Seminar Pengurusan Kualiti Dalam Pendidikan

Pagi ini saya akan Menghadiri Seminar Pengurusan Kualiti Dalam Pendidikan anjuran Pelajar Pascasiswazah Program Sarjana Pengurusan Pendidikan Tahun Akhir di Dewan Auditorium Pascasiswazah Universiti Malaysia Sabah. Program ini sangat signifikan khususnya kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam pengurusan pendidikan seperti pegawai-pegawai di peringkat Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan Daerah, Pengetua-pengetua, Guru-Guru Besar dan pemimpin-pemimpin di sekolah. Secara peribadi, saya berharap supaya lebih ramai dalam kalangan mereka ini menghadiri seminar pengurusan kerana bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan yang baru bahkan dapat melihat perkembangan pengurusan pendidikan melalui kajian para sarjana yang boleh dijadikan panduan semasa melaksanakan tugas di tempat masing-masing.

Kita sedar bahawa, tugas sebagai pemimpin pendidikan bukanlah mudah dan ia memerlukan gabungan kepakaran ilmu serta ketepatan tindakan. Kebolehan seseorang untuk memimpin dalam bidang pendidikan adalah bergantung kepada ilmu dan pengalaman yang ditimba di sepanjang perkhidmatan. Sudah tentu kita seringkali keadaan yang berbeza-beza dan ini menuntut kepada kemahiran mengadaptasi kebolehan ilmu dan kepakaran untuk menyelesaikan suatu situasi.

Bercakap tentang kualiti, kualiti merujuk kepada tahap kepuasan pelanggan. Umumnya apabila perkhidmatan ditawarkan, pelanggan menuntut kepuasan daripada perkhidmatan yang diberi. Organisasi sepatutnya mengamalkan budaya korporat untuk memastikan jaminan kualiti.

Pendidikan adalah sektor yang memerlukan jaminan kualiti. Ini kerana sektor pendidikan merupakan sektor yang sangat penting dan mempunyai stakeholder yang sangat ramai. Kalau kita lihat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, lima kumpulan stakeholder pendidikan yang menuntut tahap kualiti pendidikan supaya diperbaiki. Lima kumpulan stakeholder tersebut adalah pegawai di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Pemimpin Di Sekolah (Pengetua dan Guru Besar), Guru-Guru Di Sekolah, Para Pelajar dan Masyarakat Awam.

Banyak usaha-usaha telah dibuat untuk meningkatkan kualiti khususnya di sekolah. Konsep Sekolah Berkualiti, Total Quality Management (TQM), The Good High School, Pergerakan Pembaikan Sekolah (School Improvement Movement) dan Pergerakan Sekolah Efektif telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pendidikan. Pada tahun 80-an pula, sektor awam pula telah memperkenalkan konsep Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) yang boleh dipraktikkan di sekolah.

Pihak kerajaan juga telah memutuskan supaya agensi-agensi kerajaan mengamalkan satu sistem pengurusan kualiti yang universal dan berlandaskan kepada standard yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Unit Kemajuan Tadbiran Awam Malaysia (MAMPU) telah mengeluarkan garis panduan kepada agensi-agensi kerajaan untuk melaksanakan sistem kualiti yang baru diperkenalkan.

Pengenalan itu adalah untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sektor awam. Sistem kualiti tersebut menekankan prinsip-prinsip dan ciri-ciri seperti berikut:

1. Pencegahan dan bukan mengatasi masalah setelah ia berlaku

2. Kajian semula yang berterusan ke atas proses-proses yang kritikal dan membuat tindakan pembetulan

3. Mewujudkan cara bekerja yang konsisten dan menepati prinsip-prinsip betul pertama kali dan setiap kali

4. Mementingkan penyimpanan rekod kualiti untuk membuktikan tindakan yang telah dilaksanakan

5. Semua kerja adalah berasaskan kepada dasar dan prosedur yang didokumenkan, dan

Berdasarkan kenyataan tersebut, sekiranya setiap agensi kerajaan dan sekolah melaksanakan sistem kualiti maka akan wujud kualiti menyeluruh yang menggabungkan pembangunan individu, pembangunan ilmu, dan pembangunan organisasi yang dijamin dan dimantapkan dalam satu sistem yang difahami oleh semua warga sekolah dan masyarakat.

