Perjuangan Ini

Seiring dan selangkah kita mara
Bersama iltizam dan semangat juang
Kita bina benteng, kita bina tembok
Kita tegakkan perjuangan pendidikan
Membentuk generasi penerus perjuangan
Membina akhlak mulia dan jati diri pelapis negara

 
Perjalanan kita masih jauh dan berliku
Namun selangkah undur pantang sekali
Kita tidak takut merentas gelombang
Kita tidak gentar menempuh belantara
Kita tidak goyah menentang badai
Sentiasa bersedia menghadapi pengorbanan

 
Di ceruk rantau nun jauh di pedalaman
Di Tanjung bertentangan lautan yang luas
Di kepulauan jauh  intaian para mundu
Di pergunungan yang dingin
Di seberang laut jauh beribu batu
Juga di kota yang menjanjikan segala

 
Jiwa pendidik tetap sama
Semangat dan azam kian padu
Satu cita-cita dan janji
Mendidik dan mencorakkan anak bangsa
Menjadi generasi berilmu berjiwa luhur
Berakhlak mulia tinggi jati diri

 
Anak didik kami
Inilah ikrar, inilah sumpah kami
Tidak pernah luntur dan terhakis
Walau sejuta rintangan menghalang
Kami tetap bangkit dan mara
Menjunjung amanah bangsa

 

Aku…Maha Irama..
Selepas Subuh
26/01/2016

Laksana Bintang Yang Bersinar

Perumpamaan Nur Allah itu adalah seperti sebuah miskah (lubang yang tidak tembus)  yang di dalamnya ada sebuah pelita, pelita itu di dalam kaca, kaca itu pula jernih terang laksana bintang yang bersinar seperti mutiara  Pelita itu dinyalakan dengan minyak daripada pohon yang diberkati iaitu pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat yang minyaknya hampir-hamper memancarkan cahaya bersinar kerana kejernihannya walaupun ia tidak disentuh api cahaya berlapis cahaya.. Allah..membimbing siapa yang  dikehendakiNya kepada nur hidayah-Nya itu dan Allah mengemukakan perumpamaan untuk umat manusia. Allah Maha Mengetahui akan segala sesuatu. (Al-Quran Surah An-Nur : 35)

Musim Baru Bermula, Musim Lampau Telah Berlalu

Assalamualaikum wtb dan salam sejahtera. Lama tak berkunjung ke blog ni. Maklumlah bila dalam kesibukan ini, mood untuk menulis terjejas. Bukan kerana tidak ada isu tetapi susah untuk mencari masa yang sesuai untuk berada di hadapan laptop. Al kisah.. Tahun 2014 banyak membawa perubahan kepada kerjaya saya. Selain baru selesai continue study, saya juga ditukarkan pula ke pejabat baru. Bukan sebatu dua tapi beribu-ribu batu. Betullah kata orang ada masanya musim baru akan tiba jua terutamanya perkhidmatan kita sebagai orang yang diamanahkan untuk memegang satu jawatan dalam kerjaya yang kita ceburi.  Sejak musim lampau berlalu, saya terpaksa belajar benda yang baru untuk meningkatkan lagi tahap kompetensi. Belajar amalan terbaik dalam organisasi dan menyesuaikan diri dengan keadaan. Dulu saya belajar tentang pengurusan pendidikan dan mengetahui ada banyak isu-isu teoritikal dan skeptikal. Bila kita terlibat dalam pengurusan organisasi secara langsung, barulah kita tahu keadaan sebenar. Musim baru yang telah bermula membuatkan saya jadi lambat untuk bergerak dan bekerja. Banyak menunggu arahan. Berbeza di tempat lama. Saya menjadi master mind dan menggerakkan semua jentera pentadbiran. Ini pun baru hendak belajar tugas baru. Belum dapat sentuhan yang sebenar lagi. Apa pun saya berharap agar cepat menguasai bidang baru yang lebih mencabar demi kemajuan diri dan stakeholder semuanya.