Belum terlambat rasanya saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua rakan pendidik di seluruh negara. Sambutan Hari Guru tahun ini mengetengahkan tema yang amat bermakna iaitu “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” menyentuh peranan guru sebagai pencetus budaya ilmu dan memperkasakannya dalam masyarakat.
Hari Guru begitu istimewa bagi saya. Ini adalah peluang untuk menghayati perjuangan sebagai pendidik dan menghargai jasa bakti guru-guru saya yang telah mendidik saya dahulu.
Menyingkap tentang tarikh sambutan Hari Guru, 16 Mei merupakan tarikh keramat yang tercetus lanjutan daripada tarikh dokumentasi Laporan Razak mengenai dasar-dasar pelajaran yang dicadangkan kepada Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu iaitu pada 16 Mei 1956. Semejak dari hari itu, 16 Mei pada setiap tahun dijadikan tarikh rasmi sambutan Hari Guru di peringkat kebangsaan. . Biarpun yang demikian, adalah terserah kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk melaksanakan sambutan Hari Guru ini di peringkat daerah atau di peringkat sekolah.
Profession keguruan dilihat dari segi perkhidmatan, merupakan suatu profession yang amat mulia dan dipandang sangat tinggi oleh masyarakat kita. Pada hari ini, guru bukan sahaja sebagai pendidik kepada para pelajar, bahkan sebagai agen perubahan ke arah kemajuan dalam pelbagai bidang.
Hari Guru peringkat kebangsaan kali ke-49 pada tahun ini (2021) mengetengahkan tema ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’. Kementerian Pendidikan (KPM) menaruh keyakinan tema sedemikian berupaya memberi semangat baharu kepada guru dan murid, sekali gus membentuk masyarakat yang menuntut ilmu dengan niat ikhlas supaya ia mudah terpahat di sanubari. Tema ini juga menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat falsafah pendidikan kebangsaan. Guru ialah insan yang sentiasa dahagakan ilmu dan tidak jemu melengkapkan diri mereka dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran dan nilai sejajar dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat.
Dalam konteks berguru, ilmu hendaklah diperoleh daripada seseorang dengan kepakaran atau kemahiran yang asli dan berasaskan sumber betul, sahih serta berwibawa. Murid perlu menginsafi bahawa tiada manusia yang mencapai kejayaan di dunia ini tanpa kehadiran insan bergelar guru, malah golongan pendidik menjadi penyumbang utama ke arah pembentukan ketrampilan dan keperibadian seseorang.
Berguru adalah proses pembelajaran berterusan yang tiada penghujung selagi seseorang masih menikmati kehidupan di dunia ini. Seorang murid yang berguru dengan niat ikhlas untuk mendapatkan ilmu akan terus berusaha meningkatkan kefahaman mereka terhadap ilmu berkenaan. Mereka juga akan berusaha meneroka bidang ilmu baharu. Ini akan melahirkan lebih ramai ilmuwan yang mampu mencipta produk atau perkhidmatan berimpak tinggi kepada masyarakat.
Murid yang ada pada hari ini ialah generasi pewaris masa hadapan. Oleh itu para pendidik perlu menanamkan rasa kecintaan kepada ilmu di dalam jiwa mereka. Kecintaan mereka kepada ilmu akan melahirkan generasi baharu yang lebih gemilang dalam pelbagai aspek kehidupan, maka kita yakin bahawa tema ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’ ini akan dapat memberikan semangat baharu kepada guru dan murid.