Ulangtahun 1 Blog Kolaborasi Ilmu : Perutusan Admin
Posted by ilmu on 14th Februari 2009
Ilustrasi: Sewaktu menawan puncak Gunung Kinabalu. Menawan puncak Gunung Kinabalu lebih mudah daripada mengharungi cabaran dalam kerjaya jika sasaran kita menjadi orang yang cemerlang
Alhamdulillah, nampaknya rahmat Allah SWT semakin murah. Umur kita masih dilanjutkan sedetik lagi untuk menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan. Sesungguhnya Allah SWT mengutuskan kita ke dunia ini untuk menjadi khalifah yang mengabdikan diri semata-mata kepadaNya serta mengimarahkan dunia yang bersifat hanya sementara ini dengan melaksanakan tugas masing-masing mengikut kerjaya kita.
Dalam perjuangan kita yang tidak pernah selesai ini, kita tidak dapat lari daripada pelbagai cabaran. Cabaran yang datang pun tidak serupa. Ada yang ringan, sederhana dan tidak kurang juga yang berat. Persefsi kita terhadap cabaran-cabaran yang datang juga berbeza. Ada yang memandangnya sebagai positif dan ada juga yang memandangnya negatif. Ada yang menganggapkan sebagai takdir dan ada juga yang menganggapkan sebagai salah diri sendiri. Apapun pandangan dan tanggapan kita terhadap cabaran, pastinya tidak ramai orang yang suka jika diuji secara hebat. Kerana, ujian yang berat boleh menjadikan seseorang itu hilang pedoman. Bagi saya, cabaran mematangkan kita tetapi pada masa yang sama, saya tetap ada perasaan takut jika Allah SWT mendatangkan ujian yang tidak mampu saya tanggung. Apa yang saya boleh buat ialah berdoa kepadaNya agar diberikan kekuatan jasmani dan rohani di saat Allah SWT menguji saya dengan ujian yang berat itu.
Bercakap tentang kerjaya, saya telah berkhidmat agak lama dalam sektor pendidikan. Saya telah mengharungi banyak pengalaman dan tugas yang berbeza. Pengalaman pula sering bersilih ganti menelusuri era yang ditempuhi. Termasuklah sekarang ini yang dikatakan sebagai zaman IT (Teknologi Maklumat). Saya terlibat secara langsung dalam perkembangan IT sekolah-sekolah di pelbagai peringkat.
Kemunculan blog KOLABORASI ILMU ini sebenarnya adalah satu keperluan yang dicadangkan oleh kawan-kawan. Tujuan asal blog ini adalah untuk menerbitkan bahan-bahan berkaitan dengan kajian tindakan tetapi akhirnya saya juga mengsisikan beberapa bahan lain yang berkaitan dengan beberapa bidang ilmu yang saya perolehi daripada pembacaan.
Hari ini blog KOLABORASI ILMU menyambut ulangtahunnya yang pertama. Saya mengharapkan agar blog ini akan terus dilawati dan memberikan manafaat kepada para pembaca.
Terima kasih.
Posted in Housekeeping | 5 Comments »



