Program Guru Penutur Jati Tingkat Penguasaan Bahasa Inggeris Di Sekolah

Program Penutur Jati merupakan salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Bahagian Pembangunan Dasar Kurikulum. Ia telah diperkenalkan di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam usaha untuk mempertingkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru sekolah.

Strategi yang dicadangkan adalah dengan pengambilan pakar bahasa Inggeris (mentor) dari luar negara untuk bekerjasama dengan pakar negara ini bagi tujuan mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru mata pelajaran tersebut. Matlamat utama program adalah untuk meningkatkan kapasiti tenaga pengajar dalam pedagogi dan pengetahuan bahasa Inggeris yang seterusnya dapat membantu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah lebih menarik.

Program ini disasarkan kepada guru bahasa Inggeris Tahap Satu (Tahun 1, 2 dan 3) di 1,800 buah sekolah rendah di seluruh negara. Seramai 360 penutur jati dibahagikan kepada beberapa kawasan di seluruh negara. Seorang penutur jati dipertanggungjawabkan untuk menjaga lima buah sekolah yang berada di sesuatu kawasan tersebut. Tiga vendor telah mengendalikan program ini selama tiga tahun iaitu SMR HR Group bagi kawasan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya; Brighton Education Group (Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan) dan British Council Malaysia (Sabah, Sarawak dan Labuan).

Selain meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru, program ini diadakan bagi membantu kementerian meningkatkan tahap kebolehan berbahasa Inggeris di kalangan murid-murid sekolah luar bandar. Kepentingan program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada murid-murid di kawasan luar Bandar. Selain membantu meningkatkan kemahiran dalam penggunaan bahasa Inggeris, program ini juga secara tidak langsung membolehkan murid-murid luar bandar berkomunikasi secara langsung dengan guru bahasa Inggeris dari luar negara dan seterusnya meningkatkan keyakinan diri mereka.

Pelbagai pendekatan menarik diwujudkan melalui program ini yang bermatlamat untuk meningkatkan lagi keseronokan murid-murid untuk belajar bahasa Inggeris termasuklah aktiviti latihan, aktiviti bercerita dengan muzik dan juga aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah. Proses pengajaran dalam pelbagai bentuk kaedah dan situasi berbekalkan pengalaman dan cara-cara pengajaran baru ini lebih kreatif dan mampu menambah minat murid-murid untuk meminati subjek bahasa Inggeris.

Rujukan : www.moe.gov.my , www.utusan.com.my , http://ppdkinta.edu.my , http://btpnsel.edu.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *