Fardu Ain dan Fardu Kifayah Itu Adalah Satu Kehidupan

Kredit kepada   :   Almarhum Tuan Guru Ustaz Hj Ismail Kamus melalui bukunya berjudul Indahnya Hidup Bersyariat. 

Kehidupan di dunia ini penuh dengan cabaran. Manusia sentiasa leka, bahkan perjalanan hidupnya jauh dari peraturan yang digariskan oleh Allah SWT. Mengapa kita perlu mengikut peraturan ini? Kita tahu bahwa kita diciptakan oleh Allah SWT dengan tujuan. Bukan saja-saja. Maka sudah tentulah Allah SWT menyediakan peraturan yang wajib diikuti. Kita tidak perlu tercari-cari panduan hidup sendiri. Ibarat sebuah kenderaan yang dikeluarkan oleh sebuah kilang, diserahkan kepada pembeli dengan panduan bagaimana membaikinya jika berlaku kerosakan.

Panduan hidup yang dimaksudkan itu adalah syariat. Mempelajarinya adalah fardu ain. Menjadi kewajiban buat tiap-tiap individu hingga ke akhir hayat.  Setelah mempelajarinya, wajib pula diamalkan dan disebarkan kepada orang lain. Di sekolah biasa, anak-anak tidak mendapat peluang untuk mempelajarinya secara berkesan. Masa yang diperuntukkan tidak mencukupi. Modul pembelajaran pula kurang lengkap. Kalau ada pun ia berorientasikan peperiksaan, bukan penghayatan. Maka pendidikan fardu ain tidak mencapai hasrat seperti yang diharapkan untuk menghasilkan insan yang seimbang.

Di sekolah menengah pula, ilmu fardu ain tidak lagi diwajibkan. Ia menjadi mata pelajaran pilihan semata-mata. Kebanyakan pelajar lebih berminat mengambil aliran sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan sebagainya.

TIDAK ADA NILAI EKONOMI

Anak-anak yang berjaya menguasai ilmu fardu ain dengan cemerlang masih dinilai sebagai kurang penting. Apabila memasuki alam kerjaya, graduan ini sering dipandang kurang komersil dan rendah nilai ekonomi. Kalau berkhidmat di masjid pun sebagai imam, bilal atau pegawai masjid dengan gaji rendah. Alasan kerana kurang peruntukan. Peranan dan ketokohannya tidak diyakini sepenuhnya oleh masyarakat.

Banyak sekolah agama yang telah diberikan pengiktirafan di peringkat nasional. Pun begitu keadaannya sangat daif. Serba kekurangan berbanding sekolah kerajaan. Baik kelas, pusat sumber, makmal dan bilik-bilik pembelajaran masih jauh ketinggalan. Pelajar-pelajar terpinggir dan kurang menguasai bidang lain.

KESEIMBANGAN PENDIDIKAN FARDU AIN DAN FARDU KIFAYAH

Dewasa ini, wujud kesedaran pelbagai pihak mengenai pentingnya pelajar-pelajar kita menguasai  fardu ain dan fardu kifayah. Kedua-dua ilmu tersebut dapat memandu seseorang untuk menjadi seorang insan yang lebih sempurna, taat dan patuh kepada Tuhan.

Pelbagai pihak berusaha membangunkan institusi pendidikan integrasi fardu ain dan fardu kifayah. Maka wujudlah Sekolah Tahfiz Al Quran dan Sains, Sekolah Tahfiz Model Ulul Albab, SMK (Agama), SK (Agama) dan banyak lagi. Tujuannya adalah  untuk melahirkan insan bertakwa dan menguasai ilmu dalam pelbagai bidang. Jangan hairan jika ada seorang doktor, peguam, jurutera atau sebagainya yang hafaz Al Quran dan hadis, mahir dalam ilmu fekah, tauhid, akhlak dan tafsir Al Quran.

Pendidikan fardu ain dan fardu kifayah yang seimbang kini mulai menjadi pilihan utama ibu bapa. Mereka menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah yang menawarkan kedua-dua bidang ini, sekali pun mereka terpaksa berjauhan dengan keluarga. Institusi pendidikan pula semakin berkembang pesat di setiap negeri. Pihak kerajaan, swasta, badan berkanun atau individu tidak ketinggalan sama-sama mengambil tanggungjawab mendirikan sekolah sama ada dari saiz kecil hingga bertingkat-tingkat.

Ini menggambarkan bahawa masyarakat kini sudah mulai sedar akan kepentingan menguasai ilmu fardu ain dan fardu kifayah secara seimbang. Atau telah terbukti bahawa pendidikan agama sangat penting dalam pembangunan sumber manusia. Pendidikan fardu ain yang dahulunya dilihat tidak  komersil dan tiada nilai ekonomi, kini mereka sedar dan percaya bahawa pendidikan fardu ain inilah yang banyak menyelamatkan kerosakan baik dari segi politik, urustadbir negara, sosio-ekonomi dan sebagainya.

Nyatalah bahawa fardu ain dan fardu kifayah adalah satu kehidupan. Ia tidak boleh dipisahkan. Tanpa kedua-duanya kehidupan ini akan mati!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *