Hasil Kajian Amalan “Smart Partnership” 5 Buah Sekolah Daerah Ranau

PERKONGSIAN PINTAR (Smart Partnership) DALAM PENDIDIKAN-

FOKUS DI SEKOLAH – SEKOLAH DALAM DAERAH RANAU

 

ABSRTAK

 

Mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Tan Sri Abdul Rafie Mahat seringkali menyentuh tentang konsep ‘Smart Partnership’ sehingga diperkatakan dengan begitu  meluas. Saya telah melakukan kajian khas dengan menggunakan instrumen ringkas di 5 buah sekolah responden dalam daerah Ranau iaitu SK. Pekan, SK. Pekan 2, SJK(C) Pai Wen, SK. St. Benedict dan SK. Kilimu untuk mendapatkan tindakbalas maklumat yang boleh dikongsikan bersama. Dalam laporan ini, saya cuba  memberikan fokus  khususnya antara  harapan, amalan dan realiti di peringkat  daerah Ranau. Pada bahagian permulaan, saya ingin  membincangkan soal  konsep, matlamat dan  rasional perkongsian ini diamalkan. Kemudian saya juga memberikan  beberapa contoh cara  pelaksanaannya di pelbagai peringkat sehingga ia dapat  direalisasikan. Namun,  betapa baikpun  idea dari  konsep ini, tetap akan timbul banyak  persoalan dan halangan yang  perlu difikirkan bersama. Saya juga  memberikan beberapa kesan / faedah /implikasinya kepada semua pihak jika konsep ini berjaya diamalkan serta masa depan dalam sistem pendidikan khususnya di  sekolah-sekolah dalam daerah Ranau.

 

 

PENDAHULUAN

 

Sekolah sebagai satu sistem sosial yang tersendiri dan menjadi agen perubahan masyarakat seharusnya mengikut perubahan masyarakat. Ini kerana masalah masyarakat merupakan masalah sekolah juga. Maka dalam hal ini, tidak dapat tidak masyarakat perlu bekerjasama dengan sekolah untuk mencapai cita-cita sekolah dan negara (Ibrahim : 2001). Malahan institusi pendidikanlah yang memberikan perkhidmatan yang paling rapat dan berpanjangan kepada hampir semua golongan masyarakat. Timbulnya isu-isu pendidikan boleh mempengaruhi dan dipengaruhi oleh masyarakat. Oleh itu penglibatan masyarakat dalam bentuk perkongsian bagi kepentingan bersama dapat menjayakan hasrat dan aspirasi yang diimpikan.

 

Apakah Yang Dimaksudkan Konsep Perkongsian?

 

Mengikut Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Rafie Bin Mahat, Mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia di dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Pengukuhan Dan Peningkatan Kualiti Pendidikan Dan Profesionalisme Keguruan” menyatakan:

 

“Hubungan tiga dimensi iaitu sekolah, rumah dan komuniti perlu diberi  penekanan. Ketiga-tiga entiti ini perlu ada hubungan yang mantap dan akrab kerana kejayaan sistem pendidikan negara bergantung kepada sejauhmana ketiga-tiga elemen ini dapat berfungsi, saling melengkapi dan bantu membantu antara satu sama lain. Pihak pengurusan sekolah boleh memainkan peranan utama dalam merapatkan hubungan antara rumah dan komuniti melalui pelbagai cara selain daripada yang diketahui umum iaitu melalui PIBG”.

 

Saranan Ketua Pengarah itu amat jelas menyatakan bahawa sesebuah institusi pendidikan tidak boleh wujud bersendirian. Hubungan tiga dimensi yang disebut oleh beliau menerangkan bahawa permuafakatan dan perkongsian bijak (Smart Partnership) penting untuk membawa kejayaan kepada sesebuah institusi pendidikan pada masa kini.

 

Selain itu perkongsian pintar atau bijak adalah satu gabungan strategik yang membawa faedah sinergi kepada semua pihak yang terlibat. Dalam konteks sektor awam, perkongsian pintar berlaku apabila agensi-agensi berkongsi kepakaran, mengguna pakai pengalaman atau produk dalam sesuatu bidang yang telah terbukti berjaya dan sesuai.

 

Berkaitan dengan konsep “Smart Partnerships” atau perkongsian bijak atau pintar adalah konsep “Smart community”. Konsep ini merujuk kepada satu kumpulan masyarakat di mana agensi kerajaan, perniagaan, pendidikan, kesihatan dan institusi-institusi bukan kerajaan bersama-sama dengan orang awam dalam memahami dan menghayati potensi teknologi informasi untuk memperbaiki amalan kerja dan cara hidup.

 

Firman Allah dalam surah Al-Ma’idah ayat 2 pula bermaksud :

 

“Dan bertolong-tolonglah kamu atas kebijaksanaan dan taqwa. Dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam dosa atau permusuhan”.

 

Menurut Betty Boult (Donald, 1978), seorang Pembantu Superintenendent di Coquitlam, British Columbia:

 

“In many schools, parents are welcomed as equal partnerships in their child’s education. Educators at such institutions believe that making education a meaningful experience for students requires partnerships, education is a shared trust”.

