Masa Berlalu Begitu Pantas
Posted by ilmu on 7 Ogos 2012

Masa berlalu begitu pantas. Dah bulan Ogos dan ini bermakna ada 5 bulan lagi dalam tahun 2012. Pagi ni saya tertanya-tanya mengapa masa sangat cepat berlalu. Dulu-dulu, saya rasa tempoh setahun cukup panjang. Tapi sekarang begitu singkat sekali. Masa tak menunggu kita untuk dimanafaatkan. Ia berlalu sepantas angin yang bertiup. Secepat awan yang berarak. Walaupun kadang-kadang hidup kita diselubungi kesedihan dan kekecewaan yang seolah-olah menghentikan jarum masa dan menginsut perlahan, namun realitinya adalah sama. Masa tak pernah bergerak sumbang. Tak pernah lebih lambat atau cepat. Lambat atau cepat masa berlalu dalam perasaan kita hanyalah suatu tipu daya semata-mata.
Allah SWT berfirman yang bermaksud’ “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan orang-orang yang sentiasa berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran”. (Surat Al-Asr : Ayat 1-3)
Merujuk kepada firman Allah SWT di atas, jelaslah bahawa jika kita tidak memanfaatkan masa itu dengan sebaik-baiknya maka kita akan rugi. Banyak kata-kata hikmat yang selalu diungkapkan untuk menerangkan nilai masa yang begitu tinggi. Contohnya ”Masa itu emas” bahkan ia berharga lebih daripada segala-galanya. Masa ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya nescaya dia memotong kita. Masa tidak akan menunggu kita, ibarat masa berlalu, tak akan kembali lagi.
Hassan Al Banna pernah mengungkapkan bahawa masa itu adalah suatu kehidupan. Penyesalan atas masa yang telah berlalu tidak akan berguna lagi dan lebih kasar lagi ialah di antara tanda kehinaan itu ialah membuang masa. Sesungguhnya masa itu seperti pedang yang tajam dan kilat yang menyambar.
Mari kita pilih untuk diri kita apa yang memberi manfaat kepada diri kita dari waktu-waktu yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Ibnu Mas’ud pernah berkata, “Tidak pernah aku rasa menyesal atas sesuatu sebagaimana aku rasa menyesal setiap kali matahari terbenam, maka berkurangnya usiaku tanpa bertambahnya amalanku”. Khalifah Umar Abdul Aziz juga pernah berkata, ”Sesungguhnya malam dan siang sentiasa bekerja untuk kamu, maka bekerjalah untuk kedua-duanya”. Hassan Al Basri sorang waliyullah memberi pesan kepada orang-orang di sekitarnya yang sering membuang masa dari melakukan kerja yang tidak berfaedah dengan kata-katanya yang berbunyi ”Wahai anak Adam, sesungguhnya kamu umpama hari-hari, apabila berlalunya satu hari maka sebahagian kamu pun pergi juga”
Justeru itu, masa yang singkat ini perlu dimanafaatkan dengan menimba ilmu pengetahuan, berbakti kepada diri, keluarga dan masyarakat serta mendekatkan diri kepada Allah SWT. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang beruntung. Amin…


Ogos 10th, 2012 at 9:39 PM
sesunguhnya yg berat itu amanah..yg jauh itu masa lalu…dn yg dekat itu adalah mati….