PEMIMPIN BUKAN SEKADAR MEMBACA

Minda Bicara JPN Sabah semalam megupas topik Pemimpin Bukan Sekadar Membaca bersama VC UMS YBhg Prof Madya Ts Dr. Ramzah Dambul, Tajuk ini pada saya sangat penting. Saya mengikuti webinar ini sehingga selesai walaupun sedikit gangguan kerana bertembung dengan Kolokium Kepemimpinan Instruksional Peringkat Kebangsaan anjuran Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara  yang saya hadiri pada waktu yang sama secara maya.

Saya tidak ingin mengulangi perbahasan tajuk ini kerana telah pun disampaikan secara mendalam oleh YBhg Prof dan beberapa orang pemimpin pendidikan dalam webinar tersebut. Webinar penuh juga boleh diakses melalui alamat di bawah.

Perlu disedari bahawa setiap dari kita – yang telah mumayyiz adalah pemimpin. Sekurang-kurangnya menjadi pemimpin kepada diri sendiri dan keluarga. Rasulullah s.a.w bersabda: “Ketahuilah bahawa setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya.”

Dalam menghayati pandangan yang dilontarkan oleh YBhg Prof, ternyata tanggungjawab seorang pemimpin sebagai pemangkin kepada budaya ilmu bukan sesuatu yang skeptikal lagi.  Seorang pemimpin bukan sekadar membaca tetapi lebih daripada itu. Natijah yang lebih besar daripada membaca itu adalah keilmuan. Membaca adalah jambatan ilmu. Perintah menuntut ilmu adalah wajib di sisi agama. Bahkan membaca dan menuntut ilmu adalah wajib  sebelum kita menjadi seorang pemimpin.

Firman Allah SWT dalam surah Yunus, ayat 14: “Kemudian Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan”

Khalifah Umar bin al-Khattab juga mengingatkan kita tentang perlunya ilmu sebelum menjadi pemimpin. Beliau menegaskan: “Hendaklah kamu belajar menjadi faqih sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin”.

Seorang pemimpin yang berilmu sentiasa bermuhasabah terhadap diri sendiri dan mengambil iktibar terhadap gaya kepimpinan orang terdahulu. Mereka menjadikan yang baik itu panduan, yang buruk dijadikan sempadan. Hakikat ini dapat dicapai dengan adanya ilmu pengetahuan.

Oleh sebab itu marilah kita budayakan membaca dan menuntut ilmu agar kehidupan kita lebih bermakna.

 

Penilaian Kendiri Pencapaian 2012 Ketika Sambutan Maal Hijrah 1435H / 2013M

Pada masa kehadapan ini, saya masih menyimpan cita-cita dalam kerjaya…semoga masih ada ruang kejayaan!

Tulisan ini dipost pada 12/11/2013 dan diedit semula pada 1/7/2021 setelah 8 tahun berlalu…

Ketika selangkah kita ke hadapan bermakna kita telah meninggalkan beribu langkah di belakang. Masa yang berlalu tak akan kembali lagi. Semasa tirai 1434H ditutup dengan doa akhir tahun dan tirai tahun baru 1435H dibuka dengan doa awal tahun, bermakna telah berlalu perjuangan untuk setahun yang lalu lagi. Saya cuba menilai pencapaian kendiri dengan melakukan muhasabah. Bagaimana pencapaian kerja yang telah diamanahkan sama ada kerjaya rasmi atau NGO yang diwakili.

Ketika hadir ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri baru-baru ini, saya berkesempatan mewakili Masjid Ar Rahman  menerima Anugerah Masjid Cemerlang Peringkat Negeri Sabah Tahun 2013M / 1435H. Bagi diri yang kerdil ini, anugerah yang dikurniakan itu amat besar ertinya. Ia tidak pernah disangka-sangka.  Ia adalah penyuntik semangat dan iltizam. Iltizam untuk melipatgandakan usaha mencemerlangkan pengurusan masjid kami.

Ketika pengurusan Masjid Ar Rahman meningkat maju, NGO yang saya pegang seperti Angkatan Belia Islam Malaysia  agak perlahan. Aktiviti agak kurang dan roadshow ke kampung-kampung seperti yang dirancang masih belum dilaksana. Hanya Rumah Putera Harapan yang menempatkan 25 orang anak-anak yatim berjalan lancar. Bahkan semakin mendapat perhatian pihak luar. Perpindahan mereka dari rumah asal ke rumah baru nampak lebih selesa. Keprihatinan orang ramai sangat menggalakkan.

Ketika NGO bergerak perlahan, saya cuba berganjak sedikit demi sedikit menimba ilmu pegetahuan dalam bidang pentadbiran. Saya melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengurusan dan Pentadbiran Pendidikan di salah sebuah universiti tempatan. Alhamdulillah, berjalan lancar pada ketika ini.

Saya sering berfikir mengapa saya lambat mengambil kesempatan. Hati kecil saya menjawab  bahawa setiap manusia mempunyai tahap kemampuan yang tersendiri. Lagi pun banyak lagi perkara lain menjadi faktor. Saya  tidak menyesal, sama sekali tidak pernah menyesal bahkan bersyukur kepada Allah kerana masih ada peluang.

Sekali lagi, pada masa kehadapan ini, saya masih menyimpan cita-cita dalam kerjaya…semoga masih ada ruang kejayaan!

Berguru Demi Ilmu Bina Generasi Baharu

Belum terlambat rasanya saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua rakan pendidik di seluruh negara. Sambutan Hari Guru tahun ini mengetengahkan tema yang amat bermakna iaitu “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” menyentuh peranan guru sebagai pencetus budaya ilmu dan memperkasakannya dalam masyarakat.

Hari Guru begitu istimewa bagi saya. Ini adalah peluang untuk menghayati perjuangan sebagai pendidik dan menghargai jasa bakti guru-guru saya yang telah mendidik saya dahulu.

Menyingkap tentang tarikh sambutan  Hari Guru, 16 Mei merupakan tarikh keramat yang tercetus lanjutan daripada tarikh dokumentasi Laporan Razak mengenai dasar-dasar pelajaran yang dicadangkan kepada Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu iaitu pada 16 Mei 1956. Semejak dari hari itu, 16 Mei pada setiap tahun dijadikan tarikh rasmi sambutan Hari Guru di peringkat kebangsaan. . Biarpun yang demikian, adalah terserah kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk melaksanakan sambutan Hari Guru ini di peringkat daerah atau di peringkat sekolah.

Profession keguruan dilihat dari segi perkhidmatan, merupakan suatu profession yang amat mulia dan dipandang sangat tinggi oleh masyarakat kita. Pada hari ini, guru bukan sahaja sebagai pendidik kepada para pelajar, bahkan sebagai agen perubahan ke arah kemajuan dalam pelbagai bidang.

Hari Guru peringkat kebangsaan kali ke-49 pada tahun ini (2021)  mengetengahkan tema ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’. Kementerian Pendidikan (KPM) menaruh keyakinan tema sedemikian berupaya memberi semangat baharu kepada guru dan murid, sekali gus membentuk masyarakat yang menuntut ilmu dengan niat ikhlas supaya ia mudah terpahat di sanubari. Tema ini juga menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat falsafah pendidikan kebangsaan. Guru ialah insan yang sentiasa dahagakan ilmu dan tidak jemu melengkapkan diri mereka dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran dan nilai sejajar dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat.

Dalam konteks berguru, ilmu hendaklah diperoleh daripada seseorang dengan kepakaran atau kemahiran yang asli dan berasaskan sumber betul, sahih serta berwibawa. Murid perlu menginsafi bahawa tiada manusia yang mencapai kejayaan di dunia ini tanpa kehadiran insan bergelar guru, malah golongan pendidik menjadi penyumbang utama ke arah pembentukan ketrampilan dan keperibadian seseorang.

Berguru adalah proses pembelajaran berterusan yang tiada penghujung selagi seseorang masih menikmati kehidupan di dunia ini. Seorang murid yang berguru dengan niat ikhlas untuk mendapatkan ilmu akan terus berusaha meningkatkan kefahaman mereka terhadap ilmu berkenaan. Mereka juga akan berusaha meneroka bidang ilmu baharu. Ini akan melahirkan lebih ramai ilmuwan yang mampu mencipta produk atau perkhidmatan berimpak tinggi kepada masyarakat.

Murid yang ada pada hari ini ialah generasi pewaris masa hadapan. Oleh itu  para pendidik perlu menanamkan  rasa kecintaan kepada ilmu di dalam jiwa mereka. Kecintaan mereka kepada ilmu akan melahirkan generasi baharu yang lebih gemilang dalam pelbagai aspek kehidupan, maka kita yakin bahawa tema ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’ ini akan dapat memberikan semangat baharu kepada guru dan murid.