KOLABORASI ILMU

Kelahiran Semula Kolaborasi Ilmu ..15 Februari 2008..

Archive for the 'Motivasi Bestari Pelajar' Category

Harapan Seorang Ayah

Posted by ilmu on 17th Februari 2008

Setiap orang mesti mempunyai ayah.

      Mungkin ayah kita baik dengan kita atau sebaliknya. Kalau ayah kita baik dengan kita, kita akan merasa bahagia. Berbangga dengan kehadirannya. Beliau akan menjadi contoh teladan kepada kita. Kalau ayah kita menjadi contoh teladan kepada kita, ini bererti kita akan cuba meniru cara dia bertingkahlaku dan bercakap. Malahan, kita akan berfikir mengikut cara ayah kita berfikir.

      Setengah daripada kita mungkin tidak begitu mesra dengan ayahnya. Ini mungkin kerana ayahnya sibuk dengan tugas dan jarang berada di rumah. Mungkin juga kerana ayah kita sudah pun berpisah dengan emak kita. Beliau tidak lagi tinggal bersama kita.

      Mungkin ayah kita bukan sebagaimana yang kita mengharapkan.

      Kita mendapati ayah kita tidak sebaik ayah rakan kita. Beliau tidak semesra ayah rakan kita. Tidak semurah hati sebagaimana ayah rakan kita. Kita berasa kecewa dan sentiasa berharap agar ayah kita menjadi lebih baik daripada ayah orang lain. Namun hakikatnya, ayah kita tidak begitu. Beliau tidak menjadi seorang ayah yang sebagaimana kita mengharapkan.

      Bagi mereka yang telah pun berpisah dengan ayah mereka, mereka tidak dapat bercakap dan berbincang dengan ayah mereka. Malahan, mungkin untuk membayangkan wajah ayah mereka pun menjadi sukar. Ini adalah kerana mereka telah bepisah dengan ayah mereka sejak kecil lagi.

      Oleh itu, beruntunglah anak-anak yang masih ada ayahnya bersama mereka. Mereka masih dapat menatap wajah ayahnya walau pun ayah mereka tidak sebaik yang diharapkan.

      Sesungguhnya setiap orang mempunyai ayah masing-masing. Adalah mustahil untuk seseorang dilahirkan ke muka bumi ini tanpa ayah. Kecuali dengan izin Tuhan, sebagaimana yang berlaku ke atas Nabi Isa alaihissalam. Darah yang mengalir dalam tubuh kita, sebahagiannya adalah darah daripada ayah kita.

      Setiap orang ayah sebenarnya sentiasa berharap untuk mempunyai anaknya sendiri. Walaupun ayah kita sudah berpisah dengan ibu, ayah kita tetap menaruh harapan tertentu terhadap kita.

      Cuba bayangkan, kalau ayah kita sudah meninggal dunia. Apakah harapan ayah tiri kita terhadap kita sebagai anaknya? Terdapat banyak kemungkinan dan pilihan yang mungkin ayah kita akan beranggapan terhadap diri kita.

      Namun demikian, ayah kita tidak mungkin mengharapkan kita menjadi seorang anak yang jahat, bodoh dan malas. Suka bertingkah laku memusnahkan harta benda, mengkhianati orang lain, dan dibenci oleh masyarakat.

Posted in Motivasi Bestari Pelajar | No Comments »

Gigihnya Kita

Posted by ilmu on 17th Februari 2008

Seorang anak yang baru lahir tidak pernah mendengar sebarang ceramah motivasi oleh sesiapa. Tidak ada ibu bapa yang begitu bersungguh-sungguh mendidik anak dengan memanggil seseorang penceramah motivasi terkenal untuk memberikan motivasi kepada anak kecilnya.

      Sepanjang masa pembesaran, seseorang itu telah melalui dan mengalami beratus-ratus kali kegagalan.

      Ketika seorang bayi mula untuk belajar meniarap dari kedudukan terlentang sahaja, dia mungkin mengalami kegagalan dan kesukaran mengangkat kepalanya daripada terhantuk ke lantai. Kegagalan memang menyakitkan. Bayi itu akan menangis apabila kepalanya terhantuk ke lantai.

      Namun, seorang bayi tidak pernah berputus asa. Kalau dia gagal untuk beberapa kali pun, bayi itu akan terus mencuba, sehinggalah dia berjaya untuk meniarap dengan baik dan mukanya tidak terhempap lagi ke lantai.

      Sekali gagal bukan bererti akan gagal buat selama-lamanya.

      Begitu juga bagi seseorang kanak-kanak untuk belajar kemahiran lain seperti belajar merangkak, duduk, berdiri, berjalan, dan berlari. Mungkin tidak terhitung banyaknya seseorang kanak-kanak itu gagal dalam usaha untuk menyempurnakan setiap peringkat pertumbuhannya.

      Namun begitu, tidak pernah ada seorang ibu pun yang memanggil penceramah motivasi untuk membangkitkan semangat anaknya yang telah gagal untuk berdiri buat pertama kali. Walaupun tanpa sebarang kata-kata semangat daripada sesiapa, kanak-kanak tadi akan terus berusaha sehingga dirinya berjaya menguasai peringkat perkembangan yang sepatutnya.

      Kanak-kanak ini mempamerkan kesungguhan yang tinggi tanpa putus asa, tanpa motivasi, dan galakan daripada sesiapa pun.

      Pada hari ini, anda berada di sekolah. Belajar berbagai-bagai mata pelajaran. Diuji dengan ujian tertentu dari semasa ke semasa. Anda mungkin tidak mencapai tahap yang sepatutnya. Anda gagal dalam ujian tertentu.

      Bagaimana tindakan anda apabila menghadapi keadaan tersebut?

      Anda mungkin mula menanam rasa tidak suka kepada mata pelajaran tersebut. Kesannya, anda akan terus menerima kegagalan dalam ujian mata pelajaran tersebut. Atau anda mungkin menerima kegagalan dalam mata pelajaran tersebut sebagai cabaran. Kesannya, anda mungkin akan terus berusaha sehingga anda lulus mata pelajaran tersebut dengan cemerlang.

      Satu lagi kemungkinan ialah anda tidak mempedulikan pencapaian anda. Kalau baik atau gagal pun tidak ambil peduli. Kaedah anda belajar tetap serupa sahaja, usaha anda juga pada tahap yang serupa juga. Tiada peningkatan dan tiada pengurangan disebabkan kebencian.

      Kesannya ialah anda akan terus-menerus berada di takuk sedia ada. Kalau anda gagal bererti anda akan terus gagal. Kalau anda lulus bererti anda akan cukup setakat lulus itu sahaja dan tidak akan berusaha untuk meningkat supaya lebih cemerlang lagi.

Fitrah anda semasa kecil dulu adalah tidak pernah kenal erti kegagalan.

      Anda juga tidak pernah berpuas hati dengan pencapaian yang ada dan akan berusaha untuk mencapai tahap yang lebih baik. Kalau anda sudah berjaya duduk dengan baik tanpa jatuh, maka anda akan berusaha pula untuk bangun berdiri. Kalau anda berjaya untuk bangun berdiri tanpa jatuh, maka anda akan berusaha pula untuk berjalan.

      Jelas menunjukkan bahawa anda tidak akan berpuas hati dengan pencapaian yang sedia ada. Anda juga tidak pernah berputus asa sehingga anda berjaya.

      Hari ini, pilihan ada pada diri anda, sama ada untuk membenci mata pelajaran yang anda gagal untuk terus gagal, atau terus berada ditakuk lama dengan tidak melakukan sebarang usaha peningkatan atau bangkit menjadi juara, sebagaimana berjayanya anda pada waktu kecil dulu.

      Sebenarnya tidak ada sebab sekarang, apabila anda berada di bangku sekolah, untuk mula mengamalkan sifat “putus asa” dan “cepat berpuas hati” dengan pencapaian yang ada.

      Kalau anda gagal dengan keputusan peperiksaan anda dalam sesuatu mata pelajaran, fitrahnya anda tidak akan putus asa daripada berusaha sehingga anda lulus. Kalau anda telah lulus, anda akan berusaha pula untuk mencapai tahap kepujian. Kalau sudah mencapai tahap kepujian, anda akan berusaha pula untuk mencapai tahap kecemerlangan.

      Fitrah dan sifat ini telah ada dalam diri anda sejak anda dilahirkan lagi. Tidak perlu kepada motivasi daripada orang lain.

      Kembalilah kepada diri asal anda yang tidak pernah kenal putus asa dan tidak pernah puas dengan pencapaian yang ada. Anda akan terkejut bahawa anda juga sebenarnya seorang hebat dan berupaya untuk mencapai kecemerlangan. Usahakanlah dan semoga anda berjaya.

      Kegigihan itu sebenarnya telahpun ada dalam diri anda sejak kecil lagi.

Petikan: www.galeri-a.com

Posted in Motivasi Bestari Pelajar | No Comments »