Saya teringatkan kata-kata ahli falsafah dan pujangga terkenal Cina, Kung Fu Tze: ” Kalau saya dengar, saya lupa; kalau saya lihat saya ingat; dan kalau saya buat, saya tahu”.
Kata-kata ini mempunyai makna yang mendalam bagi seorang guru yang setiap hari berhadapan dengan pelajar di dalam kelas. Teknik, kaedah dan strategi pengajaran guru akan mempengaruhi tahap kefahaman murid terhadap apa yang dipelajari. Dalam ertikata yang lain, jika guru mengajar dengan pedagogi yang sesuai dan menggunakan Bahan Bantu Mengajar (BBM) serta Bahan Bantu Belajar (BBB) yang efektif akan memudahkan pelajar memahami isi kandungan serta kemahiran tajuk yang diajar. Penggunaan media pengajaran seperti buku, lembaran kerja, carta, alat audio visual, internet, komputer dan sebagainya akan menjadikan pembelajaran lebih mudah dikuasai.
Sebulan yang lalu, saya terlibat untuk menganalisis instrumen responden yang mengkaji tentang keberkesanan penggunaan media CD Bestari dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris Tingkatan 6 di seluruh Malaysia. Dalam kajian ini, hampir keseluruhan daripada responden mengatakan bahawa penggunaan media dalam pengajaran dan pembelajaran amat berkesan. Senario ini amat besesuaian dengan pendapat beberapa pakar pedagogi seperi nordin (1991) yang mengatakan bahawa komponen media akan menambahkan keberkesanan pengajaran guru dan memudahkan pelajar menguasai pelajaran. Begitu juga dengan Atan dan Idrus (1999), Fontana (1985), Dale (1988) yang mengatakan bahawa media jika digabungkan dengan pengajaran tradisional (chalk and talk) akan menambahkan lagi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
Menyedari hakikat ini, saya berkesempatan mengadakan khidmat bantu penggunaan teknologi pendidikan (TEKNOPEN) di beberapa buah sekolah di daerah ini untuk mempastikan penggunaan media pengajaran dapat dijadikan sebagai satu amalan dan budaya. Saya optimis jika pengajaran dan pembelajaran di sekolah sentiasa di tahap maksimum, sudah pasti pelajar akan lebih memahami pengajaran guru seterusnya menguasai kemahiran, menguasai pelbagai ilmu yang dapat membawa kepada kecemerlangan pelajar pada masa akan datang.
Kajian saya di SMK Kundasang pada tahun 2006 berkaitan dengan keberkesanan penggunaan media TV Pendidikan dan CDRI juga membuktikan bahawa purata markah pelajar dalam ujian pos selepas sesi pengajaran menggunakan media lebih tinggi berbanding dengan ujian pra yang hanya menggunakan buku kerja dan lembaran kerja murid.
Walaupun penggunaan media telah diakui dapat mewujudkan suasana berkesan dalam sesi P&P di dalam kelas, namun dalam kajian tahap penggunaan media dalam pengajaran PPSMI pada tahun 2007 oleh Unit Penyelidikan BTP Kementerian Pelajaran Malaysia kadar penggunaannya masih di tahap rendah.
Bagi saya selaku pegawai yang dipertanggungjawabkan untuk memantau penggunaan media seperti komputer / laptop. CDRI dan sebagainya, adalah satu kerugian kepada kerajaan yang telah membelanjakan jutaan ringgit untuk menyediakan prasarana ini di sekolah-sekolah. Ini kerana penggunaan peralatan tersebut masih rendah, bahkan saya dapati banyak sekolah yang tidak menggunakannya. Saya berharap agar tahun 2009, senario ini akan berubah dan kesedaran para pendidik untuk memaksimumkan penggunaan media dalam P&P akan meningkat pada masa hadapan demi kecemerlangan pelajar-pelajar kita.
Info:
Media terbaru yang dilancarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu EduWeb TV. Ia boleh diakses di laman web http://www.eduwebtv.com



