KOLABORASI ILMU

Kelahiran Semula Kolaborasi Ilmu ..15 Februari 2008..

Archive for Februari, 2009

SMKA Mohamad Ali dan SK. Kilimu Mewakili Anugerah PSS Cemerlang Peringkat Negeri

Posted by ilmu on 28th Februari 2009

SMKA MOHD ALI SKKILIMU - SEKOLAH RINTIS KELAS DIGITAL 

SMKA Mohamad Ali dan SK. Kilimu masing-masing akan mewakili Daerah Ranau ke Anugerah PSS Cemerlang Kategori SM dan SR Luar Bandar.

Pemilihan ini adalah berdasarkan kepada pencapaian kedua-dua sekolah dalam pertandingan pada tahun 2008. Kedua-dua sekolah ini telah dinobatkan sebagai johan Anugerah PSS Cemerlang Daerah Ranau pada tahun lepas dan layak ke peringkat negeri pada tahun ini.

Tahniah kepada kedua-dua sekolah ini di atas kejayaan yang dicapai. PKG Ranau sentiasa memberikan khidmat bantu dan sokongan supaya pencapaian ini dapat dipertingkatkan. 

Posted in Program PKG Ranau | 3 Comments »

PKG Ranau, Cabaran dan Masa depan

Posted by ilmu on 28th Februari 2009

Tahun 2009 merupakan tahun yang amat mencabar kepada PKG Ranau. Selain daripada fungsi sedia ada iaitu merancang dan melaksana program berkaitan dengan teknologi pendidikan dan ICT, PKG Ranau juga akan terlibat dalam penyenggaraan komputer di seluruh sekolah Daerah Ranau mulai 2009-2011

Selain daripada itu PKG Ranau juga kolektif dan komited melaksanakan promosi dan pemantauan penggunaan Education Web TV (EduWebTV) KPM. EduWebTV adalah prasarana media terbaru yang telah dilancarkan pada akhir tahun lepas.

Begitu juga dengan Kampus ASTRO yang telah dilancarkan oleh YB Menteri Pelajaran di Nabawan pada bulan lepas, PKG Ranau juga akan mempastikan penggunaannya di sekolah rintis daerah. Walaupun Kampus ASTRO baru sahaja dilancarkan, permintaan di kalangan guru-guru semakin tinggi. Ini kerana Kampus ASTRO mempunyai ciri-ciri yang lebih fleksibel berbanding dengan TV Pendidikan Melalui ASTRO sebelum ini. Salah satu ciri istimewa Kampus ASTRO ialah kemudahan rakaman secara automatik selama 80 jam.

PKG Ranau juga berusaha membantu sekolah-sekolah dan guru-guru ke arah memenangi anugerah-anugerah berprestij yang dipertandingkan sehingga ke peringkat kebangsaan iaitu:-

1. Anugerah PSS Cemerlang SR

2. Anugerah PSS Cemerlang SM

3. Anugerah NILAM Luar Bandar SR

4. Anugerah NILAM Luar Bandar SM

5. Anugerah Guru TMK

6. Anugerah Pemimpin TMK

7. Anugerah PKG Cemerlang

Bagi 4 anugerah 1-4 iaitu PSS Cemerlang dan NILAM (SR dan SM) wakil-wakilnya telahpun dipilih. Diharapkan wakil-wakil dari daerah ini akan memenangi sekurang-kurangnya satu daripada anugerah yang dipertandingkan.  

Posted in Program PKG Ranau | No Comments »

Laporan Online Maklumat GPM/GPSS Daerah Ranau

Posted by ilmu on 28th Februari 2009

Kepada semua Guru Perpustakaan dan Media & Guru PSS,

Seperti yang saya maklumkan dalam mesyuarat GPM/GPSS Daerah Ranau pada 20 Februari 2009, bahawa kutipan Maklumat PSS/GPM/GPSS akan dilakukan sebanyak 2 kali setahun iaitu pada bulan Januari dan Jun. Kutipan data ini adalah selaras dengan keperluan di peringkat BTPN dan BTP Kementerian.

Untuk kemudahan tuan/puan, pelaporan tersebut juga boleh dibuat melalui online database. Online database ini lebih mudah, cepat, terjamin dari keciciran, menjimatkan kertas, perbelanjaan dan masa.

Untuk membuat pelaporan, sila klik alamat web di bawah ini.

http://creator.zoho.com/adzmin/borang-maklumat-gpm-gpss/#Form:Borang_Maklumat_PSS

Atas kerjasama tuan/puan, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih.

Pegawai Teknologi Pendidikan, PKG Ranau.

Posted in Program PKG Ranau | No Comments »

Ranau Berjaya Bolot Dua Anugerah NILAM Peringkat Bahagian (PBU)

Posted by ilmu on 27th Februari 2009

nilam2 nilam1 nilam3

Hasrat wakil Daerah Ranau ke Anugerah NILAM Peringkat Bahagian Pantai Barat Utara (PBU) Sabah untuk membawa pulang kemenangan seterusnya mewakili PBU ke peringkat negeri Sabah telah tercapai apabila kedua-dua wakil sekolah rendah dan menengah membawa pulang hadiah johan bagi kategori luar bandar SR dan SM.

Wakil Sekolah Menengah Luar Bandar Adik Shahrizam Tahir dari SMKA Mohamad Ali dan Adik Mohd. Zulisyraf bin Zulkiflee dari SK. Kilimu akan mewakili Bahagian PBU ke peringkat Negeri Sabah yang akan diadakan pada 9 hingga 12 Mac yang akan datang ini.

Anugerah NILAM yang dipertandingkan sehingga ke peringkat Kebangsaan bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada pelajar cemerlang dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum. Walau bagaimanapun syarat utama pemilihan calon ke anugerah ini ialah mestilah telah mencapai tahap NILAM dengan membaca lebih daripada 288 buah buku (SM) dan 360 buah buku (SR). Calon-calon juga akan dinilai dari segi pencapaian akademik, ko-kurikulum, kewibawaan dan ketrampilan. 

Daerah-daerah lain yang telah mengambil bahagian ialah Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud. Sementara itu, tahun lepas (2008), Wakil Negeri Sabah dalam kategori SM (Bandar) dan SR (Luar Bandar) telah dinobatkan sebagai johan Anugerah NILAM Peringkat Kebangsaan sekaligus Sabah menjadi pemenang keseluruhan.

Posted in NILAM | No Comments »

KAMPUS ASTRO- Konsep 3R TV Pendidikan Era Baru

Posted by ilmu on 23rd Februari 2009

Kampus ASTRO 3 Kampus ASTRO 2 kampus ASTRO 1

Kota Kinabalu, 23 & 24 Februari 2003- Taklimat Kampus ASTRO kepada Pegawai Teknologi Pendidikan (PTP) PKG Negeri Sabah dan Labuan serta Guru Perpustakaan dan Media / GPSS bagi sekolah yang terlibat telah diadakan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sabah. Taklimat ini bertujuan untuk mendedahkan konsep Kampus ASTRO. Taklimat telah disampaikan oleh pegawai-pegawai daripada ASTRO Kuala Lumpur dan Sabah yang diketuai oleh Puan Aini Suraya, Pengurus Projek Kampus ASTRO.

Kampus ASTRO memiliki ciri-ciri yang lebih mesra pengguna dan mudah digunakan oleh guru-guru di sekolah. Salah satu daripada ciri-cirinya ialah kebolehan rakaman secara terus menggunakan DMG (Digital Multimedia Gateway) selama 80 jam dan sistem playback yang mudah. Kemudahan ini akan membolehkan guru-guru memilih rancangan pada bila-bila masa dan digunakan pada bila-bila masa tanpa risau ketinggalan rancangan pilihan mereka sendiri.

Projek rintis Kampus ASTRO ini melibatkan 53 buah PKG Sabah, Sarawak dan Labuan serta 128 buah sekolah. Pemasangan set dijangka akan bermula pada bulan Mac 2009. Dalam projek ini, pihak ASTRO bersetuju menerbitkan 12 saluran yang berbentuk pendidikan dan informasi. Saluran-salurannya ialah TV1, TV2, Astro Ceria, Astro Awani, Animal Planet, National Geographic, Disney, History, TVIQ, Discovery Science, BERNAMA dan Discovery Channel.

