KOLABORASI ILMU

Kolaborasi Online Dibangunkan Pada 15 Feb 2008 Untuk Mendokumentasikan Pelbagai Maklumat

Archive for the 'Bicara Ilmu' Category

TEKNOLOGI WEB 2.0 MENYOKONG PEMBELAJARAN UBIQUITOUS KE ARAH MEMANTAPKAN LAGI PEMBELAJARAN KENDIRI

Posted by ilmu on 22nd Januari 2013

Pembelajaran boleh berlaku di mana jua kita berada dan pada bila-bila masa sahaja. Ia juga disebut sebagai Pembelajaran Ubiquitous. Dengan adanya kemudahan internet yang tidak terhad, maka kita lebih mudah mengakses pelbagai maklumat dan bahan pengajaran serta pembelajaran sama ada secara formal atau tidak formal dengan tujuan untuk menambahkan lagi ilmu pengetahuan yang sedia ada. Orang selalu sebut sebagai maklumat di hujung jari.

Walaupun kaedah pembelajaran ubiquitous tidak mengambil peranan guru secara keseluruhannya, namun tidak dapat dinafikan bahawa pelajar masa kini mempunyai peluang yang lebih luas untuk menimba ilmu pengetahuan melalui pembelajaran kendiri. Maka tidak hairanlah jika ramai pelajar yang telah menguasai satu-satu topik pembelajaran sebelum ia diajar oleh guru.

Pembelajaran ubiquitous ini dipengaruhi oleh perkembangan pesat ICT global dan ini telah memberi pengaruh yang besar kepada kehidupan kita. Apa yang lebih membanggakan lagi ialah ia turut memberi impak yang meluas dalam sistem pendidikan di Malaysia melalui proses Pembestarian Sekolah di dalam usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Sehubungan dengan itu, penggunaan teknologi terkini seperti aplikasi Web 2.0 yang semakin meluas membolehkan pelajar mencari maklumat dan informasi dengan lebih mudah dan berkesan.

Aplikasi web 2.0 bukanlah merupakan perkara baru dalam dunia internet. Jika sebelum ini masyarakat hanya menggunakan web untuk mencari maklumat semata-mata, tetapi dengan kewujudan web 2.0 , komunikasi dapat dijalankan secara dua hala selain menjadikan komunikasi begitu berkesan, pantas dan mudah. Masyarakat bukan sahaja dapat melayari web malah dapat mempamerkan, memperluaskan dan berkongsi kreativiti mereka dengan sesiapa sahaja tanpa batasan masa, ruang dan lokasi.

Aplikasi Web 2.0 merupakan persekitaran yang sempurna bagi para pendidik. Penggunaan Web 2.0 ini membantu mengubah landskap abad ke-21 dalam bidang pendidikan. Ia membentuk pendekatan pelajar untuk belajar, pendekatan pengajar untuk mengajar dan bagaimana pendidik berinteraksi dengan pelajar.

(Hargadon, 2009). Menurut Khalili dan Shashoani (1994) dan Moore dan Kearsley (1996) penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran mampu meningkatkan hasil pembelajaran. Selain itu, Bower (1998) pula menekankan lagi bahawa pengajaran berasaskan teknologi adalah lebih alternatif dan perlu terus ditingkatkan. Penggunaan teknologi dalam bidang pendidikan menyediakan kaedah dengan memberi penekanan kepada penciptaan dan penerokaan ilmu secara aktif serta menjadikan pelajar lebih berfikiran kreatif dan inovatif. Tentu saja, ini adalah berita baik untuk pendekatan pendidikan atas talian kerana menyediakan medium untuk menjadikan sistem pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan mudah.

Teknologi Web 2.0 seperti blogspot, wordpress dan edublogs telah memberikan peluang yang lebih besar dan mudah kepada guru-guru untuk membangunkan laman web sekolah yang lebih interaktif dan dinamik. Oleh itu, adalah diharapkan agar sekolah-sekolah yang belum mempunyai laman web supaya dapat membinanya secepat mungkin.

Posted in Bicara Ilmu, ICT Sekolah, Pendidikan, Pendidikan Anak-Anak, Pengajaran dan Pembelajaran, Perkongsian pintar, Teknologi Maklumat | No Comments »

Pengaruh Ibu Bapa Terhadap Pendidikan Kanak-kanak

Posted by ilmu on 13th Disember 2012

PENGENALAN

Keluarga merupakan sebuah institusi yang mampu mempengaruhi ahli-ahlinya yang terdiri dari ibu bapa dan anak-anaknya. Ibu bapa sebagai pengurus bertanggungjawab untuk membentuk dan memastikan anak-anaknya menjadi insan yang berguna dan mampu menyumbang ke arah kebaikan sejagat. Di samping itu, ibu bapa mempunyai peranan yang penting di dalam mempengaruhi pencapaian akademik anak-anak mereka. Menurut Rozumah Baharudin (2001), masalah kepincangan peranan keluarga banyak mempengaruhi serta menjejaskan pendidikan anak-anak mereka.  Struktur dan nilai keluarga tersebut sering dipengaruhi oleh kecekapan yang membabitkan proses memperbaiki kedudukan ekonomi serta peningkatan pencapaian diri ibu bapa tersebut.

Selain dari itu, kurangnya sikap tanggungjawab di kalangan ibu bapa menyumbang kepada kegagalan dari segi pengawalan dan penekanan terhadap pengaruh dan gejala luar yang semakin mencabar pada masa kini. Ibu bapa seharusnya menjadi contoh yang terdekat kepada anak-anak dalam keluarga mahu pun dalam masyarakat. Kegagalan ini bukan sahaja akan mempengaruhi keperibadian anak-anak mereka malah mempengaruhi proses pembelajaran yang berlaku secara terancang dan tanpa disedari. Kebergantungan dan penyerahan tanggungjawab ini kepada pihak lain akan menyebabkan ibu bapa secara tidak langsung mempengaruhi pembelajaran anak-anak mereka. Sebagai contoh, pertembungan budaya di dalam keluarga dan kurikulum yang dilaksanakan dalam pendidikan di sekolah akan mengujudkan suatu suasana yang menekan dan hilangnya tumpuan di kalangan pelajar-pelajar yang sering bermasalah. Keadaan ini seharusnya ditangani oleh para ibu bapa bagi membentuk anak-anak mereka seiringan dengan kurikulum sekolah yang mempunyai objektif membentuk insan yang berguna.

Pendidikan merupakan suatu wadah bagi seseorang untuk memperbaiki dan mempertingkatkan tahap pencapaian mereka melalui kedudukan taraf sosio ekonomi dalam masyarakat. Namun, ini bukannlah ukuran yang tepat dalam pencapaian hasrat diri yang sebenar. Peranan pelbagai pihak terutama sekali ibu bapa memainkan peranan yang penting dan utama di dalam mempengaruhi proses pembelajaran anak-anak mereka.

Pencapaian akademik seseorang pelajar akan diukur melalui pencapaian mereka di dalam peperiksaan. Walaubagaimanapun, pengukuran ini seharusnya melihat kepada skop yang lebih luas lagi agar pelajar-pelajar yang mempunyai tahap pencapaian yang rendah mampu terus berdikari untuk memperbaiki diri serta kaedah pembelajaran mereka yang paling sesuai. Jesteru itu, kegagalan pelajar-pelajar di dalam pengukuran ini adalah berpunca daripada pembelajaran yang tidak berlaku sebaik mungkin. Pelbagai faktor berdasarkan pelbagai sudut kajian telah dijalankan bagi mengetahui faktor-faktor yang mempengaruhi proses pembelajaran pelajar-pelajar tersebut.

Faktor-faktor persekitaran keluarga di dapati memainkan peranan yang penting di dalam mempengaruhi proses pembelajaran anak-anak mereka. Institusi keluarga merupakan institusi terawal dan terpenting serta bertanggung jawab di dalam pembentukkan peribadi individu samada dari segi akqidah, syariah atau pun akhlak (Mustafa Haji Daud, 1989). Ini dapat diperjelaskan dengan melihat sendiri betapa besarnya pengaruh ibu bapa terhadap anak-anaknya sehinggakan ia mampu membentuk sahsiah seorang anak tersebut. Perasaan pertalian kasih sayang mampu membentuk ketaatan dan kesetiaan dalam memudahkan anak-anak menerima tunjuk ajar dan nasihat daripada kedua ibu bapanya. Ini adalah bersifat kekal dan berpanjangan serta mampu mempengaruhi proses pembelajaran anak-anak mereka.

Kekukuhan dari segi ekonomi dalam sesebuah keluarga memainkan peranan yang penting di dalam menyediakan keperluan dari segi nafkah dan pendidikan. Keperluan yang dapat dipenuhi sedikit sebanyak mempengaruhi proses pembelajaran yang dialami oleh anak-anak. Oleh yang demikian kesempurnaan dalam proses pembelajaran akan menghasilkan serta membentuk generasi yang gemilang pada masa hadapan. Keupayaan ibu bapa untuk memberikan pendidikan sepenuhnya kepada anak-anak mereka akan menjamin masa depan yang cerah.

 FAKTOR-FAKTOR MEMPENGARUHI PEMBELAJARAN 

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi pembelajaran pelajar-pelajar namun berikut adalah antara beberapa faktor yang mampu mempengaruhi pencapaian akademik pelajar-pelajar antaranya; sikap ibu bapa itu sendiri, minat ibu bapa, tahap pendidikan ibu bapa, didikan dan bimbingan ibu bapa, latar belakang ekonomi, dan keruntuhan rumahtangga.

 Sikap Ibu Bapa Pelajar

Sikap merujuk kepada kepekaan para ibu bapa terhadap keperluan pendidikan anak-anak mereka. Setiap ibu bapa seharusnya lebih sensitif dengan pendidikan anak mereka kerana sebarang aktiviti berbentuk pendidikan akan membantu meningkatkan pembelajaran seperti kelas tusyen, membeli buku-buku bacaan dan tambahan, lawatan dan sebagainya. Selain dari itu, ibu bapa juga mempunyai banyak masa dengan anak-anak berbanding dengan pihak lain dan masa yang lebih panjang ini seharusnya digunakan untuk mendorong dan menggalakkan anak-anak untuk memperbaiki proses pembelajaran mereka dengan bimbingan yang berguna.

Minat Ibu Bapa

Minat didefinisikan sebagai sebuah keghairahan dan kegemaran untuk melakukan sesuatu perkara atau aktiviti yang akan menumpukan pada daya usaha , masa, pemikiran dan sumber-sumber bagi memenuhi keinginan minatnya (Sufean, 1996). Ibu bapa hendaklah mempunyai minat yang mendalam terhadap kemajuan anak-anaknya kerana tanpa minat ini akan menyebabkan perhatian serta perasaan ambil berat terhadap pembelajaran anak mereka berkurangan dan bukan menjadi sebagai suatu perkara yang utama dalam kehidupan sehariannya.

 Dengan adanya minat dikalangan ibu bapa ini akan menimbulkan suatu suasana dorongan yang positif ke atas anak-anak mereka di dalam pencapaian kecemerlangan dalam pembelajaran serta membentuk kecerdikan dan kecerdasan anak-anak tersebut. Walaubagaimanapun terdapat segelintir ibu bapa yang kurang minat terhadap pembelajaran anak-anak mereka dan menyerahkan segala urusan serta tanggungjawab pembelajaran ini sepenuhnya kepada pihak sekolah.

Pendidikan Ibu Bapa

Latar belakang pendidikan ibu bapa dapat mempengaruhi pembelajaran anak-anak mereka. Ini adalah disebabkan mereka yang mempunyai pendidikan yang baik mampu untuk mempengaruhi pembelajaran anak-anak mereka melalui pengetahuan bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi dalam pelajaran. Di samping itu, latar belakang pendidikan ini juga mempengaruhi minat sebenar ibu bapa kerana ibu bapa yang mempunyai pendidikan yang baik akan lebih mengutamakan minat  anak mereka dalam pendidikan berbanding dengan ibu bapa yang langsung tidak mempunyai latar belakang pendidikan. Sebaliknya ibu bapa yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan akan mengutamakan anak-anak mereka untuk lebih berdikari bagi memperbaiki kedudukan ekonomi mereka.

 Ibu bapa yang mempunyai pendidikan yang baik dapat membantu proses pembelajaran anak-anak mereka di luar masa persekolahan jika dibandingkan dengan ibu bapa yang tidak mempunyai pendidikan. Kebiasaannya ibu bapa yang mempunyai pendidikan akan berada dalam kedudukan ekonomi yang stabil dan mampu membantu perkembangan pembelajaran anak-anak mereka selain memberi keselesaan pembelajaran di rumah yang lebih menarik minat anak-anak untuk menjalankan ulangkaji pelajaran.

Didikan serta Bimbingan Ibu bapa

Keberkesanan pembelajaran anak-anak juga dipengaruhi oleh didikan awal yang diberikan oleh ibu bapa. Didikan yang diterima sebelum dan selepas dilahirkan akan mempengaruhi perkembangan pembelajaran kanak-kanak tersebut (Manja, 1990). Ini disebabkan didikan awal akan membentuk corak pembelajaran sebenar anak-anak mereka dan pemberian didikan dari awal akan membentuk kecemerlangan dalam pembelajaran. Didikan serta pencorakan ini dapat mempengaruhi anak-anak kerana menurut Ariffin (1990) menyatakan 70 peratus adalah masa ibu bapa berinteraksi dengan anaknya berbanding Cuma 30 peratus interaksi yang berlaku di antara guru dan anaknya. Proses didikan ini hendaklah secara berterusan sehingga mereka meningkat dewasa kerana proses pembelajaran akan terus berlaku dalam bentuk akademik dan sebagainya.

 Setiap pelajar memmpunyai hak untuk diberi peluang dalam pencapaian pelajarannya disebabkan terdapat pelajar yang dilahirkan dengan kebijakan semuljadi. Sekiranya mereka tidak mendapat dorongan serta peluang akan menyebabkan kebijakan yang ada tidak dapat digunakan sepenuhnya dan akan hilang begitu sahaja. Didikan yang diberikan oleh ibu bapa hendaklah disertakan dengan kasih sayang agar keharmonian serta kesan yang positif dapat mempengaruhi pembelajaran anak-anak mereka kelak.

 Sebagai pendidik, ibu bapa juga hendaklah mempunyai sifat-sifat yang terpuji, penuh dengan kasih sayang dan merupakan role model kepada anak-anak untuk meneruskan proses pembelajaran mereka tidak kira di mana juga. Dalam mendidik anak-anak, ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar kerana didikan yang diberikan tidak hanya tertumpu pada pelajaran sahaja malah ia meliputi halatuju anak-anak mereka suatu hari nanti yang akan berhadapan dengan masyarakat serta dunia yang mencabar ini.

Latar Belakang Ekonomi.

Kedudukan ekonomi keluarga memainkan peranan yang penting di dalam menentukan kejayaan anak-anak dalam pelajaran mereka. Terdapat ibu bapa yang tidak mempunyai kedudukan atau tahap ekonomi yang baik akan mengukur keupayaan tersebut ke atas ahli-ahlinya dan bukan kepada apa yang mampu mereka capai sebenarnya. Keadaan ini sering berlaku sehinggakan terdapat anak-anak yang tidak mendapat hak sewajarnya untuk masuk sekolah rentetan kemiskinan yang dialami oleh ibu bapa mereka. Menurut Sa’ibah (2000), ciri-ciri keluarga iaitu taraf hidup atau status ekonomi merupakan asas yang kuat bagi pencapaian akademik anak-anak mereka. Dalam keadaan ini, kanak-kanak tersebut lebih terdorong oleh ibu bapa mereka untuk berusaha dan mencari jalan bagi memenuhi tuntutan keperluan hidup mereka daripada berusaha dari segi meningkatkan pendidikan keluarga tersebut. Perkara ini hendaklah berlaku secara seimbang bagi memenuhi semua perkara yang seharusnya ada dalam diri semua orang.

 Selain dari itu, kekangan kewangan atau ekonomi keluarga ini akan menyebabkan tidak terdapat keselesaan mahupun makanan yang berzat serta tidak mencukupi. Perkara ini sering berlaku di kawasan luar bandar kerana kesedaran berkenaan pentingnya pendidikan kepada anak-anak mereka merupakan perkara yang hanya diwajibkan kepada mereka agar tidak buta huruf sahaja. Tanggapan sedemikian tidak seharusnya ada walaupun mereka dihimpit dengan tekanan dari segi ekonomi keluarga. Ini tidak bererti bahawa lebih baik kedudukan ekonomi keluarga tersebut maka lebih baiklah pencapaian anak-anak mereka. Sebaliknya pemikiran atau tanggapan ibu bapa terhadap pentingnya pendidikan seharusnya dititikberatkan agar semua kanak-kanak atau pelajar-pelajar mendapat hak serta peluang mereka untuk mendapat pendidikan yang sepatutnya.

Keruntuhan Institusi Keluarga

Institusi keluarga merupakan asas atau pokok persoalannya kepada kesan atau pengaruh secara keeseluruhan kehidupan anak-anak atau generasi yang akan datang. Tahun 1960-an merupakan keemuncak keruntuhan sebahagian besar institusi keluarga di barat berlaku sejak bermulanya revolusi industri. Ini merupakan suatu bencana yang amat buruk telah berlaku kepada perkembangan positif kepada generasi akan datang. Keruntuhan keluarga banyak menyumbang kepada berlakunya jenayah di barat seperti pembunuhan, rogol, rompakan, penyalahgunaan dadah, penipuan dan sebagainya. Ini merupakan kesan terbesar bila berlakunya keruntuhan keluarga. Pembunuhan tanpa belas kasihan sering berlaku akibat dari tekanan perasaan yang dilalui seperti kurangnya kasih sayang, dendam, tidak bertimbang rasa, dan kejam. Oleh disebabkan demikian berlakunya jenayah yang hampir tidak menyamai perasaan seorang manusia biasa sebaliknya lebih menakutkan kegembiraan dan kepuasan timbul dari jenayah yang dilakukan.

 Keruntuhan keluarga semakin menular di Malaysia akibat dari pelbagai masalah dan yang amat ketara sekali apabila pasangan terlalu muda untuk melalui alam perkahwinan tanpa persediaan serta persiapan yang rapi dibuat. Keruntuhan keluarga ini masih dapat dibendung apabila budaya kasih sayang dan kekeluargaan masih wujud dalam diri masing-masing serta bersedia untuk memelihara anak-anak yang tidak mempunyai keluarga yang sempurna akibat perceraian, kematian dan sebagainya.

 Kesan kepada pelajar pula adalah dari segi kemampuan atau pun kedudukan ekonomi yang serba kekurangan. Kurangnya kasih sayang yang sepatutnya diberikan oleh kedua ibu bapa dan ini menyebabkan pelajar tersebut berkemungkinan terlalu pasif atau agresif dari segi perangi mereka akibat dari tekanan dalam yang dialami. Tumpuan terhadap pelajaran sudah tidak relevan lagi kerana bergantung kepada kekurangan yang dimiliki dari segi fizikal sehinggalah rohani.

 Keruntuhan keluarga ini juga berlaku apabila budaya barat telah meresap ke dalam keluarga tersebut. Pergaulan bebas serta tidak berpanduan akan menjejaskan pencapaian akademik anak-anak mereka kerana segala pergaulan tidak dikawal dan tidak terkawal lantaran budaya barat yang membenarkan. Pergaulan bebas ini akan menghancurkan mereka sehingga hanyut dengan arus pembangunan perdana sehingga nilai-nilai kemanusiaan tersebut cuma dijadikan alasan bagi atau petikan dalam buku sahaja. Oleh yang demikian ibu bapa seharusnya memainkan peranan yang paling penting di dalam membentuk generasi akan datang serta menjadi contoh kepada semua ahli keluarga serta masyarakat bagi kesejahteraan yang mendatang.

KESAN DARI PENGARUH IBU BAPA

Ibu bapa merupakan individu yang bertanggungjawab ke atas perilaku anak-anak mereka kerana pembentukan sahsiah serta tingkahlaku anak-anak adalah bergantung kepada corak yang telah dilaksanakan. Terdapat beberapa faktor telah dikenalpasti serta mempunyai hubungan dengan pengaruh ibu bapa terhadap pembelajaran anak-anak mereka seperti sikap, minat, latar belakang pendidikan, cara didikan, kedudukan ekonomi keluarga, dan keruntuhan rumahtangga. Pengaruh yang negatif terhadap anak-anak mereka akan membantutkan proses pembelajaran berterusan yang bukan sahaja di sekolah malah di rumah.

Keadaan anak-anak mereka semakin tertekan apabila tidak dapat mencapai keputusan yang baik di kalangan mereka di sekolah tambahan lagi terdapat ibu bapa yang memberi tekanan dengan cara memarahi anak-anak mereka kerana pencapaian tersebut. Sebaliknya ibu bapa seharusnya memahami perasaan anak-anak yang menghadapi situasi seperti berikut kerana sokongan serta dorongan secara positif amat diperlukan masa itu. Sekiranya ibu bapa tidak dapat memahami keadaan tersebut maka anak-anak mereka akan kurang minatnya pada pelajaran sebaliknya cuba menghiburkan dirinya dengan permainan serta perkara-perkara atau aktiviti-aktiviti yang menghiburkan dan kadangkala mendedahkan serta menjerumus anak-anak mereka kepada aktiviti yang negatif dan tidak bermoral.

 Selain dari itu, kekurangan atau kekangan ekonomi keluarga sering menyebabkan anak-anak mereka mengalami keciciran dalam arus pendidikan perdana. Perkara ini  amat serius kerana keciciran ini akan melahirkan kanak-kanak yang kurang berminat kepada pelajaran dan keadaan ini akan berpanjangan sehingga ke generasi yang akan datang. Anak-anak mereka terpaksa membantu ibu bapa untuk mencari rezeki sehinggakan pembelajaran mereka terabai. Sebaliknya ibu bapa hendaklah mengutamakan pendidikan anak-anak mereka daripada melibatkan mereka ke dalam usaha memperbaiki ekonomi keluarga. Kajian Kementerian Pendidikan mendapati masalah keciciran di sekolah adalah berpunca dari faktor penyumbang utama iaitu kemiskinan. Ramai kanak-kanak yang tidak bersekolah akibat dari kealpaan ibu bapa mengukur pendidikan dengan kemiskinan yang dialami. Begitu juga dengan pemakanan yang berzat dan mencukupi sering berkait rapat dengan penyakit yang dihidapi oleh anak-anak mereka disamping tidak mempunyai kemampuan untuk mendapatkan rawatan pakar bagi penyakit tersebut. Ini semua merupakan pengaruh dan kesan yang disebabkan oleh ibu bapa itu sendiri.

 Pada dasarnya, semua ibu bapa mempunyai hasrat untuk menghantar anak-anak ke sekolah untuk memperoleh pendidikan yang sempurna bagi menjamin masa depan. Terdapat keluarga yang tidak memberhentikan anak mereka dari sekolah walaupun mereka di belenggu kemiskinan. Ini kerana katanya, ibu bapa terlibat tidak mahu anak-anak mereka tercicir dan mewarisi kemiskinan serta kemelut keperitan hidup mereka. Ibu bapa berkenaan akan berusaha untuk mendapatkan sumber kewangan secukupnya atau dengan memohon bantuan melalui saluran yang disediakan seperti peruntukan biasiswa atau pun bantuan daripada badan kebajikan bagi membiayai anak-anak mereka bersekolah.

 Pihak kementerian pendidikan juga telah menyediakan program khas (Program Pembinaan Ilmu Kekeluargaan) bagi menangani permasalahan kesedaran di kalangan keluarga atau ibu bapa yang mempunyai masalah berhubung dengan pembelajaran anak-anak mereka. Ia bagi menimbulkan kesedaran di kalangan ibu bapa betapa pentingnya pendidikan bagi anak-anak mereka. Oleh yang demikian adalah menjadi agenda negara bagi melahirkan insan-insan yang cemerlang dari semua aspek melalui pendidikan yang diberikan di sekolah-sekolah atau pun di institusi pendidikan tinggi dengan dorongan dan didikan sepenuhnya daripada ibu bapa mereka.

KESIMPULAN

Ibu bapa merupakan pihak yang mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memastikan anak-anak mereka mendapat pelajaran serta pembelajaran yang sewajarnya. Ini disebabkan pengaruh ibu bapa tersebut yang secara langsungnya memberi kesan samada secara positif atau negatif kepada anak-anak mereka berdasarkan kepada sikap, minat, latar belakang pendidikan, cara didikan, kedudukan ekonomi keluarga dan institusi keluarga itu sendiri. Pihak luar seperti sekolah dan masyarakat merupakan sokongan kepada keberkesanan pembelajaran yang dijalankan di sekolah secara formal dan ibu bapa pula merupakan pendidik sepanjang hayat kepada anak-anak serta generasi akan datang secara berterusan dan  berpanjangan.

Posted in Bicara Ilmu, Ibu Bapa, Pendidikan, Pendidikan Anak-Anak | 5 Comments »

12th SEAAIR Conference in Hotel Promenade Kota Kinabalu

Posted by ilmu on 7th November 2012

DSC_0259 DSC_0199 DSC_0011DSC_0262 DSC_0010 DSC_0200

Hari ini saya sedang mengikuti Seminat Ke-12 South East Asian For Asia Institusional Research (SEAAIR). Seminar kali ini disertai oleh lebih kurang 300 orang peserta dan pembentang dari Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand. Sebanyak 64 kertas kerja dalam seminar ini dibentangkan dalam bahasa pengantara Bahasa Inggeris melalui empat siri selari. Seminar ini berlangsung selama 4 hari mulai kelmarin dan akan berakhir Jumaat ini. Seminar kali ini diadakan di Malaysia- Sabah- Hotel Promenade Kota Kinabalu.. Universiti Malaysia Sabah telah dilantik sebagai perunding dan pengurus seminar bagi pihak Malaysia sebagai tuan rumah.

Seminar gemilang yang disertai oleh para pengkaji dari universiti-universiti terkemuka di rantau ini telah dirasmikan oleh Y.B. Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Sabah Merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah pada pagi kelmarin. Turut serta dalam majlis perasmian tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Shahril Yussof , Pengerusi SEAAIR  Asst. Prof Teay Shawyun dari Assumption University Of Thailand, Prof.  Abdul Rashid Mohamed  Pengerusi  Majlis Dekan Pendidikan Malaysia, Dr. Suryansah Suwanto, Timbalan Dekan SPPS Universiti Malaysia Sabah, professor-professor,  sarjana-sarjana dan  mahasiswa-mahasiswa dari berbagai universiti di Asia Tenggara.

Tema seminar ini ialah  Culturalising Excellence in Higher Education. Sesuatu yang pasti dalam seminar ini ialah knowledge pollination yang sangat luas serta dapat bertukar-tukar fikiran dengan peserta dari pelbagai negara. Maklumat mengenainya dapat diakses melalui website SEAAIR di http://www.seaairweb.info/Conference/index.aspx

Kepada sahabat-sahabat yang turut serta dalam seminar ini, jangan lupa bawa pulang buku prosiding. :-)

Posted in Bicara Ilmu, International Programme, Program Kajian Tindakan, Seminar-seminar | 2 Comments »

Anak Lari Dari Rumah, Siapa Yang Disalahkan?

