Laporan Kajian Tindakan Inovasi: Menerangkan Konsep Istilah Penting Dalam M/P Pengajian Perniagaan Tingkatan 6 Dengan Inovasi “My Aura Map”

OLEH : NOR AZURA BINTI MOHD ZAKI

SMK. Bongawan Sabah

Ahli Pasukan Kajian Tindakan Sabah

Abstrak

Kajian ini dilaksanakan ke atas 25 orang pelajar Tingkatan 6 Rendah sekolah ini untuk mengetahui tahap keberkesanan penggunaan ‘My Aura Map’ dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pengajian Perniagaan terutamanya untuk memahami dan mengingati istilah-istilah yang berkaitan. Ujian Pra dan Post telah dijalankan untuk membandingkan jumlah markah yang telah diperoleh oleh responden sebelum dan selepas kaedah ini dijalankan. Setelah kedua-dua ujian ini dijalankan, dapatan menunjukkan peningkatan markah sebanyak 28.4% dari 55.60% dalam ujian pra ke 84 % dalam ujian post. Selain daripada menjalankan ujian pra dan post, pengkaji juga telah menyediakan instrumen pengujian berskala likert yang mengandungi 37 konstruk IMMS untuk menguji tahap motivasi pelajar semasa menggunakan kaedah ‘My Aura Map’. Dapatan menunjukkan 935 respon telah diterima dengan 84.95% memilih skala setuju dan sangat setuju. 53.68% daripada respon memilih skala setuju dan 31.27% lagi memilih skala sangat setuju terhadap keberkesanan penggunaan’My Aura Map’. Hanya 1.6% menyatakan sangat tidak setuju dan 13.45% menyatakan tidak setuju. Data yang diperoleh telah membuktikan bahawa penggunaan kaedah ‘My Aura Map’ amat berkesan digunakan dalam proses pengajara dan pembelajaran Pengajian Perniagaan.

KEBERKESANAN PENGGUNAAN “MY AURA MAP” UNTUK MEMBANTU PELAJAR TINGKATAN 6 RENDAH 1, MEMAHAMI DAN MENGINGATI ISTILAH-ISTILAH DALAM MATA PELAJARAN PENGAJIAN PERNIAGAAN.

01. PENDAHULUAN


Pemilihan kaedah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas amat penting. Kaedah yang sesuai akan meningkatkan keberkesanan pengajaran guru dan pembelajaran murid. Pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di dalam kelas akan dapat membantu para pelajar mencapai objektif pengajaran guru dan seterusnya meningkatkan penguasaan ilmu yang disampaikan. Penggunaan unsur grafik dan warna secara langsung dapat menarik minat perhatian pelajar. Unsur ini penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ia dapat mempertingkatkan kefahaman dan menghindar salah anggapan dan pentafsiran. Media pengajaran berasaskan kepada bahan maujud yang menarik akan dapat meningkatkan motivasi pelajar. Ditambah lagi dengan suara penerangan guru yang menarik dengan menggunakan alunan suara yang betul. Menurut Fontana(1988) media perlu dilihat sebagai sesuatu yang dinamik yang dapat meransang tindakbalas luaran atau dalaman yang kadang-kadang mempengaruhi psikologi seseorang. Sebagai media pengajaran yang menghampiri konkrit (Dale, 1985) media yang digunakan secara sistematik dapat merangsang daya imaginasi dan perbincangan. Ia dapat menjamin proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar di samping meningkatkan kefahaman dan menghindar salah tanggapan dan pentafsiran

Manusia dikatakan makhluk yang ‘image and visually oriented’ dan mereka banyak belajar melalui penglihatan (Pulley). Walaupun mereka mendengar dan membaca, apa yang didengar dan dibaca biasanya akan divisualkan dalam pemikiran mereka untuk mendapatkan konsep atau makna yang lebih jelas. Ini selaras dengan kata-kata yang pernah dimadahkan oleh Kung Fu Tze, seorang pujangga dan ahli falsafah cina; ‘…kalau saya dengar, saya lupa; kalau saya lihat saya ingat; dan kalau saya buat saya tahu…’

Kajian ini juga telah menunjukkan betapa pentingnya peranan guru dalam memastikan keberkesanan media dalam pengajaran. Misalnya jika guru menayangkan gambar atau imej termasuk peta minda serta mengaitkan dengan objektif-objektif pembelajaran, maka maklumat yang terima oleh pelajar akan bertambah. Misalnya, Ausuble (1968) mengemukakan konsep maklumat awal sebagai bantuan untuk menghasilkan pengajaran yang berkesan.

Contoh maklumat awal ini ialah satu tinjauan, pengenalan kepada ringkasan penting kepada isi pelajaran, satu pernyataan tentang prinsip-prinsip yang terkandung dalam maklumat yang akan disampaikannya. Molstad (1974) berpendapat media jika digunakan bersama pengajaran ala tradisional akan meningkatkan proses pengajaran. Menurut Heinich (1981) pengajaran akan menjadi lebih berkesan jika penggunaan media dirancang secara sistematik.”


Penggunaan peta minda atau kaedah ‘My Aura Map’ yang digubah menggunakan pelbagai warna dapat meningkatkan kefahaman pelajar dan memudahkan mereka mengingati sesuatu konsep hanya dengan melihat warna yang digunakan. Penggunaan warna ‘personel’ semasa membuat nota dapat membantu mereka membezakan segala maklumat yang perlu diketahui.

02. TUJUAN


Kajian ini bertujuan untuk meninjau dan mendapatkan gambaran sebenar tentang sejauh manakah ‘My Aura Map’ membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran Pengajian Perniagaan di sekolah dari aspek keberkesanan, kesesuaian dan kecekapan.


i) Mengetahui sejauhmanakah minat, sikap serta motivasi pelajar tehadap sesi


pengajaran dan pembelajaran Pengajian Perniagaan yang dilaksanakan oleh guru dengan berbantukan media peta minta ‘My Aura Map’ melalui Ujian Ukuran Skala Motivasi Bahan Pengajaran (IMMS)


ii) Mengetahui perbezaan keberkesanan penggunaan ‘My Aura Map’ dalam proses pengajaran dan pembelajaran berbanding dengan cara pengajaran dan pembelajaran “chalk and talk” atau berbantukan lembaran nota padat dan lembaran kerja dengan menggunakan soalan-soalan ujian pra (pratest) dan ujian pos (post test)

03. PERSOALAN KAJIAN


Kajian ini menetapkan persoalan kajian berdasarkan tujuan dan objektif kajian seperti berikut:-


A) Minat, Sikap dan Tahap Motivasi


i) Adakah para pelajar menunjukkan minat melalui sikap serta tahap penglibatan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan


ii) Apakah perbezaan motivasi murid berpencapaian tinggi, sederhana dan rendah mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah ‘My Aura Map’


iii) Bagaimanakah sikap penerimaan serta penghayatan pelajar terhadap proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah ‘My Aura Map’


B) Perbezaan Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran di antara cara ‘chalk and talk’, nota padat dan lembaran kerja dengan kaedah ‘My Aura Map’ perbandingan data markah melalui ujian pra an ujian pos.
i) Adakah terdapat peningkatan markah ujian keseluruhan dilihat pada markah ujian pra dan ujian pos


04. REFLEKSI MASALAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG LALU


Kajian ini dikhususkan kepada para pelajar tingkatan 6 Rendah 1 (aliran sastera).
Subjek kajian adalah pelajar-pelajar 6 Rendah 1, yang berasal dari kelas Aliran Sains Tulen semasa berada di Tingkatan 4 dan 5. Semasa sesi pengajaran dan pembelajaran, didapati bahawa pelajar ini mengalami kesukaran untuk memahami beberapa istilah khas yang digunakan dalam mata pelajaran Pengajian Perniagaan. Istilah-istilah ini perlu difahami oleh pelajar secepat mungkin di awal pembelajaran supaya mereka boleh mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran seterusnya tanpa banyak masalah. Semasa proses pengajaran dan pembejajaran, didapati pelajar menyuarakan rasa tertekan kerana nota terlalu padat sehingga menimbulkan sikap malas dan tidak bersemangat untuk mengulangkaji. Pada masa yang sama, pelajar mempelajari istilah-istilah yang tidak pernah dipelajari sebelum ini. Didapati bahawa pelajar lebih berminat kepada pengiraan. Ini bermakna pelajar lebih cenderung menghafal formula berbanding menghafal fakta.

05. FOKUS KAJIAN / ISU KEPRIHATINAN YANG DIKAJI


i. Mengenal pasti keberkesanan penggunaan “My Aura Map” untuk memahami istilah-istilah yang diguna pakai dalam mata pelajaran Pengajian Perniagaan.


ii. Mengenal pasti tahap motivasi dan minat para pelajar terhadap kaedah “My Aura Map” yang digunakan.

06. OBJEKTIF KAJIAN


i. Objektif Am


• Meningkatkan keberkesanan penggunaan “My Aura Map” dalam proses pengajaran dan pembelajaran Pengajian Perniagaan.


• Meningkatkan tahap motivasi dan minat pelajar dengan menggunakan kaedah “My Aura Map”.


• Memudahkan proses mengingat dan meningkatkan kefahaman pelajar terhadap istilah-istilah khusus yang digunakan dalam mata pelajaran Pengajian Perniagaan.

ii. Objektif Khusus


• Menilai keberkesanan penggunaan kaedah “My Aura Map”.


• Menilai motivasi dan minat pelajar terhadap penggunaan kaedah “My Aura Map”.

07. KUMPULAN SASARAN


Seramai 25 oarang pelajar tingkatan 6 Rendah 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Bongawan.
Pelajar-pelajar ini terdiri daripada bekas pelajar Aliran Sains Tulen di tingkatan 4 dan 5 yang memasuki aliran sastera.
08. KAEDAH MENGUTIP DATA


(i) Oleh kerana populasi kajian adalah sedikit dan skop kajian adalah kecil, maka kaedah ujian digunakan. Borang tinjauan berukuran skala (IMMS) juga digunakan untuk mengetahui tahap motivasi pelajar terhadap penggunaan bahan siaran TV Pendidikan.


(ii) Data yang dikumpul akan dianalisis dengan menggunakan pengiraan biasa bukan menggunakan perisian SPSS. Antara statistik yang digunakan ialah bilangan, purata, dan peratus.


10. DAPATAN KAJIAN


10.1 Ujian IMMS


(i) Pelajar dikehendaki menandakan tahap persetujuan mereka terhadap kenyataan-kenyataan yang terdapat di dalam instrumen IMMS. Skala-skala yang dipilih adalah sama ada (1)- Sangat tidak setuju,

(2)-Tidak Setuju, (3) Setuju, (4)-Sangat setuju. Daripada analisis awal yang dilakukan, melalui ujian IMMS kesimpulannya adalah seperti berikut:-


a) 100% pelajar telah memberikan komitmen dalam pengajaran dan pembelajaran


b)100% pelajar telah mengambil bahagian dalam ujian IMMS
ii) Dalam kajian ini pengkaji telah berjaya menguji kesesuaian item-item dalam soal selidik bagi mengukur 37 item yang boleh dibahagi kepada 4 konstruk utama.

ii) Bagi menganalisis sejauhmanakah kaedah ‘My Aura Map’ berkesan digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran serta disukai oleh para pelajar, dari skala 1 ( tidak berkesan / tidak disukai) hingga skala 4 (Sangat berkesan dan sangat disukai).


iii) Bagi item-item yang berbentuk negatif, nilai diterbalikkan sebelum diproses (Oppenheim, 1986


iv) Berdasarkan kepada data yang diperolehi itu, jelas menunjukkan sebahagian besar pelajar telah mengakui kebaikan daripada kaedah ini.

10.2 Keputusan Ujian Pra dan Ujian Pos


Berdasarkan kepada keputusan Ujian Pra dan Ujian Pos seperti dalam Lampiran 6, jelas menggambarkan peningkatan yang ketara dari segi pencapaian secara keseluruhannya. Purata markah yang telah diperolehi pada ujian pra ialah 55.6% dan 84% pada ujian pos. Ini bermakna peningkatan markah ialah sebanyak 28.4%.

Kaedah pengajaran berasaskan nota padat dan lembaran kerja telah digunakan dalam ujian pra. Kefahaman pelajar agak lemah dan kebanyakan pelajar hanya memperolehi Gred B iaitu 13 orang. 11 orang mendapat Gred C dan 1 orang mendapat Gred D. Setelah sesi kedua dijalankan selang 30 hari dengan menggunakan kaedah ‘My Aura Map’ serta mengubahsuai soalan ujian pra untuk digunakan sebagai ujian pos (masih mengambilkira aras ujian berdasarkan Teori Taksonomi Bloom), keputusan ujian telah meningkat. Seramai 17 orang pelajar memperolehi Gred A, 6 orang memperolehi Gred B, 1 orang memperolehi Ged C dan 1 orang memperolehi Gred D.

11. PENILAIAN DAN REFLEKSI


Berdasarkan carta dan jadual analisis di atas, pengkaji telah berjaya mendapati bahawa penggunaan kaedah ‘My Aura Map’ boleh membantu meningkatkan motivasi murid-murid mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.


Ini dapat dibuktikan dengan peningkatan dalam peratusan ujian yang telah dijalankan di antara dua ujian iaitu ujian pra dengan ujian pos. Daripada analisis IMMS mendapati bahawa penggunaan ‘My Aura Map’ yang menggunakan peta minta pelbagai warna dengan grafik yang menarik dalam proses pengajaran dan pembelajaran amat berkesan. Kajian awal yang telah dijalankan oleh Nordin (1991) melaporkan bahawa komponen grafiknya mampu memandu pelajar kepada bahan pembelajaran di samping mempertingkatkan penglibatan pelajar dan tahap kefahaman mereka. Juga terdapat kajian yang lain menunjukkan penilaian yang positif terhadap penggunaan grafik (termasuk peta minda berwarna) sebagai satu proses penyampaian bahan pembelajaran (Atan dan Idrus, 1999). Maka itulah sebabnya mengapa Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Bahagian Sekolah-Sekolah dan Bahagian Teknologi Pendidikan melaksanakan pelbagai inisiatif menghasilkan bahan-bahan inovasi yang menarik untuk digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.