Pemasangan komponen di sekolah-sekolah, PKG, PTPB dan BTPN akan berlanjutan sehingga 3 fasa di antara 2009-2011 yang melibatkan 10 192 premis di seluruh Malaysia. Jika dibandingkan dengan TV Pendidikan Melalui ASTRO Kementerian Pendidikan Malaysia yang lalu, Kampus ASTRO memiliki lebih banyak kelebihan dan keistimewaannya. Konsep 3R kampus Astro TV Pendidikan era baru ini memperkenalkan teknik “Rancang – Rakam – Reka” membantu guru memperkenalkan kaedah baru dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Posted in Kampus ASTRO | No Comments »

Taklimat Pemantapan PSS Cemerlang Daerah Ranau

Posted by ilmu on 21st Februari 2009

20 Februari 2009 (Jumaat) – Mesyuarat Penyelarasan PKG/GPM/GPSS Kali Pertama Daerah Ranau telah diadakan bertempat Di Bilik Kuliah PKG Ranau. Tujuan pertemuan ini adalah untuk memantapkan pengurusan, perancangan dan perlaksanaan pelbagai program PSS Daerah. Tema yang dipilih ialah PSS Cemerlang Menjana Pelajar Terbilang.

Sesuai dengan hasrat ini, satu resolusi telah disepakati bersama iaitu bersama mencemerlangkan PSS ke arah menjana pelajar yang mampu bersaing di pelbagai peringkat. Ini kerana PSS merupakan institusi ilmu yang akan membantu pelajar mencapai kecemerlangan dan menjadikan budaya ilmu sebagai keutamaan di sekolah.

Dalam mesyuarat ini, perancangan dan perlaksanaan pelbagai program PSS telah dititikberatkan. Selain daripada itu NILAM, Gerakan Membaca dan Kempen Literasi juga diberikan penekanan. Sepanjang tahun ini beberapa anugerah dipertandingkan iaitu Anugerah PSS Harapan dan Cemerlang dan Anugerah NILAM. Pertandingan ini adalah bertujuan untuk mendapatkan calon ke pertandingan peringkat bahagian dan negeri.   

Diharapkan kepada semua GPM/GPSS bersama-sama mencemerlangkan PSS sebagai institusi ilmu yang akan membantu pelajar menguasai pelbagai bidang ilmu.

Posted in Mesyuarat Jabatan | No Comments »

Hari Sukan MSS Daerah Ranau 2009

Posted by ilmu on 20th Februari 2009

sukan 3 by you. sukan 4 by you. sukan 2 by you.  Sukan 1 by you.

Gambar hiasan.

Temasya sukan tahunan Majlis Sukan Sekolah-sekolah (MSS) Daerah Ranau telah dijalankan pada 16-19 Februari 2009. Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Dr. Joachim Gunsalam (ADUN Kundasang). Seperti biasa, banyak acara telah dipertandingkan untuk mendapatkan wakil ke MSS Bahagian dan Negeri.

Tahniah kepada penganjur. Seperti biasa pejabat ini juga terlibat sebagai pengurus teknikal PA System. Tahniah kepada En. Rajibin Rasman (PTP 2) kerana menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab

Posted in Belum dikategorikan | No Comments »

Kursus EduWebTV Daerah Ranau

Posted by ilmu on 20th Februari 2009

KursusEduwebTV Ranau 3 Kursus EduwebTV Ranau 2 Kursus EduWebTV 1 Ranau

Selaras dengan pelancaran bahan media baru iaitu web TV oleh Kementerian Pelajaran Malaysia melalui BTP, latihan kepada Guru-guru Media dan Perpustakaan sedang giat dijalankan. Dalam Siri / Fasa 2 ini, antara yang terlibat ialah 79 orang dalam daerah Ranau. Latihan selama 2 hari untuk 3 kumpulan bermula pada 18/2/2009 dan berakhir pada 26/2/2009 di Makmal Komputer SMK Dato Padukan Mat Salleh telah diadakan.

Jurulatih yang mengendalikan kursus ini ialah Cik Rafiah Awang Tuah dari  Zeal Hi Tech. Dalam kursus ini, perkara yang didedahkan ialah proses pendaftaran, prosedur membuat playlist dan cara-cara menggunakannya.