Posted by ilmu on 10th Ogos 2012

  

(Sebahagian daripada keratan akhbar yang memaparkan gejala yang tidak diingini terhadap anak-anak)

Sebentar tadi saya diajukan dengan soalan ni.. Tergamam seketika… sambil berfikir salah siapa sebenarnya perkara ni berlaku. Tiba-tiba timbul pula minat di hati saya untuk menganjurkan satu forum bagi mengupas tajuk ni secara mendalam.  Rasanya sangat menarik. Mesti perbahasan akan hangat kerana pelbagai pihak akan menegakkan hujah masing-masing. Rasanya siapa yang akan menganjurkannya. Adakah JK Pengurusan Masjid Ar-Rahman, ABIM Ranau atau NGO lain yang saya sertai? Semangat saya semakin tinggi untuk menganjurkan forum ini di peringkat daerah. Mudah-mudahan berjaya.

Saya tidak bermaksud mengupas tajuk ini secara mendalam dalam blog ini kerana biarlah para pengunjung yang memberikan pendapat. Ada baiknya saya mendiamkan diri dulu. Pun begitu dalam memperkatakan tajuk ini, rasanya tak terlepas 2 persoalan utama iaitu tanggungjawab ibu bapa dan tanggungjawab anak itu sendiri?? Saya dah tak sabar menanti perkongsian ilmu yang akan merungkai perkara ini secara jitu…. nantikan.

Posted in Bicara Ilmu, Forum | 1 Comment »

“Teori Kasut Tindakan Dr. Edward De Bono – 1991

Posted by ilmu on 4th Disember 2011

 

Macam-macam sarjana ni. Kasut pun boleh mendatangkan banyak idea. Kalau saya, tidak dapat fikir lain. Kalau bukan untuk dipakai di kaki, kasut hanya boleh dijadikan perhiasan di rak-rak kasut bila dah tak boleh pakai. Hal ini berlainan dengan Dr. Edward De Bono. Kasut boleh ‘bertindak’ pula. Teori beliau dikenali sebagai ‘Teori 6 Kasut Bertindak’. Apa maksudnya? Sila baca dengan teliti pendapat beliau di bawah ini. Kupasan tentang teori ini telah saya ringkaskan supaya mudah difahami.

A

B

CD

G

1. PERTAMA KASUT BIRU (Lambang Cara Berfikir)

-    Kasut ini ialah lambang cara berfikir yang digunakan untuk membuat kerja-kerja rutin.

-    Banyak kerja kita laksanakan dengan mematuhi suatu senarai rutin.

-    Dengan mematuhi rutin kita akan mengelakkan sebarang kesilapan yang merbahaya.

-    Rutin dicipta oleh orang-orang yang pakar supaya orang-orang yang bukan pakar boleh melakukan kerja itu dengan cara yang selamat.

2. KEDUA KASUT KUNING  (Lambang Amaran)

-    Kasut ini ialah lambang tindakan dalam keadaan yang cemas dan berbahaya.

-    Kuning ialah lambang amaran.

-    Pegawai-pegawai polis, bomba dan doktor adalah orang-orang yang sentiasa berhadapan dengan keadaan-keadaan cemas.

-    Kita juga mesti mengenal pasti perkara-perkara yang boleh memburukkan keadaan.

3. KETIGA KASUT KELABU (Lambang Kekaburan)

-    Kasut ini ialah lambang kekaburan.

-    Banyak tindakan tidak dapat kita buat kerana keadaan masih kabur.

-    Tindakan yang mesti dilakukan untuk menghilangkan kekaburan ialah bertindak mencari maklumat dahulu.

-    Maklumat itu kemudian kita gunakan bagi menghadapi keadaan tersebut.

4. KEEMPAT KASUT PERANG (Lambang Tindakan Pragmatik)

-    Kasut ini ialah lambang tindakan yang pragmatik.

-    Tindakan-tindakan pragmatik ialah gabungan antara nilai-nilai yang baik, prinsip-prinsip yang baik dan pemikiran yang baik.

-     Kita akan lihat keadaan yang ada dan fikirkan sendiri apa yang paling baik untuk kita lakukan.

-     Kita buat apa yang boleh dibuat.

5. KELIMA KASUT MERAH JAMBU (Lambang Kasih Sayang)

-    Kasut ini ialah lambang kasih sayang, belas kasihan dan kelembutan.

-    kita gunakan dalam keadaan-keadaan yang melibatkan perasaan kemanusiaan.

-    Para doktor, peguam, guru, pegawai kebajikan dan banyak lagi pro-profesional yang bekerja dengan perasaan kemanusiaan.

6. KEENAM KASUT UNGU (Lambang Kuasa Rasmi)

-   Kasut ini melambangkan kuasa rasmi.

-   Apabila kita membuat sesuatu tindakan berdasarkan kuasa dan tanggungjawab rasmi.

-   Kita mempunyai peranan rasmi.

-   Para doktor, guru, peguam, pegawai polis mempunyai peranan rasmi.

-   Mereka mempunyai kuasa dan mereka melakukan tindakan berdasarkan peranan rasmi mereka apabila perlu.

Nota: Teori Kasut Bertindak Ini Diperkenalkan Oleh Dr Edward De Bono Pada Tahun 1991

Posted in Bicara Ilmu, Teori-Teori | 6 Comments »

Bubur Asyura Tidak Lama Lagi…10 Muharram 1433H

Posted by ilmu on 29th November 2011

Wah…. Selalu saja kita dengar ada majlis memasak Bubur Asyura. Kadang-kadang juga disebut sebagai bubur lambuk.. Tentunya kita rasa berasa kecur air liur. Manakan tidak… ia sejenis makanan yang dianggap istimewa. Tambahan pula hanya disediakan sekali dalam setahun. Apakah sebenarnya Bubur Asyura dan apakah sejarahnya?

Bubur Asyura ialah bubur yang dibuat dengan pelbagai campuran ramuan pada 10 Muharram iaitu pada Hari Asyura. Ia juga dikenali sebagai sugha. Bubur Asyura mesti mempunyai 10 jenis ramuan, jikalau lebih atau kurang, maka bubur tersebut bukan Bubur Asyura. Setiap negeri, terutama negeri-negeri di semenanjung Malaysia, mempunyai Bubur Asyura yang berlainan rasa dan ramuan. Hal ini, menyebabkan pelbagai cara untuk
membuat Bubur Asyura.

 

JENIS BUBUR ASYURA 

  • Jenis manis – Lazimnya di utara Semenanjung Malaysia.
  • Jenis berempah dan mengandungi daging – Lazimnya di pantai timur Semenanjung Malaysia.
  • Jenis seperti bubur lambuk yang mengandungi pelbagai ramuan seperti pisang, kacang hijau dan lain-lain – Lazimnya datang dari Singapura.

SEJARAH ASYURA

 Hari Asyura merupakan salah satu hari yang diraikan oleh umat Islam. Asyura berasal daripada perkataan Arab asyara yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan hari Asyura adalah hari yang kesepuluh di dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharram. Mengikut masyarakat Islam, hari Asyura telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Disebabkan itu, masyarakat Islam menghormati hari tersebut seperti juga yang diamalkan oleh Muhammad s.a.w.

Menurut tradisi masyarakat Islam, Nabi Muhammad s.a.w. melakukan puasa Asyura sejak di Makkah lagi memandangkan puasa Asyura merupakan amalan biasa masyarakat tempatan. Apabila baginda berhijrah ke Madinah, baginda turut mendapati yang kaum Yahudi turut
berpuasa pada hari Asyura (atau bagi mereka adalah Yom Kippur yang juga pada hari kesepuluh). Ketika itu, baginda mengesahkan dan mensyariatkan puasa sehingga ia menjadi satu kewajiban kerana baginda merasakan masyarakat Islam lebih dekat dengan Nabi Musa. Ibn Hajar al-asqalani, dalam pernyataannya terhadap Sahih Bukhari mengatakan yang syariat puasa telah dijadikan kepada bulan Ramadhan setahun kemudian. Kini, masyarakat Islam melakukan puasa pada 10 Muharram sebagai amalan sunat dan bukan kewajiban.

Masyarakat Islam turut percaya akan berlakunya kejadian besar ketika 10 Muharram:

  • Hari pertama Allah menciptakan alam.
  • Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
  • Hari pertama Allah menurunkan hujan.
  • Allah menjadikan ‘Arasy.
  • Allah menjadikan Luh Mahfuz.
  • Allah menjadikan Malaikat Jibril.
  • Nabi Adam a.s. dicipta.
  • Diampunkan dosa Nabi Adam a.s. setelah bertahun-tahun memohon keampunan kerana melanggar larangan Allah.
  • Nabi Idris a.s. diangkat darjatnya oleh Allah dan Malaikat Izrail membawanya ke langit.
  • Diselamatkan Nabi Nuh a.s. dan pengikutnya dari banjir besar selama enam bulan dan bahtera baginda selamat berlabuh di puncak pergunungan.
  • Nabi Ibrahim a.s. dilahirkan di kawasan pedalaman dan terselamat dari buruan Raja Namrud.
  • Nabi Ibrahim a.s. diselamatkan Allah dari api Raja Namrud.
  • Nabi Yusuf a.s. dibebaskan dari penjara setelah meringkuk di dalamnya selama tujuh tahun.
  • Nabi Yaakub a.s. telah sembuh buta matanya ketika kepulangan anaknya Yusuf di hari tersebut.
  • Nabi Ayub a.s. disembuhkan dari penyakitnya.
  • Nabi Musa a.s. telah diselamatkan daripada tentera Firaun dan berlakunya kejadian terbelahnya Laut Merah.
  • Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s..
  • Nabi Yunus a.s. selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
  • Kesalahan Nabi Daud a.s. diampuni Allah.
  • Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
  • Nabi Isa a.s. diangkat ke syurga ketika diburu oleh tentera Rom untuk menyalib baginda.
  • Saidina Hussein ibni Ali telah syahid akibat dibunuh dengan kejam di Karbala oleh tentera khalifah Bani Umaiyyah iaitu Khalifah Yazid.

SEJARAH ASYURA BAGI PERSPEKTIF SYIAH

Pada masa zaman sebelum Islam, ‘Asyura diperingati sebagai hari raya rasmi bangsa Arab. Pada masa itu mereka berpuasa dan bersyukur menyambut ‘Asyura. Mereka merayakan hari itu dengan penuh kegembiraan sebagaimana hari Nawruz yang dijadikan hari raya di negara Iran.
Dalam sejarah Arab, hari ‘Asyura (10 Muharram) adalah hari raya bersejarah. Pada hari itu setiap suku mengadakan perayaan dengan mengenakan pakaian baru dan menghias kota-kota mereka. Sekelompok bangsa Arab, yang dikenal sebagai kelompok Yazidi, merayakan hari raya tersebut sebagai hari kegembiraan setelah kejayaan membunuh pemberontak kerajaan bani Umaiyyah yang diketuai cucu Rasulullah s.a.w iaitu Husain bin Ali dan para sahabat yang derhaka pada pemerintahan.

SYAHIDNYA HUSAIN BIN ALI

Tanggal 10 Muharram 61 H atau tanggal 10 Oktober 680 merupakan hari pertempuran Karbala yang terjadi di Karbala, Iraq sekarang. Pertempuran ini terjadi antara pasukan Bani Hasyim yang dipimpin oleh Husain bin Ali beranggotakan sekitar 70-an orang melawan pasukan
Bani Umayyah yang dipimpin oleh Ibnu Ziyad, atas perintah Yazid bin Muawiyah, khalifah Umayyah saat itu yang beranggotakan hampir 10 ribu bala tentera. Pada hari itu hampir semua pasukan Husain bin Ali, termasuk Husain-nya sendiri syahid terbunuh, kecuali pihak perempuan, serta anak Husain yang sakit bernama Ali bin Husain. Kepala cucu Rasulullah itu dipenggal dan diarak seluruh kota Damaskus agar memberi peringatan pada penduduk agar tidak memberontak pada kerajaan.Kemudian tawanan perang dibawa oleh Ibnu Ziyad mereka menghadap
Khalifah di Damaskus dan kemudian dikembalikan ke Madinah dan diberi tahanan rumah.

PERKARA SUNAT DILAKUKAN PADA HARI ASYURA 

  • Puasa Sunat Asyura dengan niatnya dibaca Sahaja aku berpuasa esokhari sunat hari Asyura kerana Allah Taala.
  • Melapangkan masa / belanja anak dan isteri
  • Memuliakan fakir miskin
  • Menahan marah
  • Menunjukkan jalan yang lurus/membetuli orang sesat/orang yang salah(terpesong aqidah(tauhid) dan akhlaknya)
  • Menyapu / mengusap kepala anak yatim(menghormati dan memuliakan mereka)
  • Bersedekah
  • Memelihara kehormatan diri
  • Mandi Sunat dengan lafaz niatnya: “Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala.”
  • Bercelak
  • Membaca Qulhuwallah(Surah Al-Ikhlas) hingga akhir seribu kali
  • Sembahyang sunat empat rakaat dengan lafaz niat: “Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala. Pada rakaat pertama dan kedua selepas al-Fatihah di baca Qulhuwallah sebelas kali.
  • Menjamu orang berbuka puasa

BEBERAPA HADIS TENTANG KAFIAT PUASA HARI ASYURA

 (Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari)

Aisyah (r.a) berkata; “Rasulullah mengarahkan supaya berpuasa pada Hari Asyura.  Apabila puasa bulan Ramadan difardhukan (diwajibkan), siapa yang hendak   berpuasa (pada Hari Asyura) maka dia boleh berpuasa dan sesiapa yang hendak   berbuka, maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa).”

(Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Dari Aisyah (r.a) katanya; “Orang Quraisy di zaman jahilliyah   berpuasa pada Hari Asyura dan Rasulullah  juga berpuasa pada Hari Asyura. Apabila baginda   datang ke Madinah, baginda berpuasa pada hari itu dan meyuruh orang ramai   berpuasa. Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadan, ditinggalkan puasa   pada Hari Asyura lalu baginda bersabda: “Siapa yang mahu, dia boleh   berpuasa (sunat Hari Asyura) dan siapa yang tidak mahu berpuasa, dia boleh   meninggalkannya.”

 

Rujukan: Sahih Bukhari 1900; Sahih Muslim 1130 2. Javed Ahmad Ghamidi. Mizan, The Fast, Al-Mawrid 3. Ayyatullahi, Sayyid Mehdi (2005). Sayyidina Husain bin Ali bin Abi Thalib. Jakarta: Penerbit Al-Huda. ISBN 979-3515-42-2.

