Penilaian Kendiri Pencapaian 2012 Ketika Sambutan Maal Hijrah 1435H / 2013M

Pada masa kehadapan ini, saya masih menyimpan cita-cita dalam kerjaya…semoga masih ada ruang kejayaan!

Tulisan ini dipost pada 12/11/2013 dan diedit semula pada 1/7/2021 setelah 8 tahun berlalu…

Ketika selangkah kita ke hadapan bermakna kita telah meninggalkan beribu langkah di belakang. Masa yang berlalu tak akan kembali lagi. Semasa tirai 1434H ditutup dengan doa akhir tahun dan tirai tahun baru 1435H dibuka dengan doa awal tahun, bermakna telah berlalu perjuangan untuk setahun yang lalu lagi. Saya cuba menilai pencapaian kendiri dengan melakukan muhasabah. Bagaimana pencapaian kerja yang telah diamanahkan sama ada kerjaya rasmi atau NGO yang diwakili.

Ketika hadir ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri baru-baru ini, saya berkesempatan mewakili Masjid Ar Rahman  menerima Anugerah Masjid Cemerlang Peringkat Negeri Sabah Tahun 2013M / 1435H. Bagi diri yang kerdil ini, anugerah yang dikurniakan itu amat besar ertinya. Ia tidak pernah disangka-sangka.  Ia adalah penyuntik semangat dan iltizam. Iltizam untuk melipatgandakan usaha mencemerlangkan pengurusan masjid kami.

Ketika pengurusan Masjid Ar Rahman meningkat maju, NGO yang saya pegang seperti Angkatan Belia Islam Malaysia  agak perlahan. Aktiviti agak kurang dan roadshow ke kampung-kampung seperti yang dirancang masih belum dilaksana. Hanya Rumah Putera Harapan yang menempatkan 25 orang anak-anak yatim berjalan lancar. Bahkan semakin mendapat perhatian pihak luar. Perpindahan mereka dari rumah asal ke rumah baru nampak lebih selesa. Keprihatinan orang ramai sangat menggalakkan.

Ketika NGO bergerak perlahan, saya cuba berganjak sedikit demi sedikit menimba ilmu pegetahuan dalam bidang pentadbiran. Saya melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengurusan dan Pentadbiran Pendidikan di salah sebuah universiti tempatan. Alhamdulillah, berjalan lancar pada ketika ini.

Saya sering berfikir mengapa saya lambat mengambil kesempatan. Hati kecil saya menjawab  bahawa setiap manusia mempunyai tahap kemampuan yang tersendiri. Lagi pun banyak lagi perkara lain menjadi faktor. Saya  tidak menyesal, sama sekali tidak pernah menyesal bahkan bersyukur kepada Allah kerana masih ada peluang.

Sekali lagi, pada masa kehadapan ini, saya masih menyimpan cita-cita dalam kerjaya…semoga masih ada ruang kejayaan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *