KOLABORASI ILMU

Kelahiran Semula Kolaborasi Ilmu ..15 Februari 2008..

Archive for the 'Pendidikan' Category

Ke Arah Budaya Ilmu Cemerlang : SMK Datu Paduka Mat Salleh

Posted by ilmu on 7th Februari 2009

     

Pembaca Budiman,

Apabila kita mengatakan tentang budaya ilmu di sekolah, institusi yang dominan tak lain tak bukan ialah Pusat Sumber Sekolah (PSS). Ia adalah nadi atau jantung kepada sekolah ataupun pusat pendidikan formal seperti institusi pengajian tinggi. PSS tidak akan lari dari fungsi sebagai pusat ilmu yang akan menjana kecemerangan pelajar.

Menyedari hakikat ini, saya melihat benih yang baik sedang tumbuh di SMK. Dato Paduka Mat Salleh dengan memulakan tahun baru 2009 dengan perancangan yang rapi di Pusat Sumber Sekolahnya. Kelmarin, Kursus Kepimpinan Pustakawan dan Majlis Kolaborasi Ilmu berjalan selama sehari. Dalam program ini, saya berkesempatan untuk menyampaikan ceramah dan perbincangan yang bertajuk “PSS Ke Arah Kecemerlangan Pelajar”

Program ini disertai oleh 24 orang guru PSS dan 20 orang pelajar (pustakawan). Program ini sangat tepat pada masanya kerana sebagai sekolah yang tertua dan terbesar di daerah ini, di sini tangungjawab PSS kepada pelajar yang ramai amat berat. Pasukan PSS yang terdiri daripada Pihak pengurusan, Guru Perpustakaan dan Media, Guru-guru penasihat PSS dan pustakawan perlu memperkukuhkan barisan dan mewujudkan semangat kerjasama yang padu untuk merancang dan melaksanakan pelbagai program.

Tahniah kepada semua AJK di bawah pimpinan Pn. Paimah Dusin, GPM yang telah bertungkus lumus menganjurkan program ini. Saya berharap sekolah anda akan berusaha ke arah PSS cemerlang peringkat Negeri Sabah pada tahun ini atau tahun-tahun yang akan datang.

Ingat pesan saya, “Untuk menunjukkan kecemerlangan – Kalau bukan kita, siapa lagi; Kalau bukan sekarang, bila lagi; kalau bukan di sini, di mana lagi”

Terima kasih

Posted in Pendidikan | No Comments »

Sekilas Pandang Terhadap Penggunaan Media Dalam P&P

Posted by ilmu on 1st Februari 2009

    

Saya teringatkan kata-kata ahli falsafah dan pujangga terkenal Cina, Kung Fu Tze: ” Kalau saya dengar, saya lupa; kalau saya lihat saya ingat; dan kalau saya buat, saya tahu”.

Kata-kata ini mempunyai makna yang mendalam bagi seorang guru yang setiap hari berhadapan dengan pelajar di dalam kelas. Teknik, kaedah dan strategi pengajaran guru akan mempengaruhi tahap kefahaman murid terhadap apa yang dipelajari. Dalam ertikata yang lain, jika guru mengajar dengan pedagogi yang sesuai dan menggunakan Bahan Bantu Mengajar (BBM) serta Bahan Bantu Belajar (BBB) yang efektif akan memudahkan pelajar memahami isi kandungan serta kemahiran tajuk yang diajar. Penggunaan media pengajaran seperti buku, lembaran kerja, carta, alat audio visual, internet, komputer dan sebagainya akan menjadikan pembelajaran lebih mudah dikuasai.

Sebulan yang lalu, saya terlibat untuk menganalisis instrumen responden yang mengkaji tentang keberkesanan penggunaan media CD Bestari dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris Tingkatan 6 di seluruh Malaysia. Dalam kajian ini, hampir keseluruhan daripada responden mengatakan bahawa penggunaan media dalam pengajaran dan pembelajaran amat berkesan. Senario ini amat besesuaian dengan pendapat beberapa pakar pedagogi seperi nordin (1991) yang mengatakan bahawa komponen media akan menambahkan keberkesanan pengajaran guru dan memudahkan pelajar menguasai pelajaran. Begitu juga dengan Atan dan Idrus (1999), Fontana (1985), Dale (1988) yang mengatakan bahawa media jika digabungkan dengan pengajaran tradisional (chalk and talk) akan menambahkan lagi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Menyedari hakikat ini, saya berkesempatan mengadakan khidmat bantu penggunaan teknologi pendidikan (TEKNOPEN) di beberapa buah sekolah di daerah ini untuk mempastikan penggunaan media pengajaran dapat dijadikan sebagai satu amalan dan budaya. Saya optimis jika pengajaran dan pembelajaran di sekolah sentiasa di tahap maksimum, sudah pasti pelajar akan lebih memahami pengajaran guru seterusnya menguasai kemahiran, menguasai pelbagai ilmu yang dapat membawa kepada kecemerlangan pelajar pada masa akan datang.

Kajian saya di SMK Kundasang pada tahun 2006 berkaitan dengan keberkesanan penggunaan media TV Pendidikan dan CDRI juga membuktikan bahawa purata markah pelajar dalam ujian pos selepas sesi pengajaran menggunakan media lebih tinggi berbanding dengan ujian pra yang hanya menggunakan buku kerja dan lembaran kerja murid.  

Walaupun penggunaan media telah diakui dapat mewujudkan suasana berkesan dalam sesi P&P di dalam kelas, namun dalam kajian tahap penggunaan media dalam pengajaran PPSMI pada tahun 2007 oleh Unit Penyelidikan BTP Kementerian Pelajaran Malaysia  kadar penggunaannya masih di tahap rendah. 

Bagi saya selaku pegawai yang dipertanggungjawabkan untuk memantau penggunaan media seperti komputer / laptop. CDRI dan sebagainya, adalah satu kerugian kepada kerajaan yang telah membelanjakan jutaan ringgit untuk menyediakan prasarana ini di sekolah-sekolah. Ini kerana penggunaan peralatan tersebut masih rendah, bahkan saya dapati banyak sekolah yang tidak menggunakannya. Saya berharap agar tahun 2009, senario ini akan berubah dan kesedaran para pendidik untuk memaksimumkan penggunaan media dalam P&P akan meningkat pada masa hadapan demi kecemerlangan pelajar-pelajar kita.

Info:

Media terbaru yang dilancarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu EduWeb TV. Ia boleh diakses di laman web http://www.eduwebtv.com

Posted in Pendidikan | No Comments »

Kelas Digital PKG Ranau Sabah

Posted by ilmu on 17th Disember 2008

    

 

1. Latar Belakang Kelas Digital

 

Kelas Digital merupakan salah satu daripada pengisian Pembestarian Sekolah. Kita sedia maklum bahawa salah satu daripada ciri-ciri sekolah bestari ialah menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran berasaskan internet. Kelas digital dilancarkan dengan dengan memberikan tumpuan kepada penggunaan laman web http://www.zoom-a.com  sebagai portal pengajaran dan pembelajaran kendiri murid tanpa bantuan guru sepenuhnya. Kelas digital ini dilancarkan buat pertama kali di daerah Ranau pada bulan November 2006 di 5 buah sekolah iaitu:-

i)  SMK. Mat Salleh Ranau

ii)  SK. Pekan Ranau

iii) SK. Pekan 2 Ranau

iv) SK. Kilimu Ranau

v)  SJK © Pai Wen Ranau

 

Selain daripada itu, dalam modul Kelas Digital, pembinaan laman web kelas (sebanyak 134 buah kelas ) dan 32 laman web pentadbiran telah dijalankan. Laman web ini akan digunakan sebagai platform untuk membuat pelbagai dokumentasi yang berguna kepada seluruh warga pendidik dan pentadbir sehingga ke peringkat kementerian.

 

2. Apa Itu Kelas Digital

 

Kelas digital merujuk kepada penggunaan internet dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sebagai persediaan awal, sekolah yang terlibat perlu mempunyai talian internet. Kemudahan Wireless Fidelity juga dipasang agar kelas-kelas yang terbabit dapat menerima talian internet. Komputer-komputer beru (Dell) yang mempunyai Wireless Airport boleh menerima gelombang internet dan komputer lain boleh menggunakan USB Wireless adapter supaya mendapat talian internet tanpa wayar.

 

Penggunaan portal seperti http://www.zoom-a.com dan sebagainya yang berciri latihan interaktif akan menambahkan lagi bahan ujian atau latihan yang boleh dijawab oleh murid-murid dengan bayaran hanya RM10 setahun. Guru juga boleh menjalankan ujian serentak untuk 20 hingga 40 orang murid bergantung kepada kemudahan komputer di makmal dan rekod pencapaian murid direkodkan serta merta.

 

Kelas Digital memberikan pengaruh yang besar kepada minat murid mengulangkaji dan membuat latihan kendiri. Ini kerana murid-murid pada masa ini amat berminat dengan komputer dan internet. Pembinaan Laman Web juga akan dapat membantu pihak sekolah menerima laporan aktiviti dan akademik daripada setiap kelas yang terlibat.

 

3. Cara Perlaksanaan

 

Penggunaan portal pengajaran dan pembelajaran dalam projek kelas digital tidak hanya tertumpu di sekolah sahaja. Murid-murid juga boleh menggunakan portal ini di mana-mana saja asalkan mempunyai sambungan internet. Contohnya di rumah atau di cyber. Pada mulanya sebelum Kelas Digital dilancarkan dan beberapa orang murid SK. Pekan telah diuji. Keberkesanan program ini terserlah. Oleh yang demikian, satu tinjauan secara menyeluruh telah dibuat ke atas murid-murid yang menggunakan portal zoom-a di seluruh daerah Ranau. Kertas kerja projek khas yang diberi nama “Kelas Digital” dilancarkan dengan rasminya oleh YB. Datuk Hj Masidi Manjun pada 21 November 2006 di SK. Kilimu Ranau.

 

Pendaftaran akaun murid telah dimulakan pada Januari 2007. Seramai 160 orang peserta pertama telah didaftarkan. 43 orang daripadanya dari SK. Pekan 2, 40 orang SK. Pekan, 36 orang dari SK. Kilimu dan selebihnya dari SJK Pai Wen dan sekolah-sekolah lain yang belum menjadi ahli Kelas Digital.

 

 

 

4. Kebaikan dan Kekuatan

 

Dengan penggunaan portal pengajaran dan pembelajaran dalam beberapa web terpilih terutamanya zoom-a, murid-murid dapat menjalankan sesi latihan kendiri secara interaktif. Ini secara langsung akan dapat:-

          4.1 Menjadikan guru sebagai tutor atau fasilitator bukan penceramah

          4.2 Mengurangkan penggantungan kepada guru mata pelajaran

          4.3 Mengurangkan kos membeli buku kerja

          4.4 Meningkatkan kadar ulangkaji di kalangan murid

          4.5 Membiasakan murid-murid menjawab soalan bermutu tinggi ( topikal/Klon)

          4.6 Menjalankan ujian kelas secara sistematik

          4.7 Mengurangkan kerja guru untuk merekod semua markah murid bagi setiap ujian
                kerana markah direkodkan secara automatik.

          4.8  Mewujudkan budaya ilmu secara menyeluruh di kawasan sekolah

          4.9  Memberikan peluang kepada ibu bapa untuk memantau latihan murid di rumah

          4.10 Membolehkan murid berbincang secara sihat di kalangan rakan sebaya

          4.11 Memberikan peluang kepada murid untuk memilih aras solan yang hendak dijawab

          4.12 Membantu pihak sekolah meningkatkan keputusan peperiksaan

          4.13 Kaedah ini telah lama digunakan di negeri Kelantan dan Terengganu. Hasilnya kedua-                 dua negeri ini mendapat keputusan peperiksaan yang terbaik  di seluruh Malaysia.

         

 

5. Masalah/ Kekangan / Kelemahan

 

Menjalankan sesuatu projek memang agak mencabar terutamanya projek baru yang tidak mempunyai panduan khusus. Di peringkat perlaksanaan, saya dapati terdapat 2 masalah yang besar iaitu:-

 

1.      Kesediaan guru-guru mengikuti bengkel pembinaan laman web

2.      Masa yang terlalu suntuk untuk melatih guru-guru dan murid-murid menggunakan laman
         web zoom-a.

 

Walaupun projek ini nampaknya canggih tetapi kemudahan juga perlulah canggih. Kemudahan komputer perlu ada di sekolah terlibat. Begitu juga dengan kemudahan Wireless Fidelity. Perbelanjaan yang agak besar diperlukan dan peruntukan untuk melaksanakan perlu disediakan.

 

Begitu juga di rumah, masalah mungkin dihadapi oleh pelajar yang tidak mempunyai kemudahan internet di rumah. Mereka terpaksa bergantung kepada kemudahan di sekolah atau di cyber. Ini akan sedikit sebanyak meningkatkan perbelanjaan mereka. Sekolah pula perlu mmbuka makmal sepanjang hari.

 

6. Penerimaan Guru Di Sekolah

         

Minat guru dan murid begitu tinggi. Begitu juga dengan pentadbir. Semasa projek ini di peringkat perlaksanaan ramai guru menunjukkan komitmen mereka. Bahkan sekolah yang belum dipilih menunjukkan minat yang tinggi. Minat yang tinggi ini juga dapat dilihat dengan kehadiran yang begitu ramai semasa hari pelancaran.

 

Terdapat permintaan untuk melancarkan Kelas Digital Fasa 2 yang melibatkan 5 buah sekolah lagi. Tetapi ini semua adalah bergantung kepada keupayaan penganjur, masa, kewangan dan aktiviti di sekolah.

 

7. Penutup

 

Adalah diharapkan agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Posted in Pendidikan, Program PKG Ranau | No Comments »

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan

Posted by ilmu on 22nd Jun 2008

 PELAN INDUK PEMBANGUNAN PENDIDIKAN 2006-2010

Pendahuluan

Modal insan berminda kelas pertama merupakan salah satu kunci utama untuk membolehkan negara mencapai Wawasan 2020 yang telah digagaskan. Merekalah yang akan meningkatkan tahap produktiviti dan daya saing negara dalam mendepani cabaran dan tekanan besar persaingan abad ke 21. Agenda membina dan memupuk modal insan yang menjadi benih generasi masa depan ini amat bergantung kepada kualiti sistem pendidikan negara. Justeru, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 telah dirangka untuk melaksanakan dan merealisasikan satu sistem pendidikan yang holistik, progresif, bermoral dan bertaraf dunia. PIPP telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. PIPP 2006-2010 telah menggariskan enam teras iaitu membina Negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan Sekolah Kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.

 

1. Membina negara bangsa

 

Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia

adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme, lingua franca, integrasi, kewarganegaraan dan demokrasi.

 

Cabaran globalisasi dan liberalisasi menuntut perubahan dinamik dalam system pendidikan bagi melahirkan warganegara “glokal” yang bertindak bijak menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi mengikut acuan local atau tempatan. Fokus utama dalam membina negara bangsa mencakupi usaha-usaha seperti memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai asas perpaduan, integrasi nasional dan bahasa ilmu. Fokus lain ialah memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsa serta memupuk kefahaman yang jelas terhadap pendekatan Islam Hadhari dalam membentuk pemikiran kehidupan. Antara strategi untuk membina negara bangsa ialah :

 

· Menggerakkan gelombang baru gerakan memperkasakan bahasa kebangsaan.

· Memantapkan pelaksanaan Dasar Buku Negara.

· Menyelaras peranan semua pihak terlibat untuk menggiatkan aktiviti kebahasaan, kesusasteraan, pengkaryaan, penterjemahan dan penerbitan.

· Mewujudkan bulan bahasa dan sastera negara dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan.

Bagi memantapkan perpaduan negara dan integrasi nasional, pelbagai usaha akan dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat agar menghormati Perlembagaan Malaysia, meningkatkan semangat patriotik melalui aktiviti kokurikulum dan menanam semangat hormat-menghormati sensitiviti masyarakat pelbagai kaum. Selain itu, memberi kefahaman menyeluruh tentang pentingnya semangat kejiranan ke arah perpaduan dan integrasi nasional turut dititikberatkan. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) turut menyusun program bagi memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya melalui kurikulum kesenian, membina sekolah seni, meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKWA) serta membudayakan penggunaan tulisan jawi. Bagi memupuk kefahaman yang jelas tentang pendekatan Islam Hadhari, pelbagai aktiviti untuk bimbingan melalui siri ceramah, seminar dan penerbitan bahan bacaan berkaitan Islam Hadhari akan dilaksanakan.

 

2. Membangunkan modal insan

 

Pembangunan modal insan bertujuan memastikan anak bangsa Malaysia mempunyai ilmu pengetahuan serta kepakaran tinggi bagi penyediaan guna tenaga dalam pelbagai jenis pekerjaan. Di samping itu, para pelajar akan dilengkapi kemahiran, komunikasi berkesan, kebolehan menggunakan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dengan baik, berupaya berfikir secara kreatif dan kritis serta mampu bertindak secara rasional, mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, mempunyai nilai tinggi serta berupaya menjadi pemimpin berkesan dalam keluarga dan masyarakat. Bagi mencapai dasar dan matlamat tersebut, fokus pembangunan modal insane sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) adalah :

 

· Mengadakan lebih banyak pilihan pendidikan kepada ibu bapa danpelajar

KPM akan meneruskan kewujudan pelbagai jenis sekolah, aliran, mata pelajaran dan bidang pengkhususan. Pendaftaran Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) akan diteruskan. Pelaksanaan mata pelajaran vokasional (MPV) di sekolah-sekolah akan diperluaskan. Peruntukan belanja mengurus akan ditingkatkan bagi sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

 

· Meningkatkan keupayaan dan minat pelajar untuk menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran

Pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) akan dikaji semula agar lebih menekankan kemahiran berfikir aras tinggi. Budaya cintakan ilmu pengetahuan akan dipupuk dengan menggalakkan tabiat membaca. Penerbitan dan penterjemahan pelbagai jenis bahan bacaan sama ada dalam bentuk bercetak atau bukan bercetak akan dipergiatkan. Bagi menjayakan Program Pembestarian Sekolah, infrastruktur yang mencukupi akan disediakan seperti komputer, televisyen dan cakera video digital (DVD). Bagi memastikan program ini dapat beroperasi dengan lancar, program latihan dan bimbingan akan diadakan iaitu Latihan Asas Penggunaan Komputer, Latihan Penggunaan Komputer untuk pengajaran dan pembelajaran (P&P), Latihan Penggunaan Perisian Khusus dan latihan Penggunaan Televisyen Pendidikan (TVP) dalam P&P. Beberapa pendekatan P&P baru akan diperkenalakn supaya menarik minat para pelajar seperti program F1 Technology Challenge dan Robotik.

 

· Memupuk pelajar supaya memiliki kemahiran dan ketrampilan

Kemahiran berkomunikasi merentas kurikulum dan kokurikulum dengan memperbanyakkan aktiviti literasi dan secara langsung akan dipergiatkan. MPV akan diperluas di sekolah-sekolah selain memastikan pelajar menguasai kemahiran ICT. Bagi membina penampilan diri yang positif, aktiviti bina diri seperti kerja berpasukan dan pembinaan karakter akan diperbanyakkan. Ceramah, seminar, motivasi dan bengkel berunsur pembangunan insan akan ditingkatkan bagi memupuk nilai-nilai murni, budi bahasa dan adab di kalangan pelajar. Kerja amal dalam masyarakat setempat seperti di rumah orang tua dan anak yatim juga akan diperbanyakkan. Aspek keselamatan, kesihatan dan kebersihan (3K) turut diberi keutamaan. Program Amalan Kebersihan Sekolah turut dimantapkan sepanjang RMK-9.

 

· Memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian supaya lebih holistik

KPM akan mengubah penekanan peperiksaan awam daripada berasaskan kandungan kepada kemahiran atau daripada bersifat ujian kepada kebolehan am. Bilangan mata pelajaran dalam peperiksaan awam juga akan dikurangkan bagi mata pelajaran tertentu. Sistem penggal akan dikaji semula dan digantikan dengan sistem semester bagi menjadikan suasana persekolahan tidak berorientasikan peperiksaan. Bagi memantapkan kualiti system pentaksiran dan penilaian, standard prestasi kebangsaan bakal diperkenalkan untuk dibandingkan dengan standard negara lain.

 

· Memantapkan program kokurikulum dan sukan

Budaya bersukan dan kokurikulum akan diterapkan kepada pelajar dengan menyediakan kemudahan serta peralatan sukan yang mencukupi di semua sekolah tidak kira lokasinya. KPM akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk melaksanakan program pembangunan sukan lebih menyeluruh di samping mengenal pasti sekolah yang dapat dijadikan Pusat Sukan Daerah dan Negeri. Bagi meningkatkan semangat patriotik, Rukun Negara akan dipelajari dan dihayati dari peringkat awal persekolahan. Penubuhan Kelab Rukun Negara akan dilaksanakan di sekolah rendah dan menengah.

 

· Memperkukuh disiplin pelajar

Kempen Anti Buli, Kempen Anti Ponteng, kempen melibatkan penglibatan ibu bapa dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Kempen Pencegahan Salah Laku akan di perhebatkan. Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya 2005 akan dilaksanakan di sekolah rendah secara berperingkat dengan menerapkannya ke dalam mata pelajaran bahasa Melayu.

 

· Mempercepat perkhidmatan sistem aduan masalah disiplin dengan

mempelbagaikan saluran aduan terus

Saluran aduan terus akan dipelbagaikan termasuk talian terus, e-mail, faks dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

 

· Memantapkan kurikulum

Pelaksanaan j-QAF kepada murid Islam dan Pendidikan Moral kepada bukan Islam akan diperluaskan. Selain itu, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan akan diperluas pelaksanaannya ke Tahap Dua sekolah rendah dan sekolah menengah.

 

· Meningkatkan kerjasama KPM dengan pelbagai agensi

Ini akan dilakukan dengan menjalankan pelbagai aktiviti bagi membangunkan modal insan.

 

3. Memperkasakan Sekolah Kebangsaan

Dalam PIPP, tumpuan memperkasakan Sekolah Kebangsaan (SK) diberi kepada sekolah rendah. Ini kerana SK berperanan penting sebagai tapak untuk menyemai serta memupuk perpaduan di antara kaum dari peringkat awal persekolahan. Ciri-ciri SK perkasa ialah :

 

· Infrastruktur lengkap dan berkualiti.

· Pemimpin dan guru cekap, terlatih dan berkualiti, semua pelajar menguasai 3M.

· Beraspirasi nasional.

· Menawarkan bahasa Cina dan bahasa Tamil.

· Pencapaian akademik cemerlang.

· Sistem sokongan yang kuat dan mencukupi.

· Iklim dan budaya sekolah yang sihat.

· Penawaran dan pelaksanaan kurikulum berasaskan pelanggan.

· Penawaran dan pelaksanaan kokurikulum yang berkesan.

· Pencapaian sahsiah pelajar cemerlang.

 

4. Merapatkan jurang pendidikan di luar bandar

PIPP bakal merapatkan jurang pendidikan antara lokasi dengan membangunkan infrastruktur dan kemudahan pendidikan luar bandar di seluruh negara. Selain itu, ia turut memfokuskan peningkatan kadar penyertaan dan mengurangkan risiko keciciran pelajar. Tumpuan akan diberi kepada sekolah-sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak. KPM turut memfokuskan untuk mengurangkan jurang pencapaian akademik dengan menambah bilangan komputer, TV Pendidikan, video teleconferencing, SchoolNet, makmal komputer, kemudahan perkakasan, pengisian dan tenaga kerja. Ini akan mengurangkan jurang digital yang wujud di kalangan murid dan guru luar bandar. Beberapa langkah telah dikenal pasti untuk meningkatkan penyertaan Orang Asli dan minoriti iaitu meningkatkan penguasaan 3M (membaca, menulis dan mengira).

 

5. Memartabatkan profesion perguruan

Guru-guru yang baru menamatkan pengajian perguruan dari maktab atau institusi pengajian tinggi akan diwajibkan berkhidmat di kawasan pedalaman dahulu tanpa sebarang pengecualian. KPM akan menambah baik insentif dan mewujudkan skim insurans khusus kepada guru yang berkhidmat di pedalaman selain menyediakan rumah guru dan kemudahan asas yang sempurna. Kurikulum Institut Pendidikan Guru (IPG) secara berpusat akan digubal bagi memberi penekanan kepada elemen baru dalam kurikulum pendidikan guru. Ia akan memberi focus kepada membangunkan infrastruktur yang meliputi Pusat Maklumat Latihan Keguruan, Sistem Penyaluran, rangkaian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Portal Pendidikan Guru dan Total Campus Management System. Guru tugas-tugas khas bakal menikmati elaun baru apabila PIPP 2006-2010 dilaksanakan sepenuhnya. Pelbagai keistimewaan bakal dilaksanakan seperti mewujudkan laluan pantas untuk kenaikan gred DG berasaskan merit dan prestasi akan dilaksanakan, kemudahan tempat tinggal di kawasan pedalaman dan Bandar besar akan disediakan dan menempatkan guru mengikut opsyen dan keperluan.

 

6. Melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan

Bagi melonjakkan lagi kecemerlangan institusi pendidikan dalam system pendidikan negara, dasar KPM adalah untuk mengadakan pendekatan, piawaian

dan penanda aras yang lebih tepat serta bersesuaian dengan ciri dan keperluan kluster institusi pendidikan yang ada iaitu mengikut bidang khusus (niche areas) masing-masing. Hal ini kerana pada masa ini terdapat pelbagai jenis sekolah dalam sistem pendidikan negara. Institusi-institusi model yang dapat dijadikan contoh akan dibangunkan supaya dapat dijadikan showcase di peringkat antarabangsa. Ia bertujuan untuk membuktikan keupayaan sistem pendidikan negara di samping membantu usaha untuk menjadikan Malaysia Pusat Kecemerlangan Pendidikan. Dalam pada itu, sebanyak 300 buah institusi pendidikan yang menyerlah dan cemerlang dalam kluster institusi pendidikan tertentu akan dikenal pasti dan dipilih mengikut elemen berikut :

 

· Elemen utama (pencapaian purata, kokurikulum).

· Elemen sokongan (pengurusan dan pentadbiran sekolah, ketrampilan guru, pengurusan kewangan yang cekap, penglibatan ibu bapa dan masyarakat).

 

Kesimpulan

Dengan termeterainya PIPP 2006-2010, diharapkan bidang pendidikan bukan sahaja dapat melahirkan modal insan yang berpengetahuan, kuat fizikal dan cerdik minda tetapi juga mempunyai nilai-nilai yang sempurna dan murni untuk memikul amanah bagi membantu memajukan negara. Modal insan yang mempunyai celik minda dan nilai-nilai ditambah sangat penting untuk melakukan anjakan besar selain mampu bersaing untuk berjaya. Negara perlu melahirkan lebih ramai Ulul-Albab (pemikir) yang bersyukur kerana mereka merupakan golongan yang mampu melaksanakan amanah bagi membawa kebaikan kepada negara.

Sumber maklumat :Kementerian Pendidikan Malaysia

Posted in Pendidikan | No Comments »