Konflik…konflik..
Posted by ilmu on 18 Oktober 2011
Menyebut perkataan konflik, sudah tentu intepretasi kita ialah pertentangan di antara dua atau lebih individu. Pertentangan ini barangkali melibatkan pemikiran kognitif, nilai, persepsi, budaya, pendapat, pendirian dan sebagainya.
Saya cuba mendalami tentang hakikat konflik dalam kehidupan. Saya mendapati ia hampir berlaku pada setiap hari kita berhadapan dengan konflik, sama ada kecil atau besar dan sama ada disedari atau tidak. Saya mendengar dari Dr. Ling Ai Yieng, seorang Pakar Konflik menerangkan tentang sebab-sebab konflik berlaku. Antaranya disebabkan oleh masalah komunikasi, perbezaan matlamat, persepsi dan budaya, perkongsian sumber terhad, saling bergantungan, persepsi nilai yang berbeza, masalah kepimpinan, perbezaan personel personaliti, nilai dan tingkahlaku. Saya setuju kepada pendapat ini.
Saya juga cuba mencari dan membaca beberapa bahan untuk mengetahui cara menangani konflik ini dengan baik dan mendapati Model Dua-Dimensi yang dipelopori oleh Kilmann dan Gilbert agak sesuai. Antaranya ialah dengan menggunakan kaedah Pengelakan (Avoidance), Persaingan (Competition), penyesuaian (Accommodation), Kompromi (Compromise), dan Kolaborasi ( Collaboration).
Di dalam Islam, konflik dilihat sebagai perkara biasa, malah ia dianggap sebagai satu rahmat dari Allah SWT, kerana mampu membuka pintu kemudahan dan penyelesaian terhadap sesuatu masalah dan kepentingan manusia. Namun begitu, sekiranya konflik yang berlaku boleh membawa kepada keburukan, maka Islam telah menggariskan supaya ianya diselesaikan dengan adil melalui sistem yang telah ditetapkan oleh Islam. Firman Allah SWT di dalam Al Quran Surah Al-Hujuraat : 10 yang bermaksud “ Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang ( bertelingkah ) itu; dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu beroleh rahmat.”
Dr. Iqbal bin Yunus dari Institut Kefahaman Islam Amerika Syarikat telah mencetuskan ide S.A.L.A.M sebagai satu penyelesaian kepada konflik. S- Stating, A-Agreeing, L-Listening / Learning, A-Advising, M – Minimizing. Untuk mengetahui maksud S.A.L.A.M dengan lebih mendalam lagi, boleh diperolehi dari pelbagai sumber dalam internet.

