Selamat Hari Guru 2008

  [hariguru.jpg]

Terlebih dahulu ingin saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Guru Tahun 2008 kepada semua warga pendidik di seluruh negara terutamanya guru-guru yang mengunjungi laman web ini.. Sesungguhnya sambutan Hari Guru ini merupakan satu penghargaan terhadap jasa-jasa yang ditaburkan oleh para guru kepada negara, bangsa dan agama.  Menyingkap tentang tarikh sambutan  Hari Guru, 16 Mei merupakan tarikh keramat yang tercetus lanjutan daripada tarikh dokumentasi Laporan Razak mengenai dasar-dasar pelajaran yang dicadangkan kepada Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu iaitu pada 16 Mei 1956. Semenjak dari hari itu, 16 Mei pada setiap tahun dijadikan tarikh rasmi sambutan Hari Guru di peringkat kebangsaan. . Biarpun yang demikian, adalah terserah kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk melaksanakan sambutan Hari Guru ini di peringkat daerah atau di peringkat sekolah. Profession keguruan dilihat dari segi perkhidmatan, merupakan suatu profession yang amat mulia dan dipandang sangat tinggi oleh masyarakat kita. Pada hari ini, guru bukan sahaja sebagai pendidik kepada para pelajar, bahkan sebagai agen perubahan ke arah kemajuan dalam pelbagai bidang.  Martabat profesion ini di tangan kita sebagai pendidik termasuk mereka yang mentadbir jabatan dan kementerian pelajaran.. Bangun dan jatuhnya martabat keguruan di tangan warga pendidik sekalian. Mahukah kita melihat martabat keguruan tercemar dan dipandang rendah oleh masyarakat kita? Tentu sekali tidak. Oleh sebab itu amat tepatlah tema Sambutan Hari Guru pada tahun ini iaitu ‘GURU CEMERLANG NEGARA TERBILANG. Para guru perlu bersatupadu untuk meninggikan mutu perkhidmatan agar nama profesion keguruan ini sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat.  Ledakan pembangunan yang amat ketara di dalam pelbagai bidang di negara kita dan di seluruh dunia pada hari ini menjadikan perkhidmatan pendidikan semakin mencabar. Pembangunan dalam bidang teknologi maklumat atau IT tidak dapat dinafikan lagi. Oleh sebab itu guru-guru perlulah mempelajari dan mempertingkatkan kemahiran mereka di dalam bidang ini agar dapat mendidik para pelajar mengenai apakah itu teknologi maklumat atau ilmu IT. Mantan Perdana Menteri Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menegaskan bahawa untuk menjayakan sesuatu wawasan,  semua pihak perlulah bekerjasama secara kukuh dan bersepadu. Wawasan serta gagasan, betapa unggul sekalipun tidak sampai ke mana jika tidak disertai dengan kesungguhan dan kegigihan untuk mencapai dan menjayakannya. Semua pihak mestilah memainkan peranan untuk merealisasikan wawasan yang telah diterima bersama. Ini ialah kerana keberkesanan, keberhasilan dan kejayaan sesuatu cita-cita adalah bergantung kepada rasa milik bersama, komitmen, dedikasi kesetiaan, usaha dan pengorbanan setiap individu yang terlibat. 

Sebagai satu institusi yang penting, jabatan pelajaran memikul amanah dan tanggungjawab yang berat dan besar untuk mempastikan kejayaan gagasan pembangunan negara  Wawasan 2020 dan Wawasan Pendidikan Negara khususnya. Saya juga ingin menarik perhatian tuan-tuan dan puan-puan sempena sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Ranau pada tahun ini, bahawa kita mahu daerah Ranau akan menjadi Pusat Kecemerlangan Pendidikan menjelang Tahun 2010. Ini merupakan satu wawasan pendidikan kita di daerah ini yang julung-julung kali diilhamkan di seluruh negara.

ANTARA HARAPAN, CABARAN DAN REALITI..  

 Sehubungan yang demikian, saya merayu kepada Jabatan Pelajaran Ranau agar dapat merancangkan program-program yang memungkinkan wawasan ini dapat dicapai pada Tahun 2010. Kita berharap supaya Ranau akan menjadi contoh teladan kepada daerah-daerah di Sabah khasnya dan di seluruh negara amnya.  Dalam usaha mencapai matlamat wawasan pendidikan di Ranau ini, peningkatan kualiti menjadi tumpuan penting. Peningkatan kualiti dan produktiviti diberi penekanan sebagai penggerak utama ke arah kecemerlangan. Jika kita inginkan hasilan yang berkualiti seharusnya dimulakan dengan perancangan, perlaksanaan dan perkhidmatan yang berkualiti. 

Pelbagai program perlu dijalankan di peringkat daerah seperti kursus, bengkel, seminar dan sebagainya. Program-program ini akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan para guru yang seterusnya digunapakai di dalam bilik darjah semasa menjalankan tugas. Kita bersama-sama mendoakan semoga Ranau akan dapat mencapai impian menjelang 2010, sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan di negei Sabah khususnya.

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU……..”GURU CEMERLANG NEGARA TERBILANG”