Kecemerlangan Pendidikan Menggunakan Modul Excellence 8

Sedikit perkongsian  bagaimana kami boleh merubah sebuah sekolah band 4 ke band 2 dalam tempoh setahun setengah. Kaedah yang kami gunakan ini bermula pada bulan Januari 2017 dan telah mendatangkan hasil sebelum akhir tahun 2018.

 

RINGKASAN MODUL

PROGRAM KECEMERLANGAN

SEKOLAH KEBANGSAAN X

“EXCELLENCE 8” 

  1. MEWUJUD DAN MENGEKALKAN FIZIKAL SEKOLAH YANG KONDUSIF
  • Stesen Pembelajaran
  • Persekitaran Sekolah
  • Keselamatan Kawasan
  1. PENTADBIRAN & SOKONGAN DAN GURU
  • Pengurusan dan Pentadbiran
  • Situasi Menang-Menang
  • Berkongsi Manafaat
  1. JALINAN DAN JARINGAN
  • Jalinan dan Jaringan serta Sokongan KPM/ JPN/PPD
  • Sokongan Ibubapa Dan Pemimpin Komuniti Setempat
  • Pemimpin Politik, NGO, Badan Kerajaan dan Universiti
  1. MEMANTAPKAN INSTRUKSIONAL PA 21, MASTERY LEARNING &  LATIHAN KEPAKARAN GURU
  • High Drilling Impact 
  • Cooperative Learning
  • Problem Based Learning
  • Project Based Learning
  • Personal Based Learning
  • Exploration Learning
  1. PENGHASILAN DAN PENGGUNAAN INSTRUMEN 3 PERINGKAT
  • Module A (Mudah)
  • Module B (Sederhana)
  • Module C (Sukar)
  1. PENGGUNAAN BAHAN BANTU BELAJAR SECARA BERKESAN
  • Pembelajaran Kendiri Melalui Portal Zoom-A MyePBL (Program Sejam Bersama Guru Besar – SEBAR)
  • Modul JPN/MGB/Negeri
  1. KELAS INTENSIF DAN PEMENTORAN
  • Kelas Bersemuka 1Guru 1Murid
  1. PEMBINAAN SAHSIAH DAN JATI DIRI
  • Kem Bina Diri, Sahsiah dan perpaduan
  • Lawatan Penandaarasan
  • Ko-kurikulum Dan Sukan

Semoga sekolah ini akan terus maju pada masa hadapan.

Kajian Tindakan My Learning Station

Kertas kerja  ini telah dibentangkan oleh penulis di Persidangan Kebangsaan Kepimpinan Baharu Sekolah-sekolah KPM di Institut Aminuddin Baki, Enstek Negeri Sembilan pada tahun 2018.

 

“MY LEARNING STATION”
Meningkatkan Keberkesanan Pendidikan Abad Ke-21 Sekolah Kurang Murid (SKM)
Oleh : Losinin Johalin,
Guru Besar
Sekolah Kebangsaan Janang, Kuala Penyu Sabah

