Seminar Pengurusan Kualiti Dalam Pendidikan

Pagi ini saya akan Menghadiri Seminar Pengurusan Kualiti Dalam Pendidikan anjuran Pelajar Pascasiswazah Program Sarjana Pengurusan Pendidikan Tahun Akhir di Dewan Auditorium Pascasiswazah Universiti Malaysia Sabah. Program ini sangat signifikan khususnya kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam pengurusan pendidikan seperti pegawai-pegawai di peringkat Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan Daerah, Pengetua-pengetua, Guru-Guru Besar dan pemimpin-pemimpin di sekolah. Secara peribadi, saya berharap supaya lebih ramai dalam kalangan mereka ini menghadiri seminar pengurusan kerana bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan yang baru bahkan dapat melihat perkembangan pengurusan pendidikan melalui kajian para sarjana yang boleh dijadikan panduan semasa melaksanakan tugas di tempat masing-masing.

Kita sedar bahawa, tugas sebagai pemimpin pendidikan bukanlah mudah dan ia memerlukan gabungan kepakaran ilmu serta ketepatan tindakan. Kebolehan seseorang untuk memimpin dalam bidang pendidikan adalah bergantung kepada ilmu dan pengalaman yang ditimba di sepanjang perkhidmatan. Sudah tentu kita seringkali keadaan yang berbeza-beza dan ini menuntut kepada kemahiran mengadaptasi kebolehan ilmu dan kepakaran untuk menyelesaikan suatu situasi.

Bercakap tentang kualiti, kualiti merujuk kepada tahap kepuasan pelanggan. Umumnya apabila perkhidmatan ditawarkan, pelanggan menuntut kepuasan daripada perkhidmatan yang diberi. Organisasi sepatutnya mengamalkan budaya korporat untuk memastikan jaminan kualiti.

Pendidikan adalah sektor yang memerlukan jaminan kualiti. Ini kerana sektor pendidikan merupakan sektor yang sangat penting dan mempunyai stakeholder yang sangat ramai. Kalau kita lihat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, lima kumpulan stakeholder pendidikan yang menuntut tahap kualiti pendidikan supaya diperbaiki. Lima kumpulan stakeholder tersebut adalah pegawai di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Pemimpin Di Sekolah (Pengetua dan Guru Besar), Guru-Guru Di Sekolah, Para Pelajar dan Masyarakat Awam.

Banyak usaha-usaha telah dibuat untuk meningkatkan kualiti khususnya di sekolah. Konsep Sekolah Berkualiti, Total Quality Management (TQM), The Good High School, Pergerakan Pembaikan Sekolah (School Improvement Movement) dan Pergerakan Sekolah Efektif telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pendidikan. Pada tahun 80-an pula, sektor awam pula telah memperkenalkan konsep Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) yang boleh dipraktikkan di sekolah.

Pihak kerajaan juga telah memutuskan supaya agensi-agensi kerajaan mengamalkan satu sistem pengurusan kualiti yang universal dan berlandaskan kepada standard yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Unit Kemajuan Tadbiran Awam Malaysia (MAMPU) telah mengeluarkan garis panduan kepada agensi-agensi kerajaan untuk melaksanakan sistem kualiti yang baru diperkenalkan.

Pengenalan itu adalah untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sektor awam. Sistem kualiti tersebut menekankan prinsip-prinsip dan ciri-ciri seperti berikut:

1. Pencegahan dan bukan mengatasi masalah setelah ia berlaku

2. Kajian semula yang berterusan ke atas proses-proses yang kritikal dan membuat tindakan pembetulan

3. Mewujudkan cara bekerja yang konsisten dan menepati prinsip-prinsip betul pertama kali dan setiap kali

4. Mementingkan penyimpanan rekod kualiti untuk membuktikan tindakan yang telah dilaksanakan

5. Semua kerja adalah berasaskan kepada dasar dan prosedur yang didokumenkan, dan

Berdasarkan kenyataan tersebut, sekiranya setiap agensi kerajaan dan sekolah melaksanakan sistem kualiti maka akan wujud kualiti menyeluruh yang menggabungkan pembangunan individu, pembangunan ilmu, dan pembangunan organisasi yang dijamin dan dimantapkan dalam satu sistem yang difahami oleh semua warga sekolah dan masyarakat.

Diharap seminar ini akan dapat memberikan garis panduan yang berguna kepada pemimpin-pemimpin pendidikan yang hadir. Selamat berseminar..!

Peserta 1 Peserta 2 Peserta 3Peserta 4

12th SEAAIR Conference in Hotel Promenade Kota Kinabalu

DSC_0259 DSC_0199 DSC_0011DSC_0262 DSC_0010 DSC_0200

Hari ini saya sedang mengikuti Seminat Ke-12 South East Asian For Asia Institusional Research (SEAAIR). Seminar kali ini disertai oleh lebih kurang 300 orang peserta dan pembentang dari Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand. Sebanyak 64 kertas kerja dalam seminar ini dibentangkan dalam bahasa pengantara Bahasa Inggeris melalui empat siri selari. Seminar ini berlangsung selama 4 hari mulai kelmarin dan akan berakhir Jumaat ini. Seminar kali ini diadakan di Malaysia- Sabah- Hotel Promenade Kota Kinabalu.. Universiti Malaysia Sabah telah dilantik sebagai perunding dan pengurus seminar bagi pihak Malaysia sebagai tuan rumah.

Seminar gemilang yang disertai oleh para pengkaji dari universiti-universiti terkemuka di rantau ini telah dirasmikan oleh Y.B. Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Sabah Merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah pada pagi kelmarin. Turut serta dalam majlis perasmian tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Shahril Yussof , Pengerusi SEAAIR  Asst. Prof Teay Shawyun dari Assumption University Of Thailand, Prof.  Abdul Rashid Mohamed  Pengerusi  Majlis Dekan Pendidikan Malaysia, Dr. Suryansah Suwanto, Timbalan Dekan SPPS Universiti Malaysia Sabah, professor-professor,  sarjana-sarjana dan  mahasiswa-mahasiswa dari berbagai universiti di Asia Tenggara.

Tema seminar ini ialah  Culturalising Excellence in Higher Education. Sesuatu yang pasti dalam seminar ini ialah knowledge pollination yang sangat luas serta dapat bertukar-tukar fikiran dengan peserta dari pelbagai negara. Maklumat mengenainya dapat diakses melalui website SEAAIR di http://www.seaairweb.info/Conference/index.aspx

Kepada sahabat-sahabat yang turut serta dalam seminar ini, jangan lupa bawa pulang buku prosiding. 🙂

Seminar Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Lestari UMS 2011

“MEREKAYASAKAN
PENDIDIKAN LESTARI UNTUKPEMBANGUNAN PENDIDIKAN” ialah satu misi pendidikan yang mencari keseimbangan di antara kesejahteraan manusia dan perkembangan ekonomi bersama tradisi budaya serta penghormatan terhadap sumber semulajadi. Pendidikan untuk pembangunan lestari adalah luas dan menuntut usaha sepanjang hayat yang mencabar individu, institusi dan masyarakat untuk melihat hari esok sebagai kepunyaan kita  bersama. Justeru, ia adalah pembelajaran yang diperlukan oleh manusia untuk membaiki dan mengekalkan kualiti kehidupan sekarang dan generasi akan datang. Individu, keluarga, komuniti, perniagaan serta kerajaan perlu hidup dan bertindak secara lestari yang membabitkan keputusan dan tingkahlaku mereka terhadap masyarakat, ekonomi, hidupan liar dan sumber semula jadi. Amalan-amalan dalam pendidikan untuk pembangunan lestari termasuklah penyertaan awam untuk membuat keputusan secara berkesan, kolaborasi dan rakan kongsi secara silang sektor, visi secara holistik, komitmen antara intra-generasi dalam menangani isu-isu keadilan sosial, kepelbagaian budaya bagi kelestarian akan datang; dan menyemak semula peranan sains dan pendidikan; serta menjalankan rundingan, penilaian dan tindakan bagi mencapai hasrat tersebut. Seminar ini adalah diharapkan menjadi satu ruang perbincangan berkaitan sumbangan-sumbangan pendidikan untuk pembangunan lestari selaras dengan  pencapaian matlamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Dekad 2005-2014.Semoga penyelidik dan pembentang dapat berkongsi hasil penyelidikan bagi tujuan mendapat perhatian serta tindakan pihak yang berkaitan seperti pendidik, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Pelajaran Negeri dan NGO.

Maklumat sepenuhnya sila layari sesawang rasmi kami di http://www.ums.edu.my/conferences/PENDIDIKAN