Posted in Bicara Agama, Bicara Ilmu, Perayaan | 1 Comment »

Salam Hijrah 1433H.. Persefahaman Asas Perpaduan Ummah

Posted by ilmu on 26th November 2011

Persefahaman Asas Perpaduan UmmahAlhamdulillah.. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Dialah yang Maha Berkuasa mengatur perjalanan alam
ini sejak dahulu hingga sekarang. Maha Suci Allah dari segala sifat makhluk yang lemah dan sangat kekurangan.

Tika ini, saat ini, kalendar kita baharu sahaja beralih dari 1432H ke 1433H. Doa akhir tahun 1432H dan doa awal tahun 1433H baharu sahaja dibacakan dengan penuh keimanan dan pengharapan agar tiap nafas yang kita miliki mampu menjadikan kita insan yang bersyukur kepada nikmat-nikmat Allah yang dianugerahkan kepada kita. Siapapun kita, yang jelasnya ialah kita semua akan kembali kepada Allah untuk dinilai di akhirat kelak. Tiap saat yang pergi, tiap tahun yang berlalu membawa makna hidup kita di dunia yang fana ini kian pendek dan menanti giliran untuk kembali ke hadrat Tuhan yang Maha Esa.

HIJRAH sering disebut-sebut. Sejak kebelakangan ini, menjadi budaya dalam masyarakat kita mengucapkan selamat menyambut tahun baru Hijrah sama ada melalui lisan, kad ataupun sistem pesanan ringkas (SMS). Amalan ini boleh mendatangkan kebaikan jika ia benar-benar dihayati dan diamalkan semata-mata kerana Allah SWT.

Dari segi sejarah, Hijrah Nabi Muhammad SAW berlaku pada 12 Rabiul Awal bersamaan 2 Julai 622 Masihi ketika
itu tahun ke 13 kerasulan Baginda. Peristiwa hijrah ini telah dijadikan permulaan bagi kaledar umat Islam sebagai memperingati peristiwa yang sangat bermakna dan bersejarah ini.

Peristiwa Hijrah bukan sahaja berlaku kepada Nabi Muhammad SAW tetapi juga kepada Nabi dan Rasul yang lain.
Contohnya, Nabi Yaaqub a.s. telah berhijrah dari bumi Iraq untuk menghindari ancaman hasad dengki saudaranya. Nabi Ibrahim a.s. pula telah berhijrah ke Babil di Iraq dan kemudian ke Mekah sebagai menyahut perintah Allah. Nabi Luth
a.s. pula pernah berhijrah ke negeri Syam dan kemudian menetap di Nablus. Manakala Nabi Musa a.s. pernah berhijrah meninggalkan Mesir kerana ancaman dari Firaun.

Dalam konteks hari ini, penghijrahan bermaksud melakukan perubahan terhadap diri atau disebut anjakan paradigma iaitu berubah dari keadaan yang buruk kepada yang baik dan daripada keadaan yang baik kepada yang lebih baik. Berbekalkan peristiwa Hijrah, umat Islam seharusnya mengambil teladan untuk melakukan penghijrahan dalam kehidupan mereka. Ini sebagaimana maksud firman Allah SWT dalam surah al-Ra’d ayat 15 “Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum, sehingga mereka merubah keadaan diri mereka sendiri”.

Tema sambutan Maal Hijrah Tahun 1433H ini ialah “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah” yang membawa maksud bahawa umat Islam khususnya di Malaysia mempunyai banyak perbezaan yang mengakibatkan perpecahan ummah seperti budaya, ekonomi, fahaman politik dan taraf pendidikan. Justeru itu, umat Islam wajar memahami perbezaan ini dan berusaha untuk saling memahami di antara satu dengan yang lain serta menerima keadaan ini dengan redha agar rasa persefahaman dapat diwujudkan dalam satu aqidah berasaskan kepada ajaran Islam yang sebenar.

Hari ini 1 Muharram 1433H bersamaan 27 November 2011M, Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah diadakan di Dewaan Saadah, Wisma MUIS Kota Kinabalu. Bersama-sama kita hadirkan diri. InsyaAllah… Selamat Tahun Baru Hijrah kepada semua. Semoga Allah memberkati kita semua.

Posted in Bicara Agama, Bicara Ilmu, Coretan Diari, Di Jalan Allah..., Maal Hijrah | 1 Comment »

KEGURUAN SEBAGAI PROFESION : PILIHAN ATAU TIADA PILIHAN

Posted by ilmu on 18th Oktober 2011

  

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Dunia pendidikan sering menjadi isu penting dalam masyarakat kita hari ini. Pelbagai isu mengenainya sering diperkatakan baik di peringkat bawahan sehinggalah ke peringkat pemimpin negara. Ini membuktikan bahawa peranan warga pendidik amat besar dalam membentuk, mencorak dan mengekalkan survival  sebuah negara bangsa yang merdeka.

Keguruan telah menjadi satu profesion yang dilihat dan dinilai dari sudut 360 darjah. Peranan seorang guru sebagai seorang pendidik, pengasuh, pengajar serta pengeluar produk insan  syumul yang berilmu pengetahuan selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Memang tidak dapat dinafikan bahawa guru merupakan penjana dan pencanai utama modal insan masa hadapan yang akan menggantikan generasi masa kini.

Walaupun peranan pendidik sangat besar, sering dianggap profesion keguruan masih dianggap sebagai profesion kelas pertengahan yang begitu jauh ketinggalan berbanding dengan bidang kedoktoran, kejuruteraan mahupun perakaunan. Suatu ketika dulu sebahagian masyarakat menganggap bidang perguruan merupakan pilihan terakhir sekiranya tiada kerjaya lain atau tidak mendapat kerja. Malahan ada yang berpendapat bahawa tugas seorang guru tidak sukar. Hanya perlu duduk di dalam kelas dan menyampaikan ilmu kepada pelajar di samping sedikit tugas sampingan menaip dan mengisi borang.

Adakah benar bahawa tugas guru tidak sukar? Benarkah bidang keguruan ini merupakan kerjaya pilihan atau tiada pilihan lain lagi?

SEBENARNYA tanggungjawab mendidik anak bangsa bukanlah suatu perkara yang mudah. Sejurus seseorang menandatangani perjanjian sebagai seorang pendidik, jatuh bangun sesebuah bangsa terletak di bahunya. Ungkapan ‘lilin membakar diri’ masih menebal dalam kalangan masyarakat malaysia. Satu kajian telah dijalankan oleh Peretomode (1991) menunjukkan 70% responden tidak mahu memilih bidang yang sinonim dengan ungkapan di atas.

Pada awal tahun 1960-an, bidang keguruan begitu dipandang tinggi. Sumbangan guru sangat besar sebagai pemangkin kepada pembangunan negara dan peniup kepada semangat nasionalisme. Sekarang profesion keguruan seakan terpinggir dan sudah berada dalam kategori terakhir pemilihan kerja. Ada kalanya sering kali para guru menjadi sasaran apabila berlaku kepincangan dalam masyarakat.

Dapatan Shuib dan Johari (2002) mendapati profesion guru kurang mendapat tempat di kalangan remaja kerana beberapa sebab. Antaranya ialah profesion ini statik, kurang masa depan dan peluang kenaikan pangkat yang sangat kecil. Bakhtiar (1993) telah mengambil statistik perbandingan peratus peluang kenaikan pangkat dengan beberapa profesion utama yang lain seperti Jurutera (27.1%), Pegawai Perubatan (15.1%), Polis (18.6%), Pegawai Pertanian (13.4%), Pegawai Tadbir dan Diplomatik (38.4%) berbanding dengan guru hanya (3.5%) sahaja.

Menyedari dan memahami situasi tersebut, pihak kerajaan telah mengatur beberapa strategi bagi menangani isu berkenaan. Yazid (2001), menggariskan beberapa strategi yang telah diambil oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam usaha memartabatkan profesion keguruan dengan menyediakan peluang kenaikan pangkat lebih cepat dan luas. Dalam Bajet 2012, para pendidik telah mendapat perhatian yang sewajarnya.

Pastinya, profesion keguruan merupakan profesion yang mulia. Jasa dan sumbangan seorang guru mendapat pengiktirafan secara langsung dari Baginda Rasulullah SAW sebagaimana dalam hadisnya yang bermaksud ” Apabila mati seorang anak adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga iaitu amal jariah, ilmu yang bermanafaat (yang telah diajarkan) , dan anak soleh yang mendoakan ibubapanya”

Posted in Bicara Ilmu, Pendidikan | 2 Comments »

Konflik…konflik..

Posted by ilmu on 18th Oktober 2011

Menyebut perkataan konflik, sudah tentu intepretasi kita ialah pertentangan di antara dua atau lebih individu. Pertentangan ini barangkali melibatkan pemikiran kognitif, nilai, persepsi, budaya, pendapat, pendirian dan sebagainya.

Saya cuba mendalami tentang hakikat konflik dalam kehidupan. Saya mendapati ia hampir berlaku pada setiap hari kita berhadapan dengan  konflik, sama ada kecil atau besar dan sama ada disedari atau tidak. Saya mendengar dari  Dr. Ling Ai Yieng, seorang Pakar Konflik menerangkan tentang sebab-sebab konflik berlaku. Antaranya disebabkan oleh masalah komunikasi, perbezaan matlamat, persepsi dan budaya, perkongsian sumber terhad, saling bergantungan, persepsi nilai yang berbeza, masalah kepimpinan, perbezaan personel  personaliti, nilai dan tingkahlaku. Saya setuju kepada pendapat ini.

Saya juga cuba mencari dan membaca beberapa bahan untuk mengetahui cara menangani konflik ini dengan baik dan mendapati Model Dua-Dimensi yang dipelopori oleh Kilmann dan Gilbert agak sesuai. Antaranya ialah dengan menggunakan kaedah Pengelakan (Avoidance), Persaingan (Competition), penyesuaian (Accommodation), Kompromi (Compromise), dan Kolaborasi ( Collaboration).

Di dalam Islam, konflik dilihat sebagai perkara biasa, malah ia dianggap sebagai satu rahmat dari Allah SWT, kerana mampu membuka pintu kemudahan dan penyelesaian terhadap sesuatu masalah dan kepentingan manusia. Namun begitu, sekiranya konflik yang berlaku boleh membawa kepada keburukan, maka Islam telah menggariskan supaya ianya diselesaikan dengan adil melalui sistem yang telah ditetapkan oleh Islam. Firman Allah SWT di dalam Al Quran Surah Al-Hujuraat : 10 yang bermaksud “ Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang ( bertelingkah ) itu; dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu beroleh rahmat.”

Dr. Iqbal bin Yunus dari Institut Kefahaman Islam Amerika Syarikat telah mencetuskan ide S.A.L.A.M sebagai satu penyelesaian kepada konflik. S- Stating, A-Agreeing, L-Listening / Learning, A-Advising, M – Minimizing. Untuk mengetahui maksud S.A.L.A.M dengan lebih mendalam lagi, boleh diperolehi dari pelbagai sumber dalam internet.

Posted in Bicara Agama, Bicara Ilmu | No Comments »

Memartabatkan Ilmu Pengetahuan..

Posted by ilmu on 17th Oktober 2011

Alhamdulillah selamat bertemu..lama tidak berkongsi idea dalam blog ini. Mungkin disebabkan kesibukan tugas sebagai pejawat awam dan mahasiswa. Beberapa minggu ini agak sibuk dengan persiapan Seminar Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Lestasi 2011 yang dianjurkan bersama dengan pihak universiti, Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Biro Tatanegara.

Pada masa yang sama, berbagai tugasan yang perlu disiapkan di samping tugas rasmi pejabat walaupun masih dalam cuti belajar. Demikianlah betapa banyaknya tuntutan semasa yang harus digalas untuk mengekalkan kelestarian hidup yang penuh dengan cabaran dan rintangan. Situasi ini meghendaki kita bertindak melalui kematangan diri dan penguasaan ilmu yang holistik dan komprehensif.

Allah SWT menegaskan dalam Al-Quran bahawa manusia dan jin tidak akan dapat menguasai dunia dan seisinya melainkan dengan kekuasaan ilmu. (Surah Ar-Rahman, 33). Dunia telah menyaksikan dan sejarah telah membuktikan bahawa sejak zaman awal generasi manusia, ilmu memainkan peranan penting di dalam menentukan kegemilangan dan kejatuhan sesuatu tamadun.

Selain itu, dunia globalisasi hari ini jelas menunjukkan bahawa kerana penguasaan ilmu khususnya di dalam bidang sains dan teknologi menyebabkan negara-negara maju seperti Barat dan Jepun telah menjadi pelopor kepada pelbagai corak kehidupan.

Jika kita telusuri kisah suci kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat seperti Sayyidina Ali Karramallahu wajhah, kita akan dapati bahawa
di sebalik keagungan kepimpinan dan ketaqwaan mereka kepada Allah SWT, maka ilmu pengetahuan yang mapan menjadi rahsianya. Di samping itu, sejarah kehidupan sarjana-sarjana Islam masa lampau seperti Ibn Sina, Ibn Rusyd, Al-Khawarizmi, Ar-Razi, Jabir Ibn Khayyam dan sebagainya menjadi saksi akan kebenaran pernyataan ini.

Justeru, konsep penguasaan ilmu wajar menjadi prinsip utama di dalam kehidupan setiap dari kita. Kita sewajarnya menanamkan di jiwa bahawa pembelajaran bukan hanya untuk kelulusan peperiksaan, memenuhi keperluan kursus atau sekadar untuk mendapat segulung ijazah sahaja. Sebaliknya semangat cintakan ilmu pengetahuan merupakan momentum paling penting ke arah memahami erti hidup yang sebenar.

Posted in Bicara Ilmu, Housekeeping, Pendidikan, Sembang2 & Melancong | 1 Comment »