Seminar Pengurusan Kualiti Dalam Pendidikan

Pagi ini saya akan Menghadiri Seminar Pengurusan Kualiti Dalam Pendidikan anjuran Pelajar Pascasiswazah Program Sarjana Pengurusan Pendidikan Tahun Akhir di Dewan Auditorium Pascasiswazah Universiti Malaysia Sabah. Program ini sangat signifikan khususnya kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam pengurusan pendidikan seperti pegawai-pegawai di peringkat Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan Daerah, Pengetua-pengetua, Guru-Guru Besar dan pemimpin-pemimpin di sekolah. Secara peribadi, saya berharap supaya lebih ramai dalam kalangan mereka ini menghadiri seminar pengurusan kerana bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan yang baru bahkan dapat melihat perkembangan pengurusan pendidikan melalui kajian para sarjana yang boleh dijadikan panduan semasa melaksanakan tugas di tempat masing-masing.

Kita sedar bahawa, tugas sebagai pemimpin pendidikan bukanlah mudah dan ia memerlukan gabungan kepakaran ilmu serta ketepatan tindakan. Kebolehan seseorang untuk memimpin dalam bidang pendidikan adalah bergantung kepada ilmu dan pengalaman yang ditimba di sepanjang perkhidmatan. Sudah tentu kita seringkali keadaan yang berbeza-beza dan ini menuntut kepada kemahiran mengadaptasi kebolehan ilmu dan kepakaran untuk menyelesaikan suatu situasi.

Bercakap tentang kualiti, kualiti merujuk kepada tahap kepuasan pelanggan. Umumnya apabila perkhidmatan ditawarkan, pelanggan menuntut kepuasan daripada perkhidmatan yang diberi. Organisasi sepatutnya mengamalkan budaya korporat untuk memastikan jaminan kualiti.

Pendidikan adalah sektor yang memerlukan jaminan kualiti. Ini kerana sektor pendidikan merupakan sektor yang sangat penting dan mempunyai stakeholder yang sangat ramai. Kalau kita lihat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, lima kumpulan stakeholder pendidikan yang menuntut tahap kualiti pendidikan supaya diperbaiki. Lima kumpulan stakeholder tersebut adalah pegawai di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Pemimpin Di Sekolah (Pengetua dan Guru Besar), Guru-Guru Di Sekolah, Para Pelajar dan Masyarakat Awam.

Banyak usaha-usaha telah dibuat untuk meningkatkan kualiti khususnya di sekolah. Konsep Sekolah Berkualiti, Total Quality Management (TQM), The Good High School, Pergerakan Pembaikan Sekolah (School Improvement Movement) dan Pergerakan Sekolah Efektif telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pendidikan. Pada tahun 80-an pula, sektor awam pula telah memperkenalkan konsep Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) yang boleh dipraktikkan di sekolah.

Pihak kerajaan juga telah memutuskan supaya agensi-agensi kerajaan mengamalkan satu sistem pengurusan kualiti yang universal dan berlandaskan kepada standard yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Unit Kemajuan Tadbiran Awam Malaysia (MAMPU) telah mengeluarkan garis panduan kepada agensi-agensi kerajaan untuk melaksanakan sistem kualiti yang baru diperkenalkan.

Pengenalan itu adalah untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sektor awam. Sistem kualiti tersebut menekankan prinsip-prinsip dan ciri-ciri seperti berikut:

1. Pencegahan dan bukan mengatasi masalah setelah ia berlaku

2. Kajian semula yang berterusan ke atas proses-proses yang kritikal dan membuat tindakan pembetulan

3. Mewujudkan cara bekerja yang konsisten dan menepati prinsip-prinsip betul pertama kali dan setiap kali

4. Mementingkan penyimpanan rekod kualiti untuk membuktikan tindakan yang telah dilaksanakan

5. Semua kerja adalah berasaskan kepada dasar dan prosedur yang didokumenkan, dan

Berdasarkan kenyataan tersebut, sekiranya setiap agensi kerajaan dan sekolah melaksanakan sistem kualiti maka akan wujud kualiti menyeluruh yang menggabungkan pembangunan individu, pembangunan ilmu, dan pembangunan organisasi yang dijamin dan dimantapkan dalam satu sistem yang difahami oleh semua warga sekolah dan masyarakat.

Diharap seminar ini akan dapat memberikan garis panduan yang berguna kepada pemimpin-pemimpin pendidikan yang hadir. Selamat berseminar..!

Peserta 1 Peserta 2 Peserta 3Peserta 4

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *