Kunjungan Ke PKG & SMK Tambunan: Penanda Arasan & Permuafakatan

Gambar Lawatan Ke PKG Tambunan_1 Gambar lawatan ke SMK Tambunan_1 Gambar lawatan ke SMK Tambunan_2 Gambar Lawatan Ke SMK Tambunan_3 Gambar Lawatan Ke SMK Tambunan_4 Gambar Lawatan Ke SMK Tambunan_5

Kunjungan & lawatan Pusat Kegiatan Guru (PKG) Ranau bersama SMK Bundu Tuhan dan SK Kilimu ke PKG Tambunan dan SMK Tambunan telah mewujudkan idea baru bagi memperkemas dan mencemerlangkan pengurusan dan perlaksanaan program PSS di sekolah-sekolah yang terlibat.

Lawatan yang disertai oleh Pegawai Teknologi Pendidikan PKG Ranau, Guru Media dan Perpustakaan, Guru Penolong Kanan, guru-guru dan pelajar SMK. Bundu Tuhan dan SK. Kilimu ini adalah salah satu daripada pengisian ke arah pusat sumber cemerlang peringkat negeri pada tahun ini.

Semasa lawatan tersebut, Pengetua Sekolah Tn. Hj. Mohd. Mohlis Yusak, GPM Pn. Ann Doreen Dorall, PK1 Pn. Midiana @ Jane Frances Dautis, sebilangan guru dan  pelajar telah mengiringi kami ke beberapa lokasi dan memberikan taklimat berkaitan dengan program kecemerlangan Pusat Sumber Sekolah yang telah dijalankan.

Sekolah ini telah mencapai banyak kejayaan sama ada di peringkat negeri mahu pun peringkat kebangsaan. Di antaranya ialah PSS, NILAM, ASAT, Guru Inovatif, Sekolah Harapan Negara, Alam Sekitar, 3K dan usahawan Muda.

Justeru, saya mencadangkan supaya lebih banyak lagi sekolah di daerah Ranau yang membuat kunjungan ke SMK Tambunan untuk menimba pengetahuan baru di samping bertukar-tukar pendapat dan mengeratkan lagi silaturrahim di kalangan warga pendidik. 

SMKA Mohamad Ali dan SK. Kilimu Mewakili Anugerah PSS Cemerlang Peringkat Negeri

SMKA MOHD ALI SKKILIMU - SEKOLAH RINTIS KELAS DIGITAL 

SMKA Mohamad Ali dan SK. Kilimu masing-masing akan mewakili Daerah Ranau ke Anugerah PSS Cemerlang Kategori SM dan SR Luar Bandar.

Pemilihan ini adalah berdasarkan kepada pencapaian kedua-dua sekolah dalam pertandingan pada tahun 2008. Kedua-dua sekolah ini telah dinobatkan sebagai johan Anugerah PSS Cemerlang Daerah Ranau pada tahun lepas dan layak ke peringkat negeri pada tahun ini.

Tahniah kepada kedua-dua sekolah ini di atas kejayaan yang dicapai. PKG Ranau sentiasa memberikan khidmat bantu dan sokongan supaya pencapaian ini dapat dipertingkatkan. 

PKG Ranau, Cabaran dan Masa depan

Tahun 2009 merupakan tahun yang amat mencabar kepada PKG Ranau. Selain daripada fungsi sedia ada iaitu merancang dan melaksana program berkaitan dengan teknologi pendidikan dan ICT, PKG Ranau juga akan terlibat dalam penyenggaraan komputer di seluruh sekolah Daerah Ranau mulai 2009-2011

Selain daripada itu PKG Ranau juga kolektif dan komited melaksanakan promosi dan pemantauan penggunaan Education Web TV (EduWebTV) KPM. EduWebTV adalah prasarana media terbaru yang telah dilancarkan pada akhir tahun lepas.

Begitu juga dengan Kampus ASTRO yang telah dilancarkan oleh YB Menteri Pelajaran di Nabawan pada bulan lepas, PKG Ranau juga akan mempastikan penggunaannya di sekolah rintis daerah. Walaupun Kampus ASTRO baru sahaja dilancarkan, permintaan di kalangan guru-guru semakin tinggi. Ini kerana Kampus ASTRO mempunyai ciri-ciri yang lebih fleksibel berbanding dengan TV Pendidikan Melalui ASTRO sebelum ini. Salah satu ciri istimewa Kampus ASTRO ialah kemudahan rakaman secara automatik selama 80 jam.

PKG Ranau juga berusaha membantu sekolah-sekolah dan guru-guru ke arah memenangi anugerah-anugerah berprestij yang dipertandingkan sehingga ke peringkat kebangsaan iaitu:-

1. Anugerah PSS Cemerlang SR

2. Anugerah PSS Cemerlang SM

3. Anugerah NILAM Luar Bandar SR

4. Anugerah NILAM Luar Bandar SM

5. Anugerah Guru TMK

6. Anugerah Pemimpin TMK

7. Anugerah PKG Cemerlang

Bagi 4 anugerah 1-4 iaitu PSS Cemerlang dan NILAM (SR dan SM) wakil-wakilnya telahpun dipilih. Diharapkan wakil-wakil dari daerah ini akan memenangi sekurang-kurangnya satu daripada anugerah yang dipertandingkan.