BAGAIMANA SEORANG GURU NOVIS (BARU) DAN GURU EXPERT (BERPENGALAMAN) MENYELESAIKAN BEBERAPA SENARIO DI SEKOLAH

SENARIO 1   :           Murid-Murid Tidak Menyiapkan Kerja Rumah.

Umumnya, masalah pelajar tidak menyiapkan kerja rumah (homework) dihadapi oleh semua guru yang mengajar di sekolah. Berhadapan dengan senario ini, Guru Novis dan Guru Expert masing-masing mempunyai pendekatan yang agak berbeza. Ini disebabkan oleh faktor kewibawaan, pengalaman bertugas, kematangan dalam berfikir dan melakukan tindakan-tindakan.

Guru Novis (Baru)

Dalam mengatasi masalah di atas , lazimnya guru novis menggunakan declaration knowledge Di sini guru berfokus kepada satu tindakan  berdasarkan kepada kepercayaan dan keyakinannya. Tindakannya juga berdasarkan kepada ilmu pengetahuan yang datang dari persepsi dan pemerhatian. Guru tersebut akan mengarahkan murid-murid untuk menyiapkan kerja rumah dan diikuti dengan amaran-amaran tertentu kerana takut jika pelajarnya tidak patuh kepada arahan-arahan. Keadaan ini akan mempengaruhi domain kognitif, afektif dan psikomotor pelajar. Minda dan persepsi mereka akan terganggu, emosi mereka tidak stabil dan penambahbaikan tingkahlaku akan terjejas.

Sepatutnya, sebagai guru novis, mereka perlu menggunakan kaedah yang lebih sistematik iaitu dengan menggunakan strategy knowledge dan procedural knowledge. Strategy knowledge menekankan kepada penggunaan strategi yang lebih rapi dan berkesan. Procedural knowledge pula menekankan kepada peraturan-peraturan serta arahan yang disediakan oleh guru. Dengan menggunakan kaedah ini, guru tadi perlu bertemu dengan pihak pentadbir (Guru Besar), Guru Kelas dan Guru Disiplin bagi membincangkan jalan penyelesaian. Hasil perbincangan tersebut akan menjadi panduannya. Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh guru novis ini ialah membimbing pelajar menerapkan nilai-nilai murni kerajinan, menyediakan buku catatan khas yang mengandungi rekod kerja rumah yang diterima daripada setiap guru pada setiap hari. Guru tersebut juga boleh memohon kepada pentadbir sekolah supaya menulis surat memohon kerjasama ibubapa bagi mempastikan semua kerja rumah disiapkan. Kaedah-kaedah di atas lebih berkesan dan mempengaruhi domain kognitif dengan perubahan minda dan disiplin lebih positif. Di samping itu dari segi domain afektif, emosi pelajar tidak cepat terganggu kerana guru tidak menimbulkan tekanan serta amaran yang ketat kepada murid. Domain psikomotor murid juga akan lebih cepat berubah. Tingkahlaku serta tindakan murid akan lebih positif kerana  dipengaruhi oleh toleransi guru itu sendiri.

Guru Expert (Berpengalaman)

Guru expert mengeksploitasikan setiap pengalamannya dengan menggunakan Strategy Knowledge dan Procedural Knowledge untuk memberikan arahan-arahan yang berkesan. Guru expert tidak banyak memberikan tekanan kepada murid. Guru ini mudah mempercayai pelajar dan tidak suka mengeluarkan kata-kata amaran kepada pelajar. Guru expert lebih tegas tetapi mudah berlembut sesuai dengan sifat keibubapaan yang dimilikinya. Justeru, murid-murid lebih mudah mematuhi arahannya.

Guru expert juga boleh menangani pelajar-pelajar yang kurang komited. Pelajar-pelajar yang sering tidak menyiapkan kerja rumah memerlukan ilmu psikologi yang khusus untuk menimbulkan minat serta motivasi kepada pelajar demikian. Corak tindakan guru expert lebih konsisten dan sangat berfokus. Contohnya, guru mengarahkan pelajar menyiapkan kerja rumah disusuli dengan menyerahkan borang pemarkahan. Pelajar tulis sendiri markahnya apabila selesai semakan. Ini secara langsung akan memberikan semangat kepada pelajar untuk menyiapkan kerja kerana tidak mahu markah 0. Sudah tentu berasa malu kepada kawan-kawan yang lain.

Tindakan-tindakan guru yang lebih positif ini akan membawa kepada perubahan domain kognitif berasaskan kesedaran, motivasi dan minat. Aras pengetahuan murid akan meningkat, menggunakan akal pemikiran sebelum melakukan tindakan, mudah mengerti dan memahami. Dari segi domain afektif, emosi, minat, sikap, apresiasi, dan cara penyesuaian diri murid akan bertambah baik. Ini akan mempengaruhi tingkahlaku pelajar. Tingkahlaku pelajar akan lebih positif. Ia akan bertambah rajin dan cepat melaksanakan tugasan.

SENARIO 2 : Murid Tidak Melaksanakan Arahan Guru

Faktor utama pelajar tidak melaksanakan arahan guru ialah sikap sambil lewa, tidak tahu apa yang perlu dilakukan, tidak tahu kenapa dia diarahkan untuk melakukannya, tidak respect guru dan tidak berdisiplin. Bagaimana mengatasi masalah ini? Kita lihat dari dua sudut yang berbeza iaitu guru novis dan guru expert.

Guru Novis (baru)

Pengalaman, umur serta kewibawaan guru novis yang masih kurang mempengaruhi tahap komitmen pelajar dalam melakukan arahan yang diberi. Murid agak payah menurut arahan-arahan guru ini. Oleh yang demikian, guru tersebut akan cuba mencari jalan supaya pelajar lebih peka dan tidak mengambil mudah terhadap arahan yang diberi. Guru novis dalam menyelesaikan senario ini juga akan menggunakan declaration strategy. Guru akan menggunakan keadah mengarah berunsurkan paksaan dan tekanan yang tegas dan lebih bersifat rekrut.

Kecergasan yang dimiliki guru novis diterjemahkan melalui arahan yang cepat. Dia mahukan tindakan yang pantas dilakukan oleh murid. Dia tidak suka kepada sikap sambil lewa dan membuang masa. Dalam senario 2 ini, jika pelajar tidak patuh kepada arahannya, guru tersebut lebih cenderung untuk mendenda. Guru novis lazimnya menyertakan unsur paksaan dalam arahan dan tidak banyak menggunakan psikologi serta lebih kasar sifatnya.

Pendekatan guru seperti ini kurang membantu kepada perubahan murid secara positif. Domain kognitif murid tidak berkembang dengan baik. Murid akan tertekan. Minda tidak berkembang. Pengetahuan akan terhad dan mereka sukar menerima pendapat orang lain. Domain afektif murid akan terganggu. Emosi mereka tidak stabil dan kadang-kadang akan berada dalam ketakutan. Domain psikomotor juga akan berubah menjadi lebih kasar, keras dan tidak mudah berlembut. Pendekatan rekrut ala tentera menyebabkan pelajar tidak suka kepada guru ini.

Guru Expert

Guru Expert menggunakan kaedah lebih toleransi terhadap pelajar yang sering tidak patuh kepada arahan guru. Guru ini akan menggunakan kaedah Strategy Knowledge kerana untuk merubah sikap pelajar yang sambil lewa terhadap arahan guru memerlukan ilmu Kemahiran Aras Tinggi (HOTS). Ini kerana sikap pelajar yang ini berkaitrapat dengan sikap asal yang dimiliki pelajar. Untuk mengubahnya memerlukan masa yang panjang.

Guru expert akan menggunakan pendekatan menasihati secara personel melalui kaunseling. Memberikan nasihat dan perbandingan. Memberikan nasihat dengan menceritakan satu sejarah, cerita teladan dan cerita sempadan. Mereka harus diberikan peluang dan pujian. Guru expert percaya pelajar yang selalu tidak patuh kepada arahan guru tidak boleh dididik dengan tekanan. Mereka akan semakin memberontak. Tidak boleh dipaksa kerana mereka akan semakin membantah.

Kaedah yang digunakan oleh guru expert akan menyumbang kepada perubahan domain kognitif. Pemikiran mereka akan berubah. Mereka akan lebih mengerti dan bersedia untuk menimba ilmu serta mengamalkannya. Demikian juga domain afektif, mereka akan bersikap lebih terbuka untuk menerima nasihat. Emosi mereka akan lebih stabil. Tidak mudah memberontak dan menyayangi serta menghormati guru mereka. Dari segi domain psikomotor, tingkahlaku mereka lebih sopan, mudah menuruti nasihat, tidak suka kepada kekerasan dan kekasaran.

Perbincangan:

Jikalau seorang guru dapat mengamalkan ilmu psikologi dalam menyelesaikan masalah yang timbul di sekolah, kejayaannya adalah lebih besar. Kaedah psikologi adalah lebih berkesan daripada kaedah tekanan dan paksaan kepada pelajar. Bagaimanapun terserah kepada guru-guru sama ada menggunakan Declaration Knowledge, Procedural Knowledge Atau Strategy Knowledge. Perlu diingat, apapun tindakan guru terhadap pelajar, perubahan kepada domain kognitif, domain afektif dan domain psikomotor perlu diambilkira.

(Artikel ini ditulis berdasarkan pemerhatian penulis di 3 buah sekolah penandaarasan dan sandaran)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *