Amalan Kajian Tindakan Teknologi Pendidikan: Ke Arah Guru Peka Inovasi

 

Seramai 40 orang guru yang terdiri daripada guru-guru sekolah rendah dan menengah di daerah Ranau ini telah didedahkan dengan amalan Kajian Tindakan Teknologi Pendidikan (KTTP) dan Inovasi Peringkat Daerah Ranau bagi Fasa 1 yang telah berlangsung pada 3 dan 4 Julai 2008. Sebanyak 7 tajuk dan isu yang telah disepakati untuk dikaji dan diuji keberkesanan bahan inovasinya di setiap sekolah yang terlibat. Bengkel ini telah dijalankan dengan kerjasama fasilitator PKTS En. Losinin Johalin, En. Rajibin Rasman dan En. Saimun Jaimin.

   

Sebahagian daripada gambar peserta yang telah mengambil bahagian.

Antara tajuk yang telah dibincangkan dalam bengkel ini adalah seperti berikut ( Teks penuh kertas cadangan dalam simpanan saya):

1. Meningkatkan  penguasaan Kemahiran Proses Sains dalam membuat inferens, Soalan Sains, Bahagian B bagi murid-murid Tahun 4 di Sk.Pahu Himbaan,Ranau dengan menggunakan Jadual Mudah Ubah.

2. Meningkatkan kemahiran memahami konsep sifir darab dari 2 hingga 5 untuk murid-murid tahun 2 dengan menggunakan kaedah “Satay Sifir”

3. Memperkaya Kosa Kata Pelajar Tahun 6 Bestari Dengan Menggunakan Program Sehari Selembar Benang dan Program 100-4. 

4. Meningkatkan kemahiran penguasaan menyebut nombor lebih dari 5 digit dengan menggunakan kaedah “Palang Tiga Nombor”

5. Meningkatkan kemahiran Menambah Dan Menolak  Tahun 3 dengan menggunakan “Kaedah  Magic Finger”.

6. Meningkatkan kemahiran Membunyikan Perkataan dua suku kata dalam Matapelajaran Bahasa Melayu Tahun 1 dengan kaedah 5 + 1.

7. Meningkatkan Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran IQRA 1 , Pelajar Tahun 1 Dengan Menggunakan Kaedah “MEDIA TRIANGLE”. 

SK. Maukab & SK. Randagong, Ranau: Ke Arah Sekolah Gemilang 2010

   

Gambar-gambar yang dirakam di SK. Maukab : Bilik Komputer, Guru-guru, Sekolah dan Guru Besar ( Pn. Pelagia Matigal-kanan)

Mempastikan semua program pendidikan dan perkhidmatan sokongan dilaksanakan dengan berkualiti untuk mencapai prestasi cemerlang dan gemilang menjelang 2010 merupakan visi kedua-dua sekolah ini iaitu SK. Maukab dan SK. Randagong Ranau.

Sebagai sebuah sekolah luar bandar yang masing-masing terletak 23km dan 17km dari Pekan Ranau, SK. Maukab dan SK. Randagong ingin membuktikan kecemerlangan pendidikan berjaya dikecapi dalam tempoh 3 tahun daripada sekarang.

Cikgu Juhilin Majin, Guru ICT merangkap Penolong Kanan SK. Maukab menjelaskan misi sekolah mencapai kecemerlangan pendidikan akan lebih mudah dicapai dengan adanya kerjasama yang padu daripada Guru-guru, Ibu Bapa dan Pelajar. Beliau juga menjelaskan bahawa pembelajaran berkonsepkan Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) telahpun diamalkan oleh sekolah ini sejak 2 tahun yang lalu dengan menggunakan portal internet Zoom-a. Laman web ini telah banyak membantu para pelajar khasnya Tahun 6 untuk menghadapi peperiksaan UPSR.

    

Gambar atas : Sebahagian daripada pelajar SK. Maukab dan Pusat Sumber Sekolah

SK. Randagong, Ranau yang dipimpin oleh Guru Besarnya En. Jailin Basir turut mempunyai perancangan ke arah menjadikan sekolah ini bersaing dengan sekolah-sekolah lain di daerah ini. Berbekalkan staff dan PIBG yang sentiasa memberikan kerjasama, beliau yakin misi dan visi sekolah ini akan dapat dicapai. Beliau memberitahu bahawa misi utama sekolah ini ialah untuk menjadi sekolah yang cemerlang dan gemilang dari segi akademik menjelang tahun 2010.

   

Gambar bersama pelajar sekolah, bilik ICT dan pondok bacaan

Rombongan kami telah memantau sekolah ini pada 09 Julai 2008. Walaupun keadaan jalanraya agak teruk, kami telah berjaya sampai ke destinasi. Kami telah memberikan khidmat bantu ke atas pengunaan alat-alat ICT, PSS dan pengurusan Harta Modal/Inventori.