ABSTRAK
”My Learning Station” merupakan program transformasi dan inovasi pengurusan bilik darjah berimpak tinggi yang dilaksanakan di SK Janang, Kuala Penyu, Sabah bagi meningkatkan keberkesanan Pendidikan Abad Ke-21 Sekolah Kurang Murid (SKM). Program ini telah dilancarkan pada 7 Januari 2017. Sebanyak 9 Stesen Pembelajaran yang dinamakan sebagai ”My Learning Station” telah diwujudkan. Sistem bilik guru (Staff room) telah dimansuhkan dan beralih kepada stesen pembelajaran yang diurus sepenuh masa oleh seorang guru penyelaras dan mempunyai bidang kepakaran masing-masing berdasarkan kepada 6 cara pembelajaran yang dipilih iaitu High Drilling Impact (HDI), Cooperative Learning, Problem Based Learning, Project Based Learning, Personal Based Learning dan Exploration Learning. Pembelajaran secara 4C iaitu Communication, Colaboratif, Critical Thinking, Creativity + 1V (Value) lebih mudah diamalkan dalam ”My Learning Station” ini. Murid-murid akan belajar secara ”Running Class” iaitu beralih dari satu kelas ke satu kelas yang lain berdasarkan jadual waktu yang telah ditetapkan. Setiap stesen pembelajaran dilengkapkan dengan ciri-ciri dan keperluan PAK21 iaitu sudut-sudut pembelajaran secara berkumpulan, Traffic Light, Reward Chart, Parking lot, Pentas Didik Hibur, Stesen Komunikasi dan Kolaboratif, Sudut ICT dan Hasil Kerja Murid. Analisis rekod keputusan ujian dan peperiksaan Berasaskan Sekolah (PBS) dalam SAPS online telah dilakukan oleh penulis mendapati prestasi akademik telah meningkat berbanding TOV iaitu dari 3.86 kepada 2.63. Keputusan peperiksaan UPSR 2017 juga meningkat dari 3.79 kepada 3.75. Peningkatan pelaksanaan Frog VLE dengan purata 326.34% dalam tempoh 6 bulan sejak ia dilaksanakan pada bulan Jun 2017. Purata ini adalah berdasarkan kepada KPI Kementerian Pendidikan Malaysia di mana sekurang-kurangnya 10% daripada enrolmen murid hendaklah menggunakan FrogVLE pada setiap minggu. Peningkatan peratus kehadiran murid sebanyak 3.52%. Program ini juga telah berjaya mengatasi isu pengurusan Kurikulum, HEM, Pengurusan Pentadbiran dan Pengurusan Sumber Manusia. Program ”My Learning Station” adalah sesuai dilaksanakan di Sekolah-sekolah Kurang Murid (SKM) di bawah enrolmen 50 orang murid seperti sekolah pedalaman, Sekolah Orang Asli dan sekolah di kawasan ladang dengan syarat terdapat bilik darjah yang mencukupi untuk semua guru.

1. Latar Belakang
Sekolah Kebangsaan Janang, Kuala Penyu, Sabah terletak kira-kira 114 km dari Kota Kinabalu di bahagian barat daya Sabah. Ia telah ditubuhkan pada 2.1.1971. Sekolah ini merupakan Sekolah Kurang Murid (SKM) dengan enrolmen 19 orang murid pada bulan November 2017. Jumlah Guru 9 orang dan AKP seorang. Ia juga terletak di kawasan pedalaman yang agak dhaif dan kemudahan asas yang terbatas.

Penulis telah ditempatkan di sekolah ini sebagai Guru Besar pada 1 Disember 2016 iaitu seminggu selepas menghadiri Bengkel Residency & Immersioan (PRIme), Institut Aminuddin Baki. Selaras dengan tujuan Program PRIme IAB, penulis telah mengambil peluang ini untuk mengaplikasikan pengetahuan profesional dan kepimpinan berdasarkan kepada keperluan sekolah baharu dan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia menempatkan pemimpin berprestasi tinggi di sekolah.

Dengan bimbingan SIPartner, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Penyu, penulis telah membuat analisis SWOT, Analisis persekitaran, analisis dokumentasi dan pemerhatian ke atas keputusan peperiksaan UPSR, PBS, skor PKS-SKPM serta data perbandingan keputusan peperiksaan di peringkat daerah. Maklumat-maklumat ini dijadikan panduan untuk menentukan tindakan selanjutnya. Sekolah ini juga telah dipilih sebagai Sekolah Transformasi Daerah, Sekolah Rintis Pendidikan Abad Ke-21 Fasa II, Sekolah Rintis Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Daerah dan Program Kelas Bercantum. Kepercayaan dan harapan tinggi pihak jabatan ini amat mencabar kerana banyak isu asas yang perlu diselesaikan terlebih dahulu berdasarkan kepada analisis-analisis yang telah dijalankan.

2. Refleksi Situasi lalu
Di antara isu asas yang perlu diselesaikan adalah merangkumi 4 bidang utama iaitu:
2.1 Isu Pengurusan Prasarana
2.2 Isu Pengurusan Sumber Manusia
2.3 Isu Pengurusan Pentadbiran
2.4 Isu Pegurusan Kurikulum
2.5 Isu Pengurusan Hal-Ehwal Murid (HEM)

2.1 Isu Pengurusan Prasarana – Tiada imej korporat sebagai bilik darjah Abad Ke-21, tidak kondusif, tidak informatif, tidak teratur, masalah penyimpanan ABM dan bau yang tidak menyenangkan akibat gangguan binatang peliharan liar.

2.2 Isu Pengurusan Pentadbiran – Tiada Pelan Strategik, tiada Manual Pentadbiran, tiada dokumentasi berdasarkan 53 buah fail Jemaah Nazir & Jaminan Kualiti (JNJK)

2.3 Isu Pengurusan Sumber Manusia – Tiada dokumentasi Senarai Agihan Tugas Guru, agihan tugas guru tidak seimbang, tiada Pelan Intervensi dan PLC, hubungan guru dan pentadbir tidak akrab.

2.4 Isu Pengurusan Kurikulum – Perancangan panitia belum sistematik dan terpandu, tiada program berimpak tinggi, tiada program Intervensi khas, PdP kurang berkesan dan penggunaan ABM / BBB tidak optimum, Perancangan PdP tidak disediakan sepenuhnya

2.5 Isu Pengurusan HEM – tiada buku peraturan sekolah, tiada penguatkuasaan peraturan sekolah secara rasmi, tiada lencana dan tanda nama murid, tiada budaya korporat pelajar, tiada lagu sekolah / lagu sekolah tidak dinyanyikan dalam majlis.

2.6 Keputusan Peperiksaan dan PKS-SKPM – GPS dalam Peperiksaan Akhir Tahun 2016 adalah 3.86 dan UPSR 2016 ialah 3.79. Penilaian Kendiri Sekolah dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) 2016 juga agak rendah iaitu 79.50% dan dikategorikan sebagai Sekolah Band 4. Keputusan peperiksaan tahun lepas juga menunjukkan pencapaian yang tidak konsisten dan kurang memberangsangkan menyebabkan sekolah ini antara sekolah tercorot dalam daerah dan dikategorikan sebagai Sekolah Prestasi Rendah (SPR).

3. Refleksi Masalah
Dalam mengenalpasti punca sebenar isu kritikal di atas, maka beberapa siri mesyuarat dan perbincangan telah diadakan dengan pelbagai pihak iaitu Mesyuarat Guru dan Staf, PIBG, perbincangan bersama SIP+, KU Akademik dan Mesyuarat JKKD maka dapat disimpulkan 6 punca utama seperti berikut:

a) Kepimpinan pentadbir sekolah tidak menitikberatkan peranan sebagai perancang utama, pembimbing dan pendorong kepada staf
b) Kerja sepasukan berdasarkan peranan masing-masing tidak dioptimumkan dan amalan bekerja ditahap minimum
c) Tiada gelombang budaya kecemerlangan, tiada program berdasarkan National Blue Ocean Strategy (NBOS), tidak mencipta inovasi dan transformasi mengikut isu kritikal.
d) Persekitaran Sekolah Tidak Memangkin Kepada Arus Perubahan, prasarana tidak diuruskan dengan baik, bilik guru kurang selesa, sempit dan tidak teratur.
e) Panduan pengurusan HEM tidak digunakan apabila melaksanakan tugas, , dokumentasi kurang, kawalan kelas longgar, penguatkuasaan peraturan dan tindakan susulan tidak dilakukan.
f) Pengurusan masa guru kurang berkesan dan pembaziran masa berharga.

Faktor-faktor di atas boleh menghalang pihak sekolah dalam merealisasikan Pendidikan Abad Ke-21 yang diuar-uarkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia selaras dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (PPPM).

4. Fokus / Isu keperihatian
Bagi mengatasi isu dan cabaran di atas maka satu mesyuarat khas telah diadakan pada 17 Disember 2016. Persepakatan paradigma telah dicapai untuk melaksanakan satu program berimpak tinggi berasaskan kepada National Blue Ocean Strategy (NBOS) yang menitikberatkan inovasi dan kerja sepasukan ke arah transformasi pengurusan bilik darjah yang akan menghasilkan satu gelombang perubahan dan kecemerlangan dalam pengurusan semua bidang sekaligus membantu menyelesaikan keseluruhan isu secara berperingkat-peringkat. Program tersebut berfokus kepada proses penempatan semula dan pengukuhan budaya kerja cemerlang seperti program Residency & Immersion (PRIme) guru dari lokasi konvensional bilik guru ke stesen pembelajaran yang akhirnya dinamakan sebagai ”My Learning Station”

“My Learning Station” adalah suatu transformasi pengurusan bilik darjah ke arah PAK21 yang lebih efektif, dinamik, sistematik dan menarik di mana semua guru ditempatkan di sebuah kelas masing-masing secara sepenuh masa. Ciri-ciri “My Learning Station” adalah seperti berikut:
4.1 Penempatan Guru dan kuasa penuh di Stesen Pembelajaran Bertema
4.2 Mengagihkan 9 Stesen Untuk 9 Guru dan satu stesen pentadbiran AKP
4.3 Guru Statik Dalam Kelas Murid Running
4.4 Tiada lagi bilik guru. Guru tumpu sepenuh masa di LS
4.5 Kuasa Penuh Guru mencipta Persekitanan Instruksional
4.6 Pembelajaran PAK21 Berdasarkan Stesen Dalam Stesen
4.7 Melaksanakan Pembelajaran berkonsepkan Murid Mencari Guru / Ilmu
4.8 8. Berdasarkan Jadual Waktu Bercantum

“My Learning Station” juga menampilkan bidang kepakaran masing-masing berdasarkan kepada 6 kaedah pembelajaran yang dipilih iaitu:
a) Stesen 1- High Drilling Impact (HDI)
b) Stesen 2- Cooperative Learning
c) Stesen 3- Problem Based Learning
d) Stesen 4- Project Based Learning
e) Stesen 5- Personal Based Learning
f) Stesen 6- Exploration Learning.

Serta menggabungjalinkan pendekatan 4C iaitu Communication, Colaboratif, Critical Thinking, Creativity + 1V (Value) . Murid-murid akan belajar secara ”Running Class” iaitu beralih dari satu kelas ke satu kelas yang lain berdasarkan jadual waktu yang telah ditetapkan.

5. Objektif Am
Mewujudkan persekitaran fizikal ke arah pengurusan pendidikan yang berkesan dari segi ruang masa, budaya kerja dan kaedah pelaksanaan serta menyokong kepada Pendidikan Abad Ke-21 dengan ciri-ciri Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA)

6. Objektif khusus
6.1 Menempatkan semua guru dan staf sekolah di stesen pembelajaran dan pentadbiran supaya mendapat ruang kerja yang selesa dan berkesan
6.2 Pengupayaan (empowerment) kepada guru untuk merealisasikan kecemerlangan pendidikan berasaskan tugas dan tempat bertugas
6.3 Mewujudkan ruang pembelajaran yang selesa, menarik dan selaras dengan konsep PAK21
6.4 Pembinaan 9 Stesen Pembelajaran yang dinamakan sebagai “My Learning Station”

7. Kumpulan Sasaran
Seorang Guru Besar, 8 orang guru, seorang AKP dan 19 orang murid

8. Tindakan yang diambil
Pelaksanaan program ”My Learning Station” menggunakan pendekatan Plan, Do, Check & Action (PDCA) dengan disokong oleh dokumentasi. Setiap langkah dilaksana dengan tertib dan sempurna agar hasilnya dapat dimanafaatkan.

8.1 Perancangan
Perancangan awal telah dibuat pada 17 Disember 2016 dan satu pelan tindakan telah dikeluarkan dan diagihkan semasa mesyuarat. Guru Besar telah memberikan penerangan dan menjelaskan langkah kerja selanjutnya supaya segala perancangan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

8.2 Pelaksanaan
Peringkat pelaksanaan dibahagikan kepada 6 Fasa iaitu:-
Fasa 1 : Gotong-royong membersihkan kelas berdasarkan konsep 5S. Proses ini berjaya dilaksanakan dalam tempoh seminggu.
Fasa 2 : Pengubahsuaian kelas termasuk kerja-kerja ubahsuai dinding pemisah, mengecat, memasang alas lantai dan membuat hiasan
Fasa 3 : Memasukkan perabot dan membuat susunan mengikut flip classroom PAK21
Fasa 4 : Melengkapkan bilik darjah dengan ciri-ciri PAK21 seperti traffic light, reward chart, parking lot dan sudut pameran
Fasa 5 : Melengkapkan dengan ABM dan BBB
Fasa 6 : Pelaksanaan PdPC

8.3 Penilaian
Penilaian pelaksanaan PdPc guru dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pemantauan yang dibekalkan oleh JPN dan PPD. Penilaian dilaksanakan sebanyak 3 kali sepanjang tahun iaitu Mac, Jun dan Oktober. Hasil pemantauan dianalisis untuk menentukan pelan penambahbaikan seterusnya.

8.4 Tindakan Susulan
Berdasarkan kepada pemantauan dan pemerhatian, satu analisis dikeluarkan dan diagihkan kepada semua guru untuk tindakan selanjutnya. Ia terbahagi kepada 3 Fasa:

Fasa 1 (Mac) : Penilaian terhadap fizikal “My Learning Station” dan Kumpulan Pakar
Tindak susulan : Melengkapkan prasarana dan ciri-ciri flip classroom berdasarkan PAK21 serta Pelaksanaan PLC dan Kursus Dalaman

Fasa 2 (Jun) : Penguasaan Pedagogi PAK21 berdasarkan 6 kaedah pembelajaran melalui pendekatan 4C+1V
Tindak susulan : Pelaksanaan PLC, Kursus Dalaman lebih dan kursus di peringkat PPD dan negeri.

Fasa 3 (Nov) : Penilaian terhadap impak keseluruhan pelaksanaan program
Tindakan susulan : Pemeriksaan ke atas dokumen dan laporan akademik

9. Strategi Kejayaan
Strategi kejayaan program ini dilihat dari segi permuafakatan yang tinggi untuk mencapai matlamat secara win-win situation, penurunan kuasa sepenuhnya dan peluang urus tadbir stesen secara profesional dan menerapkan semangat pengorbanan serta keikhlasan.

10. Cabaran dan Kaedah
Cabaran yang dihadapi dalam merealisasikan program ini adalah kewangan. Sekolah kekurangan modal kerana peruntukan LPBT yang sedikit dan tidak mencukupi. Oleh itu, pihak sekolah telah bersetuju supaya semua staf memegang kepada konsep ”Stesenku Rumahku” bermaksud berkorban untuk membangunkan rumah sendiri sehingga mana yang diinginkan. Jika mahu tempat yang lebih selesa dan lengkap maka perlukan pengorbanan. Semua perabot dan alat kelengkapan yang dibeli menggunakan duit sendiri adalah hak milik sepenuhnya dan boleh diambil jika bertukar sekolah.

11. Impak / Keberhasilan
Pengujudan ”My Learning Station” merupakan langkah awal dengan memberikan ruang kerja yang kondusif terlebih dahulu kepada semua staf. Seterusnya pendekatan sekolah yang lebih banyak menjurus kepada budaya kecemerlangan, cepat dan tepat dalam menangani setiap isu yang telah dikenalpasti maka impaknya sangat tinggi dalam tempoh yang singkat. Berikut adalah impak keselurahan yang diperoleh dari Program ”My Learning Station”

11.1 Penurunan GPS UPSR dari 3.79 (2016) kepada 3.75 (2017) dan PBS dari 3.86 (2016) kepada 2.63 (2017)

11.2 Peningkatan peratus Kehadiran murid sebanyak 3.52% iaitu dari 88.65% kepada 92.17%
11.3 Kejayaan pelaksanaan Frog VLE dengan purata pencapaian bulanan dari Jun hingga Nov 2017 iaitu 326.34%. Purata ini adalah berdasarkan kepada KPI Kementerian Pendidikan Malaysia di mana sekurang-kurangnya 10% daripada enrolmen murid hendaklah menggunakan FrogVLE pada setiap minggu.
11.4 Pencapaian EKSA dalam audit JPN Sabah ialah 66.8 %. Mencapai tahap baik dalam audit pertama
11.5 Pihak sekolah juga telah berjaya mengatas semua Isu Pengurusan Prasarana, Isu Pengurusan Sumber manusia. Isu Pengurusan Pentadbiran, Isu Pengurusan Kurikulum dan Isu Pengurusan HEM seperti yang telah disebutkan dalam Frasa No.2 Refleksi Situasi Lalu
11.6 Penanda arasan dari sekolah lain di mana seramai 278 orang telah melawat ke sekolah ini. Salah satu daripada sekolah tersebut iaitu Sekolah Kebangsaan Tempurong, Kuala Penyu Sabah telah mengaplikasikan ”My Learning Station”
11.7 Keselamatan kepada harta benda sekolah lebih terjamin. Tiada rekod vandalisme sepanjang tahun. ABM dan BBB selamat. Tidak dirosakkan oleh pelajar
11.8 Kawalan murid dan bilik darjah lebih mudah. Tiada kes salahlaku berat dan sederhana dilaporkan. Kes disiplin ringan mudah untuk diatasi.
11.9 Kerja-kerja pentadbiran menjadi lebih mudah. Penyimpanan fail lebih teratur dan sistematik
11.10 Kualiti PdPC semakin meningkat. Aktivit pembelajaran semakin menarik.
11.11 Terdapat privacy guru dan mengurangkan masalah gangguan yang tidak diingini
11.12 Indeks motivasi dan minat guru semakin meningkat. Begitu juga pelajar dan staf AKP
11.13 Persepsi masyarakat khususnya ibubapa bertambahbaik. Pihak sekolah mudah mendapat kerjasama dan kehadiran PIBG dalam aktiviti sekolah juga sangat memberangsangkan dan kerap kali mencapai 100%

5. Penutup dan Cadangan
Sebagai sekolah kecil dan menghadapi prestasi akademik yang rendah, SK Janang akan terus berusaha untuk melaksanakan program berimpak tinggi melalui konsep situasi menang-menang yang ternyata telah membawa kejayaan. Pihak sekolah juga tidak berbelah bahagi untuk berkongsi dengan sekolah lain yang mempunyai ciri-ciri yang sama khususnya Sekolah Kurang Murid (SKM), Sekolah Orang Asli, sekolah di pedalaman dan model PAK21 SKM yang mempunyai enrolmen kurang daripada 50 orang murid dengan syarat mempunyai kemudahan kelas yang mencukupi. Kami percaya inovasi ini boleh membawa transformasi pengurusan bilik darjah yang lebih dinamik dan berkesan.

Fardu Ain dan Fardu Kifayah Itu Adalah Satu Kehidupan

Kredit kepada   :   Almarhum Tuan Guru Ustaz Hj Ismail Kamus melalui bukunya berjudul Indahnya Hidup Bersyariat. 

Kehidupan di dunia ini penuh dengan cabaran. Manusia sentiasa leka, bahkan perjalanan hidupnya jauh dari peraturan yang digariskan oleh Allah SWT. Mengapa kita perlu mengikut peraturan ini? Kita tahu bahwa kita diciptakan oleh Allah SWT dengan tujuan. Bukan saja-saja. Maka sudah tentulah Allah SWT menyediakan peraturan yang wajib diikuti. Kita tidak perlu tercari-cari panduan hidup sendiri. Ibarat sebuah kenderaan yang dikeluarkan oleh sebuah kilang, diserahkan kepada pembeli dengan panduan bagaimana membaikinya jika berlaku kerosakan.

Panduan hidup yang dimaksudkan itu adalah syariat. Mempelajarinya adalah fardu ain. Menjadi kewajiban buat tiap-tiap individu hingga ke akhir hayat.  Setelah mempelajarinya, wajib pula diamalkan dan disebarkan kepada orang lain. Di sekolah biasa, anak-anak tidak mendapat peluang untuk mempelajarinya secara berkesan. Masa yang diperuntukkan tidak mencukupi. Modul pembelajaran pula kurang lengkap. Kalau ada pun ia berorientasikan peperiksaan, bukan penghayatan. Maka pendidikan fardu ain tidak mencapai hasrat seperti yang diharapkan untuk menghasilkan insan yang seimbang.

Di sekolah menengah pula, ilmu fardu ain tidak lagi diwajibkan. Ia menjadi mata pelajaran pilihan semata-mata. Kebanyakan pelajar lebih berminat mengambil aliran sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan sebagainya.

TIDAK ADA NILAI EKONOMI

Anak-anak yang berjaya menguasai ilmu fardu ain dengan cemerlang masih dinilai sebagai kurang penting. Apabila memasuki alam kerjaya, graduan ini sering dipandang kurang komersil dan rendah nilai ekonomi. Kalau berkhidmat di masjid pun sebagai imam, bilal atau pegawai masjid dengan gaji rendah. Alasan kerana kurang peruntukan. Peranan dan ketokohannya tidak diyakini sepenuhnya oleh masyarakat.

Banyak sekolah agama yang telah diberikan pengiktirafan di peringkat nasional. Pun begitu keadaannya sangat daif. Serba kekurangan berbanding sekolah kerajaan. Baik kelas, pusat sumber, makmal dan bilik-bilik pembelajaran masih jauh ketinggalan. Pelajar-pelajar terpinggir dan kurang menguasai bidang lain.

KESEIMBANGAN PENDIDIKAN FARDU AIN DAN FARDU KIFAYAH

Dewasa ini, wujud kesedaran pelbagai pihak mengenai pentingnya pelajar-pelajar kita menguasai  fardu ain dan fardu kifayah. Kedua-dua ilmu tersebut dapat memandu seseorang untuk menjadi seorang insan yang lebih sempurna, taat dan patuh kepada Tuhan.

Pelbagai pihak berusaha membangunkan institusi pendidikan integrasi fardu ain dan fardu kifayah. Maka wujudlah Sekolah Tahfiz Al Quran dan Sains, Sekolah Tahfiz Model Ulul Albab, SMK (Agama), SK (Agama) dan banyak lagi. Tujuannya adalah  untuk melahirkan insan bertakwa dan menguasai ilmu dalam pelbagai bidang. Jangan hairan jika ada seorang doktor, peguam, jurutera atau sebagainya yang hafaz Al Quran dan hadis, mahir dalam ilmu fekah, tauhid, akhlak dan tafsir Al Quran.

Pendidikan fardu ain dan fardu kifayah yang seimbang kini mulai menjadi pilihan utama ibu bapa. Mereka menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah yang menawarkan kedua-dua bidang ini, sekali pun mereka terpaksa berjauhan dengan keluarga. Institusi pendidikan pula semakin berkembang pesat di setiap negeri. Pihak kerajaan, swasta, badan berkanun atau individu tidak ketinggalan sama-sama mengambil tanggungjawab mendirikan sekolah sama ada dari saiz kecil hingga bertingkat-tingkat.

Ini menggambarkan bahawa masyarakat kini sudah mulai sedar akan kepentingan menguasai ilmu fardu ain dan fardu kifayah secara seimbang. Atau telah terbukti bahawa pendidikan agama sangat penting dalam pembangunan sumber manusia. Pendidikan fardu ain yang dahulunya dilihat tidak  komersil dan tiada nilai ekonomi, kini mereka sedar dan percaya bahawa pendidikan fardu ain inilah yang banyak menyelamatkan kerosakan baik dari segi politik, urustadbir negara, sosio-ekonomi dan sebagainya.

Nyatalah bahawa fardu ain dan fardu kifayah adalah satu kehidupan. Ia tidak boleh dipisahkan. Tanpa kedua-duanya kehidupan ini akan mati!