Berbudi Kepada Tanah Untuk Menambahkan Pendapatan Dan Keseronokan

       

Lihatlah kesuburan tanaman sayur-sayuran tanah tinggi di Kundasang. Sejak tahun 1960-an lagi, Kundasang sudah mula terkenal sebagai kawasan penanaman sayur-sayuran tanah tinggi yang diusahakan secara komersial sekaligus menggantikan tanaman kopi yang diusahakan oleh penduduk sebelum itu. Walaupun amalan pertaniannya masih menggunakan kaedah tradisional pada ketika itu, pendapatan penduduk kampung telah meningkat berbanding sebelumnya. Pengeluaran sayur-sayuran di Kundasang telah diketahui dengan cepat bukan sahaja di daerah ini, bahkan di seluruh Sabah. Kundasang telah menjadi tumpuan orang tengah atau pemborong-pemborong sayur dari daerah lain seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Keningau dan Kudat. Di antara sayur-sayuran yang ditanam di kawasan ini ialah kobis bulat, kobis panjang, couliflower, brocolli, leek, onion, asparagus, tomato, cendawan, pelbgai jenis kacang, carrot, lobak putih, betroot, timun jepun dan pasli.

Berbudi kepada tanah memang menguntungkan. Sebenarnya bukan saja menambahkan pendapatan keluarga bahkan aktiviti ini memberikan keseronokan dan kepuasan lebih-lebih lagi apabila melihat sayur-sayuran yang ditanam mula membesar dan tidak lama lagi akan dapat memetik hasilnya. Gambar-gambar di bawah adalah sebahagian daripada kawasan penanaman sayuran di kebun saya. Di sinilah saya membina sebuah rumah. Musim cuti sekolah saya bersama keluarga akan bercuti di sini.