PEMIMPIN BUKAN SEKADAR MEMBACA

Minda Bicara JPN Sabah semalam megupas topik Pemimpin Bukan Sekadar Membaca bersama VC UMS YBhg Prof Madya Ts Dr. Ramzah Dambul, Tajuk ini pada saya sangat penting. Saya mengikuti webinar ini sehingga selesai walaupun sedikit gangguan kerana bertembung dengan Kolokium Kepemimpinan Instruksional Peringkat Kebangsaan anjuran Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara  yang saya hadiri pada waktu yang sama secara maya.

Saya tidak ingin mengulangi perbahasan tajuk ini kerana telah pun disampaikan secara mendalam oleh YBhg Prof dan beberapa orang pemimpin pendidikan dalam webinar tersebut. Webinar penuh juga boleh diakses melalui alamat di bawah.

Perlu disedari bahawa setiap dari kita – yang telah mumayyiz adalah pemimpin. Sekurang-kurangnya menjadi pemimpin kepada diri sendiri dan keluarga. Rasulullah s.a.w bersabda: “Ketahuilah bahawa setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya.”

Dalam menghayati pandangan yang dilontarkan oleh YBhg Prof, ternyata tanggungjawab seorang pemimpin sebagai pemangkin kepada budaya ilmu bukan sesuatu yang skeptikal lagi.  Seorang pemimpin bukan sekadar membaca tetapi lebih daripada itu. Natijah yang lebih besar daripada membaca itu adalah keilmuan. Membaca adalah jambatan ilmu. Perintah menuntut ilmu adalah wajib di sisi agama. Bahkan membaca dan menuntut ilmu adalah wajib  sebelum kita menjadi seorang pemimpin.

Firman Allah SWT dalam surah Yunus, ayat 14: “Kemudian Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan”

Khalifah Umar bin al-Khattab juga mengingatkan kita tentang perlunya ilmu sebelum menjadi pemimpin. Beliau menegaskan: “Hendaklah kamu belajar menjadi faqih sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin”.

Seorang pemimpin yang berilmu sentiasa bermuhasabah terhadap diri sendiri dan mengambil iktibar terhadap gaya kepimpinan orang terdahulu. Mereka menjadikan yang baik itu panduan, yang buruk dijadikan sempadan. Hakikat ini dapat dicapai dengan adanya ilmu pengetahuan.

Oleh sebab itu marilah kita budayakan membaca dan menuntut ilmu agar kehidupan kita lebih bermakna.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *