Posted by ilmu on 13th Ogos 2012
Tak pernah saya merasa sejuk di Kuala Lumpur (kecuali dalam aircond la)….. Lebih-lebih lagi sekarang. Panas kering + angin panas yang begitu cepat menghidrasi badan dan peluh. Tambah-tambah lagi puasa dan kurang minum air. Rasa haus tak dapat bayangkan macam mana.
Lain pula halnya petang kelmarin. Di tengah panas terik, sempat juga mandi salji.
sesuatu yang tak disangka. Peristiwa berlaku di Masjid SP. Sewaktu kemuncak rasa dahaga, saya dan beberapa orang kawan ditugaskan untuk khidmat ta’am (menyediakan makanan).. Saya ambik bahagian yang paling mencabar iaitu menyediakan minuman sejuk. haha…mcm nak meletup puasa nampak ais batu yang sejuk dan warna minuman sirap bandung pink.
Waktu mengendalikan kerja menyediakan minuman dalam 40 jag air bersama kawan, saya cuba membuat kerja cepat sikit dari biasa kerana masa berbuka puasa dah dekat. Agak terburu-buru hingga terlari-lari ke sana ke mari mengambil dan menyediakan bahan.
dah biasa kerja express ni…. Keadaan tak begitu selesa. Bukan saja lantai licin tapi juga tak pakai selipar. Masa menghantar 2 jag air sirap yang sarat dengan air dan air batu…. “Argghhh bdukkkk!!! tergelincir.. apa lagi, 2 jag air di tangan menyimbah dada.. huhhhh sejuknya…. mula-mula rasa kesal tapi bertukar jadi syok pula… hehehe. SEGAR TERASA!! “Malangnya” tak terminum… hehe.. nak yang free sebab istilah tak sengaja… baju putih saya menjadi warna kemerahan. Kerana basah, warna pink dan manis di badan, saya terus mandi. Dah tak selesa…. Bingung tapi terpaksa…
Begitulah…Allah tunaikan hasrat saya untuk mandi salji setelah beberapa hari rasa bahang di Kuala Lumpur… huhu
Posted in Sembang2 & Melancong, Tugas..tugas! | 3 Comments »
Posted by ilmu on 10th Ogos 2012

Andai menyingkap masa hadapan, pasti terasa perjalanan masih begitu jauh dan lama. Apatah lagi jika ada sesuatu yang istimewa ditunggu. Begitulah manusia memang kurang kesabarannya…
Namun jika diimbau kenangan lama, terasa baru saja berlalu pergi. 10 tahun yang lalu, rasa baru semalam. Apatah lagi jika kenangan itu baru sebulan ditinggalkan. Begitulah manusia tidak sedar akan kehidupannya yang begitu cepat pergi. Umur, masa dan peluang beredar mengikut pusingan jam yang beredar pergi dan tak akan kembali lagi.
Perjalanan jauh turut terasa apabila berpergian menuju ke suatu tempat. Perjalanan yang mencabar dan meletihkan. Bukan sahaja jaraknya jauh tetapi kaedah perjalanan yang tidak menyeronokkan. Ada orang suka dan tak suka naik kereta jauh-jauh.. begitu juga kapal laut, kapal terbang, bot laju, sampan di laut, jalan kaki dan berbagai-bagai lagi.
Pada masa post ini ditulis, saya sudahpun berada di Kota Metropolitan Kuala Lumpur untuk menuju ke beberapa destinasi kembara dakwah.. Menaiki pesawat Air Asia dengan flight terbarunya A320-200 yang baharu sahaja berkhidmat sebulan lepas. Apa yang agak lain daripada kebiasaan ialah pesawat ini bergerak dalam kelajuan 800km/sejam dan tiba di LCCT 15 minit awal daripada biasa. Ni diumumkan oleh ketua pramugarinya.
Kadang-kadang naik kapal terbang ni tak menyeronokkan. Bukan kerana tidak biasa tetapi keadaan cuaca yang tak baik. Kapal bergegar-gegar kuat, kadangkala turun naik mendadak. Huh…kecut perut. Keadaan perjalanan yang tidak selesa ini mempengaruhi hingga terasa jauh sangat perjalanan ke destinasi yang dituju…
Posted in Kembara, Sembang2 & Melancong | 2 Comments »
Posted by ilmu on 8th Ogos 2012
Banyaknya kerja di pejabat. Kalau dikira memang tak pernah habis. Selesai satu perkara, yang baru datang lagi. Begitulah lumrah sebagai seorang kaki tangan dalam satu-satu bidang pekerjaan. Baik di sektor awam atau sektor swasta. Pagi ni saya masuk pejabat seperti biasa akan memeriksa email rasmi jabatan. Nampaknya ada satu atau dua perkara ad-hoc yang kena buat secepat mungkin. Kerja semalam masih ada yang tidak selesai lagi. Minggu lepas pihak atasan memantau pejabat saya dan ada satu deret catatan tindakan susulan yang perlu diselesaikan juga. Huhu…seperti yang saya katakan tadi, kerja memang tak akan habis. Bertambah banyak ya..mungkin. Lebih-lebih lagi kalau suka bertangguh. Jadi, bukan saja kerja-kerja tu kena cepat-cepat buat tetapi juga mesti mempastikan kualitinya.
Pun begitu… dalam kesibukan yang memang berpanjangan, rehat adalah perlu. Bercutilah dan berehatlah. Bila kepala terasa berat pasti tak boleh buat kerja. Kalau jatuh sakit (selalu migrainlah..) kita juga yang akan susah. Kerja-kerja yang boleh dilakukan oleh pembantu tadbir boleh diberikan terutamanya tindakan ‘urgent’… Berkaitan dengan cuti rehat ini, ia termaktub di dalam Perintah Am Bab C bagi kaki tangan awam dan boleh diambil apabila seseorang pegawai apabila perlu.
Cuti-cuti ni bagi saya boleh dimanafaatkan dengan berbagai cara. Antaranya rehat di rumah bersama keluarga, pulang kampung, melawat satu tempat yang menarik, berkelah, membeli belah, berkebun dan sebagainya. Ini akan membantu menurunkan kesan tekanan di tempat kerja dan menstabilkan kadar tekanan darah, jantung, emosi dan sakit kepala.
Cuma persoalannya betulkah cuti yang diambil untuk menghilangkan kesan-kesan negatif di atas benar-benar dimanafaatkan. Satu kajian yang telah dilakukan mendapati 20% daripada responden tidak dapat memanafaatkan sepenuhnya cuti rehat dan tidak berjaya menghilangkan kesan tekanan di tempat kerja. Antara sebabnya ialah disebabkan oleh pemilihan aktiviti pengisian cuti rehat yang diambil adalah tidak sesuai!. Justeru itu…marilah kita fikir-fikirkan..
Posted in Aktiviti Sosial, Sembang2 & Melancong, Tugas..tugas! | No Comments »
Posted by ilmu on 17th Oktober 2011
Alhamdulillah selamat bertemu..lama tidak berkongsi idea dalam blog ini. Mungkin disebabkan kesibukan tugas sebagai pejawat awam dan mahasiswa. Beberapa minggu ini agak sibuk dengan persiapan Seminar Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Lestasi 2011 yang dianjurkan bersama dengan pihak universiti, Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Biro Tatanegara.
Pada masa yang sama, berbagai tugasan yang perlu disiapkan di samping tugas rasmi pejabat walaupun masih dalam cuti belajar. Demikianlah betapa banyaknya tuntutan semasa yang harus digalas untuk mengekalkan kelestarian hidup yang penuh dengan cabaran dan rintangan. Situasi ini meghendaki kita bertindak melalui kematangan diri dan penguasaan ilmu yang holistik dan komprehensif.
Allah SWT menegaskan dalam Al-Quran bahawa manusia dan jin tidak akan dapat menguasai dunia dan seisinya melainkan dengan kekuasaan ilmu. (Surah Ar-Rahman, 33). Dunia telah menyaksikan dan sejarah telah membuktikan bahawa sejak zaman awal generasi manusia, ilmu memainkan peranan penting di dalam menentukan kegemilangan dan kejatuhan sesuatu tamadun.
Selain itu, dunia globalisasi hari ini jelas menunjukkan bahawa kerana penguasaan ilmu khususnya di dalam bidang sains dan teknologi menyebabkan negara-negara maju seperti Barat dan Jepun telah menjadi pelopor kepada pelbagai corak kehidupan.
Jika kita telusuri kisah suci kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat seperti Sayyidina Ali Karramallahu wajhah, kita akan dapati bahawa
di sebalik keagungan kepimpinan dan ketaqwaan mereka kepada Allah SWT, maka ilmu pengetahuan yang mapan menjadi rahsianya. Di samping itu, sejarah kehidupan sarjana-sarjana Islam masa lampau seperti Ibn Sina, Ibn Rusyd, Al-Khawarizmi, Ar-Razi, Jabir Ibn Khayyam dan sebagainya menjadi saksi akan kebenaran pernyataan ini.
Justeru, konsep penguasaan ilmu wajar menjadi prinsip utama di dalam kehidupan setiap dari kita. Kita sewajarnya menanamkan di jiwa bahawa pembelajaran bukan hanya untuk kelulusan peperiksaan, memenuhi keperluan kursus atau sekadar untuk mendapat segulung ijazah sahaja. Sebaliknya semangat cintakan ilmu pengetahuan merupakan momentum paling penting ke arah memahami erti hidup yang sebenar.
Posted in Bicara Ilmu, Housekeeping, Pendidikan, Sembang2 & Melancong | 1 Comment »
Posted by ilmu on 16th Oktober 2011
KUNDASANG, RANAU
KUNDASANG, RANAU
















Kundasang, Ranau (2000m) merupakan salah satu tempat terindah di Malaysia. Di sini, sekurang-kurangnya 10 tempat yang sangat mengkagumkan…. hotel 3 bintang, chalet dan homestay banyak terdapat di sini dengan harga di antara RM60 hingga RM500
KUNDASANG DESA CATTLE DAIRY FARM








Desa Cattle Dairy Farm (Mesilau, Kundasang) di aras 2100m…antara tempat paling indah bagaikan berada di New Zealand.. bahagian atas dalam gambar ialah Gunung Kinabalu..
RANAU

Ranau ialah sebuah daerah yang terletak Bahagian Pantai Barat Utara Negeri Sabah, Malaysia. Dianggarkan jumlah penduduknya pada tahun 2000 ialah seramai 70,649 orang.
Daerah Ranau terletak di antara garisan lintang (Latitude) 5° 30’ U dan 6° 25’ U dan garisan bujur (Longtitude) 116° 30’ dan 117° 5’ T dan di kelilingi oleh 7 buah daerah lain iaitu Tuaran, Kota Belud, Tambunan, Keningau, Kinabatangan, Beluran dan Kota Belud sebelum menjadi sebuah daerah penuh pada awal tahun 1960 an. Ranau pernah menjadi Daerah Kecil Daerah Tambunan dan Kota Belud.
Keluasan
Keluasan daerah Ranau pada masa ini ialah 294,224 hekter atau 1978.5 km persegi. Walaubagaimana, apabila perubahan persempadan baru yang melibatkan daerah Tambunan dan Beluran diluluskan, maka luas daerah Ranau akan bertambah kepada 3555.9 km persegi.