 

Sebenarnya konsep perkongsian dalam pendidikan merupakan konsep lama yang telah diperbaharui daripada amalan-amalan yang telah biasa diamalkan dalam masyarakat kita seperti gotong-royong, kerjasama dan tolong-menolong. Malah masyarakat lain dalam dunia ini seperti Cina, Jepun dan India juga telah mengamalkan sikap bekerjasama sehingga terhimpun madah, ungkapan, bidalan atau perumpamaan yang menggambarkan kebaikan dan kepentingan mengamalkan semangat bekerjasama. Di kalangan masyarakat Melayu, ungkapan yang biasa kita dengar ‘seperti aur dengan tebing’, ‘bukit sama didaki, lurah sama dituruni’. Di kalangan masyarakat Cina madah seperti ‘semua manusia adalah saudaraku, semua makhluk adalah sahabatku’. Sementara di kalangan masyarakat Jepun pula, ‘persaudaraan adalah perlindungan yang paling mahal’. (Aminah Hamim & Gunawan Mahmood, 2001)

 

Oleh itu pada pendapat saya, perkongsian yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di sekolah merupakan usaha mengukuhkan semula segala kelakuan-kelakuan yang berunsurkan kerjasama untuk kebaikan bersama yang telah wujud dan diamalkan dalam agama dan budaya masyarakat kita. Ia merupakan usaha yang berterusan supaya dapat menangkis ancaman-ancaman dalam era globalisasi ini. Kalau tidak dikukuhkan ikatan perpaduan, sekolah akan bergerak bersendirian tanpa sokongan masyarakat.

 

Rajah 1: Menjelaskan bagaimana hubungan tiga dimensi antara sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam mencapai matlamat atau objektif yang sama. Ia juga boleh disebut sebagai hubungan tiga penjuru.

 

Apakah Matlamat Perkongsian Di Peringkat Sekolah Dalam Daerah Ranau?

 

Dalam usaha mencapai cita-cita sekolah dan negara, konsep perkongsian dalam pendidikan di daerah ini cuba mencapai matlamat supaya masyarakat dapat mengambil berat terhadap anak-anak mereka di sekolah. Permuafakatan dan kerjasama sekaligus akan menunjukkan keperihatinan mereka terhadap usaha membentuk dan mendidik generasi pada masa akan datang. Selain itu peranan pihak sekolah memerlukan masyarakat daerah ini untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah seperti disiplin, kesihatan, kebajikan, akademik dan sebagainya. Diikuti pula suasana kehidupan bandar yang semakin ketara dan kompleks sifatnya menyebabkan 5 buah sekolah responden menjadi institusi sosial yang memerlukan penyertaan dan kerjasama daripada ibu bapa dan masyarakat.

 

Melalui perkongsian juga, kita kita boleh membetulkan srtuktur kekeluargaan yang semakin berubah seperti mengejar kebendaan dan bersikap individualistik tanpa memperdulikan masyarakat sekeliling mereka. Tambahan pula masyarakat yang berada di sekitar sekolah-sekolah yang dikaji sebahagian besar terlibat dalam bidang perniagaan. Mereka banyak menumpukan kerjaya mereka dan sentiasa bersaing di antara satu sama lain. Keadaan mereka sangat sibuk dan hanya mempunyai sedikit waktu untuk datang ke sekolah dan berjumpa dengan pentadbir ataupun guru-guru yang mendidik anak mereka. Keadaan ini jika tidak diubah akan melemahkan lagi peranan pihak sekolah untuk menangani pelbagai isu yang berkaitan dengan para pelajar. Mengikut C. Bernard (1938) Jurnal Penyelidikan MPBL, Jilid 5, 2004 dalam bukunya yang berjodol ‘The Functions Of The Executives’ menjelaskan: bahawa pentadbir perlu menggunakan sepenuhnya sumber yang ada dan mendapat sokongan daripada ahli sistem sosial di sekolah dan masyarakat luar’.

 Bersambung….

Kisah Empat Isteri

   

Suatu ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.

 

Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang ka u-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.

 

Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.

 

Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. Dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedangang tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.

 

Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, “Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri.”

 

Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, “Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kaumendampingiku dan menemaniku?” Isteri keempatnya terdiam.

 

 “Tentu ! saja tidak!” jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.

 

Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, “Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?”. Isteri ketiganya menjawab, “Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati”. Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.

 

Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, “Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku? ” Si isteri kedua menjawab perlahan, “Maafkan aku…aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu.”

 

Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa. Tiba-tiba terdengar satu suara, “Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu.”  

 

Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang Lalu berguman, “Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan ku biarkan kau seperti ini isteriku.”

 

Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini;

 

ISTERI KEEMPAT

adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.

 

ISTERI KETIGA

adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada! yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.

 

ISTERI KEDUA

pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburlah mereka akan menemani kita.

DAN SESUNGGUHNYA

 

ISTERI PERTAMA

adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi.Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk Terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita di akhirat kelak.


Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari!…