Budaya Ilmu Teras Pembinaan Generasi Sepanjang Zaman

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana masih diizinkan untuk terus menghirup udara dan hidup di bumi Allah SWT ini. Tak terasa masa berjalan dengan begitu cepat. Cepatnya masa berlalu itu bagai angin yang datang dan beredar laju meninggalkan kita. Namun, setiap detik kehidupan jika diisi dengan aktiviti yang baik pasti akan menguntungkan kita selepas kehidupan yang bersifat sementara ini. Hari ini sudah masuk 7 Muharam 1435H. Tahun baru yang pastinya setiap individu muslim mahu menjadikannya lebih baik dari tahun-tahun yang sudah berlalu.

InsyaAllah dalam ruangan yang terbatas ini, saya ingin mencoretkan sesuatu bukan kerana hendak mengajar para pembaca (jauh daripada itu). Hanya ingin berkongsi ilmu dengan harapan mudah-mudahan ada manafaatnya kepada diri saya sendiri dan para pembaca. Lagi pula sudah lama tidak menulis diblog ini. Sedih melihat blog ini seperti ditinggalkan oleh yang empunya.

Islam sangat menghargai  ilmu. Jika dikaji secara holistik, kitab suci al-Quran mengandungi bukan sahaja ilmu yang berkaitan agama tetapi ia juga mengandungi ilmu mantik seperti ilmu keduniaan iaitu ilmu pengetahuan Sains dan Matematik. Ini dapat dilihat dari 6666 ayat suci Al-Quran, lebih 700 ayat adalah ayat yang membicarakan tentang ilmu Sains dan Matematik ini termasuk disiplin-disiplin atau pecahan-pecahan ilmu yang berkaitan contohnya, geografi, ekonomi, astronomi dan sebagainya. Ini secara tidak langsung al-Quran bukan sahaja berperanan ilmu berkaitan agama tetapi juga berkaitan dengan ilmu keduniaan seperti yang disaran oleh Allah S.W.T untuk dikaji demi meningkat keimanan kepada-NYA dan pada masa yang sama dapat meningkatkan ketamadunan umat manusia. Hal ini telah dijelaskan didalam al-Quran yang bermaksud:

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam, Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”

(Surah al-‘Alaq: 1-5)

                                                                      

Berdasarkan ayat di atas, jelas mengambarkan kepentingan ilmu kepada umat sejagat khususnya umat Islam dalam usaha membangunkan tamadun dan peradaban unggul serta menjadi contoh kepada umat lain. Di samping itu, budaya ilmu bukanlah semata-mata pendidikan formal seperti yang diajar di sekolah-sekolah mahupun di institusi-institusi pengajian tinggi tetapi juga boleh dipelajari secara tidak formal seperti diskusi dengan rakan, membuat inkuiri sendiri dan sebagainya. Umat Islam terdahulu perlu prihatin akan kepentingan ilmu dan mereka mesti berusaha menguasainya. Ilmu membantu kita untuk menyelesaikan masalah harian yang timbul seperti menentukan waktu solat atau arah kiblat  seperti diterangkan dalam al-Quran

“Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarnya.”

(Surah Yassin, : 40 )

Kesan daripada penguasaan  ilmu yang mendalam, maka lahirlah tamadun dan peradaban Islam yang agung contohnya, zaman Kerajaan Bani Abbasiyah kurun ke-8 masihi dan Kerajaan Umaiyah Andalus ( 756-1031 masihi ) dalam pelbagai disiplin ilmu pengetahuan dan hasil kajian mereka menjadi rujukan sehingga kini dan menjadi bahan rujukan utama semasa kebangkitan tamadun Eropah iaitu zaman Renaissance sekitar abad ke-13 sehingga abad ke-18 masihi.

Kemuliaan orang yang berilmu memang tidak dapat dinafikan lagi. Justeru, diibaratkan seorang yang berilmu dan mengamalkan ilmunya lebih baik dan ditakuti syaitan lebih daripada 1000 orang ahli ibadah yang tidak bersandarkan kepada ilmu itu sendiri. Oleh itu, marilah kita bersama-sama mencintai ilmu. Suka kepada jalan-jalan ilmu. Minat mencari lorong-lorong ilmu. Contohnya suka membaca buku, mendengar ceramah-ceramah,  usrah, perbincangan dan berdamping dengan para guru dan ulama. Generasi kita hari ini akan kekal cemerlang jika terus menimba ilmu walaupun pada usia tua bahkan hingga ke liang lahad..!!

 

Salam Hijrah 1433H.. Persefahaman Asas Perpaduan Ummah

Persefahaman Asas Perpaduan UmmahAlhamdulillah.. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Dialah yang Maha Berkuasa mengatur perjalanan alam
ini sejak dahulu hingga sekarang. Maha Suci Allah dari segala sifat makhluk yang lemah dan sangat kekurangan.

Tika ini, saat ini, kalendar kita baharu sahaja beralih dari 1432H ke 1433H. Doa akhir tahun 1432H dan doa awal tahun 1433H baharu sahaja dibacakan dengan penuh keimanan dan pengharapan agar tiap nafas yang kita miliki mampu menjadikan kita insan yang bersyukur kepada nikmat-nikmat Allah yang dianugerahkan kepada kita. Siapapun kita, yang jelasnya ialah kita semua akan kembali kepada Allah untuk dinilai di akhirat kelak. Tiap saat yang pergi, tiap tahun yang berlalu membawa makna hidup kita di dunia yang fana ini kian pendek dan menanti giliran untuk kembali ke hadrat Tuhan yang Maha Esa.

HIJRAH sering disebut-sebut. Sejak kebelakangan ini, menjadi budaya dalam masyarakat kita mengucapkan selamat menyambut tahun baru Hijrah sama ada melalui lisan, kad ataupun sistem pesanan ringkas (SMS). Amalan ini boleh mendatangkan kebaikan jika ia benar-benar dihayati dan diamalkan semata-mata kerana Allah SWT.

Dari segi sejarah, Hijrah Nabi Muhammad SAW berlaku pada 12 Rabiul Awal bersamaan 2 Julai 622 Masihi ketika
itu tahun ke 13 kerasulan Baginda. Peristiwa hijrah ini telah dijadikan permulaan bagi kaledar umat Islam sebagai memperingati peristiwa yang sangat bermakna dan bersejarah ini.

Peristiwa Hijrah bukan sahaja berlaku kepada Nabi Muhammad SAW tetapi juga kepada Nabi dan Rasul yang lain.
Contohnya, Nabi Yaaqub a.s. telah berhijrah dari bumi Iraq untuk menghindari ancaman hasad dengki saudaranya. Nabi Ibrahim a.s. pula telah berhijrah ke Babil di Iraq dan kemudian ke Mekah sebagai menyahut perintah Allah. Nabi Luth
a.s. pula pernah berhijrah ke negeri Syam dan kemudian menetap di Nablus. Manakala Nabi Musa a.s. pernah berhijrah meninggalkan Mesir kerana ancaman dari Firaun.

Dalam konteks hari ini, penghijrahan bermaksud melakukan perubahan terhadap diri atau disebut anjakan paradigma iaitu berubah dari keadaan yang buruk kepada yang baik dan daripada keadaan yang baik kepada yang lebih baik. Berbekalkan peristiwa Hijrah, umat Islam seharusnya mengambil teladan untuk melakukan penghijrahan dalam kehidupan mereka. Ini sebagaimana maksud firman Allah SWT dalam surah al-Ra’d ayat 15 “Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum, sehingga mereka merubah keadaan diri mereka sendiri”.

Tema sambutan Maal Hijrah Tahun 1433H ini ialah “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah” yang membawa maksud bahawa umat Islam khususnya di Malaysia mempunyai banyak perbezaan yang mengakibatkan perpecahan ummah seperti budaya, ekonomi, fahaman politik dan taraf pendidikan. Justeru itu, umat Islam wajar memahami perbezaan ini dan berusaha untuk saling memahami di antara satu dengan yang lain serta menerima keadaan ini dengan redha agar rasa persefahaman dapat diwujudkan dalam satu aqidah berasaskan kepada ajaran Islam yang sebenar.

Hari ini 1 Muharram 1433H bersamaan 27 November 2011M, Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah diadakan di Dewaan Saadah, Wisma MUIS Kota Kinabalu. Bersama-sama kita hadirkan diri. InsyaAllah… Selamat Tahun Baru Hijrah kepada semua. Semoga Allah memberkati kita semua.