Budaya Ilmu Teras Pembinaan Generasi Sepanjang Zaman

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana masih diizinkan untuk terus menghirup udara dan hidup di bumi Allah SWT ini. Tak terasa masa berjalan dengan begitu cepat. Cepatnya masa berlalu itu bagai angin yang datang dan beredar laju meninggalkan kita. Namun, setiap detik kehidupan jika diisi dengan aktiviti yang baik pasti akan menguntungkan kita selepas kehidupan yang bersifat sementara ini. Hari ini sudah masuk 7 Muharam 1435H. Tahun baru yang pastinya setiap individu muslim mahu menjadikannya lebih baik dari tahun-tahun yang sudah berlalu.

InsyaAllah dalam ruangan yang terbatas ini, saya ingin mencoretkan sesuatu bukan kerana hendak mengajar para pembaca (jauh daripada itu). Hanya ingin berkongsi ilmu dengan harapan mudah-mudahan ada manafaatnya kepada diri saya sendiri dan para pembaca. Lagi pula sudah lama tidak menulis diblog ini. Sedih melihat blog ini seperti ditinggalkan oleh yang empunya.

Islam sangat menghargai  ilmu. Jika dikaji secara holistik, kitab suci al-Quran mengandungi bukan sahaja ilmu yang berkaitan agama tetapi ia juga mengandungi ilmu mantik seperti ilmu keduniaan iaitu ilmu pengetahuan Sains dan Matematik. Ini dapat dilihat dari 6666 ayat suci Al-Quran, lebih 700 ayat adalah ayat yang membicarakan tentang ilmu Sains dan Matematik ini termasuk disiplin-disiplin atau pecahan-pecahan ilmu yang berkaitan contohnya, geografi, ekonomi, astronomi dan sebagainya. Ini secara tidak langsung al-Quran bukan sahaja berperanan ilmu berkaitan agama tetapi juga berkaitan dengan ilmu keduniaan seperti yang disaran oleh Allah S.W.T untuk dikaji demi meningkat keimanan kepada-NYA dan pada masa yang sama dapat meningkatkan ketamadunan umat manusia. Hal ini telah dijelaskan didalam al-Quran yang bermaksud:

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam, Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”

(Surah al-‘Alaq: 1-5)

                                                                      

Berdasarkan ayat di atas, jelas mengambarkan kepentingan ilmu kepada umat sejagat khususnya umat Islam dalam usaha membangunkan tamadun dan peradaban unggul serta menjadi contoh kepada umat lain. Di samping itu, budaya ilmu bukanlah semata-mata pendidikan formal seperti yang diajar di sekolah-sekolah mahupun di institusi-institusi pengajian tinggi tetapi juga boleh dipelajari secara tidak formal seperti diskusi dengan rakan, membuat inkuiri sendiri dan sebagainya. Umat Islam terdahulu perlu prihatin akan kepentingan ilmu dan mereka mesti berusaha menguasainya. Ilmu membantu kita untuk menyelesaikan masalah harian yang timbul seperti menentukan waktu solat atau arah kiblat  seperti diterangkan dalam al-Quran

“Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarnya.”

(Surah Yassin, : 40 )

Kesan daripada penguasaan  ilmu yang mendalam, maka lahirlah tamadun dan peradaban Islam yang agung contohnya, zaman Kerajaan Bani Abbasiyah kurun ke-8 masihi dan Kerajaan Umaiyah Andalus ( 756-1031 masihi ) dalam pelbagai disiplin ilmu pengetahuan dan hasil kajian mereka menjadi rujukan sehingga kini dan menjadi bahan rujukan utama semasa kebangkitan tamadun Eropah iaitu zaman Renaissance sekitar abad ke-13 sehingga abad ke-18 masihi.

Kemuliaan orang yang berilmu memang tidak dapat dinafikan lagi. Justeru, diibaratkan seorang yang berilmu dan mengamalkan ilmunya lebih baik dan ditakuti syaitan lebih daripada 1000 orang ahli ibadah yang tidak bersandarkan kepada ilmu itu sendiri. Oleh itu, marilah kita bersama-sama mencintai ilmu. Suka kepada jalan-jalan ilmu. Minat mencari lorong-lorong ilmu. Contohnya suka membaca buku, mendengar ceramah-ceramah,  usrah, perbincangan dan berdamping dengan para guru dan ulama. Generasi kita hari ini akan kekal cemerlang jika terus menimba ilmu walaupun pada usia tua bahkan hingga ke liang lahad..!!

 

4 thoughts on “Budaya Ilmu Teras Pembinaan Generasi Sepanjang Zaman

  1. .. Apabila kita gali gali ilmu Allah…kita kenal siapa kita…kita tahu sejauh mana kejahilan kita…..Sesungguhnya ILMU itu adalah Nur..cahaya yg menerangi setiap kegelapan..mencerahkan setiap kejahilan…” – ilmu tanpa amal, ibarat pokok yang tidak berbuah, 🙂

  2. Benar sekali. Ilmu itu tidak lengkap dlm diri kita selagi tdk diamalkan. Ia hnyalah satu maklumat yang mana tidak akan memberikan manafaat langsung kepada diri kita.

  3. (Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya..
    Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran..Dia lah yang telah menciptakan manusia; Dan Dia mengajarkn manusia agar pandai berbicara..;Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu..; ( Ar-Rahman 1-6) ..

    Dan Dialah Yang menurunkan HUJAN sesudah mereka berputus asa dan menyebarkan rahmat-Nya… Dan Dialah Yang Maha Pelindung lagi Maha Terpuji… (Ash-Shuraa [42] : 28)..

    slamat menghadiri taman2 ilmu (taman syurga) sir..bittaufiq wannajah… 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *