Ramadan Berlabuh Syawal Menjelang

 

Alhamdulillah setelah sekian lama tidak menulis dalam blog ini (entah kata sibuk tidak juga)… Hari ini 6 Ogos 2012, bersamaan hari Isnin. Dalam kalendar Hijrah tarikhnya ialah 17 Ramadan 1433H. Tarikh ini amat penting kepada umat Islam kerana Peristiwa permulaan turunnya Al-Quran. Peristiwa ini kemudiannya disebut sebagai Nuzul Quran. Bagi sesetengah negeri di Malaysia, hari ini telah dijadikan sebagai cuti umum. Tentang Nuzul Quran ini sudah terlalu banyak  ditulis di dalam internet yang boleh dibaca dan saya tidak bermaksud untuk menulisnya lagi.

Nampaknya Ramadan sudah semakin berlabuh. Bermakna Syawal sudah menjelang tiba. Orang tua-tua selalu lihat bulan purnama dan akan berkata kepada anak-anaknya raya tak lama lagi. Maknanya dalam dua minggu saja lagi raya datang. Kaum hawa sudah mula sibuk membuat persediaan. Cari buku resepi, buat biskut, rancang juadah, beli baju baru untuk anak-anak dan hiaskan rumah. Kalau dapat tukarkan dengan yang baru berkilat. Semuanya kerana menganggap Syawal yang bakal tiba itu sangat istimewa dan bermakna, lebih-lebih lagi rumah akan dikunjungi oleh saudara mara dan sahabat handai..

Bapak-bapak pula mula mencari amil untuk membayar zakat fitrah masing-masing. Takut kalau terlupa nanti kewajiban tak dapat ditunaikan. Selain itu, dah mula merancang berapa ekor ayam, kambing atau lembu akan ditumbangkan. :-)… Satu lagi yang lumrah dilakukan sempena raya ialah melangsung majlis perkahwinan. Mengakhirkan zaman bujang serta mengambil kesempatan sempena hari lebaran lebih-lebih lagi ramai yang balik kampung.

Nampaknya Ramadan dan Syawal begitu bererti kepada kaum muslimin dan muslimat. Maka tak hairanlah jika ia diraikan dengan semangat dan pengorbanan yang begitu tinggi. Mudah-mudahan kita menempuhnya dengan gembira. 🙂

Posted in Uncategorised. Tagged .