Mencintai Keikhlasan : Anggap Orang Lain Lebih Baik Dari Kita

Amat berat untuk menjadi seorang yang ikhlas. Sebagaimana pernah diakui oleh seorang ulama besar Sufyan ats-Tsauri, beliau berkata, “Tidak ada suatu perkara yang paling berat bagiku untuk aku ubati daripada meluruskan niatku, kerana niat itu boleh berubah-ubah terhadapku.”

Namun, bukan bermakna ikhlas itu tidak dapat dilakukan atau diusahakan kerana ikhlas itu adalah suatu ‘ilmu’. Ilmu di mana kita dapat mempelajari dan menghayatinya sehingga akhirnya kita benar-benar faham dan tahu hakikat ikhlas. Ikhlas itu sendiri merupakan perkara yang amat rahsia, ia adalah perintah dan ia adalah syarat diterimanya suatu ibadah.

Allah berfirman, “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus.” (QS. Al-Bayyinah: 5)

Memang benar, ikhlas adalah rahsia, rahsia dalam hati tiap-tiap insan. Begitu samar dan tersembunyi, sehingga sukar bagi diri seseorang atau orang lain untuk mengukur kemurniannya.

Hasan al-Banna pernah berkata tentang makna ikhlas, “Ikhlas adalah seorang saudara muslim yang bermaksud dengan kata-katanya, amalnya, dan jihadnya, seluruhnya hanya kepada Allah, untuk mencari redha Allah dan balasan yang baik dari Allah tanpa melihat kepada keuntungan, bentuk, kedudukan, gelaran, keuntungan atau kerugian.

Salah satu sebab jauhnya diri kita dari ikhlas ialah sifat ujub, sifat berbangga diri dan menganggap diri kita lebih baik daripada orang lain. Sifat ini yang sering muncul tanpa disedari, merobek keikhlasan, menodai kemurnian hati dan mengotori jiwa.

Tentunya kita tak ingin, keikhlasan yang ada di dalam hati kita tercemar. Dan perkara yang dapat kita lakukan untuk menjaga keikhlasan adalah dengan menghapus sifat ujub itu dari dalam hati dan bersederhana dengan menganggap orang lain lebih baik daripada diri kita, anggaplah ia lebih mulia di sisi Allah.

Allah SWT menjelaskan dalam satu Hadis Qudsi melalui baginda Nabi SAW yang bermaksud:

Keikhlasan adalah rahsia yang diambil dari rahsia-rahsia-Ku. Aku telah menempatkannya sebagai amanat di hati sanubari hamba-hamba-Ku yang Aku Cintai.” (HR. al-Qazwaini)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *