

Selaras dengan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia, menjadikan sekolah-sekolah di Malaysia sebagai Sekolah Bestari, Pusat Kegiatan Guru Daerah Ranau telah melaksanakan beberapa program  persediaan serta pengisian kepada sekolah-sekolah yang bakal dibestarikan. Program ini juga merupakan salah satu daripada sumbangan PKG ke arah menjadikan ICT sebagai satu budaya serta menjadikannya sebagai satu amalan dan alat komunikasi dalaman sekolah tersebut dalam pelbagai bidang seperti:-  

1.  Proses pengajaran dan pembelajaran

2.  Dokumentasi dan pelaporan

3.  Data dan maklumat kelas dan murid

4.  Maklumat aktiviti kelas

5.  Memudahkan pemantauan pihak pentadbir sekolah

6.  Medan makluman dan pengumuman

7.  Forum dan ruangan pendapat, dan sebagainya. 

Pada mulanya PKG Ranau telah merancang untuk melaksanakan e-kelas kepada 2 buah sekolah iaitu SK. Pekan 2 dan SMK. Mat Salleh, tetapi terdapat kesukaran untuk menentukan bentuk dan keperluan data yang diperlukan. Dari itu, ia dibatalkan dan digantikan dengan pembinaan laman web kelas secara menyeluruh (semua kelas ada webnya sendiri) dan semua fungsi e-kelas dapat dilakukan di dalam laman web ini. Semua laman web ini dipautkan dalam laman pentadbir yang dikelolakan oleh pengetua / penyelaras.  

Perlaksanaan projek ini adalah sebahagian daripada pengisian program PKG 4 serangkai bermaksud untuk memperkasakan peranan PKG di sekolah-sekolah daerah Ranau serta memantapkan lagi hubungan kerjasama yang sedia terjalin di kalangan PKG, sekolah dan guru-guru. Projek ini akan membantu pihak sekolah ke arah sekolah digital yang mempunyai ciri-ciri berikut:-

1.    Menjadikan laman web sebagai medan dokumentasi

2.    Menjadikan ICT sebagai budaya di sekolah

3.    Menjadikan ICT sebagai alat komunikasi dalam pentadbiran sepeti penggunaan email

4.    Memperbanyakkan penggunaan e-aplikasi yang dihasilkan sendiri oleh pihak sekolah

Pelancaran Projek Kelas Digital ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Hj Masidi Bin Manjun, Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap Ketua UMNO Bahagian P179 Kinabalu.

Posted in Projek Kelas Digital | 6 Comments »