KOLABORASI ILMU

Kelahiran Semula Kolaborasi Ilmu ..15 Februari 2008..

Archive for Julai 9th, 2008

Bandaraya Miri: 4 Hari Ke Arah Memantapkan Kolaborasi

Posted by ilmu on 9th Julai 2008

 

Pemandangan senja di MIRI, Sarawak

 

Miri wujud disebabkan kemunculan industri minyak dan gas asli yang pertama dijumpai pada tahun 1910 di Bukit Telaga Minyak, Bukit Kanada di bandar Miri. Semenjak itu, Daerah Miri terus pesat membangun hinggalah ke hari ini. Miri mendapat namanya daripada suku kaum Miriek yang merupakan penduduk bumiputra Miri pada abad ke-16. Orang-orang Eropah yang datang untuk mencari gali minyak di bandar ini secara tidak sengaja menukar nama Miriek menjadi Miri. Maka nama Miri kekal hingga ke hari ini.

Bandaraya ini terletak di bahagian Utara Sarawak, dikelilingi oleh laut di bahagian timur dan bersempadan dengan negara Brunei Darussalam. Keluasan bandaraya Miri ialah 977.43 km persegi. Ia mempunyai kira-kira 250 ribu orang penduduk terdiri daripada kaum Cina, Iban, Melayu, Melanau, India, Kayan, Kenyah, Kelabit, Penan, Bidayuh, Kedayan dan lain-lain lagi.

Setelah diiktiraf sebagai bandaraya pada Mei 2005 lalu, bandar Miri semakin pesat membangun dan kini lebih dikenali sebagai bandaraya peranginan kerana ia mempunyai tempat-tempat pelancongan yang menarik. Hal ini menjadikan Miri sebagai salah satu tumpuan pelancong dari serata dunia untuk melihat sendiri keindahannya. Mencari gali minyak masih diteruskan tetapi lebih tertumpu di persisiran pantai Miri.

Antara tempat yang menarik di Miri ialah Taman Negara Lambir, Taman Negara Niah, Taman Negara Mulu dan Taman Buaya.

Semasa saya tiba di Miri untuk melaksanakan Bengkel Kajian Tindakan Zon Sarawak, saya agak terpegun melihat perubahan dari segi pembangunan bandaraya ini berbanding 7 tahun yang lalu. Bukan sahaja pembangunan bandaraya ini begitu pesat dan cepat, bahkan pemandangan landskapnya begitu menarik, bersih dan teratur.

Keramahan dan kemesraan penduduk Miri menjadi aset kepada kedatangan pelancong luar. Orang-orang Miri tidak kira tua muda, lelaki perempuan menyambut tetamu dengan penuh sopan santun dan senyuman.

Maka tidak hairanlah, sepanjang saya bertugas dalam kursus yang dijalankan di Hotel Dynasty Miri selama 4 hari memudahkan proses KOLABORASI ILMU terutamanya di kalangan guru dan pegawai pengurusan.

Selamat berkunjung ke MIRI, SARAWAK 

Posted in Coretan Diari | No Comments »