Ranau adalah sebuah daerah pelancongan yang terkenal di dalam negara dan di peringkat antarabangsa. Antara tempat-tempat pelancongan yang menarik di daerah ini ialah kolam air panas Poring, Taman Negara Gunung Kinabalu, Ladang Desa Tea, Pekan Kundasang yang terkenal dengan gerai sayurnya, bekas lombong tembaga Mamut, lokasi penjara Perang Dunia Kedua, Sungai Liwagu, tamu bulanan (pasar sehari sekali dalam sebulan) dan banyak lagi.
Asal-usul Nama
Ranau berasal dari perkataan Ranahon yang bermaksud kawasan sawah padi. Biasanya masyarakat Dusun di daerah Ranau mengusahakan tanaman padi huma atau padi bukit memandangkan bentuk muka bumi di sini yang berbukit bukau. Tetapi bagi penduduk di Lembah Ranau, mereka mengusahakan tanaman padi sawah atau dalam bahasa tempatan Ranahon.
Panggilan singkat Ranahon ialah Ranau. Kebetulan kawasan ini telah membangun dan menjadi pusat pentadbiran daerah dan oleh itu perkataan Ranau telah digunakan sebagai nama rasmi daerah ini.
GUNUNG KINABALU



























Galeri gambar di atas diambil dari Paras 2000m hingga 4100m di sepanjang perjalanan menuju puncak kinabalu
Posted in Epal Kundasang, Gunung Kinabalu, Oh..Kundasang..Ranau, Sembang2 & Melancong | No Comments »
Posted by ilmu on 22nd Mei 2009

Gambar lain klik di sini..
Tugu Nunuk Ragang mengingatkan saya kepada cerita orang-orang tua. Kononnya orang-orang Kadazan-Dusun di Sabah mula-mula sekali bertapak di sini. Cerita ini kemudiannya dikaji secara mendalam dan diakui serta disahkan secara rasmi oleh KDCA (Persatuan Kebudayaan KadazanDusun Sabah). Maka, pada Tahun 1995, kerajaan Sabah telah meluluskan pembinaan Tugu Nunuk Ragang ini.
Menurut En. Peter Sumping (Salah seorang penduduk di sini) tugu ini diilhamkan oleh YB Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan. Kos pembinaan tugu ini menelan belanja hampir RM1juta. Terdapat sekurang-kurangnya empat teori mengenai asal-usul kaum Kadazandusun. Ini termasuklah teori yang mengatakan bahawa kaum Kadazandusun berasal dari keturunan “Mongoloid” (Ivor H.N. Evans: 1923 danT.R: Williams: 1965); teori yang mengatakan bahawa kaum Kadazandusun sebagai berketurunan. “Indo-Malayan” ;’ (T.R. Williams:1965) teori yang mengatakan bahawa kaum Kadazandusun adalah kacukan kaum China (IvorH.N. Evans: ,1923 dan Owen Rutter: .1922) dan teori yang mengatakan kaum Kadazandusun sebagai keturunan orang purba Gua Madal.
Dari segi asal-usul, satu daripada sejarah lisan yang popular adalah legenda yang mengatakan bahawa kaum Kadazandusun berasal dari satu tempat yang dinamakan “Nunuk Ragang”. Di tempat ini terdapat dua batang sungai iaitu Sungai Kegibangan (dari-arah kiri) dan Sungai Kawananan (dari arah kanan).yang telah bergabung menjadi, sungai yang lebih besar, yang dinamakan Sungai Liwogu (Dalam dan Tenang). Di kawasan tebing percantuman dua batang sungai itu telah ditumbuhi oleh sepohon pokok Kayu Ara (Nunuk) yang sesuai sebagai tempat berteduh. Penduduk di situ gemar bermandi manda di sungai itu sambil yang lain dengan ramainya, berjemur di atas dahan-dahan pokok Nunuk tersebut, sehingga pokok Nunuk itu kelihatan “angaragang” atau kemerah-merahan, jika dilihat dari jauh (merah, dikiaskan sebagai warna manusia yang ramai apabila cahaya matahari terpancar ke arah tubuh mereka menunjukkan betapa ramainya mereka. Atas sebab itu Nunuk itu dipanggil Nunuk Ragang). Di samping itu, pokok Nunuk Ragang tersebut dikatakan boleh mengeluarkan sejenis ubat yang boleh menyembuh berbagai jenis penyakit.