Diharap seminar ini akan dapat memberikan garis panduan yang berguna kepada pemimpin-pemimpin pendidikan yang hadir. Selamat berseminar..!

Peserta 1 Peserta 2 Peserta 3Peserta 4

Kolaborasi Ilmu 2 Telah Lahir Ke Dunia Maya..

Alhamdulillah saya telah berjaya membidankan blog Kolaborasi Ilmu ini dan selamat melahirkan anak blognya semalam. Saya sudahpun uruskan namanya Kolaborasi Ilmu 2 walaupun tiada surat beranak. Nah sekarang, dua beranak ini perlu diuruskan supaya tidak ada yang terabai. Untuk memberikan nafas kepada kedua-dua blog ini, saya terpaksa mencari banyak idea. Mungkin tidak susah kecuali cabaran masa. Pun begitu, isu yang paling penting ialah apakah ilmu yang boleh dikongsikan dalam blog baharu ini? Jadi, berikan saya masa untuk berfikir. Saya membaca dan  meneroka blog di alam siber, banyak yang sudah ditinggalkan sekian lama. Ada enam bulan, setahun, dua tahun…malah ada yang sudah ditinggalkan begitu lama. Macam Kolaborasi Ilmu, suatu hari lalu pun pernah  tidur juga. Bagus juga kalau tidur bermimpi indah. Ini tidak..! Kasihan kepada pengunjung yang ingin melihat benda baru yang boleh dikongsikan. Untuk itu saya tidak mahu benda ini berulang kembali. Oklah..saya tidak bermaksud untuk bercakap panjang kali ini. Jumpa di blog baru… Sebelum saya tutup post ini, saya sertakan alamat blog baru saya Kolaborasi Ilmu 2 di http://kolaborasi-ilmu.blogspot.com … Selamat malam … & Sweet Dream..

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025

Download Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

Alhamdulillah, saya baru sahaja menyiapkan slaid Bab 1 PPPM 2013-2025 yang akan dibentangkan pada minggu hadapan dalam kuliah Isu-isu Khas Pendidikan Di Malaysia. Walaupun tidak begitu mendalam, saya telah mencuba untuk memahami PPPM Bab 1 ini.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telah dilancarkan oleh YAB Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia pada 11 September 2012 bersamaan dengan hari pertama UPSR tahun 2012. Sehubungan dengan itu satu dokumen telah dikeluarkan sebagai garis panduan yang perlu dirujuk oleh semua pihak yang terlibat.

Rasional pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah untuk mempercepatkan usaha-usaha murni ke arah pencapaian transformasi pendidikan abad ke-21. Apa yang kita tahu, Malaysia sedang berhadapan dengan persaingan getir dalam usaha untuk menyediakan sistem pendidikan yang berkualiti. Perkembangan sosiobudaya yang sihat dan pembangunan ekonomi yang mapan bergantung kepada keupayaan sistem pendidikan kerana pendidikan merupakan asas kepada pembangunan secara komprehensif.

Dokumen berharga ini mengandungi 248 mukasurat dan mengandungi 8 bab yang dihurai dengan begitu mendalam. Bab-bab dalam dokumen Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah seperti berikut:-

1. Konteks & Pendekatan

2. Aspirasi Baharu

3. Analisis Keberhasilan Pelajar

4. Mengkaji Pembelajaran pelajar

5. Peranan Guru & Pemimpin Sekolah

6. Pembangunan Fungsi Kementerian

7. Struktur Sistem Pendidikan

8. Garis Panduan Sistem Transformasi

Terdapat 11 anjakan yang ditetapkan dalam PPPM. Anjakan tersebut adalah seperti berikut

1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa

2. Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai.

4. Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan.

5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.

6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan.

7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.

8. Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan.

9. Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.

11. Meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam.