Berbudi Kepada Tanah Untuk Menambahkan Pendapatan Dan Keseronokan

       

Lihatlah kesuburan tanaman sayur-sayuran tanah tinggi di Kundasang. Sejak tahun 1960-an lagi, Kundasang sudah mula terkenal sebagai kawasan penanaman sayur-sayuran tanah tinggi yang diusahakan secara komersial sekaligus menggantikan tanaman kopi yang diusahakan oleh penduduk sebelum itu. Walaupun amalan pertaniannya masih menggunakan kaedah tradisional pada ketika itu, pendapatan penduduk kampung telah meningkat berbanding sebelumnya. Pengeluaran sayur-sayuran di Kundasang telah diketahui dengan cepat bukan sahaja di daerah ini, bahkan di seluruh Sabah. Kundasang telah menjadi tumpuan orang tengah atau pemborong-pemborong sayur dari daerah lain seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Keningau dan Kudat. Di antara sayur-sayuran yang ditanam di kawasan ini ialah kobis bulat, kobis panjang, couliflower, brocolli, leek, onion, asparagus, tomato, cendawan, pelbgai jenis kacang, carrot, lobak putih, betroot, timun jepun dan pasli.

Berbudi kepada tanah memang menguntungkan. Sebenarnya bukan saja menambahkan pendapatan keluarga bahkan aktiviti ini memberikan keseronokan dan kepuasan lebih-lebih lagi apabila melihat sayur-sayuran yang ditanam mula membesar dan tidak lama lagi akan dapat memetik hasilnya. Gambar-gambar di bawah adalah sebahagian daripada kawasan penanaman sayuran di kebun saya. Di sinilah saya membina sebuah rumah. Musim cuti sekolah saya bersama keluarga akan bercuti di sini. 

Kundasang War Memorial

           

Kundasang – Pekan kecil yang terletak di dalam daerah Ranau. Pekan ini terkenal kerana kaya dengan agro pelancongan bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Para pelancong sentiasa membanjiri Kundasang untuk menikmati pemandangan yang indah, cuaca sejuk yang segar dan nyaman, mendaki Gunung Kinabalu dan melawat tempat-tempat menarikdi kawasan ini. Salah satu daripada tempat menarik yang terdapat di sini ialah Kundasang War Memorial.  Kundasang War Memorial yang terletak di bahagian belakang deretan kedai pekan Kundasang ini adalah tugu peringatan sempena memperingati askar-askar Australia dan British yang ditawan oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Di bawah ini ialah petikan yang tercatat pada tugu peringatan yang dipamerkan di pintu masuk tugu ini.

“Semasa Perang Dunia Kedua, tawanan perang tentera Australia dan British dipenjarakan di Sandakan oleh pihak tentera Jepun. Tawanan perang pertama tiba dari Singapura dan mereka dipaksa untuk membina landasan kapal terbang tentera Jepun pada bulan Julai tahun 1942 dan menjelang pertengahan tahun 1943 lebih dari 1800 orang tawanan perang Australia dan 750 orang British menjadi buruh paksa di kem tahanan ini.”

“Keadaan hidup yang payah dan keadaan tempat kerja yang teruk wujud di kem tahanan ini. Tentera Jepun dan Pegawai Formosa yang sangat kejam terhadap tawanan perang dan bilangan tawanan perang yang mati pun meningkat terus sepanjang tahun 1943 dan 1944. Penduduk tempatan cuba sedaya upaya untuk menolong tawanan perang yang tidak berupaya itu kadang kala tidak menghiraukan ancaman bunuh yang dikeluarkan oleh pihak tentera Jepun.”

“Menjelang tahun 1945 tentera Jepun risau bahawa pihak Bersekutu akan menyerang Borneo Timur. Akhirnya, tentera perang yang masih hidup itu iaitu seramai 1066 orang telah dipindahkan secara berturut dalam perjalanan maut sejauh 265km ke barat. Seramai 290 orang tawanan perang yang ditinggalkan di hospital di Sandakan telah meninggal dunia.”

“Lebih dari 1000 orang tawanan perang meninggal dalam perjalanan maut ini atau di Kem Tahanan Ranau. Sukar dipercayai bahawa enam orang tahanan perang yang kelaparan dan kurus kering itu telah berjaya melepaskan diri untuk mendedahkan tragedi perang yang mereka alami.”

“Dari 2500 tawanan perang di Sandakan, mereka inilah yang dapat pulang ke pangkuan keluarga.”

Mon atau nama sebenarnya ialah Mohd. Khairul Azri  adalah salah seorang daripada pelawat tugu ini. “Huh!..besarnya tugu ini… cantiknyaaa”. Perkataan inilah yang pertama keluar daripada mulut Mon apabila melangkah masuk ke dalam tugu yang tersergam indah dan masih kukuh walaupun telah berusia hampir 60 tahun. Kecantikan dan keindahan taman ini sentiasa dijaga dan dipelihara oleh pekerja-pekerja yang rajin dan kreatif.

Saya sebagai orang tempatan di sini mengalu-alukan kedatangan anda!

Kucing dan Mon

Kucing merupakan binatang peliharaan yang menakjubkan. Sifatnya hampir menyamai harimau, haiwan pemangsa yang tergolong dalam kumpulan mamalia. Kucing mempunyai mata yang besar di hadapan muka. Boleh melihat di waktu malam. Ia juga mempunyai pendengaran yang kuat, gigi dan kuku yang tajam. Lebih menakjubkan, kucing mempunyai sifat penyayang dan mahu disayangi. Mon atau Mohd. Khairul Azri – peminat pelbagai jenis kucing seperti Asian, American Bobtail, Japanese Bobtail dan Abysinnian.