Semasa saya mengunjungi tugu ini, tidak ada penjaga yang ditugaskan. Bagaimanapun, selain rombongan kami, terdapat pelawat lain dari Kota Kinabalu.
Posted in Sembang2 & Melancong | 7 Comments »
Posted by ilmu on 25th November 2008

Kundasang – Pekan kecil yang terletak di dalam daerah Ranau. Pekan ini terkenal kerana kaya dengan agro pelancongan bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Para pelancong sentiasa membanjiri Kundasang untuk menikmati pemandangan yang indah, cuaca sejuk yang segar dan nyaman, mendaki Gunung Kinabalu dan melawat tempat-tempat menarikdi kawasan ini. Salah satu daripada tempat menarik yang terdapat di sini ialah Kundasang War Memorial. Kundasang War Memorial yang terletak di bahagian belakang deretan kedai pekan Kundasang ini adalah tugu peringatan sempena memperingati askar-askar Australia dan British yang ditawan oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Di bawah ini ialah petikan yang tercatat pada tugu peringatan yang dipamerkan di pintu masuk tugu ini.
“Semasa Perang Dunia Kedua, tawanan perang tentera Australia dan British dipenjarakan di Sandakan oleh pihak tentera Jepun. Tawanan perang pertama tiba dari Singapura dan mereka dipaksa untuk membina landasan kapal terbang tentera Jepun pada bulan Julai tahun 1942 dan menjelang pertengahan tahun 1943 lebih dari 1800 orang tawanan perang Australia dan 750 orang British menjadi buruh paksa di kem tahanan ini.”
“Keadaan hidup yang payah dan keadaan tempat kerja yang teruk wujud di kem tahanan ini. Tentera Jepun dan Pegawai Formosa yang sangat kejam terhadap tawanan perang dan bilangan tawanan perang yang mati pun meningkat terus sepanjang tahun 1943 dan 1944. Penduduk tempatan cuba sedaya upaya untuk menolong tawanan perang yang tidak berupaya itu kadang kala tidak menghiraukan ancaman bunuh yang dikeluarkan oleh pihak tentera Jepun.”
“Menjelang tahun 1945 tentera Jepun risau bahawa pihak Bersekutu akan menyerang Borneo Timur. Akhirnya, tentera perang yang masih hidup itu iaitu seramai 1066 orang telah dipindahkan secara berturut dalam perjalanan maut sejauh 265km ke barat. Seramai 290 orang tawanan perang yang ditinggalkan di hospital di Sandakan telah meninggal dunia.”
“Lebih dari 1000 orang tawanan perang meninggal dalam perjalanan maut ini atau di Kem Tahanan Ranau. Sukar dipercayai bahawa enam orang tahanan perang yang kelaparan dan kurus kering itu telah berjaya melepaskan diri untuk mendedahkan tragedi perang yang mereka alami.”
“Dari 2500 tawanan perang di Sandakan, mereka inilah yang dapat pulang ke pangkuan keluarga.”
Mon atau nama sebenarnya ialah Mohd. Khairul Azri adalah salah seorang daripada pelawat tugu ini. “Huh!..besarnya tugu ini… cantiknyaaa”. Perkataan inilah yang pertama keluar daripada mulut Mon apabila melangkah masuk ke dalam tugu yang tersergam indah dan masih kukuh walaupun telah berusia hampir 60 tahun. Kecantikan dan keindahan taman ini sentiasa dijaga dan dipelihara oleh pekerja-pekerja yang rajin dan kreatif.
Saya sebagai orang tempatan di sini mengalu-alukan kedatangan anda!
Posted in Oh..Kundasang..Ranau, Sembang2 & Melancong | 7 Comments »