Tahniah kepada semua peserta kursus. Diharapkan anda dapat menggunakan media ini sebagai bahan bantu mengajar dan belajar.

Posted in Wev TV Pendidikan | No Comments »

Ulangtahun 1 Blog Kolaborasi Ilmu : Perutusan Admin

Posted by ilmu on 14th Februari 2009

 

Ilustrasi: Sewaktu menawan puncak Gunung Kinabalu. Menawan puncak Gunung Kinabalu lebih mudah daripada mengharungi cabaran dalam kerjaya jika sasaran kita menjadi orang yang cemerlang

Alhamdulillah, nampaknya rahmat Allah SWT semakin murah. Umur kita masih dilanjutkan sedetik lagi untuk menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan. Sesungguhnya Allah SWT mengutuskan kita ke dunia ini untuk menjadi khalifah yang mengabdikan diri semata-mata kepadaNya serta mengimarahkan dunia yang bersifat hanya sementara ini dengan melaksanakan tugas masing-masing mengikut kerjaya kita.

Dalam perjuangan kita yang tidak pernah selesai ini, kita tidak dapat lari daripada pelbagai cabaran. Cabaran yang datang pun tidak serupa. Ada yang ringan, sederhana dan tidak kurang juga yang berat. Persefsi kita terhadap cabaran-cabaran yang datang juga berbeza. Ada yang memandangnya sebagai positif dan ada juga yang memandangnya negatif. Ada yang menganggapkan sebagai takdir dan ada juga yang menganggapkan sebagai salah diri sendiri. Apapun pandangan dan tanggapan kita terhadap cabaran, pastinya tidak ramai orang yang suka jika diuji secara hebat. Kerana, ujian yang berat boleh menjadikan seseorang itu hilang pedoman. Bagi saya, cabaran mematangkan kita tetapi pada masa yang sama, saya tetap ada perasaan takut jika Allah SWT mendatangkan ujian yang tidak mampu saya tanggung. Apa yang saya boleh buat ialah berdoa kepadaNya agar diberikan kekuatan jasmani dan rohani di saat Allah SWT menguji saya dengan ujian yang berat itu.

Bercakap tentang kerjaya, saya telah berkhidmat agak lama dalam sektor pendidikan. Saya telah mengharungi banyak pengalaman dan tugas yang berbeza. Pengalaman pula sering bersilih ganti menelusuri era yang ditempuhi. Termasuklah sekarang ini yang dikatakan sebagai zaman IT (Teknologi Maklumat). Saya terlibat secara langsung dalam perkembangan IT sekolah-sekolah di pelbagai peringkat.

Kemunculan blog KOLABORASI ILMU ini sebenarnya adalah satu keperluan yang dicadangkan oleh kawan-kawan. Tujuan asal blog ini adalah untuk menerbitkan bahan-bahan berkaitan dengan kajian tindakan tetapi akhirnya saya juga mengsisikan beberapa bahan lain yang berkaitan dengan beberapa bidang ilmu yang saya perolehi daripada pembacaan.

Hari ini blog KOLABORASI ILMU menyambut ulangtahunnya yang pertama. Saya mengharapkan agar blog ini akan terus dilawati dan memberikan manafaat kepada para pembaca.

Terima kasih.

Posted in Housekeeping | 5 Comments »

Mendidik Akal Budi : Merapatkan Barisan Yang Kukuh BTPN Sabah dan Rangkaian

Posted by ilmu on 12th Februari 2009

   picture0007aa STAF PEJABAT 

   KPP BTPN Sabah              Ketua Unit PKG/PTPB                  PTPB PBU                   PTP PKG Ranau

Tidak dapat dinafikan bahawa kejayaan setiap organisasi bermula daripada sikap dan mentaliti para pegawainya. Kecemerlangan bermula daripada sikap dan mentaliti pegawai yang diberikan tanggungjawab melaksanakan tugas yang diamanahkan. Sikap dan mentaliti akan mempengaruhi tahap kecekapan, akautabiliti dan responsibiliti seseorang pegawai yang akhirnya melahirkan satu imej diri, budaya kerja dan pencapaian di dalam kerjaya yang diceburinya.

Bagi saya, sikap dan mentaliti ada hubungkaitnya dengan akal budi yang dimiliki seseorang. Akal budi lahir daripada kesedaran dan keinsafan yang tinggi terhadap tanggungjawab. Kerana itu, kita perlu mendidik akal budi agar sentiasa timbul rasa keinsafan yang tinggi dan kesediaan untuk bekerja semata-mata kerana Allah. Untuk mendidik akan budi, satu teamwork perlu merapatkan barisannya, kukuhkan kerjasama dan saling bantu-membantu antara satu sama lain untuk mencapai kecemerlangan kerja.

Saya lihat dari sudut yang kecil, BTPN Sabah dan Rangkaiannya sehingga ke PKG Ranau mempunyai keperluan untuk membentuk satu organisasi yang mantap dan sedia untuk melaksanakan tugas berat dengan semangat permuafakatan “bagai aur dengan tebing”. Bermula daripada KPP, Ketua Unit PKG, PTPB dan PTP PKG. Kekukuhan barisan mampu menghasilkan budaya kerja yang cemerlang, InsyaAllah.

Mesyuarat Penyelerasan BTPN/PTPB/PKG yang telah diadakan baru-baru ini iaitu pada 9/10 dan 11 Februari 2009 bertempat di BTPN Sabah sedikit sebanyak telah menghasilkan motivasi kendiri. Bagaikan emas salut..jika digilap akan berkilat kembali.

Bagi diri saya, semangat kerja amat tinggi, harapan untuk ke arah kecemerlangan juga sangat tinggi. Setinggi langit.. Pun begitu keupayaan kerja berbanding masa kita kerana banyak faktor lain yang menjadi penyebab seperti kerjasama pelanggan dan kakitangan. Adalah diharapkan agar semua yang terlibat dalam melaksanakan program BTPN, PTPB dan PKG bergerak satu rentak, satu nada dan satu tujuan supaya yang dipikul, berat dan ringannya sama dirasa. Mudah-mudahan PKG Sabah akan menjulang kegemilangan dengan satu nama yang sinonim dengan PKG kita.

Posted in BTPN Sabah | 5 Comments »

Ke Arah Budaya Ilmu Cemerlang : SMK Datu Paduka Mat Salleh

Posted by ilmu on 7th Februari 2009

     

Pembaca Budiman,

Apabila kita mengatakan tentang budaya ilmu di sekolah, institusi yang dominan tak lain tak bukan ialah Pusat Sumber Sekolah (PSS). Ia adalah nadi atau jantung kepada sekolah ataupun pusat pendidikan formal seperti institusi pengajian tinggi. PSS tidak akan lari dari fungsi sebagai pusat ilmu yang akan menjana kecemerangan pelajar.

Menyedari hakikat ini, saya melihat benih yang baik sedang tumbuh di SMK. Dato Paduka Mat Salleh dengan memulakan tahun baru 2009 dengan perancangan yang rapi di Pusat Sumber Sekolahnya. Kelmarin, Kursus Kepimpinan Pustakawan dan Majlis Kolaborasi Ilmu berjalan selama sehari. Dalam program ini, saya berkesempatan untuk menyampaikan ceramah dan perbincangan yang bertajuk “PSS Ke Arah Kecemerlangan Pelajar”

Program ini disertai oleh 24 orang guru PSS dan 20 orang pelajar (pustakawan). Program ini sangat tepat pada masanya kerana sebagai sekolah yang tertua dan terbesar di daerah ini, di sini tangungjawab PSS kepada pelajar yang ramai amat berat. Pasukan PSS yang terdiri daripada Pihak pengurusan, Guru Perpustakaan dan Media, Guru-guru penasihat PSS dan pustakawan perlu memperkukuhkan barisan dan mewujudkan semangat kerjasama yang padu untuk merancang dan melaksanakan pelbagai program.

Tahniah kepada semua AJK di bawah pimpinan Pn. Paimah Dusin, GPM yang telah bertungkus lumus menganjurkan program ini. Saya berharap sekolah anda akan berusaha ke arah PSS cemerlang peringkat Negeri Sabah pada tahun ini atau tahun-tahun yang akan datang.

Ingat pesan saya, “Untuk menunjukkan kecemerlangan – Kalau bukan kita, siapa lagi; Kalau bukan sekarang, bila lagi; kalau bukan di sini, di mana lagi”

Terima kasih

Posted in Pendidikan | No Comments »

Sekilas Pandang Terhadap Penggunaan Media Dalam P&P

Posted by ilmu on 1st Februari 2009

    

Saya teringatkan kata-kata ahli falsafah dan pujangga terkenal Cina, Kung Fu Tze: ” Kalau saya dengar, saya lupa; kalau saya lihat saya ingat; dan kalau saya buat, saya tahu”.

Kata-kata ini mempunyai makna yang mendalam bagi seorang guru yang setiap hari berhadapan dengan pelajar di dalam kelas. Teknik, kaedah dan strategi pengajaran guru akan mempengaruhi tahap kefahaman murid terhadap apa yang dipelajari. Dalam ertikata yang lain, jika guru mengajar dengan pedagogi yang sesuai dan menggunakan Bahan Bantu Mengajar (BBM) serta Bahan Bantu Belajar (BBB) yang efektif akan memudahkan pelajar memahami isi kandungan serta kemahiran tajuk yang diajar. Penggunaan media pengajaran seperti buku, lembaran kerja, carta, alat audio visual, internet, komputer dan sebagainya akan menjadikan pembelajaran lebih mudah dikuasai.

Sebulan yang lalu, saya terlibat untuk menganalisis instrumen responden yang mengkaji tentang keberkesanan penggunaan media CD Bestari dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris Tingkatan 6 di seluruh Malaysia. Dalam kajian ini, hampir keseluruhan daripada responden mengatakan bahawa penggunaan media dalam pengajaran dan pembelajaran amat berkesan. Senario ini amat besesuaian dengan pendapat beberapa pakar pedagogi seperi nordin (1991) yang mengatakan bahawa komponen media akan menambahkan keberkesanan pengajaran guru dan memudahkan pelajar menguasai pelajaran. Begitu juga dengan Atan dan Idrus (1999), Fontana (1985), Dale (1988) yang mengatakan bahawa media jika digabungkan dengan pengajaran tradisional (chalk and talk) akan menambahkan lagi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Menyedari hakikat ini, saya berkesempatan mengadakan khidmat bantu penggunaan teknologi pendidikan (TEKNOPEN) di beberapa buah sekolah di daerah ini untuk mempastikan penggunaan media pengajaran dapat dijadikan sebagai satu amalan dan budaya. Saya optimis jika pengajaran dan pembelajaran di sekolah sentiasa di tahap maksimum, sudah pasti pelajar akan lebih memahami pengajaran guru seterusnya menguasai kemahiran, menguasai pelbagai ilmu yang dapat membawa kepada kecemerlangan pelajar pada masa akan datang.

Kajian saya di SMK Kundasang pada tahun 2006 berkaitan dengan keberkesanan penggunaan media TV Pendidikan dan CDRI juga membuktikan bahawa purata markah pelajar dalam ujian pos selepas sesi pengajaran menggunakan media lebih tinggi berbanding dengan ujian pra yang hanya menggunakan buku kerja dan lembaran kerja murid.  

Walaupun penggunaan media telah diakui dapat mewujudkan suasana berkesan dalam sesi P&P di dalam kelas, namun dalam kajian tahap penggunaan media dalam pengajaran PPSMI pada tahun 2007 oleh Unit Penyelidikan BTP Kementerian Pelajaran Malaysia  kadar penggunaannya masih di tahap rendah. 

Bagi saya selaku pegawai yang dipertanggungjawabkan untuk memantau penggunaan media seperti komputer / laptop. CDRI dan sebagainya, adalah satu kerugian kepada kerajaan yang telah membelanjakan jutaan ringgit untuk menyediakan prasarana ini di sekolah-sekolah. Ini kerana penggunaan peralatan tersebut masih rendah, bahkan saya dapati banyak sekolah yang tidak menggunakannya. Saya berharap agar tahun 2009, senario ini akan berubah dan kesedaran para pendidik untuk memaksimumkan penggunaan media dalam P&P akan meningkat pada masa hadapan demi kecemerlangan pelajar-pelajar kita.

Info:

Media terbaru yang dilancarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu EduWeb TV. Ia boleh diakses di laman web http://www.eduwebtv.com

Posted in Pendidikan | No Comments »